- 281Share sekarang!
- Email12
- Facebook269
- Share
Tahun depan selain mencapai angka 2020 yang kita idamkan, ia juga adalah Tahun Melawat Malaysia. Sebelum tahun melawat ni tiba pun, dah macam-macam kontroversi timbul. Contohnya isu logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang didakwa diciplak dan juga harapan nak tengok kereta terbang kat KL masih jauh.
Dan sekali lagi, isu Tahun Melawat Malaysia bangkit apabila berlaku sedikit salah faham membabitkan Menteri dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya dalam isu nak bawa masuk pameran firaun ke Malaysia. Ringkasnya, Timbalan Menteri umum kat parlimen, tapi Menteri sendiri tak tahu pasal pameran ni. Akhirnya, Menteri mahu ia diselesaikan untuk dibawa ke kabinet dulu sebab…
Menteri Pelancongan nak bentang kat kabinet sebab mungkin kos insurans mahal
Nak bawa sesuatu pameran antarabangsa masuk ke Malaysia bukanlah semudah itu. Menurut Mohamaddin Ketapi, dia juga tidak tahu macam mana Timbalan Menterinya boleh umum kepada orang ramai sedangkan belum bincang dalam kabinet.
Apa yang menjadi kerisauannya adalah pameran ni selain perlu perbincangan dengan kerajaan Mesir, ia juga akan melibatkan insurans yang mungkin mencapai ratusan juta ringgit. Selain tu, dia juga tertanya-tanya dari mana dana nak dikutip? Sama ada dana awam atau lain-lain?
Jadi, ini mungkin hanya pandangan Timbalan Menteri sahaja. Tapi, kita nak tahu juga kenapa tercetusnya idea nak bawa pameran ni masuk?
“Setiap jelajah pameran melibatkan Ramses II dan Raja Tut selalunya menerima kunjungan pelawat yang tinggi, jadi sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, kami tidak hanya menarik pengunjung tempatan, bahkan pelancong dari negara-negara ASEAN.
Ia salah satu cara menjadikan Muzium Negara sebagai pusat pembangunan kebudayaan untuk semua,”- Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Timbalan Menteri, petikan dari Suara TV
Ingatkan pameran firaun ni akan pamerkan semua firaun, rupanya untuk Ramses II dan Raja Tut je ye. Kenapa pameran dua firaun ni jadi pilihan? Kita mulakan dengan Ramses II.
Ada lebih kurang 300 firaun, Ramses II paling banyak artifak dan ada kaitan dengan beberapa agama
Dalam senarai beratus-ratus Raja Mesir atau Firaun, Ramses II paling banyak meninggalkan tinggalan sejarah. Sebabnya dia memerintah selama 66 tahun dengan mendirikan binaan-binaan yang besar bagi menunjukkan kekuatan dan kehebatan dirinya. Dia memang dikenali sebagai raja yang dah memperbanyakkan aktiviti pembinaan di seluruh Mesir Purba ketika tu. Jadi, tak hairan banyak tugu dan binaan berkaitannya dijumpai para arkeologi.
Menurut pakar sejarah, Ramses II ni jugalah merupakan firaun yang mencabar Nabi Musa seperti yang disebut dalam ajaran beberapa agama. Kiranya, watak Ramses II tu sangat rapat dengan banyak ajaran agama termasuk Islam.
Ramses II juga adalah antara watak penting yang membuat perjanjian damai bertulis pertama di dunia dengan Hattusilis III, Raja Hittites (kini Turki moden) agar kedua-dua kerajaan tidak berperang, tetapi saling bantu membantu.
Kini, batu bersurat perjanjian itu masih tersimpan di Mesir. Manakala, replikanya dah ditempatkan di Ibu Pejabat PBB di New York. Maka, cukup lengkap pengaruh Ramses II ni dari segi seni bina, politik dan agama yang menyebabkan dia begitu terkenal. Jadi, kalau buat pameran pasal dia ni, memang sambutan lain macam.
Lain pula dengan firaun seorang lagi ni…
Raja Tut seorang firaun muda, kisah penemuannya dikaitkan dengan sumpahan maut
Dalam dunia arkeologi dan Egyptology (ilmu kajian sejarah Mesir Purba), Wadi’ Al-Muluk atau Valley of The Kings yang terletak di barat Sungai Nil adalah syurga bagi mereka. Kat situlah, terbenam banyaknya tinggalan-tinggalan kerajaan beberapa generasi Firaun. Pada zaman moden ni, penemuan makam seorang firaun muda, Raja Tutankhamun (Raja Tut) (mati sekitar 1323 SM-1324SM) dah menjadikan tapak arkeologi ni semakin terkenal.
Kalau nak diikutkan, Valley of The Kings ni memang banyak tinggalan, tapi banyak juga yang dah hilang sebelum sempat ditemui kerana dirompak oleh penjarah kubur. Namun, dalam situasi sebegitu, dilaporkan ada satu makam lagi yang masih selamat dan lokasinya kekal misteri. Atas sebab ini, pengkaji Mesir Purba dari British, Howard Carter dah memulakan operasi pencarian bermula tahun 1914 dengan bantuan dana dari Lord Carnarvon.
Selepas 7 tahun tiada sebarang hasil dan hampir dana pencarian dihentikan, seorang budak lelaki tempatan yang bekerja di situ secara tak sengaja menjadi punca penemuan sebuah tangga batu. Dari situ ia membawa kepada penemuan sebuah pintu yang tertulis dengan lambang Tutankhanum. Pelbagai tinggalan milik Tutankhamun ditemui termasuk keranda emas yang terisi tubuhnya yang sudah diawet (mumia). Howard kemudian mengkatalog segala harta karun yang ditemui.
Dari penemuan itu juga, dah membawa kepada jawapan mengenai susur galur Raja Tut yang menjadi misteri selama ni. Dengan ujian DNA yang dibuat terhadap mumia Raja Tut dan 9 mumia firaun lain, akhirnya membuktikan bahawa dia adalah hasil perkahwinan adik-beradik ataupun sesama saudara dalam kalangan keluarga firaun.
Macam yang kita tahu, perkahwinan jenis ini akan merosakkan genetik keturunan. Ia dah memberi kesan kepada Raja Tut sendiri kerana mempunyai kaki yang cacat, sumbing, tulang belakang melengkung dan mempunyai penyakit malaria. Kemerosotoan taraf kesihatan ini juga menjadi punca ia mati pada usia 19 tahun.
Satu perkara lain yang menjadi gosip adalah mengenai sumpahan maut yang ditinggalkan Raja Tut. Ini kerana Lord Carnarvon (pemberi dana pencarian ni) mati selepas beberapa lama memasuki makam firaun tu. Namun, ada teori mengatakan ia mungkin kerana makam tu ada tersimpan bakteria dan kulat berbahaya yang dah terperap lebih 3,000 tahun.
Artifak Ramses II dan Raja Tut mengelilingi dunia dengan lawatan jutaan pengunjung
Pameran Ramses II sebenarnya dah pun mengelilingi dunia. Antara muzium yang kami jumpa buat pameran mengenai Ramses II adalah Muzium Sains Boston, Muzium Sejarah Dallas dan Istana Kalsruhe Jerman. Pameran Ramses II di beberapa muzium melibatkan lebih 70 artifak yang dipinjam dari Muzium Mesir di Kaherah.
Untuk jelajah pameran di sekitar muzium Amerika dari Denver, Jacksonville, Charlotte, Boston, hingga ke Provo, Utah, dicatatkan sudah 3 juta orang yang melawat pameran tu. Kalau difikirkan balik, ramai juga ya datang pameran ni.
Namun, dilaporkan pameran Ramses II taklah sepopular pameran Raja Tut. Dengan kisah penemuannya yang penuh misteri, nampaknya ia lebih mendapat perhatian ramai. Kebiasaannya, Kerajaan Mesir takkan letak pameran Ramses II dan Raja Tut sekali. Kedua-dua pameran akan berada di jelajah antarabangsa yang berasingan.
Untuk pameran Raja Tut, ketika ni ia sedang dipamerkan di Galeri Saatchi, UK dan Komplex Event Hall Budapest, Hungary. Pameran di UK tamat pada Mei 2020 manakala di Hungary akan tamat pada Mac 2020. Sebelum ni, pameran Raja Tut dah menjelajah ke Zurich, Dublin, Brussels, Madrid, Seoul dan Paris dengan kunjungan seramai lebih 6 juta orang.
Macam yang disebut tadi, pameran Raja Tut memang sangat popular dan menarik ramai pengunjung. Ketika pameran ni berjalan di Paris pada Mac 2019 hingga September 2019, ia terpaksa dipanjangkan lagi tempoh selama seminggu kerana menerima kunjungan yang paling ramai dalam sejarah. Dicatatkan ia menerima 1.4 juta pengunjung, kiranya 1.4 juta orang beli tiket.
Muzium Terbesar Mesir akan siap, semua artifak akan kembali ke Mesir dah takkan ke luar negara lagi
Ketika ini, pameran Raja Tut yang diadakan di Galeri Saatchi, UK ada sedikit isu berkaitan harga tiket masuk yang terlalu mahal berbanding ketika di negara Eropah lain. Ia dijual pada harga £37.40 untuk dewasa dan £25.30 untuk kanak-kanak (berumur 4-12 tahun). Mungkin jualan di sana akan terjejas.
Namun, apa yang buat orang ramai tak nak lepaskan peluang kerana selepas tamat jelajah ni pada tahun 2020, segala barang artifak akan dibawa pulang ke Mesir dah takkan keluar ke mana-mana buat selama-lamanya. Ini kerana kerajaan Mesir sedang menyiapkan projek Muzium Besar Mesir di Kaherah yang akan menempatkan artifak-artifak kerajaan Mesir Purba termasuk Ramses II dan Raja Tut.
Kalau nak diikutkan, projek muzium dah mula lama dah serta dijangka dibuka pada tahun 2012, tapi berlaku Revolusi Mesir. Semuanya tergendala dan terus tergendala. Hinggalah buat masa sekarang menerima pinjaman dari kerajaan Jepun, ia sudah 88% siap serta secara rasmi dibuka pada tahun 2020. Maka, selepas ni, nak tengok artifak Mesir Purba kena datang ke Mesir.
Jadi, cadangan kerajaan nak bawa masuk pameran firaun ni memang tak dapat dinafikan pasti akan menarik ramai pengunjung. Tapi, selepas kami mengkaji sedikit pasal pameran ni, ada dua persoalan.
- Bolehkan Malaysia uruskan dua sekali pameran iaitu Ramses II dan Raja Tut kerana ia bukan benda biasa dibuat di muzium lain?
- Mahukah kerajaan Mesir pinjamkan barang artifak Mesir Purba kepada Malaysia jika Muzium Besar Mesir siap pada tahun hadapan?
Korang rasa macam mana? Boleh tinggalkan jawapan korang di ruang komen.=)
- 281Share sekarang!
- Email12
- Facebook269
- Share