4 SALAH FAHAM yang terjawab dalam Belanjawan 2019

Dalam keghairahan semua orang nak keluarkan pendapat masing-masing, nampaknya salah faham lagi cepat tersebar. SOSCILI tak rasa semua orang sanggup dengar ucapan penuh Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Jadi, berkemungkinan korang lagi banyak terbaca pandang-pandangan penulis-penulis berpengaruh di FB, Twitter dan mesej berantai kat group WhatsApp yang sangat dramatik. Dalam banyak benda yang tersebar, nampaknya berbeza dari apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.

Oleh sebab tu, kami dah kumpulkan 4 salah faham ni dan nak bagi korang betul-betul faham apa yang terjadi lepas Belanjawan 2019. Kami nak mengaku dulu, kami bukan macai mana-mana pihak, hanya sekadar memperbetulkan keadaan supaya korang bahagia disamping keluarga tersayang. Kita mulakan dulu dengan cukai baru yang mungkin korang ada dengar-dengar.

1. SALAH FAHAM: Semua projek mega zaman BN dibatalkan

Mesti ramai yang cakap, “apa ni kerajaan sekarang semua nak batalkan projek kerajaan dulu”. Banyak yang kita dengar macam LRT, MRT, HSR dan lain-lain. Tapi, betul ke semua yang BN luluskan dulu, kerajaan sekarang akan batalkan? Maklumat pasal pembatalan projek-projek mega ni macam korang main ‘telefon berkarat’ kat sekolah dulu lah. Orang pertama cakap lain, sampai ke orang akhir dia akan cakap “semua projek BN lulus, semuanya batal”.

Punca lain maklumat ni jadi ‘telefon berkarat” sebab mungkin rakyat ni keliru dengan kenyataan Tun Mahathir yang bertukar-tukar. Contohnya macam projek keretapi HSR, pada 29 Mei ia dilaporkan batal dengan keputusan muktamad. Laporan berita 19 Julai pula Tun M cakap tak batal, tapi ditangguhkan kerana tiada dana untuk bayar pampasan pembatalan.

Ni dikira berita lama jugalah kan. Sekarang kita tengok apa status terbaru semua projek ni melalui ucapan Belanjawan 2019. Pasal projek-projek ni ada disebut dalam bahagian Strategi 2: Menstruktur Semula dan Merasionalisasi Hutang Kerajaan. Projek yang betul-betul batal adalah projek Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Pipeline yang berjumlah RM15 bilion. Selain tu, projek MRT3 yang bernilai RM60 bilion juga dibatalkan.

Sampai budal last tu, jadi telinga berkarat. Imej dari Blog Saya Cikgu Zahidi

Selain yang atas, projek-projek mega lain pula ditangguhkan. Contohnya ECRL yang ditangguhkan kerja pembinaan untuk dirunding semula kos. Projek HSR yang disebut-sebut batal, nampaknya berada dalam status penangguhan macam yang disebut dalam Belanjawan 2019. Salah faham orang ramai pasal pembatalan semua projek ni juga patut dihentikan sebab ada je projek mega zaman BN diteruskan.

Projek LRT3 sepanjang 37 km diteruskan, siap dikurangkan lagi dari RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion. Jimat RM15 bilion tu! Bolehlah bagi pendidikan percuma kan?

“Bagi projek MRT2 yang diuruskan oleh MRT Corp pula, Kerajaan telah berjaya menurunkan kos kontrak pembinaan sebanyak RM8.8 bilion daripada RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion, iaitu penjimatan sebanyak 22.4%.”- Lim Guan Eng, ucapan Belanjawan 2019

Sebab projek-projek ni diteruskan kerana ia boleh bagi kesan pengganda ekonomi yang tinggi selepas membuat rundingan balik dengan kontraktor berkaitan. Untuk projek-projek yang diberi kontrak tanpa tender terbuka (rundingan terus) zaman BN dulu, ia akan ditender semula macam Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT).

Sekarang ni, semua kementerian diberi kuasa sama ada kontrak sesuatu projek boleh diteruskan atau tak. Bagi projek yang dah tandatangan setuju terima cukai SST pula boleh diteruskan dengan syarat bagi penjimatan sekurang-kurangnya 10% dari kos pembinaan.

Laluan MRT 3. Melepaslah korang yang ada dalam laluan tu. Imej dari Skyscrapercity.

Jadinya, semua projek rundingan terus yang akan ditender semula ni bakal bagi penjimatan sejumlah RM19 bilion. Bolehlah mansuhkan PTPTN kan?

2. SALAH FAHAM: Siapa yang pakai Netflix, Spotify dan seangkatan dengannya akan dicukai terus

Untuk generasi millenial yang suka viralkan berita-berita ni, korang semestinya terkejut dengan pengumuman pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan online macam Netflix, Spotify dan Steam. Ini bukan main-main dan berita ni adalah betul.

Tapi sebenarnya, cukai ni taklah dikenakan bulan depan. Ia hanya akan dikenakan pada tahun 2020, dan kita takkan tahu secara tepatnya macam mana cukai ni berfungsi. Memang ramai yang bising pasal cukai ni, mana taknya ganggu waktu berhibur korang kot. Sedar tak sedar, kalau selepas PRU hari tu BN yang jadi kerajaan, cukai ni tetap akan dikenakan juga.

Imej dari Najib Memes.

Pada tahun lepas, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy mengumumkan perancangan cukai GST dalam Netflix dan perkhidmatan online yang lain. Ini adalah antara cadangan kerajaan terdahulu mengenai kat mana lagi cukai GST boleh dimasukkan. Ia termasuklah Grab dan AirBnB. Walaupun begitu, ia tak pernah dilaksanakan sekali pun dalam pembentangan Bajet 2018.

 

3. SALAH FAHAM: Tiada lagi pengecualian PTPTN kepada mahasiswa ijazah kelas pertama

Kalau Netflix dan Spotify boleh buat golongan millenial terpicu (triggered) dengan Belanjawan 2019, inikan pula perjuangan yang tak pernah selesai untuk lunaskan hutang PTPTN.

Macam yang korang tengok tweet kat atas tu, antara isu pasal PTPTN muncul lagi apabila diumumkan mahasiswa yang dapat Ijazah Kelas Pertama di universiti, tak dapat pengecualian dari membayar PTPTN. Apakah itu maksud sebenarnya?

Dalam pembentangan belanjawan, Lim Guan Eng menyatakan bahawa bayaran pinjaman akan dipotong untuk pelajar yang datang dari kategori keluarga B40 bagi yang mendapat gred kelas pertama. Ini bermakna ada pelajar yang akan dapat manfaat jika betul-betul dari golongan miskin. Dari kenyataan ni dah membawa kepada persoalan yang dinyatakan oleh bekas PM, Najib Razak apabila sedih dengan kerajaan yang gagal menjaga pelajar dari golongan yang berpendapatan sederhana.

Imej dari Najib Memes.

Sebenarnya, banyak benda pasal PTPTN dalam Belanjawan 2019 ni yang terpecah-pecah. Ia terus menjadi topik yang diperdebatkan lagi-lagi dengan manifesto PH yang gagal. Kemudiannya membawa kepada pengumuman bahawa setiap orang yang bergaji RM1,000 perlu mula membayar hutang PTPTN. Lim Guan Eng menjawab respon ni dengan menyalahkan Jho Low yang mencuri RM50 bilion. Kalau tak, berkemungkinan janji dalam manifesto boleh dilaksanakan.

4. SALAH FAHAM: JAKIM dimansuhkan dalam era kerajaan PH

Sekali lagi, permainan ‘telefon berkarat’ dah mengambil tempat dalam isu berkaitan institusi agama macam JAKIM. Memang panas sampai orang yang terakhir ingatkan Malaysia ni agama rasminya bukan lagi Islam. Semuanya bermula apabila Tun Mahathir mengumumkan bahawa peranan JAKIM akan dikaji semula dengan mengumpulkan sejumlah ilmuwan Islam untuk membincangkan masa depan jabatan itu.

Tak tahulah macam mana, dari perkataan ‘kaji semula’ boleh bertukar jadi ‘mansuh’. Sampaikan ada surat khabar rasmi PAS, Harakah siap keluarkan tajuk besar ‘Bantah Cadangan Mansuh JAKIM’.

Imej dari Harakah

Macam biasa, nak tahu status ‘mansuh JAKIM’ yang tersebar dalam kalangan rakyat ni, maka kena tengoklah isi ucapan Belanjawan 2019. Perkataan ‘mansuh’ memang ada dalam teks ucapan Belanjawan ni, tapi bukan mansuh JAKIM. Apa yang ada ialah kerajaan mansuhkan tol motosikal kat Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor. Mansuh PTPTN tak ada wei!

Dalam Belanjawan 2019 kali ni, kerajaan memperuntukan RM1.2 bilion untuk memastikan kemajuan syiar Islam tak terjejas walaupun keadaan ekonomi yang mencabar. Bukan setakat tu je.

“…sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.”- Belanjawan 2019

Mestilah korang nak tahu kan, berapa yang JAKIM dapat dari peruntukan yang besar tu? Dari laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019, JAKIM pada tahun lepas (2018) hanya membelanjakan lebih kurang RM 871 juta. Untuk tahun 2019 ianya meningkat kepada lebih kurang RM 882 juta. Maknanya bertambah dalam RM 11 juta.

Imej dari Treasury.gov

Dah lah tak mansuh, dapat duit lebih lagi. Apa yang menarik JAKIM siap nak serapkan 1,000 hingga 3,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ke dalam jabatan tu. Tujuannya untuk membela kebajikan golongan KAFA.

Belanjawan ni penting, tapi dapatkan fakta yang tepat lagi gila-gila punya penting

Dari kesemua dakwaan kat atas, memang terbukti bahawa salah faham ni boleh tersebar dengan mudah, lagi-lagi bila memenuhi sifat berat sebelah masing-masing. Apa-apa pun, jom kita sama-sama menghadapi cabaran ni. Sedangkan sesama kat SOSCILI ni pun boleh berbeza pandangan dalam pembentangan Belanjawan 2019.

Apa yang paling penting, memang tak baguslah sebarkan maklumat yang menimbulkan salah faham semata-mata nak memenuhi agenda tersendiri. Kadang-kadang tu benda kecil je yang diputar belitkan, tapi dia punya kesan tu macam main ‘telefon berkarat’ lah. Kesian kawan-kawan korang yang pergi sebarkan benda tak betul. Maka, nasihat kami untuk sentiasa semak silang (cross checking) dan dua kali semak (double checking) bagi semua maklumat demi kebaikan anak cucu korang.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT