- 285Share sekarang!
- Email16
- Facebook269
- Share
Dah seminggu Piala Dunia Rusia 2018 meninggalkan kita. Mungkin sampai sekarang ada yang tak tahu, ni adalah kali ke-21 piala dunia dianjurkan. Kalau ikut umur, dah layak mengundi kat Malaysia. Banyak juga kenangan tersendiri yang korang ada yang kami tak nak tahu. Untuk penulis SOSCILI, kami ada kenangan pertama kali tengok perlawanan bola sepak dalam panggung wayang.
Dah macam tengok movie tau sambil makan popcorn. Terima kasih buat Shopee sebab bagi peluang ni. Sebelum kita melupakan terus piala dunia, kami nak kongsikan beberapa kenangan yang takkan boleh dilupakan sepanjang Piala Dunia di Rusia. Nanti bila korang dah tua masa tengok Piala Dunia akan datang, bolehlah cerita pada anak cucu korang. Mulakan dengan cerita…
1) Ahli kumpulan band punk menceroboh masuk padang waktu perlawanan akhir
Semua pun dah tahu, Perancis adalah juara kali ini selepas menumbangkan Croatia dengan kemenangan 4-2. Dalam sejarah, ini adalah antara perlawanan akhir paling banyak gol dilepaskan serta ada gol ke gawang sendiri. Mario Mandzukic, pemain Croatia akan tercatat dalam sejarah orang pertama meledakkan gol ke gawang sendiri di perlawanan akhir. Kesian!
Kalau korang tengok dengan khusyuk perlawanan tu, ada sesuatu diluar jangkaan berlaku pada minit ke-52. Waktu tu, kedudukan jaringan adalah Perancis – 2 manakala Croatia – 1. Kira tengah dramatiklah. Tiba-tiba, ada 4 orang berpakaian seragam polis (3 perempuan + 1 lelaki) menceroboh masuk dan berlari dalam stadium sambil dikejar pihak keselamatan.
Apa yang kelakarnya, salah seorang wanita ni sebelum dibawa keluar dari stadium sempat buat ‘high five’ dengan pemain Perancis, Kylian Mbappe. Mbappe ni jugalah penjaring gol keempat Perancis yang dah menutup terus ruang Croatia nak menang piala dunia buat pertama kali. Manakala, seorang pemain Croatia, Dejan Lovren menolak seorang lelaki yang menceroboh ni tadi dan bantu pihak pengawal tahan lelaki itu. Dia juga cakap ni lah punca Croatia hilang tumpuan lepas tu.
“Aku sangat marah sebab kami sedang bermain dengan baik ketika itu. Kami bermain bola sepak yang cantik dan kemudian datang gangguan. Aku sudah hilang tumpuan, aku tangkap lelaki ini dan aku harap dapat buang dia keluar dari stadium.”- Lovren, petikan dari Washington Post.
Selepas habis semua tu, salah seorang ahli band punk ‘Pussy Riot’, Olga Kurachyova mengaku yang dia adalah salah seorang dari penceroboh itu. Waktu pengakuan tu, dia sedang ditahan oleh pihak polis. Band Pussy Riot sebenarnya makin meningkat naik sebelum ni sebab keberanian diorang mengkritik Presiden Rusia, Vladimir Putin waktu persembahan.
Kali ni diorang menggunakan perlawanan akhir piala dunia untuk mendapatkan perhatian lebih ramai orang. Pussy Riot kemudiannya mengeluarkan senarai permintaan diorang ke kerajaan Russia di media sosial. Pelbagai permintaan tu termasuklah menghentikan penahanan ketika protes dan membenarkan persaingan politik di negara itu. Sekarang, kita dah faham apa yang diorang nak. Tapi, kenapa nak kena pakai baju polis? Rupanya untuk jadikan ianya simbolik kepada kegagalan pihak Polis Rusia dan mahukan pembaharuan dalam organisasi itu.
“Piala Dunia ini sudah menunjukkan bagaimana polis Rusia boleh menjaga perangai mereka. Tapi, apa akan jadi selepas semua ini tamat?”- Pussy Riot, petikan dari Washington Post.
Keempat-empat mereka dah didakwa kerana melanggar hak-hak sebagai penonton dan memakai simbol penguatkuasa undang-undang secara tak sah. Diorang boleh didenda sebanyak 11,500 rubles (atau RM 744.71) atau khidmat komuniti selama 160 jam. Bagi sesetengah pihak, mereka adalah hero dan pihak lain anggap diorang hanya menganggu sahaja. Tapi, cerita seterusnya ni mesti korang akan setuju ianya cerita hero
2) Dua pemain Sepanyol selamatkan seekor makhluk dan mendapat anugerah
Lagu rasmi piala dunia kali ni mungkin ramai tak berapa nak hafal kan. Lainlah lagu rasmi waktu Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang Shakiri nyanyi tu. Nak sebut pun senang, “~Tsamina mina eh eh, waka waka eh eh, Tsamina mina zangalewa, This time for Africa~”. Kalau Shakira punya lagu dulu adalah satu fenonema, suami dia pula iaitu Gerard Pique, pemain Sepanyol juga jadi fenomena untuk pihak tertentu pada piala dunia kali ni.
Pada perlawanan peringkat kumpulan antara Sepanyol dan Iran, maka genaplah 100 kali kemunculan Pique bermain sebagai pemain kebangsaan Sepanyol. Sewaktu perlawanan, nampaknya Pique ada buat sesuatu.
Tindakan Pique ni bukanlah aksi gelecek atau pass bola, tapi dia tunduk dan cuba mengangkat seekor anak burung yang ada dekat dengannya di atas padang. Tapi, burung tu terbang dan jatuh semula di padang. Kemudian, seorang lagi pemain Sepanyol, Isco pula terlibat dengan memegang anak burung itu dan berlari keluar dari padang lalu meletakkannya di tempat yang lebih selamat.
Tindakan Pique dan Isco ni walaupun nampak tak ada kaitan untuk kemenangan Sepanyol, sedar-sedar dah dapat perhatian ramai hingga digelar sebagai hero. Mana taknya, pemain-pemain ni memastikan perlawanan dihentikan sekejap supaya diorang boleh alihkan anak burung tadi.
Bukan setakat pujian, tindakan itu dah menyebabkan mereka mendapat satu anugerah khas dari kumpulan hak haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA). Dua anugerah Hero to Animals adalah dalam bentuk sijil berbingkai yang boleh diorng masukkan kat kabinet trofi masing-masing.
“PETA mengiktiraf kebaikan pemain bola sepak ini yang dengan lembutnya mengalihkan anak burung ini tadi keluar dari situasi bahaya…
Tiada permainan yang lebih penting berbanding dari nyawa seekor makhluk, dan kami berharap tindakan wira ini akan menggalakkan setiap orang untuk datang membantu haiwan-haiwan yang memerlukan.”- Elisa Allen, Pengarah PETA, petikan dari Daily Mail.
3) Kenangan penderitaan di negara asal, diluahkan ketika bertemu negara penindas
Kemenangan Perancis pada piala dunia kali ni juga dianggap oleh sesetengah media sebagai kemenangan buat orang Afrika dan para imigran seluruh dunia. Mana taknya, tak kurang dari 15 pemain dari keseluruhan skuad adalah berasal dari Afrika. Ini termasuklah pemain muda sensasi diorang, Kylien Mbappe (mamat yang high five dengan Pussy Riot).
Pemain imigran ni juga ada di beberapa negara Eropah lain yang bertanding termasuklah Switzerland. Apa yang mengejutkan adalah sewaktu perlawanan Switzerland menentang Serbia, dua kali gol dijaringkan dan kedua-dua permain yang jaringkan tu buat satu lambang yang sama. Lebih tepat lagi, Shaqiri dan Xhaka buat lambang burung helang berkepala dua yang ada pada bendera Albania. Tapi, untuk apa?
Menurut penulis politik antarabangsa, Ayman Rashdan Wong berpendapat apa diorang berdua buat tu sebagai ‘balas dendam’ terhadap Serbia yang menindas etnik Albania di Kosovo. Memang Shaqiri dan Xhaka sebenarnya asal etnik Albania yang ditindas dan berhijrah ke Switzerland. Ini berlaku selepas Serbia tak nak bagi kemerdekaan hingga tercetus Perang Kosovo 1998-1999.
Macam Shaqiri, dia dan keluarganya lari ke Switzerland sebelum perang bermula lagi pada tahun 1992. Diorang mulakan hidup dengan penuh cabaran. Bapa dia kerja cuci pinggan kat restoran dan mak dia jadi pembersih di bangunan pejabat. Dia pula tolong mak dia untuk vakuum pejabat. Keluarga diorang tak berpeluang untuk pulang ke tanah air apabila perang tercetus. Jadi dia tinggallah di situ sampailah jadi pemain kebangsaan Switzerland. Dalam masa sama, tempat dia tinggal, Kosovo akhirnya merdeka pada tahun 2008.
Jauh sebelum Shaqiri meraikan gol menggunakan lambang helang Albania, pada tahun 2012, dia dah pun meletakkan bendera Switzerland, Albania dan Kosovo pada kasutnya ketika perlawanan menentang negara Albania. Dan waktu Piala Dunia 2018, dia memakai kasut bola yang ada bendera Switzerland dan Kosovo.
“Saya rasa yang saya ada dua buah tempat tinggal. Ianya mudah. Switzerland memberi segala-galanya kepada keluarga saya dan saya cuba bagi segala-galanya untuk pasukan negara. Tapi, apabila saya pergi ke Kosovo, dengan pantas saya merasai ianya tempat tinggal juga.”- Shaqiri, petikan dari Players Tribune
Untuk Xhaka pula, dia lahir di Basel, Switzerland tapi ibu bapanya adalah orang Kosovo-Albania. Abangnya, Taulant merupakan pemain kebangsaan pasukan Albania. Walaupun berada di negara berbeza, kedua-duanya bangga dengan asal-usul mereka. Bapa Xhaka iaitu Ragip juga adalah antara orang pernah menghabiskan masa selama 3 tahun setengah di penjara, Belgrade, Serbia sebab terlibat dengan demonstrasi melawan kerajaan komunis pada tahun 1980.
Dari asal usul pun kita dah tahukan kenapa kedua-dua pemain ni ada sesuatu nak ditunjukkan kepada Serbia. Tapi, nampaknya jurulatih Serbia, Mladen Krstajic tak nak lomen pasal benda ni sebab dia cakap yang dia orang sukan dan akan jadi orang sukan. Berbeza pula dengan jurulatih Swtizerland sendiri yang mengatakan bola sepak dan politik tak patut dicampurkan. FIFA setakat ni tak ada buat apa, cuma dapat aduan daripada pihak Serbia tanpa mendedahkan secara terperinci apa benda yang diorang laporkan tu.
4) Bilangan gol, bolos dan mata sama, macam mana nak bezakan siapa yang layak?
Pada Piala Dunia 2018 ni, harapan untuk tengok pasukan Asia mara ke peringkat lebih tinggi makin lama makin tipis. Lagi-lagi bila Iran, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi semuanya balik awal. Tapi, ianya berbeza buat Jepun yang berjaya layak tapi dengan cara yang belum pernah digunakan. Apakah cara itu?
Bayangkanlah, Jepun dan Senegal mengakhiri pusingan kumpulan dengan 4 mata, perbezaan gol yang sama dan skor gol juga sama. Mereka juga seri 2-2 waktu bertembung sesama mereka. Akhirnya, sistem ‘fair play’ digunakan. Bila perkiraan dibuat, Jepun hanya ada 4 kad kuning yang dierima sepanjang perlawanan manakala Senegal pula ada 6. Maknanya, Jepun lagi bersih permainannya.
Itulah pertama kali dalam sejarah ada pasukan yang layak dengan sistem ini dan ianya dari negara Asia. Kita pun tahu Jepun memang jenis suka kebersihan macam yang ditunjukkan oleh penyokong diorang waktu bersihkan stadium. Walaupun bersih, ada sesuatu yang tak kena waktu Jepun dapat tahu dia akan layak dengan cara fair play.
Pada perlawanan akhir peringkat kumpulan H, Jepun bertemu Poland manakala Colombia bertemu Senegal. Apabila jurulatih Jepun, Akiro Nishino dapat tahu yang Senegal dah ketinggalan 1 gol waktu lawan Colombia, berlaku benda tak best. Akira terus bagi arahan kepada pemain untuk melengahkan perlawanan untuk elak bolos lagi gol (waktu tu diorang ketinggalan 1-0 dengan Poland) dan elak kena kad kuning. Pemerhati sukan perasan yang Jepun tak ada usaha pun nak gol atau menang sebab dah tahu layak secara fair play.
“Jepun telah kalah lebih dari 1-0 pada hari Khamis lalu. Walaupun, mereka memenangi laluan untuk pusingan pasukan 16 terakhir tapi mereka hilang respek untuk bola sepak dan Piala Dunia.”- Alex Shaw, Editor ESPN.
Aksi yang ditunjukkan Jepun pada perlawanan itu dah buat penyokong dalam stadium jadi bengang. Akira Nishino yang bertanggungjawab gunakan taktik tu mengakui yang dia pun kecewa tapi nak buat macam mana. Layak untuk pusingan seterusnya lagi penting.
“Saya rasa ianya agak mengecewakan tapi dalam keadaan sebegitu, saya tak ada pelan lain. Piala Dunia adalah tempat perkara-perkara macam ini terjadi. Dan kami sudah melaluinya. Jadinya, mungkin ia adalah keputusan yang betul.”- Akira Nishino, petikan dari The Guardian.
5) Terbukti adanya sumpahan untuk juara piala dunia dari negara Eropah
Pasukan gergasi bola sepak macam Jerman semestinya adalah pilihan juara sekali lagi. Mana taknya, kedudukan dalam FIFA pun nombor satu. Tambah lagi, jarang nak tengok Jerman tak sampai peringkat separuh akhir sejak tahun 2006. Fakta-fakta gempak mengenai Jerman ni akhirnya tak boleh pakai pada Piala Dunia 2018. Jerman memang bungkus awal lagi di peringkat kumpulan dan berada di kedudukan terakhir kumpulan F dibawah Korea Selatan, Sweden dan Mexico.
Apa yang tak kena? Padahal ada je beberapa pemain sama digunakan waktu jadi juara Piala Dunia 2014 dan jurulatih pun tak tukar. Kebanyakan penganalisis sukan mengaitkannya dengan beberapa sebab termasuk ‘sumpahan’ yang memang wujud untuk negara Eropah yang pernah jadi juara. Sumpahan yang dimaksudkan ni adalah kalau pasukan Eropah tu jadi juara Piala Dunia edisi sebelum ni, edisi seterusnya pasukan itu akan balik awal.
Corak ni boleh dilihat bermula dari Piala Dunia 2002 dan seterusnya. Jerman adalah pasukan Eropah keempat yang terkena sumpahan ini.
- Pasukan Perancis juara Piala Dunia 1998. Dan balik awal atau tersingkir pada peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2002.
- Pasukan Brazil juara Piala Dunia 2002. Tapi, tak balik awal dan hanya tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia 2006. (Sebab Brazil bukan dari negara Eropah)
- Pasukan Itali juara Piala Dunia 2006. Dan balik awal atau tersingkir pada peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010.
- Pasukan Sepanyol juara Piala Dunia 2010. Dan balik awal atau tersingkir pada peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2014.
- Pasukan Jerman juara Dunia Piala Dunia 2014. Dan macam yang kita tahu dah balik awal pada tahun 2018.
“Keseluruhan bola sepak Jerman telah mengalami kekalahan bukan sahaja dalam perlawanan, tapi setiap benda yang kita telah bina sejak beberapa tahun lalu. Kami mohon maaf.”- Pengurus pasukan Jerman, Joachim Low, petikan dari The Skysports
Jerman dah terkena sumpahan. Adakah empat tahun lagi Perancis akan terkena sumpahan yang sama. Siapa yang lagi empat tahun nak sokong Perancis eloklah fikir baik-baik pasal sumpahan ni.
Piala dunia sebenarnya lebih daripada bola sepak di dalamnya
Selain dari peminat sukan ini teramai di dunia dengan jumlah 4 bilion orang, piala dunia setiap 4 tahun sekali sentiasa akan membuka ruang diskusi yang begitu banyak. Ianya bukan sekadar sukan bola sepak. Lima poin kami senaraikan ni pun dah menyebabkan adanya perbincangan pasal politik di Rusia, hak asasi haiwan, sejarah tragik etnik Albania dan sekitarnya, sistem fair play yang menarik serta kewujudan ‘sumpahan’ yang tak dapat diterangkan oleh sesiapa.
Kalau korang mengkuti penuh Piala Dunia 2018 ni semestinya lagi banyak benda baru yang korang dapat walaupun korang tak berapa minat bola sangat. Hingga ke saat akhir perlawanan Piala Dunia antara Croatia dan Perancis pun kita dapat belajar dua benda dari kedua-dua negara. Croatia berjaya menunjukkan kehebatan kepimpinan mereka melalui Presiden wanita pertama negaranya, Kolinda Grabar-Kitarovic.
Dia datang ke Rusia menggunakan duitnya serta memilih kelas ekonomi di dalam pesawat. Hanya memakai jersi dan duduk di tempat penonton awam untuk hampir ke semua perlawanan Croatia. Semestinya dia sanggup berhujan dan berbasah dengan pemainnya ketika menerima pingat walaupun kalah. Inilah bukti perempuan kalau ada kuasa tak lah kerja shopping je kan?
Manakala Perancis mengajar kita erti bekerjasama dengan pelbagai bangsa dan budaya tanpa berbelah bagi untuk negara. Terima kasih Rusia! Jumpa empat tahun lagi di Qatar.
- 285Share sekarang!
- Email16
- Facebook269
- Share