Kisah Puteri Kalungsu yang tidak tahu suaminya adalah anaknya sendiri

Apabila kita baca kisah-kisah rakyat lama mahupun mitos, pasti banyak kisah luar biasa yang kita akan baca. Kadang-kala masalah yang berlaku pun pelik-pelik dan jarang terjadi kepada kita masa sekarang. Dan kadang-kala cara penyelasaian masalah orang terdahulu memang lain daripada yang lain.

Dalam pelbagai cerita dan hikayat terkenal, kita disajikan dengan kisah-kisah sumpahan yang menyebabkan konflik yang getir berlaku. Sebagai contoh, kisah sumpahan Orang Minyak yang mebawa bencana kepada orang kampung ketika itu. Tak lupa juga, kisah Puteri Senandung yang melibatkan sumpahan terhadap wanita berkulit gelap.

Sebenarnya, ada banyak je kisah-kisah yang lebih unik dan mendebarkan dalam kisah rakyat dan mitos di negara kita ini. Salah satu yang kami akan kongsikan ini terdapat dalam Hikayat Raja Banjar mengenai Puteri Kalungsu dan Raden Sekar Sungsang.

(Kisah ini diambil dari jurnal kajian bertajuk Kearifan Lokal Dalam Hikayat Raja Banjar tulisan M. Rafiek)

Si ibu memukul kepala anaknya yang berdegil mahu kuih yang tidak masak

Sakit bukkkk

Pernah dikisahkan mengenai seorang anak kecil bernama Raden Sekar Sungsang. Dia telah meminta kepada ibunya untuk makan kuih. Tapi, ibunya, Puteri Kalangsu tak mahu bagi sebab kuih itu belum lagi masak. Biasalahkan, anak-anak kecil ni dia tak faham, jadi Raden Sekar Sungsang terus menangis dan merengek-rengek nak kuih tu.

Raden kemudiannya melanggar perintah ibunya dengan menggigit sikit kuih itu. Kemudian, hal yang kurang baik pun berlaku kepada anak tersebut.

Puteri Kalungsu, ibunya kemudian memukul kepalanya dengan sendok perunggu sehingga luka dan berdarah. Raden Sekar Sungsang pun lari tidak tentu arah dengan kepala yang berlumuran darah dan sampai di pelabuhan. – Petikan dari Kearifan Lokal Dalam Hikayat Raja Banjar

Senduk antik. Kalau kena kepala memang berlubang. Imej dari Fakta News

Ketika di pelabuhan itu, ditakdirkan Raden Sekar Sungsang bertemu dengan Juragan Balaba yang bertanggungjawab membawanya merantau ke Surabaya. Di situlah bermulanya detik perpisahan Raden dan Puteri Kalungsu untuk beberapa lama. Bayangkan perasaan seorang ibu yang mencari-cari anaknya hilang macam mana?

Puteri Kalungsu dah meminta bantuan Patih Lembu Mangkurat dan orang bawahannya untuk mencari Raden yang hilang. Namun, tetap tak dijumpai selepas aktiviti mencari dilakukan. Maka, bermulalah kisah Raden Sekar Sungsang yang dibesarkan bapa angkatnya, Juragan Balaba dan isteri.

Namanya ditukar kepada Ki Mas Lelana serta mengembara jauh dari keluarga angkatnya

Zaman sekarang nak tukar nama kena minta mahkamah. Imej dari Astro Awani

Kini, Raden Sekar Sungsang dibesarkan di Surabaya. Setelah mencapai umur dewasa, Juragan Balaba dah menukar nama anak angkatnya kepada Ki Mas Lelana. Mungkin berkat mengambil anak angkat, harta Juragan Balaba semakin banyak serta menjadi kaya-raya. Namun, ajal bapa angkatnya pula tiba yang mana Juragan Balaba meninggal dunia beberapa ketika selepas itu.

Hidup tetap diteruskan oleh mereka yang masih hidup. Ki Mas Lelana (nama baru Raden) meminta izin kepada ibu angkatnya untuk merantau bersama Juragan Dampuawang ke Nagara Diap untuk berniaga. Biasalah hati ibu, memang berat nak lepaskan anak pergi berlayar zaman dulu. Bukan dua tiga jam nak sampai tempat jauh waktu zaman tu. Tapi, desakan demi desakan dah menyebabkan ibu angkatnya melepaskan juga Ki Mas Lelana untuk merantau jauh.

Sesampainya Ki Mas Lelana ke Nagara Dipa, kebetulan dia disambut oleh Lembu Mangkurat (orang yang tolong ibu kandungnya cari Ki Mas Lelana waktu hilang dulu). Mereka dah tak kenal sesama mereka ketika disambut itu. Maka, ketibaan Ki Mas Lelana disambut dengan persembahan seadanya serta dijamu makan dua tiga kali juga.

Aku sudah tiba … Imej dari mStar

Tak tahulah Lembu Mangkurat suka sangat ke Ki Mas Lelana ni ke apa, dia dah minta supaya Ki Mas Lelana untuk tinggal satu musim lagi di situ sebelum pulang ke Surabaya.

“Hal tersebut disambut baik oleh Ki Mas Lelana dan meminta Juragan Dampuawang pulang lebih dahulu ke Surabaya untuk mengabari ibunya bahwa dia bertahan satu musim lagi di Nagara Dipa.” – Petikan dari Kearifan Lokal Dalam Hikayat Raja Banjar

Ki Mas Lelana dikahwinkan dengan Puteri Kalungsu yang merupakan ibunya sendiri

Satu musim kalau ikut kiraan astronomi dahulu di Barat lebih kurang tiga bulan. Itu berdasarkan kiraan musim panas, bunga, sejuk dan luruh. Di Nusantara ini tiadalah empat musim macam tu, boleh jadi di Nusantara negara-negara kepulauan ini akan menggunakan musim angin. Contohnya di perairan Makassar dipengaruhi dua musim angin.

Maknanya, ada masa kena duduk darat dulu, dan ada masa cukup angin untuk berlayar. Lebih kurang tiga hingga empat bulan juga kiraannya.

Boleh dikatakan Ki Mas Lelana tinggal tiga hingga empat bulan di Nagara Dipa. Lembu Mengkurat membuat keputusan yang mana Ki Mas Lelana dikahwinkan dengan Puteri Kalungsu. Apa??? Ya, betul. Dia dikahwinkan dengan ibu kandungnya sendiri tanpa disedari sama ada oleh dirinya sendiri mahupun ibu kandungnya.

Dah syok kahwin. Selepas tujuh hari, Ki Mas Lelana pun bermanja-manja dengan Puteri Kalungsu dengan aktiviti mencari kutu di kepala sang suami. Maka …

Luka kepala Ki Mas Lelana menjadi bukti bahawa dia anak Puteri Kalungsu

Waktu cari-cari dan bunuh-bunuh kutu tu, Puteri Kalungsu, si isteri pun ternampak luka di kepala suaminya. Selaku isteri yang penyayang, semestinyalah akan ditanya pasal luka tu. Manalah tau ada cerita pengalaman buruk yang berlaku. Ki Mas Lelana pun menceritakanlah dari A ke Z mengenai luka tersebut.

“Adapun kepala hamba ini, mulanya dipukul oleh bunda hamba, hamba lagi kecil, dengan pengaduk juwadah. Apa-apakah mulanya hamba tiada ingat. Sudah itu hamba lari. Seperti apa-seperti apa gerangan itu hamba tiada ingat. Sudah itu hamba diam di Jawa. Di manakah negeri hamba mulanya hamba tiada ingat” – kata Ki Mas Lelana dalam Hikayat Raja Banjar

Puteri Kalungsu terkejut besar kerana dia teringatkan hal anaknya dulu. Sebiji cerita dan kisahnya. Lantas, kepala suaminya (baca:anaknya) itu ditolak lalu dia berkata;

“Kalau demikian engkau ini anakku yang hilang dahulu itu, bernama si Sekar Sungsang”. – kata Puteri Kalangsu dalam Hikayat Raja Banjar

Anaknya tadi menangis, sujud dan minta ampun. Disebabkan terlalu rasa bersalah, Ki Mas Lelana minta dirinya dibunuh. Tapi, si ibu tidak terburu-buru membuat keputusan lalu meminta bantuan Lembu Mangkurat untuk menyelesaikan masalah ini. Kata Lembu Mangkurat;

“Hai tuan putri, karena tiada disengaja ini maaf itu. Tetapi tuan berhukum sendirinya, hamba tiada berani menghukumkan tuan”. – kata Lembu Mangkurat dalam Hikayat Raja Banjar

Minta ampun ibuku. Imej dari mStar

Keputusan dan pengadilan diletakkan semula di bahu Puteri Kalungsu. Apa agaknya jawapan Puteri Kalungsu? Bagaimana orang dulu selesaikan masalah kahwin sedarah (incest) ni? Maka Puteri Kalungsu bersumpah;

“Hai anakku Sekar Sungsang, ini hukumku: adapun kita hari inilah berpisah diam, seandainya aku mati jangan engkau melihat, seandainya engkau mati aku tiada melihat; maka engkau kuubah namamu kunamai Raden Sari Kaburungan”

Mitos dan hikayat dulu mempunyai nilai perilaku yang terus menjaga kebudayaan

Kedua-dua ibu dan anak berpisah secara baik. Puteri Kalungsu tetap tinggal di Nagara Dipa, manakala anaknya yang ditukar nama, Raden Sari Kaburungan tinggal di tempat lain bernama Muara Hulak atau Nagara Daha. Kisah incest dalam Alam Melayu mempunyai pengakhiran berbeza berbanding di dalam mitos Greek, Oedipus. Dalam mitos Greek ia berakhir dengan pembunuhan.

Berdasarkan kajian mengenai mitos atau hikayat yang diceritakan ini, dapat dibuktikan bahawa kearifan lokal (local genius) masih terselit dalam hikayat kita sekalipun kejadian telah melanggar norma masyarakat seperti incest. Kearifan lokal bermaksud adalah sesuatu sikap atau perilaku yang berusaha terus menjaga khazanah kebudayaan yang merupakan ciri khas jati diri suku bangsanya.

Macam cerita Puteri Kalangsu, walaupun tidak sengaja terlibat dalam kahwin sedarah (incest), ia tetap diselesaikan secara lebih baik dengan local genius tersendiri berbanding dalam mitos Barat yang mengutamakan pembunuhan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT