Perempuan bermisai pernah dianggap sebagai sebuah kecantikan di Parsi satu ketika dulu?

Pada tahun 1800-an dulu, terdapat seorang puteri cantik yang berada sebuah negara Parsi. Puteri tersebut adalah yang tercantik antara yang tercantik, malah sangat dikagumi kerana kebijaksanaannya. Dia merupakan seorang pelukis, penulis, pemuisi, dan bermacam lagi kemahiran. Bak kata orang, beauty with brain lah ni.

Kecantikan dan kebijaksanaan dia juga menyebabkan beribu-ribu lelaki tergila-gilakan dia sampai ramai yang meluahkan rasa cintanya pada puteri Parsi ni. Tapi, puteri raja yang merupakan janda tu nampaknya menolak lamaran jejaka-jejaka tu, sampaikan kira-kira 13 orang lelaki yang bunuh diri sebab tak dapat terima kekecewaan tu.

Dan kalau korang terfikir dan curious sangat nak tahu macam mana rupa puteri raja tu kan?

Puteri Qajar dari Parsi. Bak kata mat saleh, “Beauty is in the eyes of beholder”. Imej dari medium.com

Tapi nampaknya sejarawan yang mengkaji kata ia adalah cerita rekaan, dan tak dapat dipastikan pun sebenarnya betul ke ada lelaki yang bunuh diri pasal puteri ni. Tapi apa yang benar pasal gambar ni adalah kening bersambung dan berkumis yang memang menjadi simbol kecantikan wanita pada abad ke-19 di Parsi. Dan kat sinilah kitorang nak hightlightkan pasal kecantikan, yang sebenarnya sangat subjektif bagi setiap tempat, bangsa dan zaman tertentu. Contohnya macam…

1. Leher panjang, lambang kecantikan perempuan Burma

Di bahagian utara negara Thailand, terdapat sebuah suku kaum Kayan di sebuah perkampungan, popular dengan fesyen tengkuk panjangnya. Tapi korang jangan salah faham pulak yang mereka ni orang Thailand. Kaum Kayan yang tinggal di Utara Thailand ni merupakan perkampungan yang didiami oleh pelarian Myanmar yang melarikan diri ke sana disebabkan konflik yang melanda negara mereka sekitar lewat 80-an hingga 90-an dulu.

Berbalik kepada kisah kecantikan kaum Kayan, setiap kanak-kanak yang berumur empat tahun akan dipakaikan gegelung tembaga di sekeliling leher mereka di mana ia bertujuan untuk meregangkan leher supaya lebih panjang dari tahun ke tahun. Semakin meningkat umur mereka, gegelung tersebut akan ditambah sehingga memanjangkan leher mereka. Tujuannya tak lain tak bukan adalah sebagai simbol kecantikan kaum tersebut.

Cara-cara pemasangan hanya boleh dilakukan mereka yang mahir. P/S: Jangan lakukan aksi ini dirumah mahupun di pejabat. Imej dari marie claire

Tapi, kisah ngerinya ialah ia dikatakan hanyalah sebuah ilusi di mana tulang kolar perempuan tu sebenarnya jatuh akibat daripada berat tembaga yang menyebabkan leher perempuan akan nampak panjang. Malah, ia adalah kesan selepas perubahan tulang selangka sebenarnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul gegelung tembaga tu.

Macam mana la agaknya rupa di sebalik gegelung tembaga tu, ye?

Buat masa ni, tradisi ni masih ada sampai sekarang dan mereka masih berada di perkampungan tersebut. Kalau nak pergi melawat, make sure minta izin dulu kalau nak ambil gambar.

2. Tradisi kecilkan kaki di China

Rasanya mungkin ramai antara korang yang tahu pasal tradisi kecilkan kaki di China ni. Ia bermula sejak abad ke-10, di mana kanak-kanak perempuan seawal umur 5 hingga 8 tahun diwajibkan melipat empat jari kaki mereka ke bawah telapak kaki sebelum diikat. Ni bukan lipat kaki macam masa korang tengah tahiyat akhir tu tau, tapi lipat jari sampai tahap mematahkannya supaya pembesaran kaki terbantut!

Kaki dah kena ikat, tak boleh la main lari-lari lagi. Imej dari scmp.com

Tradisi yang dipanggil lipat kaki atau foot binding ni tujuannya adalah untuk mengecilkan kaki. Dalam budaya masyarakat China ketika itu, bentuk kaki kecil ialah lambang kecantikan wanita. Bahkan ia dipercayai dapat meningkatkan keghairahan seksual si lelaki. Wah, sebab lelaki???

Gif dari tenor

Selain daripada nampak cantik, ada juga catatan yang menyebut, ia adalah lambang perempuan baik dan kepatuhan dan kesetiaan kepada keluarga, malah sistem. Logiknya, perempuan yang mematahkan kaki mereka takde kemampuan untuk berjalan, apatah lagi melarikan diri dari membuat kerja rumah macam memintal benang.

Imej dari scmp.com
Imej dari smithsonian

Disebabkan kepatuhan ni juga la tradisi ni menjadi cara untuk mendapatkan calon suami dengan simbol status yang lebih baik. Masyarakat pada masa tu beranggapan tradisi mengikat kaki ni dilakukan oleh wanita-wanita berstatus sosial tinggi supaya mereka tak perlu bekerja keras atau berjalan jauh selepas dikahwini lelaki kaya. Hanya sebab nak dapat kehormatan masyarakat dan pasangan hidup, mereka rela untuk menghadapi masalah patah tulang kaki dan masalah jangkitan selama proses tu berlaku.

Bagaimanapun pada tahun 1911, kerajaan China telah mengharamkan tradisi mengikat kaki atau foot binding yang disifatkan sebagai satu amalan kejam untuk pengubahsuaian tubuh badan demi kecantikan.

3. Makin gemuk, makin cantik di Mauritania

Kalau wanita di seluruh dunia sibuk nak kurus, sebaliknya pula bagi Mauritania, Barat Sahara dan Selatan Maghribi yang menjadikan kegemukan sebagai simbol kecantikan dan kekayaan dan kelas sosial perempuan mereka.

Leblouh, atau tradisi memaksa perempuan makan lebih dari sepatutnya biasanya bermula seawal lima hingga 19 tahun.

Bukan sikit-sikit, dipaksa sampai menggunakan kekerasan. Imej dari clarku
Sampailah sebelum kahwin. Imej dari Marie Claire

Kebanyakan tradisi ni diamalkan terutama sekali di pedalaman negara tersebut, terutamanya dari etnik Tuareg. Kalau nak tahu, perlakuan memaksa makan adalah perkara yang sama digunakan kepada angsa untuk menghasilkan foie gras.

Foie gras, hati angsa yang menjadi makanan istimewa dalam makanan Perancis. Imej dari leitesculinaria.com

Zaman dulu, perempuan akan dipaksa makan sampai gemuk. Tapi mana-mana perempuan yang tak berjaya untuk menggemukkan diri sendiri akan dibawa ke ‘ladang lemak’, atau ‘fat camps’ oleh keluarganya.

Fat Camp di Mauritania. Imej dari marie claire

Di Fat Camps, mereka akan dipaksa makan dan mengambil sebanyak 16,000 kalori sehari, iaitu hampir 10 kali ganda daripada apa yang sepatutnya seorang wanita dewasa patut ambil dalam sehari, iaitu dalam 1,800 ke 2,200 je dalam sehari bergantung kepada aktiviti kita.

Korang ambik berapa banyak sehari? Imej dari webmd.com

Di sana, mereka akan dipaksa makan dengan makanan yang tinggi kolestrolnya supaya nampak cantik untuk menjadi pengantin. Wah, kalau kat Malaysia ni, sebulan nak kahwin tu memang elak terus makan nasi dan pelbagai makanan yang boleh menggemukkan, takut tak muat baju nak bersanding nanti. Tu tak masuk lagi kawan korang yang kurus tapi selalu mengaku gemuk tu.

Tambahan pulak, stretched mark dan kegemukan nampaknya sangat-sangat diingini oleh mereka di sana, terutamanya perempuan yang ingin berkahwin, berlainan pulak dengan kita kat sini. Kulit tak licin pun boleh jadi isu penceraian.

Tapi nampaknya dengan perubahan zaman, pelakuan memaksa anak perempuan makan ni dah semakin berkurangan. Walaupun begitu, mereka masih lagi percaya yang lagi gemuk seseorang perempuan tu, lagi bagus sebab mahar perempuan di Mauritania masih lagi ditentukan dengan saiz perempuan tu di mana mereka boleh demand lebih.

Jadi korang yang suka makan, tapi susah nak turun berat badan tu, mungkinkah kita dilahirkan pada tempat yang salah?

Yang penting hati, ye tak? Gif dari hollywood.com

4. Upacara mengikir gigi di Bali, Indonesia

Dalam banyak-banyak sakit, kita paling benci sekali kalau sakit gigi. Bukan apa, efeknya tu sampai satu badan, pastu nak marah orang je. Lepas tu kalau gigi berlubang pulak, ngeri juga la bila doktor gigi guna gerudi untuk tujuan pembersihan sebelum tampal balik gigi tu. Tapi mungkin bagi penduduk di Bali, benda ni small matter je buat mereka –  sebab bagi setiap penduduk Ubud, mereka akan mengikir gigi supaya nampak lebih cantik.

Upacara mengikir gigi untuk meratakan enam gigi guna pahat. Serammmm! Imej dari kaskus

Kalau rakyat Malaysia boleh dikenalpasti dengan suntikan BCG sejak kecil, bagi rakyat Bali pula, mereka boleh kenal masing-masing melalui metatah ni. Ia juga dikenali sebagai mepandes atau mesangih, dan boleh dikatakan sebagai upacara wajib bagi rakyat Bali. Bagi golongan yang kurang berkemampuan pula, mereka akan menerima tajaan dari kerajaan. Wah, memang agak penting rupanya acara ni.

Antara majlis yang diadakan baru-baru ni. Bukan biasa-biasa, tau! Imej dari websta

Acara metatah ni selalunya diadakan apabila remaja mencapai akil baligh, dan ada juga sesetengah yang akan melakukannya sebelum kahwin. Bukan orang Bali je, orang yang kahwin dengan orang Bali pun kena buat untuk jadi salah sorang daripada mereka, di mana ia adalah salah sebuah kepercayaan mereka.

Upacara ni  adalah untuk megikir gigi, di mana sebanyak enam batang gigi akan diratakan, iaitu dua gigi taring dan empat gigi tengah. Dalam proses ni, gigi yang diratakan sebagai lambang dari Sad Ripu (6 musuh) yang ada dalam diri manusia seperti tamak, cemburu, nafsu, kemarahan, iri hati, kebingungan, dan pelbagai lagi.

Enam musuh ni dipercayai akan dapat menjerumuskan manusia ke arah kehancuran, jadi ia perlu dikikis, dan gigi menjadi simboliknya apabila dia menjadi dewasa. Dengan mengikis sifat negatif ni, hubungan seseorang manusia tu akan lebih dekat dengan dewa yang kemudiannya akan membawa mereka ke syurga kelak.

Bagi mereka, gigi yang licin melambangkan perangai yang stabil, manakala gigi yang tajam bertaring pula melambangkan nafsu haiwan yang perlu ditundukkan. Ia melambangkan tanggungjawab ayah terhadap anak perempuan telah lengkap.

Berbaloi ke sakit untuk cantik?

Kalau kita perhatikan kesemua tradisi mengenai takrifan kecantikan dari seluruh dunia, kita boleh perhatikan yang kesemuanya bukan saja berlainan, malah ada yang amat menyeksakan sampai terpaksa mengubah ciptaan sebenar atas nama budaya. Tapi persoalannya, pernah tak korang fikir siapa sebenarnya yang menetapkan definisi kecantikan ni? Dan adakah semua perkara ni menjamin kebahagian mereka?

Gif dari college times

Tapi itulah, mereka ni takde pilihan pun untuk tak mengikuti adat tu sebab dah ditentukan ibu bapa sejak kecil, dan itu pun untuk menjamin masa depan supaya berkahwin dan berkeluarga. Tapi dengan perkembangan zaman, ada yang menghentikannya disebabkan tiada manfaat khas seperti yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Hanya disebabkan adat nenek moyang, takkan kita nak tiru bulat-bulat padahal dah siap ada kajian saintifik yang membuktikan sesetengah tradisi tu tak sepatutnya dilakukan?

Kalau nak diikutkan Malaysia sendiri pun ada la takrifan kecantikan tersendiri, cuma kurang ekstrim kalau nak dibandingkan dengan budaya lain iaitu obses nak kurus dan putih. Kalau bangsa tertentu takde pilihan, tapi kita ada. Malah melalui media sosial, macam Medical Mythbusters Malaysia, Medtweetmy dan beberapa lagi, ramai je doktor, ahli farmasi, malah pakar yang memberi pendapat saintifik mereka mengenai bahan-bahan merbahaya yang ada dalam produk-produk kecantikan yang bersepah di pasaran.

Tapi nampaknya rakyat Malaysia masih lagi obses untuk mencantikkan diri dengan cara merbahaya, asalkan tampil kelihatan cantik, kurus dan putih, definisi Malaysia. Mungkin telan klorox pun takpe, asalkan putih melepak, kan?