ADUN Selangor ditegur kerana guna Baju Melayu?! Kitorang siasat peraturan dewan

Baru-baru ni YB Sany Hamzan telah ditegur oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebab guna Baju Melayu masa persidangan DUN. Tindakan YB Suee Lim ni telah timbulkan kemarahan ramai pihak – sebabnya Baju Melayu sebenarnya boleh digunakan dalam persidangan DUN. Benda ni makin teruk bila ada orang main sentimen bangsa sebab Speaker DUN Selangor orang Cina.

Kitaorang pun cubalah siasat tentang peraturan-peraturan berkenaan etika pemakaian kat DUN beberapa negeri kat Malaysia. Kitorang terkejut jugak bila tengok Peraturan Mesyuarat DUN selalunya tak sebut benda ni secara spesifik. Cuma ada je DUN yang dah mula perkenalkan peraturan berkenaan pakaian, cuma kat Selangor takde lagi.

Kasihan pulak tengok YB Sany ditegur macam tu, so mari kita tengok siapa sebenarnya yang salah…

Peraturan tetap DUN Selangor takde sebut pasal pakaian

Untuk tahu peraturan DUN Selangor, korang kena tengok Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Dewan Negeri Selangor 1956. Kat dalam peraturan ni ada sentuh 92 jenis peraturan yang kena dipatuhi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa persidangan. Apa yang buat kami terkejut badak – kat dalam buku peraturan setebal 121 muka surat ni, takde sebut apa-apa pasal tatacara pemakaian.

Kita orang cuba cari peraturan berpakaian untuk ADUN kat website rasmi Kerajaan Negeri Selangor, tapi website tu pun tak tahu apa-apa. Website tu cuma beritahu kitorang etika pakaian untuk pelawat-pelawat yang nak datang kat DUN Selangor. Ada jugak diorang beritahu pasal etika pemakaian program ADUN Muda Selangor. Tapi kitaorang nak tahu ADUN yang tua, bukan yang muda.

Ini pakaian untuk Program ADUN Muda Selangor, setakat ni takde lagi sebut pasal baju Melayu. Imej dari Portal Selangor

Kitaorang pun cuba korek lagi mana yang patut, macam Tok Adi korek kubur. Kitorang ada jumpa pakaian yag perlu korang gunakan kalau teringin nak masuk kat DUN Selangor. Korang kena tahu benda ni, sebabnya kalau korang tak patuhi etika pemakaian, korang boleh dihalang daripada masuk ke DUN. Takkanlah korang nak datang DUN Selangor tapi tak boleh masuk kan? Ni merupakan etika pakaian pelawat DUN Selangor;

Lelaki
1) Lounge Suit (hitam) dan bertali leher.
2) Baju kemeja lengan panjang dan bertali leher.
3) Baju batik lengan panjang.
4) Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok.
5) Seluar panjang berwarna hitam (slack).
6) Kasut kulit.

Wanita
1) Baju kurung atau kebaya labuh / blouse berlengan panjang.
2) Skirt panjang di bawah paras lutut.
3) Sari dengan blouse berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain.
4) Seluar panjang (slack).
5) Lain-lain pakaian yang kemas dan sopan.
6) Berkasut bertutup.

Dewan Undangan Negeri Selangor. Imej dari SINAR

Isu pakaian ADUN pernah panas tiga tahun lepas

Isu pakaian ADUN ni sebenarnya bukan isu baru, sejak beberapa tahun lepas, ada je isu yang membabitkan pakaian ADUN. Lawak sebenarnya bila tempat sepenting DUN ada isu pasal pakaian. Sepatutnya berita yang keluar kat bangunan power tu – isu-isu yang babitkan kepentingan rakyat. Tiga tahun lepas, DUN Perak kecoh selepas ADUN pembangkang masa tu gunakan baju hitam pada hari pembukaan.

Diorang gunakan baju hitam sebagai bantahan terhadap tangkapan ke atas dua member Pakatan Rakyat Perak. Diorang juga  nak tunjukkan solidariti kepada Anwar Ibrahim dan 13 ahli PAS yang dihukum penjara serta bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). So, senang cerita diorang ni guna baju hitam sebab nak protes.

Hitam yang menawan. Imej dari SINAR

Tindakan ahli kerajaan pembangkang masa tu katanya dah buat Sultan Perak murka. Dewan Negara Perak masa tu tegur ADUN Pakatan Rakyat sebab diorang dikatakan berlaku biadap kerana gunakan pakaian hitam ketika perasmian sidang DUN. Diorang sepatutnya guna pakaian rasmi yang berwarna putih. Tindakan ni ditegur oleh Dewan Negara DUN Perak. Korang jangan bingung, kat Perak memang ada Dewan Negara.

“Dewan Negara Perak menegaskan perbuatan sebahagian Adun itu bukan sahaja bersifat melanggar adat malah mencerminkan sikap tidak beradab mereka terhadap dewan, sekali gus terhadap Ketua Negeri iaitu Raja Pemerintah yang berangkat mencemar duli untuk memberikan kemuliaan dan pengiktirafan kepada dewan berkenaan,” – Dipetik dari SINAR

Jangan main-main eh ADUN…Imej dari Giphy

Pernah ada cadangan untuk masukkan etika pakaian dalam peraturan mesyuarat DUN

Kitaorang berjaya jumpa satu DUN yang nyatakan pakaian yang boleh digunakan untuk bersidang. Cuba korang teka negeri mana? Belah utara…negeri tu adalah negeri Kedah. Diorang ada letakkan maklumat tentang etika pakaian yang perlu dipatuhi oleh YB-YB kalau diorang nak masuk DUN. Diorang masukkan sekali YB dan pemerhati.

Ini etika pemakaian yang DUN Kedah tetapkan, lebih kurang macam DUN Selangor;

  • Berpakaian baju melayu atau louge suite yang sama warna.
  • Berpakaian baju kurung atau kebaya labuh dan bertudung serta tidak menjolok mata.
  • Berpakaian uniform sekolah (pemerhati) dan bertali leher bagi lelaki (pelawat)

 

Hahh…macam ni boleh masuk DUN. Imej dari Giphy

Oleh sebab etika pemakaian kat DUN takde diperuntukkan kat peraturan mesyuarat di kebanyakan negeri, Speaker DUN Perak pernah cadangkan benda ni dimasukkan dalam peraturan mesyuarat. Dia cadangan benda ni selepas kes ADUN pembangkang datang guna baju serba hitam – macam orang yang tengah hadiri majlis kematian dalam filem-filem Hollywood.

Akhirnya, peraturan berkenaan pakaian DUN dimasukkan dalam Peraturan Tetap Mesyuarat DUN Perak. Cadangan ni telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap DUN Perak, sebab untuk buat peraturan baru bukan macam kentut kat tempat awam, kena lalui banyak proses.

“Jadi cadangan kami ialah supaya pakaian anggota dewan sempena istiadat perasmian persidangan DUN pertama bagi penggal baharu hendaklah memakai pakaian ‘hari kalung’ (hari penuh istiadat),” – Seri SK Devamany, Speaker DUN Perak ketika itu, dipetik dari AWANI

ADUN BN pertahan Mohd Sany, Speaker kata dia tak salah

Macam-macam drama yang ada kat DUN Selangor ni, lepas kes Speaker DUN tegur Mohd Sany dari Parti Amanah – ADUN BN yang jadi pembangkang kat Selangor back up Sany. Dia kata Baju Melayu lengkap tak langgar peraturan DUN, penggunaan Baju Melayu tak cemarkan kemuliaan dewan, melainkan orang tu pakai Baju Melayu tak lengkap. Contohnya, dia pakai Baju Melayu tapi tak pakai boxer samping.

“Teguran speaker kepada Taman Templer yang mengatakan etika pemakaian perlu dipatuhi sepanjang persidangan dewan dan mengatakan seolah-olah pemakaian baju Melayu ini merosakkan kesucian dewan, saya rasa keterlaluan,” – Datuk Mohd Imran Tamrin, dipetik dari MSN

ADUN BN back up parti Amanah. Imej dari MSN

Walaupun Speaker DUN Selangor dapat kritikan, dia tetap pertahankan keputusan dia untuk tegur ADUN yang guna Baju Melayu kat dalam dewan. Dia jugak ada cakap – dia tak maksudkan pun pakai Baju Melayu akan cemarkan kesucian dewan, cuma dia nak ADUN-ADUN kat Selangor hormati etika pemakaian. Pemakaian Baju Melayu cuma dibenarkan pada hari Jumaat.

“Saya tak cakap pun mencemarkan kesucian dewan, cuma minta hormati etika pakaian. Saya ambil serius tuduhan ini dan ia cukup berat. Saya hanya minta semua Adun disiplin patuhi etika pemakaian. Ini kerana etika pemakaian ‘lounge suit’ untuk hari biasa dan baju Melayu pula pada hari Jumaat sejajar dengan amalan yang diguna pakai sejak 1959,” – Ng Suee Lim, Speaker DUN Selangor, dipetik dari SINAR

Baju Melayu, baju warisan bangsa…

Sepatutnya setiap DUN kat Malaysia ni ada peraturan khusus berkenaan etika pemakaian untuk pastikan benda-benda macam ni tak jadi lagi. Benda ni nampak simple – tapi sebab insiden macam ni pergaduhan di antara kaum boleh berlaku. Yelah, Speaker Selangor yang tegur tu berbangsa Cina, dan yang ditegur pulak orang Melayu. Mestilah ada orang yang akan cuba cucuk supaya Melayu dan Cina gaduh. Melayu dan Cina gaduh, orang rasis tepuk tangan.

Baju Melayu ni adalah Baju Kebangsaan untuk orang Melayu, dan macam yang YB dari BN tu kata – sepatutnya kalau individu tu gunakan pakaian yang lengkap, ia tak langgar etika pemakaian DUN. Lainlah kalau dia guna Baju Melayu dan seluar pendek, tu nak kena penampar jawabnya. Ahli politik ni public figure – biarlah diorang amalkan Baju Melayu supaya diikuti oleh orang ramai…

Shahrukh Khan pun guna Baju Melayu taw! Imej dari CILISOS

So, korang rasa macam mana? Patutkah Baju Melayu ni dianggap pakaian yang melanggar etika DUN? Atau korang dapat terima penjelasan yang diberikan oleh Speaker Dewan Selangor? Hmmm…mesti Melayu akan sokong Melayu, dan Cina akan sokong Cina, kan?

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka