- 955Share sekarang!
- Email14
- Facebook941
- Share
Artikel ini asalnya diterbitkan pada 16 Mac 2018, dan telah diolah pendahuluannya sesuai dengan keadaan semasa.
__________________________________________________________________
Pada 17 Mei 2020, Mukhriz Mahathir dah meletakkan jawatan sebagai MB Kedah selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Disebabkan hal itu, ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dah dilantik sebagai MB Kedah yang baru. Menariknya, sekitar 25 tahun yang lalu – Kedah juga mempunyai MB dengan nama sama iaitu Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.
Pada hari ni, mungkin ramai generasi muda yang tak berapa kenal dengan insan ini. Tapi, kalau kita tengok balik sejarah hidup dan perjalanan politiknya, kita akan nampak yang Sanusi ni bukan calang-calang orang.
Jadinya, SOSCILI kali ni nak bercerita tentang tokoh hebat ni dan mungkin kita boleh mula dengan…
Sanusi kuasai banyak bahasa, termasuklah Mandarin, Tamil, Arab dan Jerman
Pada tahun 1943, Sanusi dilahirkan di Yan, Kedah dan dia dapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Yan. Pada tahun 1957, Sanusi dah berjaya masuk ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
Seawal usia lapan tahun, Sanusi dah jadi kelindan lori (pembantu pemandu) yang dibawa ayahnya. Setiap hari Jumaat, diorang akan hantar ikan ke Pasar Besar Ipoh. Masa di sekolah menengah pula, Sanusi bekerja sebagai pembantu kedi (caddie) di kelab golf Sungai Petani.
“Jadi bila saya pergi Malay College, masa tu bapa saya dah meninggal. Saya berunding dengan Guru Besar, supaya hari Jumaat atau Sabtu dengan Ahad saya pergi jadi kedi golf… Saya masa tu jadi assistant caddie di Taiping. Bila umur saya dah 15 tahun, saya jadi kedi penuh.” – Sanusi Junid, dipetik dari Antara Pos.
Sebelum tu, Sanusi juga buat macam-macam kerja termasuklah tukang cuci pinggan dengan upah sekeping roti canai untuk pagi, petang dan malam. Bila dia dapat tawaran masuk MCKK, Sanusi masuk lewat dua bulan sebab sibuk berniaga kain di pasar malam, selain berniaga air batu sagat dan songkok.
“Paling tidak dilupakan Sanusi apabila beliau menjual Makjun Puteri Arjuna milik Pak Raden sambil berceramah sedangkan makjun tersebut adalah untuk tenaga batin. Pada usia mentah beliau hanya menghafal kebaikan makjun tersebut supaya dapat berceramah untuk melariskan jualan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Apa yang lebih menarik, disebabkan beliau ni suka belajar dan mudah faham, Sanusi fasih berbahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan Jerman.
“Satu hari di Malay College, datang seorang guru. Dia boleh berbahasa Siam, Perancis dan Jerman. Saya belajar bahasa Jerman darinya.” – Sanusi Junid, Dipetik dari Antara Pos.
Bila dah habis belajar di MCKK, Sanusi mulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pelatih sebelum dilantik menjadi Pengurus di Chartered Bank, Seremban. Masa tu, dialah orang Melayu pertama yang dilantik di bank tu sebagai pegawai.
“Disebabkan saya orang Melayu pertama yang dilantik atas dari office boy di Chartered Bank. Bising satu masyarakat perniagaan di Seremban. Jadi Presiden Perniagaan Melayu Seremban masa tu Datuk Jaafar Talib datang ke bank… Saya pun jumpa dia… Selepas tu saya dilantik jadi Setiausaha Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan, masa tu saya berumur 22 tahun.” – Sanusi Junid, Dipetik dari Antara Pos.
Menjadi salah seorang pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Beberapa tahun lepas kerja di bank, Sanusi pergi ke London untuk lanjutkan pelajaran. Masa di sana, Sanusi berulang alik dari England ke Jerman. Sebabnya, dia juga belajar di Berlitz School Of Language, Jerman. Dalam masa sama, Sanusi selalu pergi ke Masjid Backer Street (London Central Mosque) dan jumpa dengan gerakan Islam di sana.
Pada tahun 1969, dah berlaku satu kejadian bila Israel membakar Masjid Al-Aqsa. Jadinya, satu demonstrasi besar meletus di London dan Sanusi pun terlibat sama dalam demonstrasi tersebut.
Masa di sana juga, Sanusi terdedah dengan banyak agenda Islam termasuklah dalam hal ekonomi Islam. Sanusi masa tu dah pun jadi ahli Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC). Bila dia balik ke Malaysia, Sanusi rancang nak buat Angkatan Dakwah MAYC (ADAM), tapi idea tu tak jadi – sebab dia nak buat pula Angkatan Dakwah Malaysia (ADAM).
Lepas tu, sekali lagi Sanusi tukar fikiran dan dengan cadangan kawan-kawan, maka tertubuhlah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Prof Dr Razali Nawawi dilantik sebagai Presidennya yang pertama, manakala Sanusi sebagai Naib Presiden dan Anwar Ibrahim pula sebagai Setiausaha Agung. Itulah antara sedikit kisah tentang penubuhan ABIM.
Pernah cuba dirasuah Botak Chin masa jadi timbalan menteri
Sanusi mula libatkan diri dalam politik bila masuk UMNO pada tahun 1963 dan jadi Ahli Parlimen pada tahun 1974. Seterusnya, dia dilantik dalam barisan kabinet Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.
Masa Sanusi jadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, dia pernah jumpa sendiri dengan seorang penjenayah terkenal – Botak Chin. Hal ni jadi bila Botak Chin menyerang dan cederakan warden Penjara Pudu masa dia cuba nak larikan diri. Masa tu Botak Chin tengah tunggu hukuman gantung sampai mati.
Disebabkan kes tu, Sanusi dah pergi ke Penjara Pudu dan jumpa sendiri dengan Botak Chin. Mula-mula Botak Chin buat tak kisah dengan Sanusi, tapi bila dia tahu Sanusi ni timbalan menteri, Botak Chin pun mula berlembut dan sedia untuk berunding.
“Dia mendekati saya dan membisik rancangan jahatnya untuk berpakat supaya dia dibebaskan. Dalam perbualan itu, dia turut menawarkan untuk berkongsi 50 peratus daripada hasil rompakan jika dapat membebaskannya.” – Dipetik dari sanusijunid.blogspot.
Tapi Sanusi tak jawab tawaran Botak Chin tu dan dia cuma senyum je. Bila nampak macam tu, Botak Chin pun marah dan tanya kenapa lambat sangat dia nak dihukum gantung. Pihak penjara kata, diorang cuma ada 5 tali gantung, sedangkan banduan yang nak digantung ada 36 orang.
Tak lama lepas tu, Sanusi sekali lagi jumpa dengan Botak Chin dan dia masih lagi tanya kenapa dia tak digantung lagi. Sanusi cakap supaya sabar, tapi Botak Chin kata kalau takde tali boleh je guna wayar untuk gantung dia. Sanusi pun kata yang tali gantung masih belum sampai, sebab tali yang dicari ni jenis bersalut baldu supaya tak sakit masa leher kena jerut.
“Botak Chin tanya, ‘mana lu tahu sakit kah tak sakit kah…yang sudah mati kena gantung ada cakap sama lu?’ Selepas dialog inilah pihak penjara telah menukar tali gantung dari yang bersalut baldu dengan yang dianyam dari plastik yang dipakai sekarang.” – Cerita Sanusi Junid dari blognya.
Perkenalkan kempen ‘Minum Air Kelapa’ dan tanam padi atas bumbung
Selain pernah dilantik menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Sanusi juga dilantik jadi Menteri Pertanian. Baru je beberapa bulan dilantik untuk jawatan tu, Sanusi dah diuji bila harga kelapa jatuh teruk, sampai merugikan ramai petani.
Hal ni jadi bila Bank Dunia klasifikasikan kelapa sebagai ‘sun-set crop’ atau ‘buah senja’ sebab dianggap dah tak ada harapan dalam ekonomi dan tak boleh bersaing dengan kelapa sawit. Masalah bertambah teruk bila masa tu nak dekat dengan pilihan raya. Jadinya, Sanusi kena cari jalan untuk naikkan balik pasaran kelapa.
Caranya, dia dah perkenalkan kempen minum air kelapa muda, lepas nampak kelapa muda lagi mahal dari kelapa tua. Sanusi juga dapatkan pendapat pakar untuk tolak dakwaan yang kata air kelapa ni boleh lemahkan tenaga batin.
“Beliau bertanya: Kenapa tunggu harga turun baru hendak jual? Kenapa tidak jual kelapa semasa harganya masih mahal? Bukankah sebelum tua, kelapa itu muda dan sebelum murah, kelapa itu mahal?” – Dipetik dari Malaysia Insight.
Disebabkan kempen ni, kelapa dah berjaya dipasarkan balik dan jadi antara minuman paling popular di Malaysia. Malah, ramai peladang di Asia Tenggara masa tu mula tanam kelapa dan hal ni dah buktikan yang Bank Dunia salah dalam menilai kelapa.
Selain tu, Sanusi juga pernah bawa idea kontroversi macam kempen tanam padi atas bumbung. Ramai yang agak sinis dengan idea ni dan anggap idea ni cuma kerja gila. Tapi sebenarnya, apa yang Sanusi cadangkan tu ada asas dan berasal dari pengalamannya.
Idea ni mula datang bila Sanusi melawat kawannya yang juga Menteri Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Taiwan.
“Pada waktu saya menziarahinya di rumah, saya ternampak… isterinya keluar dengan dua buah timba kecil dan lampu suluh yang terikat di kepalanya.
—
Menjawab kehairanan perhatian saya isterinya memberitahu dia hendak bubuh baja dan menyiram padinya di luar. Saya terkejut apabila diberitahu bahawa padinya ditanam di atas bumbung sebagai hobi.” – Sanusi Junid dipetik dari blognya.
Sebab itulah idea ni dibawa ke Malaysia. Tapi idea ni tak diterima dan dapat banyak kritikan. Akhirnya, idea ni hilang begitu je. Sebenarnya, banyak lagi idea-idea dan kempen yang Sanusi buat terutamanya masa dia jadi Menteri Pertanian dan MB Kedah. Antaranya macam: Kempen Makan Ikan Berlauk Nasi, pertandingan panjat pokok kelapa, cabut uban pasangan suami isteri dan macam-macam lagi.
Pengalaman Sanusi dengan Tunku Abdul Rahman
Sebenarnya, Sanusi terkenal sebagai seorang ulat buku dan hal tu diakui sendiri oleh yang dah tengok sendiri rumahnya. Menurut Rozaid Rahman dari The Star, dia pernah pergi ke rumah Sanusi dan dia nampak terlalu banyak buku di rumah tu.
“Bagaimanapun apabila masuk ke dalam, rupanya rumah itu adalah sebuah perpustakaan. Maksud penulis, keseluruhan rumah banglo itu dari tingkat bawah hingga ke tangga dan tingkat atas dipenuhi dengan koleksi beribu buku beliau. Ada dua lagi rumah yang dipenuhi koleksi buku-buku saya, kata Sanusi kepada penulis.” – Dipetik dari mStar.
Bercerita tentang pengalamannya dengan Perdana Menteri pertama, Sanusi pernah kata yang akaun bank Tunku Abdul Rahman cuma ada RM1k je. Cerita mula bila Sanusi dapat tangkap driver Tunku forge check (palsukan cek) Tunku. Jadinya, Sanusi pun telefon Tunku.
“Saya call, kata: Tunku, cek Tunku ada orang forge nak keluarkan duit. Tunku tanya: Ada duit tak dalam bank? Saya jawab: Ada Tunku, ada dalam seribu ringgit… Berapa duit cek tu? Tanya Tunku. RM300 Tunku, saya jawab.
—–
(Kata Tunku) Pandai juga dia ye, dia tak caj banyak. Siapa yang buat ni? Saya kata: driver Tunku la. Jawab Tunku: Ohh, kesian dia. Barangkali dia tak ada duit, dia nak minta malu, itulah yang dia curi.” – Cerita Sanusi dalam satu majlis.
Setia dengan ketua dan penyokong kuat Dr Mahathir
Seperti mana yang kita tahu, Sanusi selalunya dianggap sebagai penyokong kuat Dr Mahathir. Masa Dr Mahathir berkrisis dengan Pak Lah dulu, Sanusi antara orang yang ikut Dr Mahathir keluar dari UMNO. Bila Dr Mahathir berkrisis dengan PM Najib pula, Sanusi tetap berada di belakang Dr Mahathir dan sama-sama sokong usaha Dr Mahathir tubuhkan PPBM.
Masa Anwar cuba merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO dari Tun Ghafar Baba dulu. Sanusi dan Pak Lah jadi antara orang yang kuat menentang Anwar. Diorang juga berkempen di seluruh negara untuk bagi sokongan kepada Ghafar Baba. Tapi usaha tu gagal dan Anwar akhirnya jadi Timbalan Presiden UMNO.
“Anwar sebagai ‘political animal’ lebih sukses dari segi kerjaya politik berbanding Sanusi kerana Anwar pandai mengukirkan senyuman sedangkan Sanusi sentiasa serius dan pada waktu-waktu tertentu bermulut bisa dan sarkastik.” – Dipetik dari mStar.
Walaupun macam tu, hubungan Sanusi dan Dr Mahathir tetap baik lepas tu. Malah, Dr Mahathir jadi orang yang bertanggungjawab lantik Sanusi jadi Menteri Besar Kedah, walaupun mula-mula tu ada yang bantah. Hal ni jadi bila MB Kedah – Tan Sri Osman Aroff tak nak lepaskan jawatan. Krisis ni jadi beberapa bulan, sampai akhirnya Sanusi berjaya juga jadi MB Kedah.
Tapi Sanusi jadi MB kedah tak sampai satu penggal, sebab prestasi BN di Kedah jatuh dalam PRU-1999. Lepas tu, Sanusi mula tak berapa aktif dalam politik dan secara perlahan-lahan bersara. Cuma masa zaman Najib Razak ni Sanusi aktif sikit dalam politik dengan masuk PPBM dan jadi Pengerusi Lembaga Disiplin PPBM.
“Sanusi hanya boleh bekerja dan tunduk untuk seorang jeneral. Jeneral itu adalah Dr. Mahathir Mohamad, bos beliau sepanjang lebih 50 tahun perkhidmatannya dalam politik.” – Rozaid A. Rahman, dipetik dari mStar.
‘Amanah, Berani, Disiplin, Rajin dan Setia’ – kata Presiden Korea kepada Sanusi
Mungkin ada di antara kita yang pernah dengar, Sanusi cerita pasal Presiden Korea – Park Chung Hee yang tertarik dengan ayat al-Quran. Ceritanya mula bila Park Chung Hee kagum dengan ayat: ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang ada pada diri mereka’ dari Surah Ar-Ra’d ayat 11.
“Katanya, Presiden Korea Park Chung Hee begitu kagum dengan mesej ayat itu yang diberitahu kepadanya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein hingga Park Chung Hee merakamkan ayat itu di pejabatnya sekembalinya ke Korea dan mendorong rakyatnya menghayati mesej ayat itu.” – Dipetik dari Sinar Harian.
Sanusi sendiri pernah berjumpa dengan Park Chung Hee dan tanya dia kenapa program negara Malaysia gagal, tapi Korea berjaya. Park Chung Hee menjawab…
“Kita membawa semangat Hwarang yang dibawa oleh Maharaja Silla seribu tahun yang lampau. Semangat ini juga dibawa oleh Admiral Yi Sun Sin untuk mengalahkan Toyotomi Hideyoshi, Shogun di Jepun. Saya tanya dia apa maksud Hwarang ni. Dia kata: Amanah, berani, disiplin, rajin dan setia.” – Sanusi Junid, dipetik dari Sinar Creative Studios.
Itulah sedikit dari banyak pesanan dan pengalaman yang disimpan oleh Sanusi Junid. Beliau meninggal dunia pada 9 Mac 2018 pada usia 75 tahun.
“Beliau adalah antara insan yang amat luas pengetahuannya yang pernah saya kenali. Beliau mempunyai perpustakaan persendirian yang besar dan dipenuhi begitu banyak buku-buku mengenai politik dan ekonomi… Saya cukup sedih di atas pemergian Allahyarham.” – Dr Mahathir Mohamad, dipetik dari Malaysia Insight.
- 955Share sekarang!
- Email14
- Facebook941
- Share