- 1.3KShare sekarang!
- Email7
- Facebook1.3K
- Share
Selepas kemenangan Pakatan Harapan, punyalah banyak pegawai-pegawai dari Barisan Nasional katanya nak didakwa atas skandal diorang masa jadi ahli kerajaan. Salah satu nama yang paling disebut adalah Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi. Salah satu kumpulan yang nak Taib Mahmud ni disiasat adalah – PKR Sarawak.
“Beberapa tahun lalu SPRM telah memeriksa 500 fail dan membuka sekurang-kurangnya 10 kertas siasatan dalam aduan yang dikaitkan dengan Taib Mahmud tetapi tidak pernah ada hasilnya.” – Baru Bian, dipetik dari MSN
Baru-baru ni Perdana Menteri kita ada berjumpa dengan Tun Taib, katanya untuk bincangkan kedudukan Barisan Nasional kat Sarawak. Tapi sebenarnya Taib ni siapa? Hahh…sambil-sambil korang tengah fikir nak berbuka puasa kat mana esok, mari kami terangkan.
Siapa sebenarnya Taib Mahmud ni? Macam mana pulak dia boleh kaya gila babs?
Kalau korang nak tahu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud dilahirkan 21 Mei 1936 di Miri, Sarawak. Wehh…beberap hari lepas dia dah sambut birthday dia, korang nak bagi dia apa? Sebelum ni isteri Taib Mahmud siap belikan dia kereta Bentley yang bernilai RM1.5 juta. Taib Mahmud ni merupakan Ketua Menteri Sarawak yang keempat dan jadi Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak yang ketujuh.
Korang rasa apa gelaran yang terbaik untuk Taib Mahmud ni? Mr. Kaya? Mr. Tony Stark Sarawak? Hahh…gelaran yang diberikan kepada Taib Mahmud adalah “rambut putih”. Diorang bagi gelaran rambut putih bukan sebab Taib ada rambut putih semata-mata, rambut putih ni merujuk kepada keluarga Brooke yang pernah menjajah Sarawak dulu.
Taib jugak bukan sekadar ada gelaran yang cool, rambut putih beb, apa yang lebih cool dari tu? Dia juga merupakan Ketua Menteri Sarawak yang memegang jawatan paling lama. Dia pegang jawatan tu selama 33 tahun kot, lebih lama daripada Tun Mahathir masa dia jadi Perdana Menteri dulu. Tapi Tun Mahathir boleh tambah lagi rekod tu, memandangkan dia buat comeback.
Biasanya selepas bersara daripada pegang jawatan penting, ramai yang akan ambik masa untuk bercuti dan berehat bersama keluarga tercinta. Cerita Taib ni lain pulak, selepas dia meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, dia dilantik menjadi Tuan Yang Terutama Sarawak (TYT) yang ketujuh. Bagi sesiapa yang malas baca buku Sejarah, TYT ni macam Sultan kat negeri-negeri bersultan.
Sebelum Taib jadi Ketua Menteri, dia siap pernah tulis buku pasal Islam
Taib Mahmud bukan lahir dengan kad ATM yang ada berisi juta-juta, seperti cerita lame kebanyakan jutawan – dia dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Kalau korang nak tahu, sejak kecil Taib disara oleh bapa saudaranya yang bernama Abdul Rahman Ya’kub, dia merupakan Ketua Menteri Sarawak yang ketiga.
Pada tahun 1958, Taib dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge dan lanjutkan pelajaran kat Universiti Adelaide di Australia Selatan. Taib berjaya dapat ijazah undang-undang dari universiti tu pada tahun 1960. Sebenarnya ramai yang tak tahu Taib ni pernah tulis buku pasal Islam. Salah satu buku yang ditulis oleh Taib Mahmud bertajuk Islam and a Changing World.
Selepas Taib pulang semula ke Sarawak, dia berkhidmat dengan Crown Council dari tahun 1962 sehingga 1963. Pada tahun 1963 ni dia dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak. Cepat betul dia jadi Menterikan? Kita ni lepas grad sibuk nak cari kerja. Pada 1970, dia menang pulak Parlimen Kota Samarahan dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Sumber Semulajadi pada tahun 1972. Pada tahun 1981, dia dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Sarawak Civil War: Taib vs Rahman
Selepas Taib jadi Ketua Menteri Sarawak berlaku pertelingkahan diantara dia dengan Abdul Rahman Ya’kub yang merupakan mantan Ketua Menteri Sarawak ketiga – dan mentor politik Taib. Cerita dia macam ni – walaupun selepas Taib dilantik jadi Ketua Menteri, Abdul Rahman nak Taib tadbir Sarawak ikut nasihat dia. Pada permulaan pentadbiran Taib, dia ikutlah nasihat unclenya tu, tapi lama-kelamaan dia nak tadbir ikut rentak sendiri.
Pada tahun 1983 – berlaku mesyuarat agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Taib pada masa tu. Dia ambil keputusan untuk memastikan jawatan presiden dan salah satu daripada dua jawatan timbalan presiden parti tak dipertandingkan. Lepas tu Taib putuskan kedua-dua jawatan timbalan presiden tak perlu pertandingkan kerana takut kerusi itu akan dimenangi oleh orang Abdul Rahman – mampu menggugat kedudukan politik Taib.
Pergaduhan ni berlarutan dan berada pada kemuncaknya pada tahun 1987. Ketika tu 4 menteri Sarawak tiba-tiba melepaskan jawatan mereka. Betapa dahsyatnya aura Rahman ni – pada tahun tu jugak lebih kurang 7 pemimpin Sarawak dan 20 ADUN Sarawak diterbangkan ke Hotel Ming Court, KL untuk adakan mesyuarat singkirkan Taib. Sebab ni “sivil war” ni dikenali Kes Mahkamah Ming.
Pasukan Rahman siap jumpa Tun Mahathir yang masa tu jadi Perdana Menteri. Tun Mahathir kata akan beri kebebasan pada team Rahman asalkan ia tak langgar undang-undang. Team Rahman telah menubuhkan parti politik yang dinamakan MAJU manakala Taib gunakan nama Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri 1987 ni.
Akhirnya pada pertembungan epik ni – BN Sarawak menang 28 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Selepas tu, bertambahlah kekuasaan Taib untuk tahun-tahun berikutnya, pengaruh Rahman pula semakin merosot.
Nepotisme – kekayaan yang libatkan keluarga Taib
Kalau korang tak faham binatang apa ni nepotisme – maksudnya perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja. Kalau korang nak tahu – pada tahun 1995 Taib melantik anaknya sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan bagi Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB). Anak-anak Taib yang lain – Sulaiman Abdul Rahman Taib, Jamilah Hamidah Taib, Hanifah Hajar Taib dan ibunya, Allahyarhamah Laila Taib, merupakan pemilik saham besar dalam syarikat tu.
Syarikat CMSB ni merupakan salah satu syarikat korporat terbesar kat Sarawak, diorang bertanggungjawab dalam banyak projek pembangunan kat Sarawak. Bukan setakat syarikat je yerr – pada tahun 2008 Taib beri laluan kepada anaknya Sulaiman untuk bertanding kerusi Parlimen Samarahan. Dia menang dan paling tak boleh bla, dia terus dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan walaupun takde pengalaman politik.
“Pembongkaran terhadap kekayaan maha luar biasa Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud dan keluarganya bernilai sekitar US$21 billion menyebabkan tidak sedikit rakyat negara ini yang terkejut.” – Hafiz Zainuddin, dipetik dari RocketKini
Pada tahun 2012, Bruno Manser Fund (BMF) mendakwa kekayaan keluarga Taib Mahmud mencecah 21 billion USD. Cuba korang bayangkan kalau korang convert 21 billion USD ke ringgit – korang akan dapat RM83.51 billion. Kalau duit ni nak dibandingkan dengan RM2.6 billion yang Najib Razak katakan derma hari tu, macam takde nilai je. Ini bukan setakat 7 keturunan boleh pakai, 300 keturunan lah kot kalau diorang tak boros.
Hafiz Zainuddin turut tegaskan yang Taib ni kena disiasat bagi melambangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ni betul-betul telus dalam siasatan diorang. Dia turut menambah;
“Sekiranya bekas MB Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo telah disiasat malah didapati bersalah, begitu juga Teoh beng Hock yang disiasat ‘hingga mati’ bagi jumlah tuduhan penyelewengan yang teramat kecil, bagaimana pula dengan Taib? Apakah SPRM cukup berani? – Hafiz Zainuddin, dipetik dari RocketKini
Dakwaan Sarawak Report dan saman MalaysiaKini
Sarawak Report adalah pasukan yang selalu kantoikan skandal dan rasuah yang ada kat Malaysia. Kalau korang masih ingat, Sarawak Report adalah antara portal berita yang siarkan tentang skandal 1MDB. Kalau korang nak tahu Sarawak Report pernah laporkan tentang kes rasuah Taib kat luar negara. Taib katanya dah bina empayar hartanah di Kanada – Sakto Corporation yang bernilai ratusan juta dolar.
Dia gunakan nama menantu lelakinya – Sean Murray. Syarikat ini diasaskan oleh adik Taib iaitu Onn Mahmud.
Bukan setakat tu je – Taib jugak dikatakan memiliki kekayaan kat Amerika Syarikat. Nama syarikat dia kat sana adalah Sakti International Corporation yang dikendalikan oleh pasangan yang sama kat Kanada – Sean Murray dan isterinya. Pergh, betul-betul kaya Taib ni ada duit dan harta kat mana-mana.
Sebenarnya banyak je portal-portal berita dan blog yang siarkan masalah korupsi kat Sarawak. Geng-geng yang laporkan kes-kes ni siap bawak bukti lagi, tapi kebanyakan daripada laporan tu tak diendahkan pun. Salah satu syarikat akhbar yang selalu cover cerita Taib ni – MalaysiaKini. Pada tahun 2007, Taib siap nak saman MalaysiaKini sebab dia percaya difitnah.
“Saman setebal 30 halaman itu yang menamakan malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan menyenaraikan artikel-artikel yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah itu.”- MalaysiaKini
Selepas lima tahun Taib dan MalaysiaKini turun naik mahkamah, akhirnya diorang selesaikan kes tu kat luar mahkamah pada tahun 2012. MalaysiaKini menyatakan bahawa diorang hanya mengikut laporan-laporan asal sumber diorang, dan minta maaf jika dalam laporan diorang terdapat bahagian yang boleh menjatuhkan reputasi Taib.
Video viral tentang rasuah yang berlaku kat Sarawak
Satu ketika dulu pernah viral satu video yang memaparkan kaedah urus beli tanah kat Sarawak berlaku. Paling sadis – video ni kantoikan kebanyakan tanah-tanah yang ada kat Sarawak ni sebenarnya dimiliki oleh ahli keluarga Taib. Bukan setakat tu je, dahlah diorang jual tanah-tanah yang sepatutnya menjadi sumber kekayaan Sarawak, diorang juga lakukan pelbagai jenayah lain.
Contohnya diorang gunakan nama orang asli yang dikatakan miskin dan “buta” sebagai shareholder untuk kaburi proses jual beli. Diorang juga selalunya akan lakukan urusniaga penjualan tanah-tanah ni kat Singapura supaya diorang boleh terlepas dari cukai. Kalau korang tak percaya, cuba korang tengok sendiri video ni.
Kita harap selepas kita bertukar kerajaan ni – kes yang melibatkan rasuah dan skandal ni dapatlah dibersihkan. Yalah, sebab duit-duit ni semua adalah milik rakyatkan? Sekarang ni pun mantan Perdana Menteri Najib Razak dah disiasat, mungkin lepas ni Taib Mahmud?
- 1.3KShare sekarang!
- Email7
- Facebook1.3K
- Share