- 344Share sekarang!
- Email7
- Facebook337
- Share
Dalam sejarah Timur Tengah, ada sebuah negara yang dari masa penubuhannya (pada 1948) sampailah ke hari ni yang masih menjadi tumpuan dunia. Walaupun diterima sebagai sebuah negara oleh PBB, tapi masih banyak lagi negara lain yang tak mengiktiraf Israel, dan hal tu termasuklah Malaysia.
Sebabnya, kita berpegang yang Israel tu tetap sebagai sebuah negara haram di tanah Palestin yang dirampas oleh penjajah British dulu. Malah, sehingga ke saat ini – Malaysia masih komited menyuarakan kepentingan Palestin di pentas-pentas dunia seperti di PBB dan OIC.
Tapi, beberapa hari lepas kita dah dilaporkan tentang seorang wanita Muslim yang dah dilantik sebagai Ahli Parlimen (MP) di Israel. Kemunculan Iman Yassin Katib ni mendapat perhatian bila dia bukan saja seorang muslim, tapi membawa penampilan berhijab/bertudung. Ini kisahnya…
Sebelum jadi MP, dia bekerja sebagai pengurus pusat komuniti
Sebenarnya, sebelum masuk politik – Iman ni bekerja sebagai pengurus pusat komuniti di perkampungan Yafat an-Nasreh di Galilee berdekatan dengan Nazareth. Kalau korang nak tahu, bandar ni dikatakan sebagai tempat kelahiran Nabi Isa AS. Iman menjadi MP selepas dia memenangi salah satu daripada 15 kerusi milik gabungan parti ‘Senarai Bersama’ dalam kalangan 120 anggota Knesset (Parlimen Israel).
“Beliau adalah ahli Ra’am, yang bergabung dengan cawangan Pergerakan Islam di Selatan Israel, dan tidak pernah mempunyai wakil perempuan di Knesset.” – Dipetik dari Times of Israel.
Sebenarnya, sebelum ni Iman pernah dua kali bertanding dalam Pilihan Raya iaitu pada April 2019 dan September 2019. Bagaimanapun, Pilihan Raya 2 Mac lalu nampaknya dah membuatkannya menang dan jadi MP.
Dalam satu laporan media Israel, Iman ada kata yang dia punya kenangan pahit di Israel, khususnya pada tarikh 30 Mac 1976 ketika berlakunya peristiwa ‘Land Day’. Ini kerana, pada tarikh tu dah berlakunya satu demonstrasi besar oleh masyarakat Arab di Israel yang membawa kepada pembunuhan enam orang penunjuk perasaan.
“Kesemua kejadian Land Day berlaku di hadapan saya dan salah seorang daripada orang mati syahid terbunuh semasa Land Day itu adalah sepupu saya. Peristiwa Land Day adalah ingatan politik pertama saya, yang masih kuat hingga ke hari ini.” – Iman Yassin Katib, dipetik dari Times of Israel.
21% dari populasi Israel adalah orang Arab
Berdasarkan statistik, sehingga 1 Januari 2020 – populasi Israel memcecah 9 juta orang dan jumlah tu meningkat sebanyak 17.8% dari sejak tahun 2009. Dari jumlah tu, 74.1% terdiri daripada orang Yahudi dan 21% pula dari keturunan Arab.
Tapi dalam hakikat sejarahnya, pada tahun 1922 – 78% populasi Israel adalah orang Arab dan hanya 11% je orang Yahudi. Bagaimanapun, keadaan tu berubah bila Israel ditubuhkan pada tahun 1948, apabila hampir 300,000 ke 400,000 orang Arab Palestin dipaksa keluar dari Israel.
Dari segi agama pula, majoriti orang Arab di Israel ni bergama Islam (Sunni), tapi masih ada juga yang beragama Kristian dan berfahaman Druze. Walaupun ada jurang antara orang Yahudi dan Arab di sana, masih ada usaha nak merapatkan jurang tu. Antaranya ramai orang Arab dah diterima bekerja sebagai guru, dalam sektor teknologi dan juga diterima masuk dalam tentera.
Tapi masih ada kebimbangan di kalangan orang Arab
Walaupun begitu, kebimbangan masih lagi wujud di kalangan masyarakat bukan Yahudi di sana selepas negara tu meluluskan undang-undang mengisytiharkan Israel sebagai ‘Negara Bangsa Yahudi’. Rang undang-undang itu juga menggugurkan bahasa Arab sebagai salah satu bahasa rasmi negara, dan menjadikannya hanya mempunyai status istimewa.
Israel juga berdepan dengan masalah diskriminasi di antara masyarakat Yahudinya sendiri, seperti yang dialami oleh Yahudi Ethiopia. Ini kerana, mereka bukan saja berdepan dengan masalah perkauman, tapi ada juga yang dinafikan hak untuk membeli atau menyewa hartanah di sesetengah kawasan Israel.
Jadinya, dengan kehadiran Iman dalam Parlimen Israel ni, diharapkan dapatlah dia membela masyarakat Islam dan minoriti di sana.
- 344Share sekarang!
- Email7
- Facebook337
- Share