- 2.1KShare sekarang!
- Email15
- Facebook2.0K
- Share
Kanak-kanak ni kalau sekali tengok, memang hilang perasaan stress. Walaupun diorang kadang-kadang buat kita lagi stress dengan kenakalan diorang, tapi pada akhirnya mesti kita akan rasa tenang bila tengok muka diorang yang comel. Sejak akhir-akhir ni makin banyak pulak berita yang tak enak tentang kanak-kanak – kitorang pun tak sangka ada orang yang macam takde hati dan perasaan yang sanggup lakukan benda-benda kejam kat kanak-kanak.
Baru-baru ni negara kita dikejutkan apabila ada seorang budak yang hilang didapati meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan. Budak tu dilaporkan hilang selama 11 hari, dah puas orang kampung cari dan akhirnya dia dijumpai dalam keadaan yang tak terbayang dek akal. Hari ni kitorang nak sembang tentang beberapa kes yang tak terbayang dek akal jugaklah kiranya.
Kitorang mulakan dengan…
1. Kanak-kanak ditemui dalam keadaan kepala dan badan dah terpisah
Satu negara kecoh bila seorang kanak-kanak dilaporkan hilang, macam kitorang dah cakap awal-awal tadi, dia hilang selama 11 hari. Selepas pihak polis dan penduduk kampung bertungkus-lumus membantu untuk mencari Siti Masitah Ibrahim ni, akhirnya dia ditemui dalam keadaan yang tak bernyawa. Dia dijumpai lebih kurang 4 kilometer dari rumahnya, dipercayai mati kerana dibunuh.
Apa yang lebih mengerikan, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tangan diiikat dan tanpa seluar. Mayat yang ditemui tu sukar untuk dikenalpasti, tapi ibu Siti Masitah yakin yang tu anak dia berdasarkan baju yang dipakai.
“Saya mengecam baju pada mayat itu kerana baru seminggu saya membelinya untuk Siti Masitah. Saya juga melihat tangan mayat itu diikat dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” – Solihah Abdullah, ibu mangsa, dipetik dari UTUSAN
Setakat ni, polis ada tahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat kanak-kanak perempuan ni. Kalau korang nak tahu, rupa-rupanya kanak-kanak ni takde dokumen pengenalan diri, dan warga Kemboja. Nampaknya lelaki yang ditahan tu pun takde dokumen, sebab tu dia tengah disiasat dibawah Akta Imigresen. Lepas tu, ada gak laporan yang kata kanak-kanak tu dibunuh disebabkan dendam.
“Setakat ini, saya hanya boleh mengesahkan suspek direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen,”- Ketua Polis Daerah Pekan, dipetik dari AWANI
2. Bunuh anak sebab gagal jawab soalan Matematik
Kes ni jadi kat Amerika Syarikat, kitorang pun kadang-kadang tak boleh brain perangai macam-macam manusia yang ada kat muka bumi ni. Nak dijadikan cerita, Joshua Salovich yang merupakan ayah kepada mangsa dikatakan stress sebab anak dia selalu je main-main masa jawab soalan matematik yang dia bagi.
Bailey (nama anak dia) yang berusia 3 tahun sempat dibawa ke hospital akibat kesan pukul teruk pada badannya, punggung, kaki, perut dan mengalami pendarahan di otak. Dia meninggal sehari lepas tu.
Joshua mengaku memukul punggung dan kaki Bailey dengan tangan jika anaknya salah bagi jawapan. Dia jugak akui yang dia memukul beberapa kali di perut sebab geram melihat anaknya tidak bersungguh-sungguh menjawab soalan yang dia bagi. Paling dajjal, dia turut mengaku kepada polis bahawa dia turut memukul Bailey dengan kabel dan tongkat buluh.
Apabila pegawai polis tanya Joshua tentang skala kesakitan yang dia lakukan terhadap anaknya dari skala 1-10, dia selamber je cakap pada skala 10. Maksudnya yang paling sakit lah. Dia kata keadaan dalam dunia realiti sebenar lagi sukar, so dia kena didik ada dia dengan lebih keras supaya anak dia boleh survive. Tak boleh bla betul, pukul sampai mati pulak tu.
“Realiti di luar sana amat sukar, baginya untuk bertahan hidup dia mesti melalui jalan yang sukar juga.” – Joshua, dipetik dari Meridian Star
3. Anak ditetak oleh bapa sendiri yang dikatakan penyayang
Tadi kitorang share cerita dari Amerika Syarikat, untuk kes ni kitorang bawak balik korang ke Malaysia. Sudah menjadi lumrah sepatutnya bapa melindungi anak-anaknya, tapi lebih kurang macam kes kat Amerika Syarikat tu tadi – seorang bapa sanggup tetak anak dia sendiri. Kitorang ulangi – tetak, atau sembelih. Kes ni jadi kat Flat Puchong Permai di Puchong.
Yang peliknya, kalau ikut isteri dan keluarga mangsa, bapak dia ni jenis penyayang dan tak pernah terlintas kat hati diorang yang dia akan tergamak untuk tetak anak dia sendiri.
“Sepanjang mengenali suspek yang berusia 35 tahun, lelaki tersebut tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda keganasan dan merupakan seorang yang sangat menyayangi anaknya,” – Zaidi, sepupu kepada mangsa, dipetik dari KOSMO
Setelah suspek disoal siasat, cuba teka apa benda yang ada kat dalam badan dia yang sebabkan dia sanggup bunuh anak dia? Saka? Penyakit kanser? Hmmm…apa lagi, dadah! Rupa-rupanya suspek didapati positif dadah jenis syabu. So kalau korang bercadang nak ambik dadah, baik lupakan, tak pasal-pasal nanti sanggup bunuh orang yang korang sayang.
4. Kanak-kanak berusia lapan tahun dirogol dan dibunuh di India
Kitorang dah bawak korang terbang ke Amerika Syarikat, dan balik semula ke Malaysia. Kali ni meh kitorang bawak korang ke India pulak! Kali ni ada satu kes yang melibatkan kanak-kanak yang bukan setakat dirogol dengan kejam tapi dibunuh selepas dirogol. Mengikut laporan Berita Mediacorp, budak ni dibawa masuk ke dalam hutan, lepas tu dia dah tak pulang-pulang. Nama budak tu Asifa.
Apa yang buat kitorang lagi geram, menurut siasatan polis, budak yang malang ni diberi ubat penenang sebelum dirogol berkali-kali selama tiga hari berturut-turut. Budak ni dibiarkan hidup sebab penyangak-penyangak ni nak rogol dia. Akhirnya dia meninggal dunia bila salah seorang penyangak tu cekik lehernya. Bila dah cekik leher pulak, diorang hentak batu kat kepala budak tu, untuk pastikan dia betul-betul mati.
Kes ni jadi lebih rumit bila ia dah jadi kes perkauman. Kalau korang nak tahu, Asifa datang dari suku Bakarwal (Islam) dan kelapan-lapan suspek dalam kes ni adalah penganut agama Hindu. Apa yang lebih menyedihkan, Asifa dibunuh di dalam kuil. Bapa Asifa percaya, penganut Hindu saja je buat benda ni untuk takut-takutkan suku Bakarwal. Lepas tu, benda yang tak dijangka jadi masa Asifa dikubur.
“Ketika mayat Asifa ingin dikebumikan, beberapa anggota samseng muncul di tanah perkuburan dan mengancam keluarganya supaya tidak mengebumikan mayatnya di sana kerana takut jika tanah itu akan menjadi milik Muslim buat selamanya sekiranya Asifa dikebumikan di tanah itu,” – Dipetik dari laporan Berita MediaCorp
5. Seorang kanak-kanak ditikam 30 kali oleh bapa saudara
Untuk cerita last ni, kitorang bawak balik korang datang Malaysia. Kes ni jadi kat Taman Kepong, KL. Seorang kanak-kanak yang berumur tiga tahun ditetak sebanyak 30 kali oleh bapa saudaranya sendiri. Kalau korang nak tahu, kanak-kanak tu ditemui oleh neneknya dalam keadaan berlumuran darah dan dibalut kain putih. Cuba korang bayangkan apa perasaan nenek dia bila tengok cucu yang dia sayang dalam keadaan macam tu.
Asalnya bapa saudara mangsa ni datang nak melawat je, diorang tak sangka pulak akan jadi tragedi ngeri macam ni. Yalah, kalau korang fikir secara logik pun, takkanlah bapa saudara sendiri nak bunuh anak buah dia kan? Lagi-lagi dengan 30 tikaman, macam dah tikam musuh ketat dia.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 30 kesan tikaman pada badan mangsa dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam,” – Asisten Komisioner R Munusamy, Ketua Polis Daerah Sentul, dipetik dari MalaysiaKini
Dan macam kes kanak-kanak yang ditetak oleh bapa sendiri tadi, tekalah apa yang ada kat dalam badan dia? Hahh…betul lah tu, dadah. Suspek dalam kes ni rupa-rupanya lakukan benda tu dalam keadaan pengaruh dadah jugak rupanya. Maka betul lah apa iklan dadah dulu tu selalu kata – dadah, musuh negara!
Sebenarnya negara kita ada Dasar Kanak-kanak Negara
Kalau tengok kes-kes yang kitorang sebutkan ni, memang betul-betul ngeri dan sampai level tak berperikemanusiaan. Kanak-kanak ni adalah golongan yang lemah dan patut dilindungi, malangnya diorang selalu jadi mangsa akibat perangai orang yang dah tua dan tak sedar diri. Tengoklah dah berapa banyak kes kanak-kanak kehilangan nyawa akibat kejahatan orang-orang yang sepatutnya lindungi diorang.
Fokus utama Dasar Kanak-kanak Negara ni adalah untuk Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak. Kalau ada masa, korang mesti baca.
Semoga lepas ni kes-kes mengerikan yang membabitkan kanak-kanak akan makin berkurangan, sebabnya diorang ni lah yang bakal warisi negara. Chewah, dan macam ahli politik kitorang sembang. Manalah kita tahu kot-kot dalam ramai-ramai kanak-kanak ni akan ada yang temui penawar kanser, kan? Sayangi kanak-kanak, bacalah SOSCILI. Gurau je.
- 2.1KShare sekarang!
- Email15
- Facebook2.0K
- Share