- 643Share sekarang!
- Email25
- Facebook618
- Share
Baru-baru ni, Tun Mahathir dah melakukan lawatan rasmi ke Turki yang disambut gilang-gemilang oleh Erdogan dan barisan kabinetnya. Selain menjadi pemimpin ASEAN pertama menerima pingat tertinggi Turki, pelbagai perkara turut diperbincangkan. Apa yang menjadi perhatian adalah idea gabungan tiga negara Malaysia-Turki-Pakistan untuk membangunkan semula tamadun Islam.
Dalam ucapan di sana juga ada disebut oleh Tun M bahawa Malaysia dan Turki punyai hubungan yang rapat sejak dulu lagi. Jadi, kali ni kami SOSCILI nak cerita beberapa hubungan Malaysia-Turki yang ramai tak tau.
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
1) Pejuang kemerdekaan negara mempunyai asal-usul Turki
Dalam sidang media bersama Tun Dr. Mahathir dan Recep Tayyip Erdogan, Tun ada sebut mengenai hubungan Malaysia dan Turki ni memang lama. Sampaikan ada kalangan kepimpinan kemerdekaan terdahulu memupunyai asal-usul Turki.
Bila disemak balik, orang yang dimaksudkan ni adalah Dato’ Onn Jaafar yang merupakan pengasas UMNO. Beliau adalah anak kepada Datuk Jaafar Bin Haji Muhammad yang merupakan Menteri Besar Johor pertama sewaktu pemerintahan Sultan Ibrahim. Beliau juga adalah berketurunan Bugis. Jadi, dari mana datang Turki-nya?
Mungkin ramai tak tahu mengenai ibu kepada Dato’ Onn iaitu Ruqayyah Hannum yang berasal dari Timur Dekat serta berketurunan Turki. Apa yang menarik, dari susur galur Ruqayyah Hannum ni juga lahirnya beberapa ilmuwan hebat negara yang sangat dihormati rakyat Malaysia.
Menurut Prof Ramlah Adam, sebelum mendirikan rumah tangga dengan Datuk Jaafar (bapa Dato’ Onn), Ruqayyah terlebih dahulu berkahwin dengan Ungku Abdul Majid. Dari sini lahirlah Ungku Abdul Hamid yang merupakan bapa kepada Prof Diraja Ungku Aziz yang juga anaknya adalah Tan Sri Zeti Aziz.
Selepas kematian Ungku Abdul Majid, Ruqayyah kemudiannya bernikah dengan Syed Abdullah Al-Attas. Dari sini lahirnya ilmuwan hebat, Prof. Syed Naquib Al-Attas.
2) Kesultanan Melayu dahulu ada hubungan baik dengan Turki, saling bertukar kepakaran
(Bahagian ini banyak merujuk jurnal tulisan Abd Jalil Borham dari Universiti Malaysia Pahang)
Darah keturunan Ruqayyah Hanum yang bertemu dengan Ungku Abdul Majid bertitik tolak dari hubungan rapat Kesultanan Melayu dulu dengan Turki Uthmaniyyah. Sewaktu kerajaan Johor diperintah oleh Sultan Abu Bakar, baginda berkesempatan beberapa kali melawat Khalifah Uthmaniyyah di Istanbul.
“Sebagai tanda ke atas hubungan baik kedua belah pihak, baginda kemudiannya diiktiraf sebagai Sultan Johor oleh Kerajaan Uthmaniyyah Turki mulai 13.02.1886. Baginda memakai gelaran sultan dengan gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah.”
Selain tu, baginda turut dikurniakan dua orang wanita iaitu Khadijah Hanum yang bernikah dengan Sultan sendiri dan juga Ruqayyah Hanum yang bernikah dengan Ungku Abdul Majid yang merupakan adinda baginda sendiri. Macam yang disebut kat atas tadi, maka bermulalah susur galur keturuanan berdarah Turki yang melahirkan tokoh-tokoh negara.
Hubungan antara dua kerajaan ni bukanlah sekadar perkahwinan sahaja. Status Sultan Abu Bakar sebagai Sultan Johor dah diiktiraf sendiri oleh Turki Uthmaniyyah. Beberapa lawatan baginda ke Istanbul dilakukan lagi pada tahun 1866, 1879 dan 1893. Pada tahun 1894, Kapal Perang Attughrul dari Turki dah mendarat di Istana Besar Johor.
Kedua-kedua kerajaan juga saling berbalas pemberian pingat kebesaran. Sebagai contoh, pada 22 Februari 1893, Sultan Abu Bakar dan Dato’ Abdul Rahman Bin Andak dah melawat dan berjumpa Sultan Abdul Hamid ke-II di ibu kota khilafah tersebut. Baginda dan pengiringnya dah dikurniakan bintang-bintang kebesaran Darjah Utama Khilafah Uthmaniyyah. Pada tahun 1904 pula, pegawai khilafah Uthmaniyyah dah dikurniakan bintang kebesaran Kerajaan Johor.
Hubungan ni juga dah membawa kepada perkongsian kepakaran dan ilmu antara kerajaan. Raja Ali Kelana dari Riau dah dilantik menjadi Syeikh Al-Islam yang merupakan jawatan lebih tinggi berbanding mufti kerajaan. Beliau dah dihantar ke Turki Uthamaniyyah untuk mendalami undang-undang amal Islam pada tahun 1883, 1895, 1899 dan 1913.
Hal pertukaran ilmu bukan sahaja dalam kalangan pemerintah, malah, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor mempunyai persamaan dengan Maktab Uthmani di Turki. Kitab-kitah rujukan yang digunakan sekolah agama Johor adalah terjemahan kitab-kitab di Maktab Othmani Turki.
3) Penulis Melayu dulu boleh menulis Hikayat mengenai Turki secara terperinci walaupun jauh
(Bahagian ini banyak merujuk jurnal tulisan Ermy Azziaty Rozali dari Universiti Kebangsaan Malaysia)
Masyarakat Melayu memang dari dulu lagi sentiasa ambik tahu pasal Turki, terutamanya pada zaman Turki Uthmaniyyah. Ini terbukti apabila wujudnya manuskrip lama Hikayat Perang Setambul tahun 1897 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda dan School Oriental and African Studies.
Begitu juga, Hikayat Perang Setambul tahun 1902 yang terdapat di British Library Oriental, Indian Office Collection dan Universiti Malaya. Kesemua versi ni dicetak oleh Haji Muhammad Said Haji Muhammad Arsyad kat Singapura.
Secara ringkasnya, hikayat ni mengisahkan mengenai peperangan antara tentera Turki Uthamniyyah yang bergabung dengan British dan Perancis melawan Rusia. Punca peperangan bermula apabila berlaku pergaduhan antara orang Islam dan orang Rusia di Palestin.
Orang Rusia dah mempersenda orang Islam yang menunaikan solat Jumaat. Ia membawa kepada pergaduhan, rampasan harta-benda dan anak bini. Kemudiannya, paderi Rusia dah bawa perutusan kepada Raja Nicholas I (Raja Rusia) yang membawa kepada pembunuhan orang Islam serta masjid diruntuhkan.
Berita ni sampai kepada Sultan Abdul Majid I yang merasa murka dan saling berbalas surat amaran dengan Raja Nicholas I. Pada masa sama, Duke of Cambridge mencadangkan Ratu England, Queen Victoria supaya mendamaikan kedua-duanya melalui surat.
Namun, Raja Nicholas I menolak yang menyebabkan British dan Perancis menyokong Turki Uthmaniyyah. Peperangan dah berlaku yang berkahir dengan kemenangan kepada Turki Uthamaniyyah yang juga berjaya menawan Kota Bucharest.
Hikayat ni sendiri sebenarnya dah menunjukkan kemampuan penulis Melayu menggambarkan sendiri peperangan antara Turki Uthmaniyyah dengan Rusia. Ini juga menunjukkan keprihatinan orang Melayu kepada Turki Uthamniyyah dengan menulis secara terperinci nama-nama tokoh yang terlibat dalam peperangan.
Sekali pun, dunia Melayu jauh dari Turki ketika tu, usaha penulisan ni membuktikan minat, perasaan ingin tahu orang dan mengambil berat orang Melayu terhadap Turki dahulu kala.
