Cucuk pedang pun boleh kena jangkitan denggi, tapi apa kaitan pedang dan nyamuk?

Memandangkan sekarang ni tengah berlakunya peralihan monsun kat Malaysia, jadi musim hujan kat sekitar Malaysia akan berlaku sampai tahun depan. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan ni akan berterusan sampai Mac 2020 dan lepas tu negara akan mengalami fasa kedua Monsun Timur Laut yang akan berlakunya cuaca kering dan panas.

Dan disebabkan musim hujan yang berterusan berlaku sekarang ni, ia mencetuskan banyak penularan penyakit yang berjangkit. Ia senang nak merebak sebab keadaan persekitaran yang tak bersih menyebabkan kawasan menjadi lembab dan dipenuhi dengan takungan air dan najis terutamanya. Dan dari situ wujudlah penyakit yang mudah berjangkit.

Virus denggi kini boleh tersebar hanya dengan hubungan seksual?

Nyamuk ni popular kat mana-mana je. Imej dari MPSJ

Memandangkan penyakit berjangkit ni senang nak merebak dengan macam-macam cara. Sama ada daripada persekitaran, air, makanan dan jugak perkongsian alat peribadi dengan orang lain. Secara mendalam lagi, hujan dan air takungan yang banyak jugak, tempat bermula merebaknya macam-macam jangkitan. Salah satunya yang kerap berlaku adalah jangkitan denggi daripada gigitan nyamuk Aedes yang mudah membiak melalui takungan air.

Dan apa yang kita tahu kalau kena jangkitan demam denggi ni hanya melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti. Nyamuk tu jugak populasinya sangat banyak kat iklim tropika dan membiak dalam kolam air yang bertakung. Dan direkodkan, ia mampu membunuh 10,000 orang setahun dan virusnya boleh menjangkiti dan tersebar lebih daripada 100 juta orang. Takutnyaaa. ?

Nampak sama tapi bukan dia. Imej dari merdeka.com

Dan jugak jangkitan tu boleh menjangkiti seseorang tu lebih dari sekali seumur hidup seseorang kalau tinggal dekat kawasan jangkitan denggi. Jadi, penyakit tu mudah menular. Tapi, bila sebut pasal demam denggi dan jangkitan denggi ni, baru-baru ni ada kes terkena jangkitan denggi yang disebabkan melalui hubungan seks dengan teman lelaki dia yang mendapat virus tu waktu melancong kat Cuba sebelum tu.

Dan, kes jangkitan denggi melalui hubungan seks ni direkodkan merupakan kes pertama kat Sepanyol. Serta merupakan kes jangkitan pertama jangkitan denggi di dunia melalui hubungan seks yang sebelum ni hanya dikenalpasti tersebar melalui gigitan nyamuk je.

“Pasangannya menunjukkan gejala sama tetapi lebih ringan kira-kira 10 hari terdahulu, dan beliau dijangkiti denggi ketika di Cuba dan Republik Dominica.

Analisis menunjukkan sperma mereka membawa virus itu dan mendedahkan mereka bukan hanya dijangkiti denggi tetapi ia adalah virus sama yang ada di Cuba,” – Susana Jiminez, jurucakap Jabatan Kesihatan Wilayah Madrid, sumber dari Berita Mediacorp. 

Nyamuk ni pun tak agak-agak. GIF dari Giphy

Ia dilaporkan, pesakit tu menghidapi jangkitan penyakit sejak September lepas, tapi bila doktor periksa dan berdasarkan laporan, dia takde pun pergi melancong ke negara yang selalu dilanda penyakit berjangkit tu. Jadi, bila diselidik dan dianalisis, jangkitan virus tu melalui sperma berdasarkan hubungan seks yang dilakukan dengan pasangannya yang baru balik melancong dari Cuba.

Dan berdasarkan laporan, denggi ni sememangnya sangat mudah dijangkiti oleh pelancong yang melancong dan mengunjungi di negara-negara yang bercuaca panas dan kering. Contohnya macam kat sekitar Asia Tenggara, Afrika, Australia, Caribbean, Amerika Tengah dengan Amerika Selatan.

Hubungan seksual tu jugak bukanlah hubungan seksual antara pasangan lelaki dan perempuan tapi di antara pasangan lelaki dan lelaki daripada Madrid, Sepanyol yang salah seorang daripada pasangan tu berumur 41 tahun.

“Untuk pengetahuan kami, ia merupakan jangkitan virus denggi melalui hubungan seksual yang pertama di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.” –  Sumber dari The Telegraph.

Emm mungkin jugak? GIF dari Giphy

6 bilion penduduk dunia akan kena jangkitan denggi tak lama lagi

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan awal tahun hari tu, ia menjangkakan penyakit tu akan tersebar kat seluruh dunia dalam tempoh 60 tahun akan datang. Para pengkaji menjangkakan yang demam denggi ataupun digelar sebagai “break-bone fever” yang menyebabkan sakit sendi ni akan mengancam 60% penduduk dunia, ataupun 6 bilion orang menjelang tahun 2080 nanti.

Kadar peningkatan wabak denggi terbesar akan dijangkakan berada kat Afrika, tapi kebanyakannya akan berlaku kat selatan Amerika Selatan. Negara-negara seperti Australia, selatan Eropah, bandar-bandar besar kat China dan Jepun akan menyaksikan penularan wabak ni dengan sukar untuk dikawal.

Kes denggi kat sekitar Asia dan Amerika. Imej dari The Telegraph

Pada awalnya, iaitu sekitar tahun 1970-an, wabak denggi ni merupakan penyakit endemik yang hanya menular kat sembilan negara je. Tapi disebabkan sekarang ni perubahan iklim dan ekosistem yang semakin berubah dengan drastik, wabak tu dijangkakan menyerang dalam keadaan yang agresif melibatkan semua negara seluruh dunia tak lama lagi.

Bulan Julai hari tu, Bangladesh berdepan dengan penularan wabak denggi yang paling teruk dalam sejarah lepas lebih daripada 1,300 orang didiagnosiskan menghidap jangkitan denggi dalam tempoh 24 jam dalam sebuah hospital yang sama. Dan pada bulan September, Nepal jugak ada bagitahu yang negara tu berdepan dengan tersebarnya wabak yang tak pernah pun melanda negara diaorang sebelum ni.

Cara rawatan kuarantin kat hospital Bangladesh. Imej dari The Telegraph

Walaupun sebelum ni dah ada vaksin yang boleh menyembuhkan dan mengawal wabak denggi ni (Dengvaxia), tapi ia masih tak dapat dibuktikan lagi keberkesanannya secara menyeluruh. Oleh itu, untuk memerangi wabak penyakit ni, India merupakan negara yang dah bersetuju untuk membicarakan dan menggunakan teknik inovatif iaitu dengan mensterilkan nyamuk dengan radiasi. Teknik steril serangga (sterile insect technique [SIT]) yang diperkenalkan menjangkakan berkesan untuk mengawal wabak denggi ni.

Teknik tersebut adalah dengan cara mendedahkan populasi nyamuk jantan kepada sinaran radiasi untuk mensterilkannya. Dan kemudian nyamuk tu dibebaskan tapi ia dah tak mampu dan tak boleh untuk membiak semula. Teknik ni dah digunakan dengan jayanya kat negara Afrika, seperti Senegal, untuk membasmi lalat tsetse yang menyebabkan penularan penyakit berjangkit kat negara tu.

Data jangkitan denggi dari tahun 1990 hingga ke tahun 2017. Imej dari The Telegraph

Kerajaan kenakan kompaun RM1,000 untuk seekor jejentik

Tak kurang jugak dengan situasi kat Malaysia, kes denggi dilaporkan semakin meningkat kat Malaysia. Kat sekitar Lembah Klang, kes denggi ni mencatatkan jumlah kes yang tertinggi sehingga Mei 2019. Dianggarkan 50 juta orang menerima jangkitan denggi yang berlaku setiap tahun kat seluruh dunia. Dan yang paling ketara kat Malaysia, pada tahun 2017, terdapat 177 kematian dan 83,849 kes dicatatkan kat seluruh negara disebabkan wabak denggi.

Oleh itu, sebagai salah satu langkah untuk membendung masalah ni daripada terus berlaku, tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap penduduk yang tak bagi kerjasama dalam aspek kebersihan. Kawasan utama yang memudahkan pembiakan nyamuk Aedes adalah rumah kosong, rumah yang menyimpan banyak barang dan lorong belakang rumah.

“Kompaun ini membuatkan mereka lebih berwaspada dan menjaga kebersihan kawasan kediaman masing-masing.

“Nilai kompaun adalah RM1,000 untuk seekor jentik-jentik dan kita yakin mereka pasti tidak mahu membayar denda yang tinggi semata-mata untuk jentik-jentik,” – Adi Faizal Ahmad Tarmizi, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang, sumber dari BH Online. 

Kes denggi kat Malaysia sekitar tahun 2019. Imej dari Sinar Harian

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)