- 2.1KShare sekarang!
- Email4
- Facebook2.1K
- Share
(Sebelum tu, korang boleh sertai group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia untuk dapatkan lagi banyak info pasal berita palsu)
Baru-baru ni ada satu sesi bual bicara mengenai “Vaksin: Pelindungan atau Kemudaratan?” yang jadi tular disebabkan panel jemputan yang tidak menyokong vaksin tu adalah seorang doktor. Dan dalam slot bual bicara tu, doktor tu ada sebut yang bahan dalam vaksin ni boleh menyumbang kepada risiko penghidap sindrom autisme bagi kanak-kanak. Tapi betul ke tu?
Ada juga viral kat media sosial mengenai anak kepada pelakon yang penghidap autisme dah cederakan pelakon tu dengan menghentak bahu dia. Bila tengok video tu rasa kesian sebab golongan yang istimewa macam ni, susah nak berkomunikasi dan dia express kan melalui cara-cara yang macam tu lah sebab dia tak mampu nak kawal emosi dia.
Tapi sebelum kita sembang panjang lagi, korang tahu tak sebenarnya ada penghidap autisme dari Malaysia dah pernah dapat pengiktirafan dari Barack Obama sebab karya dia yang menarik? Mesti korang tak perasan kan. Jadi,kalini Soscili nak cerita pasal kanak-kanak yang dah berjaya dapat pengiktirafan dari Barack Obama dengan karya-karya dia yang menarik tu.
Secara tak sengaja dia berjaya pamerkan karya dia satu dunia
Ada satu kajian saintifik bagitahu dan nyatakan hampir 10% kanak-kanak yang menghidap sindrom autisme ni mempunyai keupayaan luar biasa dan berbakat tinggi berbanding hanya 1% dalam kalangan kanak-kanak normal dan biasa. Terkejut kan?
Bila kita cakap pasal keupayaan dan bakat ni, jomlah kita sembang dan kita kenal siapa yang dah berjaya dapat pengiktirafan dari bekas presiden US, Barack Obama dan karyanya berjaya dipamerkan kat luar negara. Jadi betullah kajian saintifik tu kata yang kanak-kanak autisme ni lebih berbakat. Meh baca sampai habis.
Kalau kita tengok dan semak balik dekat seluruh dunia, ramai je penghidap autisme ni yang dah berjaya. Diaorang yang ada bakat dan ada kemahiran yang luar biasa yang susah nak ditandingi golongan normal dah berjaya dapat penghormatan dari ramai orang. Tapi tak kurang juga penghidap autisme kat Malaysia. Golongan istimewa ni dah berjaya bina nama dia kat peringkat antarabangsa dengan bakat istimewa dia tu.
Kalau ikuti kisah penghidap autisme yang dapat pengiktirafan dari Barack Obama ni, dia pernah mengalami situasi yang orang selalu perlekehkan dia dan dipinggirkan. Nama dia Delwin Cheah Wien Loong yang berasal dari Penang. Dia disahkan menghidap autisme waktu dia umur 5 tahun sebabnya dia tak boleh cakap macam kanak-kanak biasa sampailah umur dia 8 tahun.
Tapi disebabkan karya seni dia yang special tu, dia dapat pengiktirafan dari Barack Obama dan juga Ratu Elizabeth II. Lukisan yang dihantar tu bertajuk ‘I Can Draw’ yang jadi lukisan yang dipamerkan waktu pameran solo dia yang pertama. Dalam surat tu Obama puji usaha Delwin dan dia boleh membina masa depan yang cerah.
Dia mula melukis waktu umur dia 3 tahun. Tapi sebenarnya bakat tu secara kebetulan je. Kebetulan yang macam mana pulak tu? Ayah dia Lawrence Cheah ada bagitahu yang dia mula melukis secara tak sengaja.
Waktu tu dia tengah mengamuk dan tak dapat nak kawal emosi dia, jadi bila ayah dia tak dapat nak kawal situasi tu, ayah dia pun keluarkanlah satu kertas dan start melukis depan Delwin ni. Dan sejak dari tu Delwin terus suka melukis sebab dia tertarik dengan lukisan ayah dia.
Tapi apa yang dia lukis tu semua bertemakan binatang. Dan kat situ semua dapat tahu lah yang dia ni memang minat binatang tapi dia ekspresskan minat dia tu menerusi lukisan-lukisan dia. Ayah dia ada juga bagitahu yang dia memang suka tengok dokumentari National Geographic pasal binatang dari kecil lagi.
Jadi dari situlah karya dia jadi berkembang. Dan apa yang bestnya lagi, dia melukis tanpa menggunakan pemadam! Lukis-lukis terus jadi. Kalau kita la agaknya dah berapa kali la padam, dengan tukar kertasnya lagi. Guna gajet pun kena try banyak kali.
Buat pameran dan dapat Malaysia Book’s of Record serta rekod bertaraf dunia
Lukisan dia ni hanya hitam putih, tak ada warna sebab dia guna pen dengan pensil je. Lepas dia dah banyak melukis, family dia pun buat satu inisiatif untuk bagi semangat kat dia supaya golongan macam ni boleh ekspresskan dan ketengahkan bakat mereka. Jadi sebab tu lah dia buat pameran lukisan dia kat merata tempat. Pameran lukisan pertama dia waktu umur 10 tahun dekat Living Essenze kat Penang.
Sebenarnya Delwin ni dah pernah tersenarai dalam Malaysia Book’s of Record sebagai pelukis termuda yang banyak buat pameran seni secara solo. Dan pada 2014 dia tersenarai lagi dalam Malaysia Book’s of Record sebab ada personaliti yang luar biasa dalam kategori seni juga. Dia juga diiktiraf sebagai Artis Autistik Berpendidikan Tinggi paling muda di dunia yang mengadakan pameran seni secara solo oleh Record Setter, Amerika Syarikat pada 28 April, 2013.
Delwin juga dah diiktiraf oleh Strokes of Genius USA yang di mana organisasi ni mengiktiraf karya golongan autism. Dan banyak lagi anugerah bertaraf antarabangsa yang dia pernah dapat. Wowww! Lukisan dia juga pernah digunakan sebagai backdrop rancangan TV Chef Nic dan lukisan dia juga dapat kolaborasi dengan WWF (World Wide Fund for Nature; P/S bukan wrestling ye).
Pernah waktu kat sekolah dulu Delwin disuruh balik oleh cikgu dia sebab tak boleh handle perangai dia. Cikgu dia cakap yang dia ni langsung tak ada potensi dalam melukis tapi tengoklah kat mana dia berada sekarang!
Bila kita tengok kejayaan dia dan konsistensi dia ni, memang boleh tabik hormat lah. Siapa sangka kanak-kanak yang lagi kecil dari usia kita pun dah mampu dapat pengiktirafan orang ternama, golongan normal macam kita pun belum tentu boleh capai sampai tahap macam tu. Hebat!
Ada yang cakap vaksin salah satu punca Autisme, betul ke?
“(Pergerakan anti-vaksin) bermula semula, apabila pelakon Jenny McCarthy mendakwa vaksin telah menyebabkan anaknya menghidap autisme. Tanpa soal selidik, fahaman anti vaksin ini diambil serta ditokok tambah dengan pencarian yang tidak bertauliah di internet.
Sedangkan di Denmark sahaja, mereka menggunakan dua juta kanak-kanak untuk mengkaji mengenai autisme yang mana hasil kajian mendapati risiko autisme boleh terjadi kepada kanak-kanak yang divaksin ataupun tidak.” – Datuk Dr Musa Mohd Nordin, Perunding Pediatrik dan Neonatologi di KPJ Damansara Specialist, dipetik dari Astro Awani.
Menurut laporan Utusan dari tahun 2016, suatu kajian ke atas 480 laman web anti vaksin telah mendapati bahawa 65 peratus daripadanya mengatakan bahawa vaksin sangat bahaya, manakala 62 peratus mendakwa bahawa vaksin menyebabkan autisme. Dan sebagai bukti, 65 peratus daripada laman web ni telah menggunakan kajian saintifik tanpa perincian manakala 30 peratus lagi hanya bergantung kepada testimoni.
Ada juga pendakwah anti-vaksin yang menggunakan kajian saintifik untuk menyokong hujah diorang, iaitu kajian oleh seorang bekas doktor bernama Andrew Wakefield yang diterbitkan dalam journal Lancet pada tahun 1998. Namun, kajiannya telah pun ditarik balik oleh journal tersebut, atas sebab berat sebelah dan tidak berwibawa kerana hanya menggunakan jumlah 12 kanak-kanak sebagai bukti hasil kajiannya, manakala kajian saintifik yang boleh dipercayai patutnya berdasarkan jumlah subjek dalam bilangan berpuluh ribu.
Di samping itu pula, suatu kajian selidik yang dilakukan di Kedah telah mendapati bahawa sebanyak 76 peratus kes penolakan vaksin telah berlaku atas sebab keraguan status halal vaksin. Pendapat ini telah ditentang habis-habisan oleh golongan mufti negeri-negeri Malaysia, termasuklah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, yang berkata bahawa ibu bapa yang menolak vaksin boleh dianggap berdosa kerana membahayakan anak-anak mereka, serta juga Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengatakan bahawa penggunaan vaksin adalah diharuskan oleh Syarak.
Oleh itu, semua orang kena lah tahu dan ambil peduli juga pasal hal-hal yang macam ni, dan lagi penting adalah kita kena rujuk pakar yang mahir bidang-bidang dan bertauliah dalam bab macam ni. Jangan pula ada tanggapan yang salahkan perubatan dan medikasi contohnya macam vaksin dengan hanya mendengar cakap pihak-pihak yang tiada pun apa-apa kelayakan dalam bidang ni.
“Ada pihak yang lebih berminat untuk menyalahkan vaksinasi. Kononnya pengambilan suntikan vaksin menjadi penyebab utama autisme. Golongan jahil pengetahuan ini melarang dan berkempen kepada masyarakat supaya menjauhi vaksin, sedangkan tindakan itu bukan saja berbahaya kepada anak mereka, bahkan mengancam masa depan jutaan kanak-kanak lain.” – Dr Ahmad Rostam, pakar psikiatri, sumber dari MyMetro.
Perlu ada sikap prihatin dan timbang rasa terhadap golongan penghidap autisme
Sebenarnya masyarakat yang tak ada masalah macam ni kena tahu benda basic tentang golongan penghidap autisme supaya dia tak dipinggirkan. Satu lagi, kita pun perasan dah banyak persatuan yang ditubuhkan untuk membela nasib golongan macam ni antaranya NASOM (The National Autism Society of Malaysia). Kita boleh je tanya untuk dapat pengetahuan yang lagi mendalam dan boleh report kalau ada orang gunakan golongan macam ni sebagai mangsa ke buli ke.
Dan apa yang penting, kita sebagai masyarakat perlu pelihara hak mereka dan jadi lebih prihatin, sokong minat golongan ni supaya mereka tak rasa dipinggirkan contohnya ada yang tubuhkan Autisme Cafe Project untuk latih golongan begini untuk berdikari. Tu lah yang seeloknya.
“Kita perlu buang pandangan sinis masyarakat terhadap golongan istimewa ini kerana sudah tiba masanya mereka diberi peluang untuk menikmati apa yang kita semua nikmati.” – Mohd Adli Yahaya, Autisme Café Project, sumber dari RojakDaily.
- 2.1KShare sekarang!
- Email4
- Facebook2.1K
- Share