Acap disorok bunian? Kitorang semak dengan pakar tentang siapa sebenarnya bunian

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Kehilangan Acap yang terlibat dalam menyertai Gopeng Ultra Trail telah mengundang macam-macam reaksi. Benda ni memang pelik dan jarang kita dengar – ada seorang yang terlibat dengan larian tiba-tiba hilang kat laluan larian. Macam yang korang dah sedia maklum, kalau ada acara larian macam ni, sudah tentu laluan tu akan digunakan oleh semua peserta yang terlibat. Poin kitorang kat sini, Acap bukan pergi masuk ke hutan secara solo.

Kalau dia pergi hutan secara solo dan tiba-tiba hilang, benda tu masuk akal lagi. Macam-macam cara dah digunakan untuk cuba mengesan Acap, tapi sampai hari ni tak jumpa-jumpa. Pasukan penyelamat siap gunakan anjing pengesan untuk cari Acap, masih tak jumpa! Padahal laluan yang digunakan Acap dah diketahui, secara teorinya mesti lagi senang nak cari kan?

Acap yang guna baji hijau tu. Imej dari AWANI

Apa yang lebih menarik, ada orang siap gunakan kaedah mistik untuk cari Acap. Macam bomoh dalam filem-filem Melayu tu. Kali ni kitorang nak sembang tentang benda-benda ni lah, BUNIAN, ada apa dengan bunian? Ada ini…

Asal-usul bunian dan tips untuk elakkan daripada diganggu bunian

Bila cerita tentang alam Bunian, macam-macam cerita yang pernah kita dengar. Kitorang pun habiskanlah masa untuk kaji dan selidik apa sebenarnya Bunian ni. Macam-macam pandangan yang kitorang dapat. Ada yang masuk akal, dan ada gak yang mengarut gila. Jadi, kitorang ada dengar satu sedutan ceramah seorang agamawan ni, namanya Dr Danial Zainal Abidin. Dia kata – tak mustahil je ada orang yang terserempak atau terjumpa dengan Bunian.

Sebelum dia sembang tentang alam Bunian, dia beritahu dulu – sebagai orang Islam, seseorang tu kena beriman dengan alam ghaib. Macam mana alam ghaib ni pun, takde siapa yang tahu. Apa yang pasti dia wujud, salah satu contoh makhluk alam ghaib yang paling popular adalah malaikat. Jadi, dia kata kemungkinan Bunian ni adalah makhluk ghaib yang baik dan beriman. Kelompok jin lah kiranya, sebab dalam Al-Quran pun ada sebut pasal jin.

Macam ni ke bunian? Imej dari OhBulan

Dr Danial siap bagi lagi tips untuk elakkan diri daripada terkena gangguan Bunian. Cuba korang teka apa yang dia sarankan? Benda ni paling simple lah. Cuma baca bismillah. Sebabnya menurut Dr Danial, kalimah bismillah ni pun dah cukup power, lebih-lebih lagi kalau korang tak mampu hafal ayat doa yang susah-susah.

Lepas tu, kitorang ada jumpa satu blog ni. Korang kena ingat eh, bila sembang tentang alam ghaib ni, dia adalah soal kepercayaan bukan saintifik. So, takde eksperimen saintifik lagi yang boleh buktikan kewujudan diorang. So ni kitorang kongsikan tentang kepercayaan dari mana sebenarnya geng-geng bunian ni datang.

Pertama, katanya mereka bukanlah manusia tapi makhluk yang dicipta dari cahaya sebijik macam malaikat untuk membantu manusia. Namun, Bunian bukanlah malaikat cuma unsurnya sahaja sama kejadiannya seperti para malaikat.

Tapi ini malaikat orang putih lah. Imej dari Giphy

Ada satu lagi pendapat kata diorang ialah hasil perkahwinan antara manusia dengan jin. Dan pendapat ketiga pulak kata bunian adalah makhluk ciptaan Allah dan bukan dari keturunan manusia, jin maupun malaikat. Maksudnya dia memang wujudlah, bukan kacukan mana-mana makhluk.

Macam mana pulak dengan kes manusia separuh manusia, separuh bunian

Apabila kita nak bersembang bab alam ghaib ni, mesti kita selalu dengar ada orang separuh manusia dan separuh benda lain. Kitorang selalu dengar yang manusia ni ada kembar binatang dan kembar yang ada tu adalah sebahagian daripada manusia. Contohnya, kalau orang tu ada kembar buaya – jadinya dia adalah separuh manusia dan separuh buaya. Kalau dengar macam tak logik kan?

Nak dijadikan cerita, ada seorang ni bagi soalan kat Mufti Wilayah Persekutuan tentang dakwaan bomoh yang kata kakak dia ada kembar bunian. Bomoh tu nasihatkan diorang sekeluarga untuk pergi berubat dan buang kembar bunian tu. So, budak ni risaulah – takut nanti kalau diorang percayai – tergadai pulak akidah. Hahh…ni jawapan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Ini boleh kira separuh manusia, separuh kuda ke? Imej dari Pintrest

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan jawab – dalam masyarakat Melayu, jin ni dikenali dengan pelbagai nama. Benda ni sebabkan sesetengah orang anggap jin tu tak wujud. Diorang cuma percaya nama-nama seperti hantu, bunian, penunggu, jembalang, khadam, saka dan lain-lain. Akibatnya istilah jin selalu diabaikan sedangkan istilah yang selalu digunakan oleh al-Quran untuk merujuk kepada semua benda alah tu adalah jin.

Kalau pun ada gangguan kepada kakak orang tu, ia berkemungkinan berpunca daripada kerasukan jin. Kerasukan jin ni ialah kecelaruan yang menimpa akal manusia. Orang yang terkena gangguan ni akan kehilangan ingatan seakan-akan ada gangguan pada saraf otak. Gangguan akal ini akan diiringi dengan ketidaktentuan pada gerakan-gerakan orang yang kerasukan sehingga berjalan terhuyung-hayang dan tak dapat mengendalikan dirinya. (Rujukan diorang: ‘Alam al-Jin fi Dhaw’ al-Kitab wa al-Sunnah, halaman. 252)

Mufti Wilayah Persekutuan. Imej dari YADIM

Untuk dakwaan yang kata seseorang itu separuh jin dan separuh manusia, ia merupakan suatu telahan terhadap perkara yang ghaib. Diorang bimbang kalau ia berpunca daripada ramalan-ramalan para dukun dan bomoh yang berdamping dengan jin.

So, diorang simpulkan, jika benar terdapat gangguan kepada anak perempuan tersebut, ia berkemungkinan berpunca daripada kerasukan jin. Tiada istilah separuh manusia dan separuh jin seperti yang didakwa.

Tak, tak. Bukan separuh manusia, separuh bunian. Imej dari Giphy

Seorang diajak kahwin oleh bunian, seorang pulak digoda dengan bunga

Sebelum kehilangan Acap, sebenarnya dah banyak kes-kes orang hilang yang dikaitkan dengan Bunian sebelum ni. Kitorang akan ceritakan benda ni secara mudah, memandangkan kat internet dah banyak orang yang cover cerita ni. Macam yang Dr Danial kata tadi, kalau korang pergi mana-mana tempat baru, bacalah bismillah. Dengan lafaz bismillah, kitorang mulakan cerita dengan…

1. Kisah lelaki yang digoda oleh bunian dengan sekuntum bunga

Dalam kes ni, seorang lelaki yang bernama Stanley Kho dilaporkan hilang. Kebanyakan media melaporkan Stanley katanya diumpan orang cantik dari hutan dengan bunga. Kitorang pun tak tahu macam mana bunga tu boleh mengoda, apa yang pasti disebabkan bunga tu dia ikut gadis tu masuk ke hutan.

Imej dari UTUSAN

Apabila dia sedar, Stanley tak jumpa jalan keluar padahal kat sekeliling bukit tu ada je  perkampungan manusia. Kalau korang lari je dari mana-mana arah hutan tu, confirm akan sampai kat kampung penduduk.

Kalau ikut cerita Stanley – dia dijaga cukup baik oleh gadis yang goda dia guna bunga. Pengamal paranormal percaya Stanley ni sebenarnya masuk kat dunia bunian.

2. Azrul diajak kahwin dengan bunian yang memakai purdah, dia tolak

Yang ni pulak kisah seorang remaja yang bernama Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, yang tersesat kat puncak Tok Wan di Bukit Broga di Semenyih pada Januari 2017. Azarul hilang hampir seminggu di Broga, tapi tak jumpa padahal tapak kehilangan dia terletak tidak jauh dari laluan pejalan kaki.

Dalam rancangan Motif Viral, Azarul ceritakan semasa mendaki tu dia terserempak budak perempuan bertudung dalam usia lingkungan 9 tahun, budak tu bawak dia berjumpa keluarganya kat dalam gua. Kalau ikut cerita Azarul ni, sepanjang berada kat alam ghaib tu dia duduk di dalam gua dan tidur kat atas batu. Tak sakit badan ke tidur atas batu?

Pada hari ketiga Azarul berada kat situ, kakak budak perempuan tu ajak Azarul kahwin, kalau korang nak tahu – kakak budak perempuan tu pakai purdah. Tapi, Azarul tolak pelawaan tu sampailah hari ketujuh. Oleh sebab Azarul tolak pelawaan perempuan tu, gadis bunian tu pun marah.

Oleh sebab dia menolak pelawaan gadis bunian tu, semasa dia tengah syok baring, ular tedung selar yang boleh bercakap terjatuh kat atas dadanya. Ular itu memintanya keluar dari situ dengan berjalan mengikut kesan cahaya matahari dan akhirnya Azarul ni pun dijumpai.

Semoga Acap segera dijumpai, dan jagalah adab kat tempat orang

Masa kitorang tulis artikel ni, Acap masih tak lagi dijumpai. Dah macam-macam cara yang digunakan untuk cari di mana sebenarnya Acap. Macam kitorang cakap kes ni pelik sebab Acap hilang kat laluan pertandingan marathon, tempat yang dilalui oleh peserta-peserta yang lain. Baru-baru ni polis ada jugak kata – jangan ganggu usaha diorang dalam operasi mencari Acap. Sebabnya dah macam-macam orang datang nak bantu, tapi akhirnya tak bantu – tapi menyusahkan pihak berkuasa.

Semoga pencarian ni berjaya. Imej dari BlogRatuMakan

Kitorang jugak nak bagi pesanan mak nenek dengan korang, kalau masuk tempat-tempat yang tak pernah korang pergi tu, jagalah adab elok-elok ye. Janganlah nak buat konsert pulak, lebih-lebih kalau masuk hutan. Tak pasal-pasal pulak nanti ada benda lain yang akan ikut korang buat konsert bersama. Tu yang tersampuk atau hilang tu.

Lepas baca artikel ni, korang percaya tak dengan kewujudan bunian? Cuba beritahu kitorang pengalaman korang tentang bunian ni. Kalau menarik nanti kitorang bagi hadiah Sos cili!

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

 

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka