- 694Share sekarang!
- Email20
- Facebook674
- Share
(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)
Sebelum ni ada berita macam mana pihak PDRM cuba dapatkan Notis Merah Interpol untuk Jho Low. Notis Merah ni kira macam poster ‘wanted’ lah.
Waktu kami cari maklumat berkaitan, kami sempatlah tengok-tengok senarai orang Malaysia yang ‘wanted’ dan terjumpa seorang penjenayah ni yang sangat pelik. Jalan ceritanya macam salah satu filem Tamil dengan adegan berlawan yang tak boleh diterima dek akal yang sihat walafiat. Memang cerita jenayahnya diluar kotak pemikiran.
Penjenayah yang kami nak ceritakan ni dah menipu ramai orang, mengawal polis dan pihak berkuasa, siap boleh mati hidup semula untuk memburu dan membunuh bapa mertuanya. Dia muncul dengan pelbagai nama, tapi ada satu nama yang paling banyak digunakan media tempatan iaitu Michael Soosai.
Satu benda yang korang kena tahu pasal dia adalah…
Soosai dikatakan pakar dalam aktiviti tipu-menipu
Laporan pasal Soosai di media sangatlah sikit, tapi kami tahu dia sangat ‘wanted’ oleh Bukit Aman apabila memalsukan cek pada tahun 2001, dan ketika tu dia dah kahwin. Pada tahun 2003, Soosai dikatakan dah mati kerana serangan jantung dan badan yang terbakar. Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan dua calar dari bahan besi.
Doktor kemudiannya mengeluarkan sijil kematian untuk Soosai yang menjadikan semua pertuduhan ke atasnya digugurkan. Isteri Soosai pula dah mendapat sejumlah besar insurans nyawa. Maka, tubuh dia dibakar dan semua orang menyangka dia betul-betul dah mati.
Sehinggalah pada tahun hadapannya apabila seorang rakyat Malaysia bernama N. Subramaniam dan isterinya melancong ke India dengan percuma. Apabila tiba di Lapangan Terbang Chennai, pasangan tu diculik dan dipisahkan selama lapan hari, waktu itu N. Subramaniam terbunuh kerana dicurahkan asid ke alat sulitnya. Siasatan ke atas kematiannya menunjukkan Subramaniam pernah bekerja untuk Soosai dulu.
Rupa-rupanya, Soosai sangat marah kepada anak lelaki Subramaniam yang dah kahwin lari dengan anak perempuannya. Korang kena tahu yang keseluruhan cuti percuma tu dah diuruskan sendiri oleh Soosai.
Dari kejadian ni dah menyedarkan pihak polis bahawa mereka dah ditipu selama ni: Soosai masih lagi hidup, dan berada di India. Orang yang terlibat dalam memalsukan kematiannya dah diburu dan disoal siasat, dan selepas dakwaan dan rayuan yang panjang, pembantu di HKL dah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman.
Tapi Soosai masih lagi bebas, dan pada tahun 2005…
Dia buat satu laman web yang ceritakan pasal polis Malaysia yang rasuah
Apabila pihak polis Malaysia mendapati Soosai masih lagi hidup, mereka dah memaklumkan kepada polis India dan juga Interpol. Ini dah membawa kepada pengeluaran Notis Merah ke atasnya. Walaupun begitu, kedudukan Soosai masih lagi menjadi misteri, jadi mereka menahan ibunya di Ipoh untuk mendapatkan maklumat. Kejadian ni dipercayai menjadi punca mengapa Soosai membalas dendam terhadap pihak polis Malaysia.
Soosai dilaporkan dah menghantar seorang ahli geng-nya untuk menyamar sebagai wartawan luar negara bagi menemui polis Malaysia. Orang ni merasuah seorang pegawai polis untuk ‘menyewakan’ kepadanya dokumen-dokumen sulit. Sementara itu di India, Soosai menggunakan nama ‘Dr N. Mahadevan‘, bergabung dengan lelaki lain bernama William, serta letak iklan di akhbar tempatan mencari pembantu peribadi.
Seorang lelaki bernama Milan Kumar Pandey dah diambil bekerja dan Soosai memberitahunya, bahawa Encik William adalah pembikin filem jenayah seram yang memerlukan laman web untuk mempromosikannya. Untuk itu, Pandey membayar seorang freelance untuk membina dan mendaftar laman web tersebut. ‘michaelsoosai.org’ diterbitkan untuk orang awam tapi bukannya muncul dengan tayangan trailer, tapi ia mempamerkan pelbagai hubungan antara Soosai dan beberapa pegawai polis,
Korang boleh baca lebih lanjut apa yang ada dalam websitu tu kat sini (link). Tapi, secara mudahnya ia memberitahu macam mana Soosai dihormati oleh pegawai polis Malaysia (di mana diaorang memanggilnya dengan gelaran ‘sir’. Benda lain yang dibuatnya ialah menangguhkan pendakwaan, membebaskan banduan, mengurangkan hukuman, atau menggugurkannya, semuanya dengan bayaran.
“Tiada kumpulan jenayah yang boleh berkembang tanpa sokongan dari Agensi Penguatkuasaan seperti Jabatan Polis. Pegawai polis yang koruplah yang menggalakkan aktiviti kumpulan jenayah untuk mengkayakan diri mereka dan apabila benda itu tak dapat dikawal, mereka mencuci tangan menggunakan posisi mereka,”- Petikan dari Michaelsoosai.org
Nama laman web tu adalah “Michael Soosai – A soul resting in peace“, contact e-mel yang dijumpai dalam laman web tu adalah milik Dr N Mahadevan, yang disahkan tu adalah Soosai oleh Pandey selepas melihat gambarnya.
Walau bagaimanapun, laman web Soosai tak bagi banyak kesan kecuali apa yang disemak oleh suruhanraya diraja selepas lebih dari setahun penyiasatan. Dakwaan ke atasnya disiasat, dan dia siap cabar Ketua Polis Negara waktu tu, Tan Sri Musa Hassan untuk menangkapnya kalau boleh…itulah petikan berita terakhir yang kami jumpa pasal dia di Malaysia.
Dia buat masalah dengan polis India dan sekarang tengah menghadap kes mahkamah
Dengan pelbagai nama yang digunakan, polis Tamil Nadu mengambil masa yang agak lama untuk menjejakinya. Menurut akhbar di India menyatakan waktu tu dia menamakan dirinya sebagai Michael Rajah dari Euro Credit Corporation, pada masa yang lain, dia jadi Dr Rajasingam, penulis buku ekonomi dan penasihat ekonomi untuk kerajaan Nepal.
Ada masa tertentu dia jadi Dr Sivaraj timbalan pengerusi beberapa syarikat yang berpangkalan di Singapura. Nama lain yang pernah digunakan termasuk Rajshekar dan Drahmadevan, tapi nama yang buat dia terkenal adalah Karunairaj anak lelaki Ganamuthu.
Tidak lama lepas tu, Soosai berkahwin dengan Jayanthi (juga ada beberapa nama lain termasuk Machigandhi dan Rajeswari) dan menjadi bapa kepada tiga orang anak. Dia meneruskan lagi aktiviti penipuan, tapi ada satu yang menjadi punca kejatuhannnya sewaktu membuat penipuan berkaitan pekerjaan. Dia membuat iklan kerja kosong dan kemudiannya memanggil orang yang terpilih tu untuk interviu. Akhirnya, dia dan isterinya dah dikesan.
Tindakan polis ni dah menyebabkan penangkapan mereka di Chennai pada tahun 2010. Pihak polis juga menemui barangan berharga dengan nilai sekitar RM174,000. Kami tak tahu apa yang terjadi selepas tu, tapi berdasarkan keterangan Jayanthi pada Ogos 2011, keluarga Soosai dah ditangkap di bilik hotel oleh sepasukan pegawai polis. Mereka dibawa untuk menemui Penguatkuasa Polis secara peribadi. Selepas siasatan, Soosai ditahan untuk beberapa kesalahan jenayah dan ditempatkan di Penjara Pusat Puzhal.
Dia kemudiannya diikat jamin dan dibebaskan pada September, tapi selepas dia keluar dari pagar penjara, ada sebuah jip milik polis tangkap dia balik. Betul-betul depan isteri dan kanak-kanak yang tengah tunggu dia. Dia ditahan selama lima tahun disebuah Kem Khas untuk orang luar. Waktu tu, Soosai dan isterinya cuba untuk mencabar penahanan tu di mahkamah, Soosai mendakwa yang pihak penguatkuasa tangkap dia sebab dia ada simpan bukti perjanjian antara pegawai atasan India dan kumpulan Mafia Dadah India.
Selepas arahan khas dari kerajaan Tamil Nadu, dia kemudiannya dibebaskan dari kem tahanan itu pada April 2015. Walau bagaimanapun, dia masih berdepan dengan dakwaan untuk jenayahnya yang lepas. Kali ni, dia buat cerita lain pula di mana dia pernah belajar undang-undang di England dan tinggal di Malaysia, dan menjadi Penasihat Undang-Undang kepada seorang ahli perniagaan Singapura.
Ahli perniagaan ni pula ada salah faham dengan seorang pegawai kanan polis di Chennai mengenai perniagaan berlian. Jadi, pegawai polis ni nak balas dendam terhadap ahli perniagaan tadi, Soosai yang dikenakan hukuman.
Soosai juga medakwa bahawa nama betulnya adalah Karunairaj anak lelaki Ganamuthi, di mana dia adalah kaum asal di bandar Kancheepuram dan pihak polis dan ubah nama samarannya, asal-usulnya dari Malaysia dan jenayahnya menipu dan membunuh di Tamil Nadu.
Selepas tahun 2015, kami tak jumpa dah berita mengenai Soosai, tapi ada sebuah blog post yang mengkritik mahkamah India. Dalam blog tu juga ada ulasan dari seseorang menggunakan nama, Karunairaj Gnanamuthu. Seolah-olah blog yang menceritakan secara terperinci mengenai kes mahkamahnya tu dia yang buat, bertajuk ‘Flames of Injustice‘ dengan post terakhirnya pada Januari 2016.
Soosai bukan satu-satunya orang Malaysia yang ada Notis Merah INTERPOL
Cerita Soosai sangat pelik sampaikan kami tak boleh nak tentukan mana yang betul dan mana yang tak, tapi dia adalah salah seorang dari 14 orang rakyat Malaysia yang berstatus Notis Merah dan cerita pasal mereka juga tak kurang peliknya.
Satu-satunya wanita Melayu yang ada dalam senarai adalah Rohaniza Aladib yang dah menipu ratusan VIP dan artis untuk melabur dalam syarikat rokok antarabangsa, dan hilang dengan lebih RM400 juta. Jennifer Tay pula meyakinkan dan menipu 5 orang untuk menanda tangani permohonan pinjaman bernilai RM100 juta setiap seorang, dan hilang sewaktu perbicaraan mahkamah.
Ada juga kisah bekas pengerusi Persatuan Hokkien, Tan Yoke Chung yang orang ramai nampak dia menyokong dan membantu sebuah keluarga yang anak lelakinya diseksa dan dibunuh oleh seorang Datuk. Tapi, dia kemudiannya kantoi minta rasuah dari Datuk tu untuk selesaikan kes tu. Nyo Ah Hai pula dikatakan bertanggungjawab ke atas 80% kecurian trek pick up dan MPV di Malaysia pada tahun 2000, dan mencuri 172 buah kereta dalam masa 6 tahun. Dia dah dilaporkan ditangkap pada tahun 2004, tapi Notis Merah ke atasnya masih ada dalam laman web Interpol.
Cerita-cerita pasal diaorang ni sangat-sangat pelik, mungkin satu hari nanti kami akan tulis lagi pasal salah seorang daripada mereka.
- 694Share sekarang!
- Email20
- Facebook674
- Share