- 180Share sekarang!
- Email14
- Facebook166
- Share
Dalam pergerakan setiap menteri dan timbalan menteri pastinya dibantu oleh pegawai-pegawai khas yang dilantik mereka. Mereka ini ada tugas tertentu diarahkan oleh menteri mereka sendiri. Namun, nama ‘pegawai khas’ sejak dua menjak ini menjadi busuk kerana beberapa individu.
Sekiranya dulu orang mempertikaikan menteri yang mempunyai terlalu ramai pegawai khas, sekarang ni pegawai khas terpalit dengan isu dadah, arak dan parti liar. Sentimen ini timbul kerana kes tangkapan melibatkan ADUN Dengkil, 4 pegawai khas serta beberapa wanita di sebuah kondo di Jalan Puchong.
Mungkin ramai yang rasa tak puas hati sebab pegawai khas ni lantikan politik tetapi seolah-oleh tak function. Untuk pengetahuan korang, tak semua macam tu. Ini kerana dalam sejarah politik Malaysia, ada beberapa individu yang mempunyai sumbangan tersendiri kepada negara hanya bermula atau pernah bekerja sebagai pegawai khas. Antaranya…
1) Zain Azraai Zainal Abidin – Pegawai Khas Ghazali Shafie sebelum bekerja dengan Tun Razak
Mungkin ramai orang sekarang tak kenal nama ni, Zain Azraai Zainal Abidin. Ketika berusia 17 tahun (1953), dia telah pun melanjutkan pelajarannya ke Universiti Oxford, London. Mencatat sejarah sebagai antara anak Melayu terawal ke universiti berprestij itu.
Melalui pembelajarannya di sana, dia pulang ke tanah air sebagai pemegang Sarjana Ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi. Di samping itu, turut memanfaatkan peluang mempelajari ilmu bidang perhubungan antarabangsa di London School Economics.
Kemudiannya, dia berkhidmat di dalam sektor kerajaan menjadi Penolong Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1959. Kerjayanya semakin meningkat apabila diberi kepercayaan menjadi anggota jawatankuasa penyediaan Laporan Cobbold di London sekitar tahun 1962. Kalau korang ingat, Suruhanjaya Cobbold berfungsi untuk menyediakan cadangan bagi pembentukan Malaysia.
Peranan Azraai Zain sangat besar sebagai setiausaha yang bertanggungjawab bersama-sama Tan Sri Ghazali Shafie, Menteri Luar ketika itu bagi menulis Laporan Cobbold. Sepanjang tahun 1962 hingga 1966, dia dilantik menjadi Wakil Tetap Malaysia di PBB, New York.
Seterusnya, pada tahun 1966, dia menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Luar ketika itu, Ghazali Shafie. Sehinggalah diberi kepercayaan dilantik sebagai Setiausaha Sulit Khas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak.
Kecemerlangan Zain Azraai dalam perkhidmatan kerajaan terbukti dengan pelantikannya sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat, Brazil, Mexico dan Cuba dari tahun 1976 hingga 1983. Jawatan terakhir yang dipegang Zain Azraai adalah sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan yang tamat pada tahun 1986 kerana bersara wajib. Dia telah pun meinggal dunia pada tahun 1996 ketika berusia 60 tahun
2) Megat Junid – 10 tahun jadi Timbalan Dr Mahathir
Untuk orang seterusnya, kita akan bercerita pula tentang Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (allahyarham) – yang juga merupakan salah seorang veteran politik utama di Malaysia. Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Megat Junid memulakan kerjayanya sebagai guru, sebelum menyertai UMNO pada 1972 dan dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Alor Setar.
Bila Dr Mahathir jadi Menteri Pelajaran pada tahun 1974, Megat Junid dilantik sebagai Pegawai Khasnya pada tahun 1975. Setahun lepas tu, Megat Junid dilantik pula sebagai Setiausaha Politik Dr Mahathir sehingga tahun 1984.
Dalam PRU-1982, Megat Junid berjaya masuk ke Parlimen apabila dia menang di kerusi Pasir Salak. Kariernya semakin meningkat bila dia dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO bahagian Pasir Salak dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1984.
Dua tahun lepas tu, Megat Junid dilantik pula sebagai Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang menterinya ketika itu adalah Dr Mahathir. Dia pegang jawatan tu selama 10 tahun sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 1997.
Bagaimanapun, karier politik Megat Junid semakin menurun bila dia tewas dalam PRU-1999, apabila kalah dengan calon PAS di Parlimen Parit. Beliau akhirnya bersara dari politik pada tahun 2001 selepas tewas dengan Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib dalam pemilihan UMNO bahagian Pasir Salak.
Megat Junid meninggal dunia pada 24 Januari 2008 akibat kanser. Dalam sejarah perjalanan politiknya, allahyarham terkenal sebagai orang kuat Dr Mahathir dan tetap kekal setia hingga ke akhir hayat.
“Allahyarham suatu ketika dahulu bekerja di bawah Dr Mahathir dan [perdana menteri itu] merupakan bos kesayangannya.” – Datuk Ziela Jalil, isteri allahyarham. Dipetik dari Projek MM.
3) Dollah Kok Lanas – Dari Pegawai Khas ke tahanan ISA
Insan ini pula nampaknya agak unik sikit dari yang lain. Sebabnya, Tan Sri Abdullah Ahmad atau Dollah Kok Lanas (allahyarham) adalah seorang ahli politik, diplomat, penulis dan juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nama Dollah Kok Lanas tu muncul sebab dia adalah ahli politik UMNO yang berpengaruh di Kelantan, khususnya di kawasan Kok Lanas.
Dilahirkan pada tahun 1933, Abdullah memulakan karier politiknya pada tahun 1962 apabila menjadi Ketua Bahagian UMNO Kok Lanas. Pada tahun sama juga – Abdullah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.
Setahun kemudian, Abdullah dilantik pula sebagai Setiausaha Politik Tun Razak yang dipegangnya sehingga tahun 1974. Seterusnya, dia menjadi Ahli Parlimen dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Tapi, selepas kematian Tun Razak pada 14 Januari 1976 – nasib Abdullah mula berubah.
Sebabnya, 7 bulan selepas itu – Abdullah dah ditahan di bawah ISA oleh kerajaan kerana didakwa terlibat dalam gerakan komunis. Bagi Abdullah, penahanannya tu adalah konspirasi politik individu tertentu yang tak berpuas hati dengannya. Selama 5 tahun berada di ISA, Abdullah sempat tinggal bersama tahanan lain masa tu seperti Dr Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan Abdullah Majid.
Abdullah hanya dibebaskan pada tahun 1981 selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Lepas tu, Dr Mahathir melantik Abddullah sebagai Duta Khas Malaysia ke PBB selama 2 tahun. Pada tahun 2001, Abdullah dilantik pula sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST). Tapi disebabkan satu artikel kontroversinya yang mengkritik pemerintah Arab Saudi, jawatan Abdullah dilucutkan pada 2003.
Sepanjang karier politiknya, ramai pihak yang menganggap Abdullah sebagai orang yang sangat berpengaruh ketika era pemerintahan Tun Razak dan Dr Mahathir. Abdullah meninggal dunia pada 12 Jun 2016 pada usia 83 tahun.
4) Mat Taib – Dari pengajar, pegawai khas menjadi MB Selangor
Siapa yang tak kenal dengan nama ‘Mat Taib’ atau nama penuhnya Muhammad Bin Haji Muhammad Taib. Dari ahli politik UMNO, masuk PAS dan kemudian PKR sebelum masuk UMNO kembali.
Sebelum memasuki dunia politik, dia merupakan pengajar di Sekolah Kebangsaan FELDA Gedangsa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor. Pada tahun 1980, dia naik pangkat apabila dilantik menjadi Penolong Pengarah di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pada tahun tu jugalah dia mula aktif dalam pergerakan politik apabila dilantik menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor. Setahun lepas tu, pada tahun 1981, dia dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu. Itulah kabinet pertama yang dibentuk oleh Dr. Mahathir ketika menjadi PM ke-4.
Pada tahun depannya, dia menjadi calon Pilihan Raya DUN bagi kerusi Batang Kali. Pemilihan yang berlaku pada 22 April 1982 itu menyaksikannya terpilih menjadi ADUN di kerusi tersebut. Langkahnya di dalam politik semakin mendapat kepercayaan sehingga dilantik Menteri Besar Selangor yang ke-7 dari 14 Ogos 1986 hingga 14 April 1997.
Perjalanannya sebagai pemimpin UMNO juga menunjukkan peningkatan sehingga terpilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1987. Seterusnya diberi kepercayaan oleh perwakilan untuk menjadi Naib Presiden UMNO dari tahun 2000 hingga 2003.
Pada tahun 2008 dia dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO dan pada tahun yang sama dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di dalam kabinet Pak Lah dari Mac 2008 hingga 9 April 2009. Zaman kemuncak kepimpinannya di dalam UMNO berakhir sewaktu bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO yang mana dia kalah kepada Muhyiddin Yassin pada tahun 2009.
Apa yang pasti, Pegawai Khas pun ada pengaruh tersendiri
Sebenarnya, menjadi pegawai kepada mana-mana menteri ni boleh dikatakan ada pengaruhnya tersendiri dan boleh membantu seseorang tu mendaki puncak politik. Buktinya ramai di kalangan ahli politik di Malaysia ni pernah jadi pegawai kepada menteri-menteri sebelumnya.
Contohnya macam Khairy Jamaluddin yang pernah jadi Pegawai Khas Pak Lah, Tan Sri Ong Ka Ting (bekas Setiausaha Politik Tun Ling Liong Sik), Datuk Seri Ahmad Maslan (bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Mustapha Mohamed) dan Datuk Seri Azmin Ali (bekas Pegawai Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Tapi dalam keadaan tertentu, mereka ni juga boleh mencalarkan reputasi seseorang menteri atau kementerian tertentu kalau terpalit dalam kes-kes tertentu. Ini mungkin boleh dianggap sebagai salah satu cabaran kepada pegawai-pegawai yang bekerja dengan menteri. Bak kata pepatah: “Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit”.
- 180Share sekarang!
- Email14
- Facebook166
- Share