Boleh refund tiket wayang. Ini 4 tawaran dari pelbagai perkhidmatan sewaktu wabak COVID-19

Ketika ini seluruh dunia sedang melawan malapetaka yang sama. Tak lain dan tak bukan adalah malapetaka COVID-19. Menurut worldometers, setakat artikel ini ditulis, sudah ada 198, 712 kes yang disahkan positif dengan jumlah kematian mencecah 7,989. Manakala yang berjaya sembuh kira-kira 82, 779 di seluruh dunia.

Banyak negara yang sedang kritikal menghadapi situasi ini sehinggalah kerajaan mereka mengeluarkan arahan atau perintah berkurung. Hanya perlu duduk di rumah dan tak boleh ke mana-mana. Situasi ni juga berlaku di Itali. Rakyat terpaksa terperap di dalam rumah masing-masing. Pada waktu macam ni, nampaknya ada je syarikat atau perkhidmatan yang bagi tawaran-tawaran tertentu untuk bantu orang ramai sepanjang tempoh berkurung atau pergerakan terhad ni.

Contohnya, laman web pornografi yang memberi akses premium percuma kepada warga Itali sepanjang tempoh kuarantin di sana. Mungkin ni contoh tak baik untuk kita. Sebabnya kita ada banyak lagi syarikat perkhidmatan yang bagi tawaran menarik sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan di negara kita hingga 31 Mac ni. Antaranya…

1. Siapa yang dah beli tiket wayang online, boleh dapat refund dalam masa 14 hari

Dah beli untuk satu kampung ni. Tiba-tiba wayang tutup. Imej dari Waktusolat.net

“Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup.” – Tan Sri Muhyiddin Yassin, petikan dari PMO

Arahan penutupan semua premis perniagaan yang berkaitan sebenarnya telah disambut baik oleh ramai pihak. Ini termasuklah syarikat pawagam terkenal di Malaysia iaitu GSC. Ketika ni, memang ada beberapa movie yang pasti ramai orang nak tonton. Ini termasuklah Bloodshot, Bulan Dan Pria Terhebat dan  The Invisible Man.

Filem-filem yang ramai nak tengok waktu ni. Imej dari GSC

Namun, GSC mengumumkan penutupan semua pawagamnya sehinggalah 31 Mac 2020. Semestinya dah ada orang tempah tiket online dari awal lagi. Kini mereka tak dapatlah nak tonton dah sebab tutup. Dalam hal ni, nampaknya pihak GSC dah jalankan tanggungjawabnya sebaiknya apabila mengumumkan beberapa perkara. Antaranya:

  1. Pelanggan yang dah beli tiket wayang boleh dapatkan semula duit pembelian tersebut
  2. Untuk pembelian online, wang boleh ditebus balik dan diterima dalam masa 14 hari bekerja
  3. Untuk pembelian di kaunter dan kiosk, simpan dulu tiket dah boleh tebus balik duit selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan

Jadi, untuk korang yang dah beli tiket tu. Jangan risau, GSC tak makan duit korang.

2. Foodpanda sediakan contactless delivery untuk mengurangkan sentuhan rapat

Tinggalkan makanan depan pintu. Imej dari Foodpanda

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, pastinya kedai-kedai makan dan restoran diminta tutup untuk mengelakkan orang ramai duduk satu tempat beramai-ramai. Untuk mereka yang memang dah biasa tempah makanan dari servis penghantaran makanan, semestinya ini masa yang sangat penting untuk mereka.

Jadi, timbul pula persoalan mengenai sentuhan atau contact yang akan berlaku di antara penghantar makanan dengan pembeli. Atas kerisauan ni, Foodpanda dah sediakan satu perkhidmatan yang menarik untuk kita semua manfaatkan sepanjang musim wabak ini.

Bagi yang membuat pembelian, korang boleh gunakan perkhidmatan contactless delivery. Ini langkah-langkah yang korang kena buat.

  1. Pastikan anda menggunakan pembelian atas talian (online payment)
  2. Letakkan pesanan
  3. Pergi pada bahagian ‘your order’ dan tekan pada ‘Contact your rider’
  4. Minta penghantar makanan anda untuk tinggalkan makanan di depan pintu
Penghantaran makanan faceless tanpa muka. Imej dari Giphy

Itu je. Mudah bukan? Selain tu, penghantar makanan juga boleh buat permintaan untuk lakukan contactless delivery. Harap pembeli semua boleh bagi kerjasama.

3. Astro bagi akses percuma untuk semua saluran filem mereka

Imej dari Astro

“Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.”

Salah satu perkhidmatan yang akan terus beroperasi adalah penyiaran. Penyiaran ni penting sebab nak terus kemas kini kepada rakyat apa isu dan hal yang sedang berlaku. Selain tu, penyiaran juga menyediakan hiburan kepada orang ramai dari masa ke semasa.

Disebabkan semua akan terperap di rumah, waktu ni lah TV kat rumah kita tu akan berfungsi sepenuh masa. Untuk yang ada Astro, memang boleh layan pelbagai saluran sampai lebam. Ini kerana Astro mengumumkan tawaran tontonan percuma untuk semua saluran filem di bawah dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020:

  1. Boo – Untuk peminat filem seram Asia
  2. HBO – Untuk peminat movie pecah panggung Hollywood
  3. Cinemax – Untuk peminat filem aksi dan suspens
  4. FOX Movies – Filem terbitan 20th Century Fox
  5. FOX Family Movies – Filem terbitan 20th Century Fox kategori kekeluargaan
  6. FOX Action Movies – Filem terbitan 20th Century Fox kategori aksi
  7. tvN Movies – Untuk peminat filem-filem Korea terbaru
  8. Celestial Movies – Untuk peminat fillem dari China
  9. Astro Citra – Untuk peminat filem tempatan dan Asia
  10. Tayangan Hebat – Untuk peminat filem Astro Box Office
  11. Thangathirai – Untuk peminat filem Tamil
  12. BollyOne – Untuk peminat filem Bollywood
  13. HITS Movies – Untuk peminat drama komedi US
  14. Celestial Classic Movies – Untuk peminat filem China klasik

Memang tak menang mata nak tengok semua. Tapi ini je lah peluang korang yang tak beli pakej penuh Astro untuk tengok TV sampai lebam.

Aku tak puas hati ending cerita dia macam tu. Imej dari Ochiroowits

4. Kerajaan bagi diskaun bil elektrik 2% untuk pengguna elektrik domestik

Teknik tak perlu tunggu diskaun. Imej dari Free Malays

Selain perkhidmatan swasta, sebenarnya kerajaan ada sediakan bantuan dan tawaran khas. Ia dibuat melalui pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020. Ada tiga bantuan ni yang korang akan terima.

  1. Kerajaan Malaysia akan bagi bantuan kewangan RM600 sebulan bagi pekerja yang disuruh bercuti tanpa gaji
  2. Diskaun 15 % caj elektrik bagi sektor yang terkesan terhadap COVID-19 termasuk pelancongan bermula 1 April hingga 30 September
  3. Diskaun 2% bil elektrik untuk bidang komersial lain dan pengguna domestik elektrik bermula 1 April hingga 30 September

Untuk diskaun 2% tu sebenarnya, bagi kami dari SOSCILI agak tak seberapa. Bayangkanlah, bil elektrik korang RM100, jadi bila dapat disakaun 2%, bil korang yang perlu dibayar adalah sebanyak RM98. Jimat RM2 sahaja. Idea ni juga mendapat kritikan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Keadaan sekarang tidak normal, tapi bantulah mereka yang memerlukan

Itulah empat tawaran yang setakat ni ada sama ada dari perkhidmatan swasta mahupun kerajaan. Ada beberapa cadangan lain yang dicetuskan oleh bekas pemimpin negara agar kerajaan sekarang mengambil pertimbangan. Contohnya, cadangan dari Najib Razak agar KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan dari akaun 2 agar boleh digunakan pada saat wabak ini.

Awa tolong saya, saya tolong awaaaa. Imej dari Imgur

Dalam keadaan begini, rakyat memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan yang sebaiknya. Ia bagi memastikan kehidupan pada saat genting ini diurus dengan baik. Jika ada sebarang cadangan dan kritikan terhadap kerajaan, pihak bertanggungjawab tak perlu ragu untuk mempertimbangkannya. Kita pula sebagai rakyat, teruskan menjaga diri dan kurangkan pergerakan.

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT