- 1.6KShare sekarang!
- Email65
- Facebook1.6K
- Share
*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 13 Ogos 2020*
KEMAS KINI: Semalam, seluruh rakyat Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan berita anak perempuan presiden pertama, Indonesia, Sukarno yang dikatakan telah memeluk agama Hindu di Bali. Rentetan daripada itu, sebenarnya Indonesia dulu juga pernah dikejutkan dengan adik Hamka yang menjadi Paderi Kristian. Kalau nak tahu lebih lanjut, teruskan baca artikel ini.
Jika di Nusantara ni, nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) tak perlu diperkenalkan lagi sebagai seorang ulama, sasterawan dan pejuang. Karya-karya beliau seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tafsir al-Azhar masih lagi dibaca dan dikaji sehingga ke hari ini.
Namun begitu, jarang kita bercerita tentang adik-beradik beliau yang juga tak kurang popular dan terkenal. Salah seorangnya adalah Abdul Wadud Karim Amrullah iaitu adik sama ayah berlainan ibu dengan Hamka. Tapi, ada satu perkara yang mengejutkan tentang Abdul Wadud kerana nampaknya adik ulama ini memutuskan untuk ‘mengubah kiblatnya’ pada tahun 1983 atau setelah dua tahun Hamka meninggal dunia.
Apa kata kita selami kisah perjalanan adik Hamka yang kemudiannya menimbulkan kontroversi ni…
Berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan dikenali dengan nama Willy Amrull
Berdasarkan buku yang ditulis sendiri oleh Abdul Wadud – dia dilahirkan pada 7 Jun 1927 di Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat dan merupakan anak tunggal dari isteri kedua ulama besar Minangkabau, Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul) – Siti Hindun (ibu tiri Hamka). Abdul Wadud dibesarkan dengan pegangan Islam yang kuat.
Malah, Abdul Wadud juga terlibat berjuang bersama bapanya yang ketika itu terkenal sebagai penggerak reformasi dan penentang penjajah Belanda. Sehinggakan, ketika Haji Rasul diasingkan oleh pemerintah Belanda ke Sukabumi, Jawa Barat pada Ogos 1941 dan kemudiannya ke Jakarta bila Jepun berkuasa – Abdul Wadud turut sama menemani bapanya.
Ketika Haji Rasul wafat pada 2 Jun 1945…
“Saya mengucapkan kalimat syahadat sebagai kata penghabisan dari saya untuk melepasnya (sang ayah)…” – Abdul Wadud, Dari Subuh Hingga Malam: Perjalanan Seorang Putra Minang Mencari Jalan Kebenaran. Dipetik dari laporan Tirto.id
Selepas beberapa tahun bapanya meninggal dunia, Abdul Wadud membawa diri berhijrah ke beberapa negara, termasuklah ke Belanda, Afrika dan Amerika Syarikat (AS). Dia kemudiannya buat keputusan untuk terus tinggal di San Francisco, AS dan mula dikenali dengan nama Willy Amrull. Pada tahun 1952, Hamka sempat pergi ke AS dan berjumpa dengan adiknya itu.
“Dia adalah adikku Abdul Wadud Karim Amrullah. Di Amerika, dipakainya nama ala Barat, Willy Amrull…” – Hamka, Empat Bulan di Amerika.
Pada tahun 1957, Abdul Wadud berkahwin dengan seorang warga AS yang juga janda anak empat. Tapi, perkahwinan tu tak bertahan lama dan mereka bercerai pada tahun 1962. Selepas itu, dia mengasaskan Ikatan Masyarakat Indonesia (IM) di California dan juga bergiat aktif dalam Islamic Center di Los Angeles.
Kembali ke Indonesia dan memeluk agama Kristian
Menjelang tahun 1970, Abdul Wadud bertemu jodoh pula dengan seorang gadis campuran Amerika-Indonesia, Vera Ellen George yang kemudiannya memeluk Islam. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Tujuh tahun lepas tu, dia bawa keluarganya balik ke Indonesia dan tinggal di Bali kerana Abdul Wadud bekerja di sana.
Masa inilah keadaan mula berubah bila isterinya tu nak kembali ke agama asalnya, Kristian dan Abdul Wadud pun diajak sama masuk Kristian. Pada mulanya, Abdul Wadud menolak kerana latar belakang Islamnya yang kuat, selain terlibat banyak dalam aktiviti keislaman.
“Namun, akhirnya ia luluh demi keutuhan rumah tangga dan ketiga buah hati mereka (anak-anaknya). Tahun 1981, Awka (Abdul Wadud) sekeluarga pindah ke Jakarta, dan tiga tahun berselang, ia dibaptis oleh Pendeta Gerard Pinkston di Kebayoran Baru.” – Dipetik dari Tirto.id
Pada tahun sama, Abdul Wadud kembali ke AS dan dilantik sebagai paderi oleh Gereja Pekabaran Injil Indonesia (GPII) di California. Ketika itulah orang mula menggelarnya sebagai Pendeta Willy Amrull (atau Paderi Willy Amrull).
Namun, menjelang tahun 1996 – Abdul Wadud mula menimbulkan kontroversi apabila ditugaskan untuk menyebarkan Kristian di Sumatera Barat yang juga adalah kampung halamannya. Misi tu pada mulanya dibuat secara sulit, bila Abdul Wadud menggunakan nama samaran sebagai Badru Amrullah.
Dia dikatakan berjaya merekrut anak-anak muda Minang dalam sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Persekutuan Kristen Sumatera Barat (PKSB). Pada tahun 1998, keadaan bertambah kontroversi apabila nama Abdul Wadud dikaitkan dengan kes penculikan gadis 17 tahun bernama Khairiah Enniswah (Wawah). Dikatakan Wawah dah diculik dan dikristiankan secara paksa.
Bila semakin kecoh – Abdul Wadud buat keputusan untuk balik ke AS. Dia dakwa kes tu hanya digunakan oleh orang-orang yang tak puas hati dengannya untuk memerangkapnya. Abdul Wadud kemudian terus menetap di AS (tak pernah balik ke Indonesia) sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac 2012 pada usia 84 tahun.
Teringat dengan lagu Raihan ~Iman tak dapat diwarisi~
Kalau korang rasa kes murtad ni agak asing dan jarang berlaku di Malaysia, ia disebabkan peruntukan undang-undang di negara kita. Tapi sebaliknya, Perlembagaan Indonesia menjamin kebebasan rakyatnya memeluk agama yang diyakini. Menurut Pasal 28E ayat 1 Undang-Undang Dasar 1945: Setiap orang bebas memeluk agama dan beribadat menurut agamanya. Oleh itu, tindakan Abdul Wadud mengubah agamanya bukanlah satu perkara yang dilarang berdasarkan undang-undang di sana.
Malah, kita juga selalu ada terbaca atau terdengar berita tentang selebriti-selebriti di sana yang keluar Islam dan memeluk agama lain. Hal ni sebenarnya mengingatkan juga kita dengan lagu Raihan – Iman Mutiara:
iman tak dapat diwarisi…
dari seorang ayah yang bertaqwa…
ia tak dapat dijual-beli…
ia tiada di tepian pantai…
Malah, kita sendiri tahu tentang kisah keingkaran anak dan isteri Nabi Nuh AS untuk beriman kepada Allah SWT. Seruan Nabi Nuh AS kepada anaknya untuk naik ke atas kapal bersama-samanya tak dihiraukan sehinggalah Allah SWT menurunkan banjir besar kepada umat Nabi Nuh AS yang tidak beriman.
Oleh itu, berdoalah kita agar sentiasa ditempatkan di jalan yang benar dan mendapat keredhaan Allah SWT.
- 1.6KShare sekarang!
- Email65
- Facebook1.6K
- Share