- 1.5KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.5K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 28 Disember 2018
Mungkin ramai tak perasan. Pada Jumaat lepas bertarikh 10 April 2020, Gunung Berapi Anak Krakatau meletus sebanyak dua kali berdasarkan laporan berita. Letusan gunung berapi tu juga dah menyebabkan abu setinggi 500 meter berterbangan di udara yang bertahan selama 38 minit.
Memang merisaukan untuk negara jiran kita, lagi-lagi waktu dunia tengah kelam-kabut menghadapi wabak COVID-19 ni. Sebelum ni, gunung berapi yang sama meletus yang menyebabkan tsunami. Kalau korang nak tahu – sebenarnya jarang gunung berapi dapat cetuskan Tsunami, tapi jarang tak bermaksud tak boleh berlaku.
Legenda Gunung Krakatau ni memang dashyat, so hari ni kitorang akan sembang panjang berkenan legenda ni. Kita mulakan dengan…
Letusan Gunung Krakatau korbankan 36,000 orang pada tahun 1883
Pulau Krakatau ni terletak di antara dua pulau besar. Letusan gunung berapi Krakatau 1883 ni memuncak pada 26 Ogos 1883. Letusan gunung berapi yang dashyat gila ni sebabkan 70% daripada Pulau Krakatau tu hilang. Akibat daripada letusan ni, dianggarkan 36,417 orang jadi korban. Kebanyakan mangsa kehilangan nyawa sebab Tsunami yang terjadi selepas letusan gunung berapi ni…
Letusan gunung Krakatau ni merupakan salah satu letusan yang terbesar dalam sejarah. Punyalah kuat bunyi letusan ni – sampai kedengaran kat Perth, Australia. Kira-kira 4,500km dari Krakatau. Letupan kat Pulau Krakatau ni dikatakan 10,000 kali lagi kuat daripada bom atom yang musnahkan Hiroshima. 10,000 kali ganda.
Kalau korang nak tahu – untuk letupan macam gunung berapi, ada ukuran tersendiri untuk tentukan sekuat mana letusan gunung berapi tu. Macam kalau berat kita selalu guna KG, tinggi guna CM, kalau gunung agak-agaknya nak guna apa? Kita akan gunakan – Volcanic Explosivity Index (VEI). Ukuran ni diperkenalkan oleh Chris Newhall dan Stephen Self.
Korang boleh baca pasal Volcanic Explositivity Index (VEI) ni kat sini. Dipendekkan cerita, dalam ukuran VEI ni ada skala 0 sampai 8. Kalau 0 paling tak bahaya dan 8 paling ke ba bom, meletop. Korang rasa letupan Krakatau ni berada pada skala berapa? Cehh…macam iklan syampoo lah pulak kan – rambut saya terkandas di skala 18…
Letusan kat Pulau Krakatau pada tahun 1883 berada pada SKALA 6…
Suhu seluruh bumi turun sebab letusan Krakatau ni…
Banyak kesan yang terjadi akibat letusan Krakatau ni, paling sadis – ramai orang kehilangan nyawa, tapi kitorang rasa benda tu tak payahlah kitorang cerita panjang. Ada tempat kat Banten, 90km dari Krakatau yang dulunya dihuni, sampai hari ni takde orang tinggal sejak letusan Krakatau. Tempat tu sekarang dah dijadikan Ujung Kulon National Park…
Kitorang terkejut badak bila dapat tahu – letusan Krakatau ni sebabkan suhu bumi menurun sebanyak 1.2 °C, dan iklim bumi ni jadi gila-gila. Keadaan kembali normal pada tahun 1888. Masa tu takde El-Nino dan hujan lebat yang biasanya selalu berlaku kat Selatan California. Tapi ada jugak saintis yang kata keadaan ni takde kaitan dengan letusan Krakatau.
Bila letusan ni berlaku – kawasan di sekitar Pulau Krakatau tu gelap selama 3 hari. Debu yang dihasilkan daripada letusan tu tutup cahaya matahari. Oleh sebab debu tu banyak sangat, debu tu tersebar sejauh 285 batu. Letusan ni jugak sebabkan bila matahari terbenam (sunset) jadi kemerahan selama tiga tahun. Seorang pemuisi gambarkan keadaan tu dengan ayat;
“Seperti daging yang meradang daripada merah terang matahari terbenam biasa; cahaya itu tegang; itulah yang menyerang semua orang; ia telah memanjangkan siang hari, dan secara optikal mengubah musim; ia memandikan seluruh langit, ia disalah tanggapi sebagai refleksi api besar,” – Gerard Manley Hopkins, pemuisi, dipetik dari Mentalfloss
Bukan setakat matahari je yang terkesan, bulan pun dapat kesan yang sama daripada letusan ni. Beberapa tahun lepas insiden Krakatau ni berlaku – bulan kadang-kadang kelihatan warna biru dan ada masa dia warna hijau pulak. Bukan bendera PAS eh. Benda ni berlaku disebabkan masa ada partikel bersaiz 1 mikrometer dari letusan Krakatau yang ada kat awan. Partikel yang ada saiz macam ni akan serakkan warna merah.
Pulau Krakatau melahirkan anak tanpa perlu berkahwin lari
Ingat tak kitorang kata – letusan Krakatau ni sebabkan 70% Pulau Krakatau tu hilang. Keadaan kat pulau ni relaks je – sampailah tahun 1927, bila ada letusan kat bawah laut. Dua tahun lepas tu – ada sebuah pulau yang naik melebihi paras laut, tempat tu lah yang dinamakan Anak Krakatau sehingga ke hari ni. Menariknya, Anak Krakatau ni macam manusia gak – dia membesar.
“Kebarangkalian Tsunami akan berlaku di Selat Sunda akan kekal tinggi selagi Gunung Krakatau akan melalui fasa aktif semasa kerana ia mungkin mencetuskan pergerakan tanah di bawah laut,” – Richard Teeuw, University of Portsmouth di England, dipetik dari Al-Jazeera
Anak Krakatau ni membesar 6.8 meter setahun. Masa tahun 2008, Anak Krakatau ni lepaskan gas panas, batu dan larva. Saintis dah bagi amaran kepada orang ramai supaya tak dekati pulau tu dalam lingkungan 3km. So kalau korang fikir pergi rakam gunung berapi masa bercuti tu cool, lupakanlah niat korang. Lebih-lebih lagi kalau korang bercadang nak pergi Pulau Anak Krakatau.
Sejak tahun 2012 lagi saintis dah beri amaran benda ni akan jadi
Benda yang paling ramai orang tertanya-tanya – tempat yang berlaku Tsunami ni takde warning ke? Bukankah patutnya diorang bunyikan alarm atau beri apa-apa amaran sebelum Tsunami. Kalau ikut laporan BBC – penduduk kat situ tak dapat sebarang amaran pun. Benda ni masuk akal, sebab tu ramai mangsa yang jadi korban. Sebabnya bencana ni datang secara mengejut.
Kalau ikut Dr Khamarrul Azahari Razak dari Universiti Teknologi Malaysia, sebenarnya bencana ni saintis dah ramal dari tahun 2012 lagi. Katanya kajian saintifik dah ramalkan gelongsoran yang jadi kat Barat Daya Anak Krakatau akan wujudkan gelombang setinggi 43 meter. Tapi Dr Khamarrul tak pasti kalau pihak berwajib di Indonesia ambik tindakan tentang ramalan ni.
“Jika kita amati, pakar dan saintis telah membuat penilaian awal di kawasan Selat Sunda dan sudah menjangka tsunami boleh berlaku,” – Dr Khamarrul, dipetik dari AWANI
Kalau korang nak tahu, Indonesia kata diorang akan pasang sistem amaran baru untuk elakkan benda macam ni berulang. Diorang juga kata – sistem amaran Tsunami diorang adalah untuk kesan pergerakan plat tektonik tanah, bukannya kesan Tsunami akibat letusan gunung berapi.
“Alat amaran awal tsunami milik kami adalah untuk mengesan tsunami berpunca dari pergerakan plat tektonik dan bukannya akibat gunung berapi. Oleh sebab itu, tiada amaran awal,” – Rahmat Triyono, Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, dipetik dari AWANI
Kita terselamat sebab terkeluar sedikit dari Lingkaran Api Pasifik
Kitorang pernah tulis artikel untuk jelaskan kat korang kenapa Malaysia selalu terselamat daripada gempa bumi. Sepatutnya kita bersyukur tinggal kat tempat yang terselamat dari segala malapetaka ni. Kitorang perasan je, ada pihak yang cuba hukum macam-macam kat Indonesia – macam diorang banyak buat maksiatlah, banyak dosalah, tak takut tuhanlah. Walaupun mungkin tuhan kirimkan bencana, sebenarnya, kedudukan negara kita sangat bertuah.
“Malaysia tidak akan menerima sebarang kesan daripada gelombang tsunami susulan aktiviti ‘anak Krakatau’ yang masih aktif berhampiran Selat Sunda. Beberapa faktor, termasuk geografi dan jarak dari runtuhan rekahan gunung itu menyebabkan seluruh persisiran pantai negara ini bebas daripada ancaman tsunami,” – Alui Bahari, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, dipetik dari Berita Harian
Sebagai masyarakat yang tinggal serumpun, marilah kita sama-sama bantu diorang setakat yang kita mampu. Nampaknya Indonesia pun dah mulakan projek untuk mantapkan sistem amaran Tsunami diorang. Kat Malaysia pun sebenarnya ada sistem macam ni, sistem amaran macam ni mampu bantu orang ramai untuk selamatkan diri….
- 1.5KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.5K
- Share