Selain hikayat ni, ada satu lagi hikayat terkenal iaitu ‘Hikayat Peperangan AlMaulana Sultan Istanbul Yang Bernama Abdul Hamid Khan Ibni Almarhum Al-Maulana Abdul Majid Khan Ghazi Dengan Raja Rushin Yang Bernama Francis Alexander’.
Hikayat ni disalin oleh Muhamad Saman Bin Haji Muhamad Amin yang merupakan seorang majistret di Balik Pulau pada 16 September 1896. Kisah dituliskan berdasarkan sumber lisan seorang Turki yang bernama Ahmad Efandi yang pernah datang ke Pulau Pinang pada tahun 1877.
4) Majalah Melayu tahun 1920-an saling berkonflik pendapat mengenai penubuhan Republik Turki
(Bahagian ini banyak merujuk jurnal tulisan Abu Hanifah Haris dan Mohammad Redzuan Othman)
Sebelum ni kami ada sebut, bahawa masyarakat Melayu dulu memang dah ambik tau pasal Turki Uthmaniyyah melalui hikayat. Apa yang menarik, sikap ambil tahu ni tak lah terhenti apabila jatuhnya Uthmaniyyah pada tahun 1924 dan naiknya negara Republik Turki yang dipimpin Mustapha Kemal sekitar tahun 1920-an.
Sewaktu Mustapha Kemal mengambil alih pemerintahan, pelbagai perubahan yang dibuat yang semestinya mendapat kritikan positif dan negatif. Pada tahun 1920-an di Tanah Melayu pula, kegiatan persuratkhabaran dan permajalahan Melayu tengah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Ia juga turut menjadi begitu hangat dengan isu pembaharuan yang berlaku di Turki.
Isu-isu yang menampakkan pertembungan pendapat dalam akhbar dan majalah Melayu adalah mengenai undang-undang yang mewajibkan pemakaiaan pakaian ala Barat, penggunaan tulisan Latin menggantikan tulisan Arab, terjemahan dan tafsiran al-Quran dalam bahasa Turki, pemansuhan pelbagai ajaran Islam serta kebebasan kepada wanita.
Contoh pertembungan hangat berlaku adalah antara majalah Al-Ikhwan, Saudara dan Pengasoh. Majalah Al-Ikhwan dan Saudara yang mewakili Kaum Muda banyak menyatakan sokongan terhadap pembaharuan yang dibuat Kemal dikala negara Islam lain mundur ketika itu. Akhbar Saudara dia punya sokongan sampai menganggap Kemal sebagai Imam Mahdi yang dibangkitkan Allah.
Ini berbeza pula dengan majalah Pengasoh yang banyak mengeluarkan artikel mengkritik pembaharuan yang Kemal di Turki. Sikap berbeza antara majalah ni akhirnya menimbulkan konflik apabila kerajaan Kelantan menghalang edaran majalah Al-Ikhwan dan Saudara. Waktu ni majalah Al-Ikhwan rasa tak puas hati lalu mengkritik majalah Pengasoh sebagai…
“…semakin tirus umpama tirus ekor daripada kepala”
Kemuncaknya berlaku apabila majalah Al-Ikhwan tak nak mengkafirkan rakyat Turki kerana pembaharuan Kemal walaupun dicabar majalah Pengasoh. Tindakan ni menyemarakkan lagi perselisihan antara kedua-dua majalah yang memang dah ada sejak sekian lama.
Idea pembinaan semula tamadun Islam melalui Malaysia dan Turki mendapat perhatian
Sejarah membuktikan bahawa Turki ni mempunyai pengaruhnya tersendiri kepada Malaysia. Sejak dulu lagi kita mengambil berat dan melakukan kerjasama dalam beberapa perkara. Kenyataan Erdogan dalam mempertahankan beberapa isu umat Islam juga sentiasa mendapat perhatian pemimpin dan NGO di Malaysia. Kita juga sama macam nenek moyang kita yang ambil tahu pasal Turki.
Turki dalam masa sama juga mengagumi Malaysia dalam beberapa hal. Idea gabungan tiga negara antara Turki, Malaysia dan Pakistan untuk membina semula tamadun Islam dan mereformasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah sangat menarik untuk kita lihat pada masa akan datang. Pastinya ia akan menghidupkan semula kemegahan dunia Islam yang sudah lama senyap membisu.
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
- 643Share sekarang!
- Email25
- Facebook618
- Share