Hanya dengan menjual nombor plat kereta, dia berjaya kumpul duit untuk tawan tujuh puncak dunia

Banyak kenangan dan memori hebat dicapai pada tahun 2017. Dalam sukan, kejayaan sangatlah banyak terutamanya kejayaan besar Sukan SEA 2017. Negara kita berjaya meraih pingat emas paling banyak (140 pingat emas) dalam sejarah sepanjang menyertai sukan SEA.

Sampai Sultan Mizan pun sumbang pingat emas. Imej dari NST.

Atlet negara nampaknya tak berhenti berjuang walaupun di penghujung tahun 2017. Pada 28 Disember 2017, Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin, ikon sukan lasak negara dah berjaya menamatkan perjalanannya sejauh 110 km menuju titik 90 darjah Kutub Selatan. Kejayaan ni menjadikannya orang Malaysia pertama dan orang kedua Asia Tenggara yang mendapat gelaran Penjelajah Grand Slam.

Setakat ni kat dunia, ada lebih kurang 70 orang manusia yang berjaya dapat gelaran ni. Tak ramai kan? Sebabnya bukanlah mudah nak dapat. Cara nak dapatkannya macam ni…

Nak dapat gelaran Grand Slam kena mendaki dan menjelajah kawasan ekstrem

Pengikitiran sebagai Penjelajah Grand Slam (The Explorers Grand Slam) hanya akan diberikan kepada seseorang yang berjaya mendaki tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua serta menjelajah sampai ke titik 90 darjah Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Lokasi puncak tertinggi dan kutub. Imej dari TED Talks.

Tujuh puncak yang perlu didaki ni, setiap satunya bukanlah sama. Ada cabaran dan ujiannya yang tersendiri.

1. Gunung Everest: Ada lebih 200 jasad yang terkubur di atas sana

Gunung ni terletak di banjaran Himalaya dengan ketinggian 29,035 kaki lebih kurang 20 kali Petronas Twin Tower (1483 kaki). Everest nj paling tinggi kat dunia ni dan tentulah nombor satu di Asia. Pada 23 Mei 1997, M. Magendran dan N. Mohandas menjadi kumpulan rakyat Malaysia pertama menawan puncak tertinggi tu.

Disebalik kejayaan pendaki Everest, banyak juga kisah sedih yang ada di situ. Dipercayai kat atas sana masih ada lagi lebih 200 jasad yang tertimbus dalam ais atau jatuh ke tempat terpencil celah gunung. Ada juga yang mati dalam keadaan duduk di laluan pendakian. Untuk tahun 2016 je, ada 280 pendaki yang terkorban.

First time Jalur Gemilang berkibar di puncak Everest. Imej dari The Star.

Antara punca kematian adalah penyakit kalau pendaki berada pada ketinggian 2500 meter. Penyakit tu dipanggil Acute Mountain Sickness (AMS) yang buat pendaki rasa mabuk, pening dan tak selera makan. Satu lagi penyakit adalah High Altitude Pulmonary Edema (HAPE) di mana ada bendalir dalam paru-paru yang boleh bawa maut dalam 12 jam. Kat kawasan puncak pulak, pandaki akan berhadapan dengan kekurangan oksigen yang hanya ada satu per tiga je.

Pendaki yang kena reput fros di Everest. Boleh tengok movie Everest (2015) based on true story. Imej dari Dailymail.
2. Gunung Kilimanjaro: Satu gunung dengan lima cuaca berbeza

Kalau benua Afrika, korang mesti jarang dengar nama negara Tanzania. Kat situ ada Gunung Kilimanjaro yang merupakan puncak tertinggi di Afrika dengan 19, 340 kaki. Maknanya, 13 kali ketinggian Petronas Twin Tower.

Pemandangan Gunung Kilimanjaro. Imej dari Telegraph.

Macam kat Everest jugak, pandaki tu boleh kena penyakit Acute Mountain Sickness dan High Altitude Pulmonary Edema (HAPE). Pendakian gunung ni biasanya mengambil masa 4 hingga 7 hari. Apa yang mencabar, pendaki akan melalui lima zon cuaca berbeza macam panas di kaki gunung dan cuaca terlalu sejuk di puncak gunung.

3. Gunung Denali: Hanya 50 peratus je yang berjaya sampai ke puncak

Gunung Denali atau McKinley ni terletak di Alaska, Amerika Syarikat dengan ketinggian 20,320 kaki. Lebih kurang 13 kali ganda tinggi Petronas Twin Tower. Gunung ni cukup terkenal dengan cuacanya yang amat buruk dalam setahun.

Dari jauh rupa Gunung Denali. Imej dari LA Times.

Dilaporkan hanya 50% sahaja dari jumlah pendaki yang berjaya menawan puncak gunung tu. Selebihnya, tak sampai dan ada juga yang mati (dilaporkan dah lebih 100 kematian).  Cabaran yang ada ialah lapisan atmosfera di kawasan gunung ni nipis sebab ianya dekat dengan kawasan kutub yang sejuk tu.

4. Gunung Aconcagua: Ada kawasan perkuburan kecil dibawahnya

Orang yang minat Messi, mestilah tahu negara Argentina. Tapi, korang mungkin tak tahu yang kat negara tu ada Gunung Aconcagua yang merupakan puncak tertinggi di benua Amerika Selatan (22,841 kaki). Lebih kurang 15 kali tinggi Petronas Twin Tower. Dilaporkan yang laluan untuk mendaki gunung ni tak lah rumit. Tapi…

Ada kes yang mana pasukan penyelamat tak berjaya selamatkan sekumpulan pendaki Itali. Dijangkakan diorang mati sebab terkena penyakit Pulmonary Embolism (ada blockage dalam paru-paru).  Selain penyakit, pendaki juga akan berhadapan dengan situasi kekurangan oksigen yang hanya ada 40 peratus di kawasan puncak. Risiko juga datang bila fenomena White Wind muncul di mana awan bergerak laju pada kedudukan tinggi yang merbahayakan pendaki.

Cantik Gunung Aconcagua. Imej dari Summit Post.

Dilaporkan, dah lebih 140 orang pendaki yang mati. Bagi mengenang kematian, di bawah gunung ada kawasan perkuburan kecil yang menempatkan pendaki yang terkorban. Pendaki yang berjaya menawan puncak akan tinggalkan climbing boot, topi dan sarung tangan diorang di kawasan ni.

Perkuburan kecil. Imej dari BBC.
5. Gunung Vinson Massif: Gunung di benua paling sejuk di dunia

Daripada tujuh benua, Antartika adalah yang paling sikit populasinya. Di benua ni lah adanya Gunung Vinson Massif dengan ketinggian 16,050 kaki. Lebih kurang 10 kali ganda tinggi Petronas Twin Tower. Pendaki hanya boleh pergi ke gunung ni dengan menaiki pesawat ski (ski plane) dari Punta Arenas, Chile. Tapi, penerbangan tu hanya boleh dilakukan sesekali je sebab faktor cuaca.

Dilaporkan, untuk mendaki gunung ni tak lah susah. Tapi, sebab cuaca di Antartika tu yang akan menjadikan pendakian sangat sukar dan mencabar. Mana taknya, suhu gunung ni boleh mencecah negatif 40 darjah Celsius dengan angin kencang dan salji yang turun.

Nampak tenang, tapi suhu dia negatif 40 Celsius. Imej dari RMI Guides.
6. Gunung Elbrus: Ramai pendaki yang pandang rendah cabaran kat gunung ni

Selain kuasa dunia, Rusia juga ada gunung tertinggi di benua Eropah. Dikenali sebagai Gunung Elbrus dengan ketinggian 18,510 kaki yang mana 12 kali ganda tinggi Petronas Twin Tower. Kerajaan Rusia ada bina cable car dari kaki gunung hingga ke kawasan setinggi 12,000 kaki.  Kalau lapar, siap ada orang jual Shish Kabobs (kebab Rusia) kat laluan tu.

Stesen yang ada orang jual kebab. Imej dari Huffingtonpost Canada.

Nampak mudah dan senangkan bila baca ada cable car bagai? Apa yang menjadikan gunung ni merbahaya adalah ramai pendaki memandang rendah dengan gunung ni. Kerana sikap nilah, setiap tahun jumlah kematian dah naik dua kali ganda berbanding sebelum ni.

Boris Tilov (Ketua Rescue Team kat sana) menyalahkan sikap pandang rendah orang ramai sebagai punca peningkatan kadar kematian. Selain sikap, cabaran iklim dan cuaca di gunung ni juga lain macam. Dalam masa 30 minit, cuaca boleh berubah secara drastik. Contohnya sekarang panas, dalam 30 minit hujan bukan main lebat.

Cun Gunung Elbrus ni. Imej dari Thoughtco.
7. Gunung Kosciuszko: Gunung paling tinggi di benua Australia

Orang Malaysia kenal Australia biasanya sebab kangaru. Apa yang ramai tak tahu, kat sana ada Gunung Kosciuszko yang merupakan gunung tertinggi di benua Australia (7,310 kaki). Lebih kurang 5 kali ganda tinggi Petronas Twin Tower.

Dari jauh nampak rendah. Imej dari Bob-kerr.

Gunung ni diakui sangat mudah didaki serta ada sediakan perkhidmatan chairlift untuk naik ke atas. Kawasan gunung ni adalah paling sejuk dan bersalji di Australia.

Ada perdebatan pasal puncak tertinggi di Australia ni sebab ada satu lagi gunung tinggi yang terletak Barat Pulau New Guinea, Indonesia. Lokasinya tu sama ada dalam sempadan Asia atau Australia yang menjadi persoalan. Tapi, ramai penjelajah Grand Slam yang tetap memanjat gunung ni termasuk Qobin sebagai kepuasan. Gunung tu adalah…

8. Piramid Carstensz: Puncak tertinggi terletak di dua benua (Australasia)

Piramid Carstensz ni gunung dengan ketinggian 16,023 kaki. Maknanya, 10 kali ganda tinggi Petronas Twin Tower. Dah nama pun piramid, keadaannya berlereng, curam yang hampir menegak serta berbatu memang mencabar. Laluan nak ke kawasan gunung tu pulak hutan yang panas dan lembap.

Bukan calang-calang piramid ni. Imej dari mtnprofessionals.

Disebabkan kawasan gunung ni ada tempat perlombongan emas (Grasberg), jadi, adalah syarikat yang bertapak kat sini. Banyak kerenah birokrasi yang ada untuk dapatkan permit mendaki. Kalau tak ada permit, nak naik helikopter pergi ke kawasan gunung pun payah.

Gunung-gunung ni tadi semuanya ada cabaran yang tersendiri. Untuk dapat gelaran Penjelajah Grand Slam, seseorang tu mesti juga menjelajah di Kutub Utara dan Selatan. Kali ni tak perlu mendaki, tapi cabarannya adalah…

Dua kutub yang boleh bawa maut

Penjelajahan Kutub Utara dan Selatan bukanlah maknanya berjalan sesuka hati je di kutub tu. Tapi, maksudnya, mesti berjalan dari kedudukan titik 89 darjah Utara dan Selatan bumi ke titik 90 darjah Kutub Utara dan Selatan.

Korang boleh teka mana titik 89 darjah Utara dan Selatan kan? Imej dari Gedonlineclass.

Nak sampai ke titik 90 darjah di setiap kutub ada cabarannya tersendiri. Antaranya…

1. Kutub Utara: Berjalan di atas ais yang mudah pecah dan bergerak

Titik 90 darjah Kutub Utara adalah kawasan ais yang terletak ditengah-tengah Lautan Artik yang kedalamannya 4,000 meter. Perubahan iklim yang makin menjadi-jadi sekarang ni sebenarnya dah bagi kesan kepada kawasan ais tu. Ianya menjadi sangat bahaya untuk direntasi. Sebabnya…

Ais di sana setebal 5 atau 6 kaki yang sebenarnya stabil. Tapi, nampaknya sekarang makin nipis kerana cepat cair. Ais-ais yang dah lama ada kat sana dah mula menghilang 15.1 peratus setiap 10 tahun. Kalau makin banyak cair, ais ni tadi semuanya jadi jenis cepat pecah.

Pijak ais nipis, boleh bawa maut. Imej dari National Geographic.

Ada kes di mana penjelajah ni berjalan 10 hingga 12 jam sehari, tapi sebenarnya dia berjalan ditempat yang sama sebab ais tu bergerak. Risiko juga berlaku apabila penjelajah tu pasang khemah di atas ais nipis, sebab waktu malam ianya akan bergerak. Ais kat kawasan ni bukanlah macam ais biasa kita minum tu. Ais kat kawasan ni kalau dipijak boleh melengkung dan ia ada hadnya tersendiri.

Bila beruang tak tahu dia jalan atas ais nipis.
2. Kutub Selatan: Ais retak beratus kaki ke dalam bumi

Titik 90 darjah Kutub Selatan pulak terletaknya di Benua Antartika. Kawasan di mana 90% ais bumi ada disitu. Suhu kawasan tu biasanya negatif 50 darjah Celsius, tapi, boleh capai negatif 70 Celsius. Colin O’brady (salah seorang penjelajah) bagitahu yang dia ada baling air panas ke udara dan semuanya terus bertukar jadi ais.

Air panas jadi ais batu dalam sesaat. Imej dari TED Talk.

Penjelajah tu mesti pastikan dirinya kena haba, makan dan air yang cukup. Kalau tak, bila-bila masa boleh kena frostbite (anggota badan beku dan mereput) dan hypothermia (suhu badan melebihi 40 C). Cabaran lain bila ada banyak gila ‘crevasses’ yang mana ais tu retak beratus kaki ke dalam.

Contoh Crevasses. Imej dari Polar Blogger.

Dari berjalan atas ais nipis sampai oksigen tak cukup, itu semua adalah cabaran yang dihadapi oleh penjelajah yang diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam. Dan semua cabaran ni mungkin dah ditempuh oleh Qobin. Jadinya, kita mesti tertanya-tanya macam mana Qobin boleh sehebat ni?

Cari duit sendiri untuk misi tawan 7 puncak tertinggi dengan jual plat kereta

Qobin ni seorang mahasiswa Diploma Sains Sukan di UiTM, Shah Alam. Dia memang aktif sukan dan banyak kejayaan yang dia dapat hingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah UiTM pada tahun 2001. Disebabkan cemerlang, dia dan Ahmad Reduan Rozali (pelajar UiTM) dah terpilih untuk misi Demi Negara Ke Everest 2004. Pada 12 Mei 2004, dia dan Ahmad Reduan dah pun sampai ke puncak Everest yang menjadikannya kumpulan kedua rakyat Malaysia yang berjaya. Apa yang membanggakan, diorang adalah mahasiswa pertama dari Asia Tenggara yang tawan puncak tu.

Masa student dah sampai puncak Everest. Imej dari Utusan.

Qobin ni bukan setakat mendaki gunung, dia juga pernah buat penjelajahan berbasikal dan bermotosikal ke 21 buah negara pada tahun 2007 hingga 2008. Selepas beberapa lama, Qobin memulakan misi menawan 7 puncak tertinggi dunia. Misi ni memerlukan kos antara RM600,000 hingga RM800,000. Dari situlah, dia mula mengumpul dana dengan buat projek nombor plat kenderaan Gagasan 1 Malaysia (G1M).

Projek ni memang mendapat sambutan hingga ada nombor plat G1M dah dibida dengan harga RM1.3 juta. Semua hasil ni bukan je digunakan untuk membiayai kos misi menawan tujuh puncak, tapi, disalurkan juga kepada Yayasan Kebajikan Atlet Negara dan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.

Kemudian, misinya bermula dengan mendaki Gunung Everest buat kali kedua…

Diganggu beruang kutub dan jarinya kebas berpanjangan di saat-saat akhir

Pada tahun 2010, Qobin sekali lagi bersedia untuk menawan Gunung Everest. Kali ni dia akan mula mendaki dari arah yang berbeza. Kalau dulu dia guna laluan dari Nepal, kali ni dia akan guna laluan dari Tibet. Risikonya orang boleh terpelanting sebab angin kuat. Selesai menawan Gunung Everest, dia tawan pula ke semua puncak tertinggi lain dalam tempoh dua tahun.

Beberapa lama lepas tu, Qobin mengetuai misi ke Titik 90 Darjah Kutub Utara dengan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) pada 14 April 2017. Qobin menjalankan misi ni bersama atlet duathlon dan triathlon negara Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff. Diorang berjaya selesaikan misi ni dalam masa 6 hari yang sepatutnya 11 hari. Banyak cabaran yang diorang tempuh sepanjang berjalan 111 km tu.

Selfie paling rare bila selfie kat kutub utara. Imej dari Sinar Harian.

Antara detik yang mencabar adalah waktu ada seekor beruang kutub yang menghampiri khemah kumpulan penjelajah. Setiap langkah perjalanan juga berisiko untuk jatuh ke lautan ais sebab berjalan atas ais yang hanya setebal tiga hingga empat meter. Cabaran yang diorang hadapi juga tak henti-henti sampaikan lagi 3 km terakhir, ada rekahan ais (crevasses) yang lebar terpaksa diorang lalui. Semuanya terbalas apabila diorang berjaya sampai ke titik Kutub Utara pada 21 April 2017.

Pada 19 Disember 2017, misi untuk menawan titik 90 darjah Kutub Selatan pulak diteruskan. Qobin perlu berjalan sejauh 110 km untuk sampai ke lokasi tu. Jadinya, dia perlu berski sejauh 25 km sehari. Berita pasal perjalanan Qobin makin mendebarkan bila dua jarinya kebas berpanjangan yang berisiko terkena reput fros. Semua debaran tu terhenti tepat  pukul 11.05 pagi waktu Malaysia, apabila Qobin berjaya sampai ke titik 90 darjah Kutub Selatan dengan selamat.

Tiap hari kena berski 25 km. Imej dari FB Akmar Hisham Mokhles.

Bukan sekadar mencipta rekod, tapi menghayati kisah penciptaan alam

Bila kita dengar kisah kejayaan macam ni, pastinya buat kita semua dapat inspirasi. Sebelum Qobin dapat pengiktirafan Penjelajah Grand Slam ni, dan ada beberapa puluh orang yang dah berjaya dulu. Ada antara penejelajah tu pecah rekod dengan mengambil masa 138 hari je untuk tawan tujuh puncak serta kutub utara dan selatan. Bagi Qobin, ianya lebih kepada penghayatan spiritual seperti katanya,

“Pendakian saya ini bukanlah untuk mencipta rekod atau nama tetapi penghayatan dan kesedaran terhadap kisah penciptaan langit dan bumi, gunung-ganang dan alam yang diabadikan dalam al-Quran.”- Utusan.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT