- 2.0KShare sekarang!
- Email14
- Facebook2.0K
- Share
Isu politik Malaysia dan Israel panas lagi. Ia bermula apabila kerajaan Malaysia bertegas untuk menghalang atlet Israel dari bertanding dari Kejohanan Renang Paralimpik yang akan berlangsung di Kuching.
Akhirnya, pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah menarik hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan Sukan Renang Para Antarabangsa. Tapi, korang tau tak, sebelum ni ada je kes atlet Israel cuba masuk Malaysia untuk kejohanan tertentu. Berjaya atau tak? Jom kita semak satu persatu.
1) Pemain kriket Israel boleh tengok keharmonian Malaysia dan merasa insaf
Pada 21 Mac 1997, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah penganjuran Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC). Perdana Menteri ketika tu, Dr. Mahathir membenarkan pasukan kriket Israel untuk menyertainya atas semangat kesukanan. Alasan lain juga adalah untuk memberi keinsafan kepada pasukan Israel apabila melihat keharmonian Malaysia.
Kehadiran pasukan ni ke Malaysia nampaknya tak disenangi ramai pihak. Itu yang sampai ada demonstrasi oleh mahasiswa di Universiti Malaya. Antara mereka yang ditahan ketika itu adalah Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian ketika ni). Mahfuz Omar ada berkongsi pengalamannya…
“Pendirian saya sejak dahulu dalam isu Israel tegas dan jelas, tiada kompromi dalam apa jua perkara. Saya dihadapkan ke mahkamah ketika mana saya bersama-sama rakyat Malaysia bersama dalam bantahan kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia pada tahun 1997.”- Mahfuz Omar, petikan dari Malaysia Kini
Menurut Mahfuz Omar, waktu tu ramai je rakyat Malaysia yang ditahan kerana bantahan tu. Nasib Mahfuz pula, dia empat tahun turun naik mahkamah. Pada tahun 2000, mahkamah mendapati yang dia serta kawan-kawanya yang lain bersalah dan mereka dikenakan denda atau pun penjara.
2) Pemain dan Jurulatih Chelsea tak nak hantar pasukan
Pada 29 Julai tahun 2008, Chelsea akan mengadakan perlawanan pra-musim menentang pasukan Malaysia. Perkara ni telah menimbulkan isu kerana ketika tu jurulatih dan pemain Chelsea iaitu Avram Grant dan Tal Ben Haim adalah rakyat Israel. Semestinyalah rakyat Israel tak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana tiadanya hubungan diplomatik.
Ketua Eksekutif Chelsea waktu tu, Peter Kenyon mengatakan bahawa Chelsea takkan datang tanpa Avram Grant.
“Memang jelas yang kami tak boleh berkunjung tanpa jurulatih paling atas. Memang tak masuk akal untuk berkunjung tanpa ada orang penting dalam kalangan staf kejurulatihan.”- Peter Kenyon
Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri waktu tu, Najib Razak mengumumkan bahawa sekatan ke atas dua rakyat Israel dalam pasukan Chelsea akan dikecualikan. Kita pun tahu, Najib Razak penyokong tegar Manchester United tapi dalam bab ni dia berpendapat,
“Chelsea bukanlah pasukan pilihan saya tapi ianya sangat bagus untuk bola sepak tempatan…Saya belum tahu apa keputusannya tapi ianya sangat menyedihkan kalau politik dicampurkan dengan sukan.
Memang ada sekatan perjalanan. Kami akan mengkajinya dulu, tapi saya nak tengok Chelsea bermain di sini.”- Najib Razak, petikan dari The Independent
Perlawan akhirnya berlangsung pada tarikh yang ditetapkan dengan menyaksikan Malaysia tewas 2-0 kepada pasukan Chelsea.
3) Juara dunia belia dihalang, tapi penganjuran diteruskan
Pada Januari 2016, Malaysia dah menganjurkan Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia edisi ke-45 di Langkawi. Namun, ketika itu kerajaan Malaysia tidak meluluskan permohonan visa dua peserta luncur angin dari Israel iaitu Yoav Omer dan Noy Drihan. Akhirnya, mereka menarik diri daripada kejohanan tersebut. Kalau korang nak tahu, kedua-dua atlet Israel ni adalah juara bertahan dan juara dunia bagi belia waktu tu.
Benda ni dah dijangka menurut jurulatih mereka yang juga orang Israel, Gili Amir. Macam biasa, atlet Israel akan salahkan kerajaan Malaysia sebab mengenakan tuntutan yang tak munasabah. Tuntutan yang dimaksudkan tu adalah:
“…sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol. Lagu kebangsaan Israel juga idak akan dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas.”- Petikan dari Malaysia Kini
Sekalipun, kejohanan ni adalah di bawah Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (ISAF), ianya tetap diteruskan. Tindakan sekatan ke atas atlet Israel ni diketuai oleh Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan ketika tu. Tindakan ni dah mendapat reaksi negatif dari Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak ketika tu, Chong Zhemin. Ia kerana Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa.
Namun, Mahfuz Omar (bekas pemimpin PAS yang kini pemipinan AMANAH) terkejut dengan reaksi Chong Zhemin dari DAP ni yang bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia dan antarabangsa. Akhirnya, Chong Zhemin menarik semula kenyataannya ni. Mufti Perlis ketika itu, Dr MAZA turut memuji tindakan ni kerana baginya sukan dan kemanusiaan tak dapat dipisahkan.
4) Pemain Dota 2 dari Israel digantikan oleh pemain lain
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq memang terkenal dengan keghairahannya untuk menaikkan industri e-sport di Malaysia. Pada 16 hingga 18 November tahun 2018, di bawah Kementerian Belia dan Sukan dah mengadakan The Kuala Lumpur Major. Salah satu permainan e-sport yang dipertandingkan semestinyalah Dota 2.
16 pasukan terkenal seluruh dunia akan turut serta dalam kejohanan ni. Keseluruhan hadiah yang ditawarkan adalah sebanyak USD 1 juta. Memang kaya jadi pemain e-sport ni ya. Dalam banyak-banyak pasukan terkenal salah satunya adalah Ninjas In Pyjamas (NiP). Pasukan ni memang layak untuk menyertai The Kuala Lumpur Major.
Salah seorang pemain pasukan ni adalah Neta Shapira yang merupakan rakyat Israel. Dia sebenarnya dah maklum yang Malaysia memang tak ada hubungan diplomatik dengan Israel. Ini menyebabkan dia gagal memperolehi visa untuk memasuki Malaysia.
“Sebaik sahaja berjaya melayakkan diri ke kejohanan The Kuala Lumpur Major, NiP telah menghubungi PGL, selaku penganjur untuk membantu Neta mendapatkan visa ke Malaysia namun usaha mereka berakhir dengan kegagalan.”- Petikan dari META
Kemudiannya, pasukan Ninjas In Pyjamas dah menggantikan tempat Neta Shapira dengan orang lain. Tak ada masalah, pertandingan diteruskan.
Mesej politik pernah dihantar kepada Israel oleh banyak pihak dalam sukan
Daripada beberapa berita di atas, memang dah jadi lumrah untuk Malaysia menggunakan sukan untuk menekan Israel. Benda ni bukan Malaysia je yang buat. Seluruh dunia pernah lakukan benda yang sama dari individu, pasukan atau organisasi sukan yang besar serta berprestij. Kita ambil satu contohlah dalam sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak.
Kalau korang nak tahu, dulu Persatuan Bola Sepak Israel adalah salah satu persatuan bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Kira sekali dengan Malaysia lah. Tapi, dengan konflik yang banyak dibuat Israel, maka sekumpulan negara dari AFC yang diketuai Kuwait dah membuat satu resolusi yang berjaya menendang keluar Israel dari AFC pada tahun 1974. Akhirnya, pada tahun 1992, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menerima Israel pada tahun 1992.
Apa korang ingat UEFA tak pernah bengang dengan Israel? Korang silap. Pada tahun 2014, UEFA pernah sekat Israel dari menjadi tuan rumah dalam sebarang perlawanan Liga Juara dan Liga Europa. Sebabnya Israel membuat serangan ke atas Gaza walaupun dah ada perjanjian gencatan senjata dengan HAMAS.
Kalau dari segi individu pernah ada beberapa individu yang merupakan pemain Liga Perdana (EPL) bagi tekanan kat UEFA supaya keluarkan Israel dari menjadi tuan rumah untuk kejohanan Eropah bawah 21 tahun. Tekanan ni juga berlaku ketika ada berita mengenai pemain bola sepak Palestin yang ditahan, serta sebuah stadium di Gaza dah dibom Israel yang membunuh empat orang pemuda yang sedang bermain bola.
Sukan hakikatnya dah menjadi tempat untuk sesuatu pihak menghantar mesej
Kita pun tahu yang Malaysia memang tak ada hubungan diplomatik dengan Israel. Ketegasan Malaysia terhadap Israel dah disampaikan dalam banyak bentuk. Antara yang terdekat adalah ucapan Tun Mahathir sendiri ketika di PBB dan Oxford Union.
Malaysia dah gunakan faktor sukan sebagai tempat untuk menyampaikan isyarat rakyat Malaysia bagi mendesak Israel meninggalkan wilayah yang ditakluk.
“Kita bukannya negara yang pertama melakukannya kerana tindakan memboikot Israel adalah sesuatu yang begitu lumrah tidak kira sama ada membabitkan bidang ekonomi, akademik, kebudayaan atau sukan.“- Dr. Azmi Hassan, Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM, petikan dari UTUSAN
- 2.0KShare sekarang!
- Email14
- Facebook2.0K
- Share