- 560Share sekarang!
- Email20
- Facebook540
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 19 Mei, 2020*
KEMASKINI 14.1.2022: Sebentar tadi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Mohd Khairuddin Razali, digugurkan jawatannya oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini. Pemecatan itu dibuat tidak kurang dua bulan.
Alang-alang cakap pasal Parlimen ni, korang tahu tak pasal kisah ni?
__________________________________________________________________________________
Nampaknya, istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Mei lalu. Sidang Dewan Rakyat kali ni memang betul-betul menarik perhatian sebab ia menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN) menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.
Kedudukan Ahli Parlimen (MP) dalam Dewan Rakyat pun mula berubah bila kerusi Perdana Menteri diduduki oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembangkang pula diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun begitu, sidang Dewan Rakyat kali ni cuma berlangsung sehari tanpa perbahasan disebabkan musim pandemik Covid-19.
Kalau sekarang ni kita semua diminta untuk amalkan penjarakan sosial dan sebab itu jugalah Parlimen pun bersidang sehari je, nampaknya keadaan agak berbeza pada masa dulu. Sebabnya, suatu masa dulu banyak majlis diadakan di Parlimen dan selalunya ia datang sekali dengan acara joget. Dan disebabkan acara inilah, seorang Wakil Rakyat pernah menimbulkan kontroversi. Kisahnya…
MP PAS dipecat selepas berjoget di Parlimen
Menjelang Pilihanraya Umum 1969, PAS telah memenangi beberapa kerusi Parlimen dan ia termasuklah Parlimen Parit yang diwakili oleh ahli politik PAS, Hashim Gera. Beliau terkenal sebagai seorang yang hebat berpantun dan itulah yang mempopularkannya dalam pentas ceramah-ceramah politik.
Nak dijadikan cerita, dalam satu majlis di Bangunan Parlimen pada 23 Februari 1971, Perdana Menteri pertama – Tunku Abdul Rahman dah mencabar Hashim berjoget. Mendengar cabaran tu, Hashim pun dengan berani menyahut cabaran Tunku dan berjoget di majlis tersebut.
Tapi malangnya, gambar Hashim berjoget tu dah tersiar di akhbar keesokan harinya dan membuatkan ramai orang terkejut – khususnya para penyokong PAS. Disebabkan tindakannya tu dianggap salah dan memalukan parti, Jawatankuasa Tatatertib PAS dah mengadakan mesyuarat tergembar yang akhirnya membuat keputusan – keahlian Hashim digantung serta merta.
“Di depan Jawatankuasa Disiplin, Hashim memberitahu ulama PAS, joget adalah tarian bersih. “Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Hashim yang tak puas hati dengan keputusan jawatankuasa tatatertib kemudiannya meluahkan perasaannya dalam sebuah rangkap pantun yang tersiar di Utusan Melayu pada 24 Februari 1971:
Naik rakit di dalam paya
Patah galah di air dalam;
Menari joget hobi saya
Tidak haram di sisi Islam
Sungguhpun begitu, pemangku Presiden PAS ketika itu, Dato’ Asri Muda ada kata – yang penggantungan Hashim hanya sementara kerana dia dah melanggar disiplin parti dan dia diberikan peluang untuk memperbetulkan kesilapannya. Hashim pun kemudiannya berjanji yang dia tak akan menari lagi secara terang-terangan lagi.
Tak lama lepas tu, PAS pun tarik balik penggantungan Hashim pada 16 Mac 1971. Tapi keadaan mula berubah pada tarikh 16 Mei 1972 apabila PAS membuat keputusan untuk memecat Hashim secara terus dari parti. Mengulas hal itu, Hashim berkata pemecatannya disebabkan kerana dia mengingkari perintah parti supaya jangan menari lagi di khalayak ramai.
Maka, sekali lagilah Hashim berpantun dan kali ni agak panjang:
Pagi-pagi turun ke telaga,
Ramai bercampur teruna dara;
Hashim Gera empunya cerita,
Sebab berjoget Pas mendera
Berebut-rebut pula tali timba,
Dalam pandangan seperti berlaga;
Kalau betul demikian ada,
Perjuangan kebangsaan PAS berpura-pura
Sayang Che Man pergi memukat,
Cincin intan pakai di jari;
Ahli Parlimen bukan malaikat,
Apa salah dia menari?
Hashim kemudiannya mengasaskan parti baru
Walaupun dah dipecat dari parti, berdasarkan hansard Parlimen pada bulan Ogos 1972, Hashim dilihat masih lagi aktif di Parlimen apabila membangkitkan pelbagai isu. Antaranya adalah seperti apabila dia meminta penjelasan Menteri Kesihatan tentang dakwaan adanya kakitangan Hospital Besar Ipoh yang terlibat menyiarkan filem lucah di Dewan Rumah Sakit Batuk Kering sehingga dilaporkan di akhbar-akhbar.
Menjelang tahun 1974, Hashim dan dua Ahli Parlimen Bebas – Mustaffa Hussein (Seberang Tengah) dan Ang Ho Hoon (Taiping) dah membentuk sebuah parti baru yang dikenali sebagai Kesatuan Insaf Tanah Air atau Parti KITA.
Boleh dikatakan yang parti ni adalah serpihan dari PAS dan GERAKAN ketika itu. Tapi parti ni hanya terlibat dalam tiga pilihanraya iaitu pada tahun 1974, 1978 dan 1982 sebelum ia hilang dari pentas politik Tanah Air.
Dalam masa sama, nama Hashim Gera sehingga kini masih dikenang sebagai seorang ahli politik serba boleh, khususnya dengan kepakarannya dalam berpantun. Malah diceritakan yang Hashim pernah berbahas dalam Parlimen dengan keseluruhan ucapannya dalam bentuk pantun. Sehingga membuatkan Menteri Pelajar ketika itu, Tun Musa Hitam meminta penjelasan dari Speaker Dewan Rakyat – Tun Syed Nasir Ismail.
Bagaimanapun, Syed Nasir yang juga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan pantun sebagai kesusasteraan Melayu dan meminta Hashim meneruskan ucapannya. Maka berucaplah Hashim dengan pantun selama lebih kurang setengah jam.
- 560Share sekarang!
- Email20
- Facebook540
- Share