- 656Share sekarang!
- Email20
- Facebook636
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
Mungkin ramai yang tak perasan. Tapi buat masa ni, perbicaraan lanjut kes pembunuhan Kim Jong-Nam, iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang mati pada tahun 2017 tengah berlangsung.
Tak cukup dengan tu, tuduhan terhadap Aisyah je yang gugur, menjadikan Doan sebagai satu-satunya suspek yang tinggal, di mana ada kemungkinan yang dia akan mendapat hukuman mati mandatori jika didapati bersalah. Perkara ni agak mengejutkan sebab…
Kedua-dua wanita tu didakwa atas perkara yang sama, secara berasingan
Bagi korang yang tak tahu apa yang berlaku, kita recap sikit. Pada pagi 13 Feb 2017, Kim Jong-Nam berada di KLIA2 untuk penerbangan balik ke Macau. Masa dia berada di meja check in, dia dilaporkan diserang oleh dua wanita, tapi ada laporan yang berlainan tentang apa yang terjadi, orang ramai percaya yang mereka menggunakan senjata kimia terlarang yang dipanggil VX yang ditekup pada muka Kim Jong Nam.
Walaupun dia berjaya mendapatkan rawatan dari sebuah klinik di lapangan terbang, tapi tu tak mencukupi, di mana dia terpaksa dipindahkan ke hospital. Dia mati dalam perjalanan ke sana. Berdasarkan rakaman CCTV, Doan ditangkap pada hari berikutnya, dan beberapa hari kemudian Siti Aisyah pula ditangkap. Sebelum kejadian tu, Siti merupakan seorang tukang urut di KL, manakala Doan adalah seorang pelakon.
Semasa prosiding, mereka mengekalkan pengakuan yang mengatakan mereka dibayar untuk prank orang bagi rancangan TV realiti, oleh orang-orang Korea Utara. Malah, peguam Doan juga ada bawa bukti yang Doan memang ada ambil bahagian dalam video prank untuk YouTube masa dia masih di Vietnam lagi. Siti pula memang pernah buat prank juga sebelum ni di mall, dan dia dibayar oleh salah seorang daripada orang Korea Utara.
Walaupun begitu, hakim nampaknya tak terima hujah tu kerana beberapa sebab. Salah satunya adalah kekurangan kru yang bersembunyi, dan juga tak ada cubaan untuk menunjukkan target tu sebagai satu jenaka, macam prank yang biasa dilakukan. Malah, antara hujah balas yang paling kuat adalah kenapa kedua-dua wanita tu dilihat bergegas ke tandas lepas insiden tu, sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan teksi.
Menurut hakim, itu menunjukkan kedua-dua wanita tersebut tahu yang cecair di tangan mereka adalah toksik. Pendakwa juga menyatakan yang prank selalunya melibatkan elemen humor, tapi bukti video menunjukkan yang tertuduh tak ketawa pun semasa, dan selepas serangan tu.
“Ia adalah pembunuhan, di mana pembunuhan itu dirancang dengan teliti dan dilaksanakan. Elemen agresif hadir dan ini hanya sepatutnya menafikan kewujudan prank… itu bukan prank dan mereka tahu apa yang mereka lakukan, “- Petikan penyerahan tertulis pendakwaan, seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia.
Ada yang merasakan Aisyah dibebaskan sebab… tekanan dari Indonesia?
Jadi pada hari Isnin (11 Mac) lalu, pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada mahkamah yang mereka menerima arahan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah, dengan mengatakan keputusan tu dibuat berdasarkan ‘beberapa perwakilan’ yang tak diulas lanjut.
Permohonan telah difailkan untuk menggugurkan tuduhan pembunuhan terhadap Aisyah, dan hakim memberikan pelepasan tapi bukan pembebasan, yang bermaksud walaupun dakwaan terhadap Siti Aisyah dah digugurkan, tapi bila-bila masa je dia boleh dipanggil semula untuk menyambung kembali perbicaraan kalau ada bukti baru.
Sejurus selepas pembebasannya, Aisyah diescort ke kenderaan Kedutaan Indonesia di luar mahkamah dan kembali ke Jakarta pada hari yang sama, di mana pelepasannya mendapat liputan besar dari berita Indonesia, dan di sinilah ia menjadi menarik. Rupa-rupanya, kerajaan Indonesia dah lama ‘melobi’ keras untuk pelepasan Aisyah, di mana Presiden Indonesia, Joko Widodo dikatakan telah mengarahkan kerjasama erat dengan beberapa menteri dan kerajaan sejak kes tu berlaku.
Yasonna H Laoly, Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Indonesia yang mengiringi Aisyah kembali ke Jakarta, mengatakan pembebasan Aisyah setelah dua tahun penjara adalah hasil diplomasi peringkat tinggi oleh kerajaan Indonesia, termasuk pertemuan dengan Dr Mahathir, Perdana Menteri, serta Tommy Thomas, Peguam Negara. Dia juga mengatakan pelepasan Aisyah adalah disebabkan kekurangan bukti untuk menyokong dakwaannya.
“Selepas mengkaji kes itu dengan teliti, kami menghantar surat kepada Peguam Negara Malaysia dan bertemu dengannya dan Perdana Menteri Mahathir pada Ogos lalu. Cik Aisyah telah ditipu dan tidak ada kesedaran sama sekali bahawa dia digunakan sebagai alat oleh perisikan Korea Utara, “- Yasonna H Laoly, seperti dilaporkan Reuters.
Juga, terdapat surat laporan oleh Thomas bertarikh 8 Mac, di mana ia memaklumkan bahawa Malaysia telah bersetuju dengan permintaan Indonesia untuk menggugurkan tuduhan terhadap Aisyah. Joko Widodo telah dilaporkan menghubungi Dr Mahathir untuk meminta Aisyah dibebaskan, dan dengan pilihan raya umum Indonesia yang semakin hampir (17 April ni), ada yang risau kalau Jokowi mungkin menggunakan pelepasan Aisyah untuk meningkatkan sokongan terhadapnya.
Walaupun kes ni dah pun dimaklumkan berita, Dr Mahathir sendiri menyatakan yang keputusan untuk menggugurkan dakwaan Aisyah tu adalah selaras dengan undang-undang, dan dia tak menyedari tentang rundingan antara Indonesia dan Malaysia mengenai isu itu.
“Terdapat undang-undang yang membenarkan pertuduhan ditarik balik. Inilah yang berlaku. Saya tidak tahu secara terperinci alasannya, “- Dr Mahathir, seperti dilaporkan Jakarta Post.
Mmmm mmm mmm. Tak kisahlah apa pun sebab Aisyah ni dibebaskan…
Keputusan yang tak konsisten ni, perlulah Peguam Negara jelaskan
Jadi, lepas Aisyah dibebaskan pada hari Isnin, Vietnam nampaknya meminta supaya Doan Thi Huong juga dilepaskan. Bagaimanapun, pada hari Khamis, Peguam Negara menolak permintaan tersebut menyebabkan Doan stress melampau dan break down, sehinggakan dia dihantar ke hospital untuk rawatan psikiatri.
Peguam Doan, Hisyam Teh memberitahu mahkamah yang penolakan tersebut adalah ‘kejam’ dan merupakan satu kes diskriminasi, yang memihak kepada hanya satu pihak. Ini kerana kedua-dua suspek telah dituduh dengan jenayah yang sama, dan mahkamah telah menemui bukti yang mencukupi terhadap kedua-dua kes tersebut yang tak boleh digugurkan (prima facie).
Dia juga berkata yang penolakan tu tak menggambarkan sistem keadilan jenayah negara kita dengan baik.
“Ia sangat jelas bahawa Peguam Negara telah memihak kepada salah satu pihak di mana perlu diingatkan, mahkamah ini telah menemui kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Kedua-duanya telah menyatakan bahawa mereka melakukan prank video.
Kedua-duanya mengekalkan pengakuan, mereka dijadikan kambing hitam oleh Korea Utara, “- Hisyam Teh Poh Teik, seperti dilaporkan the Star.
Naib Presiden MCA, Mah Hang Soon, telah mengibaratkan pembebasan Aisyah sebagai satu ‘kekecohan’, mendakwa yang kebebasan Pejabat Peguam Negara dan pendakwaraya sekali lagi dianggap tercalar. Chan Quin Er, jurucakap MCA, tertanya-tanya sama ada keutamaan untuk sesuatu bangsa dan agama tertentu mendorong keputusan tu, memandangkan kedua-dua kerajaan Vietnam dan Indonesia telah menghubungi Malaysia berhubung rakyat mereka yang dituduh.
Ramkarpal Singh, seorang peguam serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata keputusan Peguam Negara untuk tidak menarik balik pertuduhan terhadap Doan adalah ‘membingungkan’, dan ia menimbulkan persoalan mengenai kuasa AG.
“Saya berpendapat bahawa pertuduhan terhadap Doan sepatutnya digugurkan dengan cara yang sama seperti yang dah digugurkan terhadap Siti Aisyah, jika Peguam Negara (AG) berpendapat bahawa Korea Utara terlibat dalam pembunuhan Jong-nam.
Menyabitkan Doan untuk pendakwaan lebih lanjut dan bukannya tertuduh bersama, terutamanya apabila kes prima facie didapati terhadap kedua-duanya, dengan hormat, tidak pernah berlaku, dan amat dikesali, “- Ramkarpal Singh, kepada the Star.
George Varughese, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia sebelum ni, mempunyai satu spekulasi bahawa Peguam Negara mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tak mendedahkan alasan di sebalik keputusannya. Tapi seperti Fareed, dia mengatakan adalah baik bagi Peguam Negara untuk memberikan alasannya untuk menjatuhkan tuduhan itu, untuk mengelakkan spekulasi.
“Ia mungkin menjejaskan prosiding ini jika dia membocorkannya. Saya tidak tahu. Saya juga berspekulasi di sini. Seperti yang saya katakan, itu hak prerogatifnya, “- George Varughese, kepada the Star.
Peguam Doan serta kerajaan Vietnam mengatakan yang mereka akan memohon pertuduhan Doan untuk digugurkan semula, dan perbicaraan tu dijangka berterusan pada 1 April. Tapi macam yang kita bagitahu sebelum ni dalam artikel lain mengenai pertempuran undang-undang berprofil tinggi di Malaysia, baru-baru ni kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman telah terhakis, di mana mereka dikatakan telah dimanipulasi oleh kuasa yang tak kelihatan untuk melakukan perkara-perkara pelik bagi faedah beberapa orang terpilih.
Khabar angin tentang badan kehakiman yang ditekan untuk menggugurkan tuduhan oleh kuasa asing, jika tak ditangani secepat mungkin, akan menjatuhkan reputasi sistem undang-undang kita. Terutamanya sejak kes ni yang dah menarik perhatian global, melibatkan orang dari sekurang-kurangnya empat negara yang berbeza.
Macam apa yang George Varughese dan presiden Majlis Peguam Negara semasa, Abdul Fareed Abdul Ghafoor cadangkan, Peguam Negara perlu menjelaskan ketidakselarasan tu supaya orang awam berhenti membuat spekulasi sendiri. Buat masa ni, masih belum ada penjelasan yang dilakukan bagi pihak yang terlibat.
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
- 656Share sekarang!
- Email20
- Facebook636
- Share