Seorang ibu Muslim ni maafkan pembunuh anaknya ketika di tali gantung.

Baru-baru ni Al-Jazeera ada kongsikan satu video yang buat ramai orang terharu dan terkejut. Video tu tunjuk satu suasana dalam mahkamah apabila Sombat Jitmoud memaafkan orang yang terlibat dalam pembunuhan anaknya. Kalau korang nak tahu,Sombat Jitmound adalah seorang muslim Thailand yang menjadi Guru Besar di beberapa buah sekolah agama di US.

Trey Relford pula telah mengaku bersalah sebagai orang yang membunuh anak Sombat iaitu Salahudin. Dia telah ditikam ketika dalam perjalanan menghantar pizza. Jika disabitkan bersalah, Trey boleh dikenakan hukuman bunuh. Disebabkan kemaafan tu, Trey hanya dikenakan hukuman penjara 31 tahun. Bapa Salahudin berharap Trey akan berubah selepas keluar dari penjara serta disatukan di syurga nanti bersama anaknya.

Sombat dan Trey berpelukan. Imej dari Al-Jazeera Plus.

Respek gila! Bagaimana seorang bapa mangsa boleh maafkan macam tu je? Jadi, kali ni kami akan kongsikan beberapa kes yang pernah terjadi melibatkan mangsa atau waris mangsa yang memaafkan penjenayah.

1) Muslim ni buta ditembak, tapi perjuangkan supaya penembak tu tak dikenakan hukuman bunuh

Sebelum kejadian memaafkan seperti Sombat dan Trey ni, pada tahun 2011 juga ada berlaku perkara lebih kurang macam ni. Mark Stroman seorang lelaki US telah menyerang  dengan menembak beberapa orang lelaki yang dianggapnya bangsa Arab. Ini kerana ada laporan mengatakan ianya misi balas dendam kerana ahli keluarganya mati dalam kejadian 9/11 atau World Trade Centre runtuh.

Dia telah menyerang kedai-kedai di Texas dengan mencari orang Arab. Tapi, antara yang mati adalah seorang warga Pakistan berumur 46 tahun. Ada seorang ni warga Bangladesh, Rais Bhuiyan yang juga ditembak tetapi terselamat walaupun mata kanannya buta.

Buta mata kanan tapi boleh maafkan orang. Imej dari NPR.

Mark Stroman yang ditangkap lepas kejadian menembak tu akhirnya didakwa di mahkamah. Disebabkan ada kematian yang berlaku, maka mahkamah Texas telah menjatuhkan hukuman mati melalui suntikan kepadanya.

Apa yang mengejutkan, Rais Bhuiyan telah berbincang dengan waris keluarga mangsa yang lain untuk buat satu petisyen online supaya hukuman mati kepada Stroman ditarik balik. Biar betul? Semangat nak membantu ni datang setelah Rhais pulang dari mengerjakan haji.

Bagi Rais, hukuman mati bukanlah jalan penyelesaian untuk menghentikan keganasan. Apa yang menarik, walaupun Rhais tak pernah berjumpa Stroman selepas kejadian tu, tapi mereka selalu berbalas surat dan mesej video. Perjuangan Rais ini juga telah memulakan gerakan World Without Hate. Walaupun macam tu, mahkamah Texas tetap menolak permintaan Rais ni kerana ianya telah terlambat. Usaha ni sebenarnya telah bagi inspirasi kepada Stroman.

Mark Stroman sangat terkesan. Imej dari Philnews.

“Aku pernah cuba membunuh lelaki ini dan sekarang lelaki ini cuba menyelamatkan nyawaku. Lelaki ini ada inspirasiku”- Mark Stroman, petikan dari BBC.

Akhirnya, Stroman dihukum mati melalui suntikan pada hari Rabu, 20 Julai 2011. Sebelum kematian, Stroman mengakui yang dia berasa sangat aman.

Sedihnya kisah ni…

2) Maafkan pemandu yang langgar anaknya di dalam kelas melalui Facebook Live

Bayangkan, tengah-tengah anak korang belajar dalam kelas, tiba-tiba ada kereta rempuh kelas tu. Rempuhan tu menyebabkan anak korang mati. Inilah kejadian yang berlaku di Sekolah Greeancre, Sydney. Seorang wanita berumur, Maha Al-Shennag telah hilang kawalan lalu merempuh salah satu kelas berdindingkan kayu di sekolah tu.

Kelas yang dilanggar. Imej dari Huffington Post Australia.

Kejadian ni telah membunuh dua pelajar dan beberapa orang lagi cedera parah. Sepanjang kes ni tersebar, Maha Al-Shennag telah dikutuk habis-habisan oleh ramai orang. Punca Maha memandu sebegitu masih tak jelas cumanya mungkin dia cuba mengambil botol air yang jatuh dalam keretanya selepas menghantar anaknya ke sekolah juga.

Maha Al-Shennag telah menjadi buat mulut ramai orang. Imej dari ABC.

Raed Darwiche, bapa kepada salah seorang anak mangsa yang mati telah buat satu Facebook Live bersama penterjemahnya. Rakaman tu dilakukan di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan untuk majlis pengkebumian anaknya. Darwiche telah memaafkan Maha dan kejadian itu bukan salahnya. Jika diberi peluang, dia sekeluarga ingin menjemput Maha datang ke rumah untuk  makan bersama serta bersembang-sembang.

“Apa-apa pun mereka mahu duduk dengan wanita itu dan memberitahunya kami memaafkanmu.”- Petikan dari Sydney Morning Herald.

Klik gambar untuk tengok video. Imej dari SMH.

Walau bagaimanapun, lesen Maha telah ditahan dan dia juga didakwa atas dua kesalahan iaitu memandu dengan berbahaya yang menyebabkan kematian serta kecuaian ketika memandu.

3) Muslim Iran maafkan pembunuh sewaktu dah di tali gantung

Menurut Amnesty International, Iran adalah antara negara yang tertinggi kadar hukuman matinya kepada penjenayah. Antara hukuman mati yang mendapat kritikan apabila hukuman gantung tu dibuat di khalayak ramai.

Ibu Balal terduduk menanti kematian anaknya. Imej dari TIME.

Namun, pada April 2014 telah berlaku perkara yang mengejutkan serta mendapat perhatian rakyat Iran. Balal didapati bersalah kerana membunuh seorang remaja, Abdollah di jalanan kerana pergaduhan. Setelah 7 tahun dibicarakan, akhirnya dia bakal dihukum gantung.

Balal telah dibawa ke tali gantung yang disaksikan orang awam termasuk keluarganya sendiri. Ibu kepada Abdollah telah dijemput ke hadapan untuk menendang kerusi yang Balal berdiri supaya akhirnya kepalanya tergantung. Tapi, lain yang jadi, apabila ibu tersebut hanya menampar Balal lalu memaafkannya sambil mencabut tali gantung tersebut dari lehernya.

Balal dilempang sebelum dimaafkan. Imej dari Middle East Eye.

Fikiran keluarga ni berubah setelah ibunya bermimpi mengenai anaknya yang dibunuh tu. Cerita ni telah diberi tahu oleh ayah Abdollah.

“Tiga hari lalu isteriku melihat anaknya di dalam mimpi, dia memberitahunya yang dia berada di tempat yang baik, dan untuknya supaya tak membalas dendam…Ini telah menenangkan isteriku dan kami membuat keputusan untuk berfikir panjang hingga tiba hari hukuman bunuh.”- Petikan dari Huffington Post UK.

Menurut The Guardian, walaupun Balal terlepas dari hukuman gantung, namun dia masih lagi tak terlepas dari hukuman penjara.

Ibu Balal dan Abdollah saling berpelukan. Imej dari The Guardian.

4) Cara rakyat Palestin memaafkan pembunuh abangnya adalah melalui pelancongan

Palestin adalah antara negara yang tak henti kita dengar pasal berita serangan terhadap orang awam. Begitu jugalah yang berlaku kepada seorang rakyat Palestin, Aziz Abu Sarah. Waktu dia berumur 10 tahun, abangya telah ditangkap lalu penyiasat dari Israel telah memukulnya supaya mengaku yang dia buat salah. Akibatnya, abang Aziz mati akibat kecederaan dalaman.

Setelah kematian abangnya tu, Aziz yang tinggal di Jerusalem sering diancam dengan serangan-serangan tak menentu. Sampaikan nak pergi sekolah kena menyorok dan bawa bawang untuk guna kalau ada bom asap jatuh. Waktu umur dah 16 tahun, dia mula banyak membaca dan menyertai gerakan parti politik iaitu Fatah. Dia juga pernah menjadi ketua pemuda serta Editor majalah pemuda Fatah. Ketika itu juga dia pernah ketuai demonstrasi yang kadang kala bertukar ganas hingga melihat rakan-rakannya mati.

Aziz dan abangnya. Imej dari TED Talk.

Pada umur 18 tahun, Aziz diwajibkan mengikuti kelas Hebrew yang merupakan bahasa Yahudi. Pada mulanya, dia menolak untuk belajar tapi demi menyambung belajar ke pusat pengajian tinggi dia belajar juga. Kelas Hebrew yang dia belajar tu adalah kelas bersama dengan orang Yahudi yang datang dari luar Israel yang bukan askar dan juga peneroka. Dari situ, hatinya mula berubah.

Dia telah memilih kasih sayang untuk melawan perasaan marah terhadap kematian abangnya. Apabila ada serangan di Jerusalem, dia juga turut memikirkan kawan-kawan lainnya yang belajar bersama termasuk Yahudi.

Wajah terbaru Aziz. Imej dari Ideas TED.

“Saya maafkan bukan kerana orang yang membunuh abang saya layak menerimanya, tapi kerana saya ingin memaafkan”- Aziz Abu Sarah, petikan dari TED.

Dia juga telah mula belajar mengenai ilmu Judaism dan Christian di beberapa kelas tertentu. Akhirnya, dia terfikir cara untuk menyatukan kembali orang Arab dan Yahudi yang ada di Palestin, Israel, Jordan dan Turki. Dia juga cuba menyatukan Krisitan Katolik dan Protestan yang ada di Ireland, Bosnia dan Serbia. Caranya adalah dengan menubuhkan satu agensi pelancongan, Mejdi Tourism.

Pada tahun 2009, Aziz telah bersama-sama menubuhkan Mejdi Tourism dengan tujuan untuk menyatukan orang dari pelbagai latar belakang. Contohnya, tourism yang dilakukan di Jerusalem adalah dengan diketuai dua pemandu pelancong iaitu seorang orang Palestin dan seorang lagi Israel. Kedua-duanya akan bercerita mengenai sejarah, arkeologi dan konflik yang berlaku melalui dua perspektif yang berbeza. Usaha nilah sebagai cara untuk Aziz memaafkan kebencian yang timbul kerana kematian abangnya.

Dua Tour Guider. Seorang Palestin dan seorang Israel. Imej dari TED.

Di Malaysia, ada juga mangsa memaafkan orang yang bersalah

Walaupun banyak berita menakjubkan yang kita dengar diluar negara pasal memaafkan seseorang. Negara kita di Malaysia juga ada je berita macam tu yang kita perasan atau tak perasan. Kami senaraikan beberapa yang ada macam…

1) Ayah maafkan anak yang tetak dia hingga berpuluh jahitan

Di Kelantan, seorang bapa (Mohd. Ariffin) telah ditetak oleh anaknya (Aqram) dengan parang hingga menerima 26 jahitan di tangan dan kepala. Kejadian tu berlaku waktu Ariffin tegur anaknya yang cari sesuatu di bilik. Anak dia tak menjawab tapi terus tetak dengan parang. Kesannya menyebabkan Ariffin telah dimasukkan ke hospital Machang, Kelantan selama dua hari.

Sewaktu kes ni dibicarakan di mahkamah, Ariffin telah diberi peluang untuk bagi keterangan. Dan dia telah menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk selesaikan masalah ni. Apa yang menyayat hati adalah apabila Ariffin memaafkan kesalahan anaknya tu.

“Kita (saya) maafkan memandangkan dia anak saya. Saya bapa tertuduh dan juga mangsa (kejadian tetak), saya serahkan kepada kebijaksanaan mahkamah dan terima apa saja keputusan.”- Mohd. Ariffin, petikan dari Utusan.

Kasih seorang ayah tiada tolok bandingnya…

Aqram telah dijatuhkan hukuman penjara 8 tahun. Jadi, kes ni mangsa maafkan waktu dalam mahkamah. Ada juga yang awal-awal lagi maafkan dan tak nak dipanjangkan ke dalam mahkamah macam…

2) Warga emas maafkan perempuan yang pukul keretanya guna steering lock

Siapa yang tak ingat bila seorang wanita dikenali sebagai Kiki mengamuk keluarkan steering lock pukul kereta langgar dia dari belakang. Kereta yang melanggar tu pulak dipandu oleh seorang warga emas berbangsa Cina, Sim Siak Hong. Walaupun macam tu, saman telah pun dikeluarkan kepada warga emas tersebut.

Pihak polis juga mencadangkan kepada Sim Siak Hong untuk keluarkan lagi satu saman. Sebabnya dilaporkan yang Kiki telah mencekak baju dan mengetuk keretanya. Namun, Pak Cik Sim memilih untuk tidak mahu memanjangkan hal tersebut serta memaafkannya.

Kejadian yang pernah viral satu masa dulu. Imej dari Astro Awani.

Walau pun macam tu, Kiki telah mengaku bersalah di mahkamah yang menyebabkan dia  dikenakan denda sebanyak RM 5,000 dan  perlu melakukan kerja komuniti selama 240 jam.

3) Ibu bapa Thaqif maafkan pihak tahfiz

Siapa yang tak ingat dengan kes kematian adik Tahfiz, Mohamad Thaqif Amin yang menyayat hati. Kes ni menunjukkan yang dia terkena keracunan air kencing tikus. Walaupun sebelum itu warden sekolah telah ditahan kerana didakwa telah mendera pelajar. Akhirnya, ibu bapa Thaqif hanya menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk pihak tahfiz.

“Kalau diikutkan perasaan marah itu memang ada, apa tidak­nya nyawa anak saya sudah tiada tetapi saya reda dan memaafkan semua. Tidak adapun mahu memfailkan saman pada sesiapa.”- Bapa Thaqif, petikan dari Utusan.

Ibu bapa Thaqif pasrah. Imej dari Sinar Harian.

Kemaafan adalah cara untuk melupakan memori yang buruk

Menurut kajian psikologi Universiti St. Andrew, Scotland membuktikan bahawa seseorang yang tidak memaafkan orang lain akan mempunyai masalah untuk melupakan memori-memori buruk yang berlaku kepadanya. Sebaliknya, orang memaafkan ini akan dapat melupakan segala memori yang buruk. Serta dia akan dapat mengurus hidupnya tanpa pandang kebelakang semula.

Kita kena move on…

Selain boleh melupakan memori yang buruk, pastinya ia ada kebaikan menurut agama. Menurut Mufti Perlis, Dr. Maza mengatakan bahawa kita boleh memilih untuk memaafkan orang atau tak. Sebab ianya tak bagi kerugian pun kepada kita yang tak bersalah ni. Tapi, oleh kerana ada arahan dari Tuhan untuk kita memaafkan orang. Mungkin orang yang memaafkan itu akan ada kelebihan yang lebih berbanding orang yang tak maafkan tu di akhirat nanti.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT