- 857Share sekarang!
- Email42
- Facebook815
- Share
Korang pernah terfikir tak macam mana sesebuah tempat tu dapat nama? Lebih-lebih lagi nama yang pelik macam Pantai Dalam, tapi takde pantai pun? Atau pun Menggatal, banyak orang menggatal ke kat sana?
Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan sesebuah tempat tu dapat nama. Contohnya macam mitos, geografi, sejarah, kemahiran hidup, matematik. Ok tak, ayat tadi tu sampai sejarah je.
Jadi, kali ni kitorang rungkaikan pulak macam mana lima tempat yang ada dalam Malaysia ni dapat nama.
1. Dalat di Mukah, Sarawak
Kalau korang ingat lagi salah satu buku literature masa nak PMR dulu (sekarang PT3), korang mesti ingat pasal salah satu tajuk dalam buku tu, iaitu “How Dalat Got It’s Name”, oleh Heidi Munan.
Berdasarkan cerita Heidi Munan tu, masyarakat yang duduk di kawasan tu kebanyakannya adalah etnik Melanau, dan diorang bekerja sebagai petani dan peladang, berhampiran dengan sungai. Masyarakat kat situ hidup aman dan harmoni, dan memegang teguh pada adat dan tradisi hidup diorang, dan menghormati ketua kawasan tu sebab dia seorang ketua kampung yang bijak dan baik.
Tapi, ketua kampung tu kemudiannya meninggal dunia, dan tinggallah tiga orang anak lelaki dia. Anak sulung bernama Galau, seorang yang baik, adil, dan sukakan keamanan. Anak kedua pulak Umat, seorang yang berani, bersemangat, tapi keras kepala dan panas baran. Manakala anak ketiga pula ialah Lutong, seorang yang penyabar dan setia.
Kalau ikutkan tradisi, Galau sebagai anak sulung yang sepatutnya menjadi ketua menggantikan bapa diorang. Tapi nampaknya anak kedua, iaitu Umat rasa yang dia lebih layak untuk menjadi ketua berbanding abang dia sebab dia lebih berani dan banyak menang pelbagai pertempuran. Anak ketiga, iaitu Lutong tak suka bila abang-abang dia bergaduh, dan memujuk diorang supaya bergilir-gilir jadi ketua, tapi dua-dua orang tu tak nak mengalah.
Jadinya, Umat pun kumpulkan pengikut dia sendiri, dan Galau pun menyiapkan orang kampungnya untuk berperang. Peperangan yang terjadi menyebabkan Umat terbunuh akhirnya. Peperangan yang banyak mengorbankan nyawa, dan mayat bergelimpangan di seluruh kawasan. Perkara ni menyebabkan bau busuk dan banyak lalat yang berterbangan, seolah-olah meraikan pertumpahan darah tu.
Walaupun Galau menang, tapi dia tak gembira sebab musuh yang dia tumpaskan tu adalah adik dia sendiri. Dia kemudiannya menamakan semula kampung tersebut sebagai Dalat, yang bermaksud ‘lalat’ dalam bahasa Melanau untuk mengingatkan orang ramai tentang buruknya kesan perang.
2. Ampang Pecah di Kuala Kubu Bharu, Selangor
Walaupun nama tempat ni Ampang Pecah, tempat ni terletak di Kuala Kubu Bharu dan bukan di Ampang, KL. Tapi sebelum Ampang Pecah dapat nama sekarang ni, kawasan tu dikenali sebagai Pekan Hulu Selangor. Jadi, kenapa tukar nama, dan apa pulak yang pecah?
Berdasarkan kajian seorang pengkaji sejarah iaitu Ahmad Tarmizi Yaacob, dia bagitahu yang tempat tu dulunya adalah tempat kegiatan perlombongan bijih timah, yang bermula sejak tahun 1780-an lagi. Kalau nak tahu, orang Melayu sendiri yang bina empangan untuk tujuan perlombongan bijih.
Empangan tu pula sebesar 1.6 kilometer, dan cuma diperbuat daripada kayu balak dan tanah. Teknologi yang ada juga agak maju untuk zaman tu, sebab teknologi yang dibuat tu membolehkan bijih timah terapung di permukaan air, dan agak mesra alam.
“Ekonomi pun dipegang sepenuhnya orang Melayu. Kegiatan perniagaan juga berlangsung di situ dengan cukup maju. Bijih timah yang dilombong kemudian didagangkan melalui Sungai Selangor yang ketika dulu mempunyai pelabuhan di situ untuk tujuan perdagangan.”- Ahmad Tarmizi
Tapi lepas 100 tahun beroperasi, nampaknya teknologi tu dah tak relevan dan mula mereput, yang menyebabkan empangan tadi mula pecah. Tapi ada juga yang mengaitkan empangan pecah tu dengan letusan gunung berapi Kerakatua yang menggegarkan pekan Hulu Selangor. Tak kurang juga ura-ura yang mengatakan British pada masa tu meletakkan bahan letupan berhampiran empangan tu dengan alasan mahu membunuh buaya putih yang memang menjadi legenda di situ.
Empangan yang pecah ni bukan kecik-kecik je tau! Lagi besar daripada Mid Valley Megamall, dan dah menyebabkan banyak kematian. Ahmad Tarmizi menambah lagi,
“Banyak rumah musnah dan penduduk kemudian ramai mati akibat kebuluran. Selepas penempatan baru dibuka, ia dinamakan Ampang Pecah sebagai simbolik kepada peristiwa empangan pecah,”
Kalau korang nak tahu macam mana teruknya empangan pecah, korang boleh tengok video macam mana orang lepaskan air kat empangan. Pun dah cukup seram!
https://www.youtube.com/watch?v=L4SyEniQAic
3. Kampung Imam Lapar, Terengganu
Dengar nama je pun dah boleh buatkan kita gelak. Lapar sungguh ke imam ni sampai kena bagitau satu kampung?
Berdasarkan cerita daripada orang zaman dulu, kampung tu asalnya takde nama pun. Ada satu hari tu, ada dua pedagang yang naik perahu daripada kampung lain, bawa pelbagai barangan untuk dijual kepada penduduk kampung di sepanjang tebing tu.
Disebabkan lapar, diorang pun naik ke tebing untuk mencari makanan. Puas berjalan, diorang pun jumpa sebuah surau, dan cuba untuk dapatkan bantuan makanan kat sana, tapi nampaknya dalam surau tu ada seorang imam yang tengah khusyuk baca Al-Quran.
Diorang rasa segan nak ganggu, tapi terpaksa bagitau juga dekat imam tu yang diorang lapar dan nakkan makanan. Imam yang tengah menghafaz Al-Quran tu terlampau khusyuk dan tak sedar langsung, menyebabkan dua pedagang ni segan dan membawa diri ke tempat lain.
Diorang naik balik perahu dan turun ke satu lagi jeti, tetapi jumpa balik surau yang sama, serta imam yang sama masa memula tadi tu. Jadi dorang pun bagitahu benda yang sama, dan imam tu pun masih lagi khusyuk menghafaz. Dah macam dejavu ni.
Menurut orang tua-tua di kawasan tu, ‘laper’ bermaksud ‘menghafaz’. Disebabkan peristiwa tu mungkin diceritakan pada orang lain dan salah faham antara ‘lapar’ tak makan dengan ‘laper’, kampung tu kemudiannya dapat nama tu, Kampung Imam Lapar.
4. Desa Temu Jodoh, Labis, Johor
Masa tahun 1973 dulu, kawasan ni adalah sebuah ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Sungai Lenek. Kawasan ni baru nak membangun, jadi ada lebih kurang 120 anak muda yang datang ke ladang ni untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan tanah yang bakal diberi nama Tanah Rancangan Pemuda.
Jadi, diorang ni kerja kat ladang tu dan tinggal di asrama berdekatan. Ye la, semua lelaki bujang dan baru je nak mulakan kehidupan. Tapi, tak jauh daripada ladang tempat para pemuda ni bekerja, ada satu lagi projek lain untuk kaum wanita yang juga semuanya masih single-mingle lagi, dan terletak di Bukit Mambai.
Disebabkan kudrat perempuan tak sekuat lelaki, jadi para pemuda daripada ladang di Sungai Lenek ni pun diminta untuk pergi ke Bukit Mambai untuk membantu kaum wanita kat sana buat kerja-kerja berat. Diorang kemudiannya berkenalan dan dari situlah terbitnya bibit-bibit cinta antara pemuda di Sungai Lenek dan kaum wanita di Bukit Mambai.
Ramai yang bertemu jodoh disebabkan perkara ni, dan terjadinya majlis perkahwinan besar-besaran yang dibuat. Malah, majlis perkahwinan tu adalah majlis terbesar dan terawal yang pernah wujud di Malaysia pada tahun 70-an tu. Lebih kurang 20 ekor lembu yang tumbang, lagi banyak daripada hari raya korban kat kampung korang.
Bukan tu je, pasangan yang baru kahwin juga disambut mewah dengan menaiki kereta Mercedes ke kawasan lapang kampung di mana majlis resepsi diadakan.
Disebabkan majlis besar-besaran ni juga, Allahyarham Tan Sri Othman Saat yang jadi Menteri Besar Johor pada masa tu menanggung seluruh perbelanjaan perkahwinan termasuk pakaian dan pelamin. Dia kemudiannya bagi nama Kampung Desa Temu Jodoh. Para pemuda yang jadi peneroka kawasan Sungai Lenek yang dah ditukar nama tadi sekarang dah diiktiraf sebagai pemilik tanah.
5. Janda Baik, Pahang
Asalnya, Janda Baik yang berada di Pahang ni merupakan kawasan terpencil yang didiami oleh Orang Asli. Kawasan ni terletak di sebuah kampung rizab Melayu yang terletak berhampiran Lebuhraya Karak dalam daerah Bentong, Pahang.
Tempat ni memang cantik dan nyaman sebab jauh daripada bandar, dan juga faktor kedudukan kampung tradisional Melayu yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa.
Nama tempat ni ada tiga versi, iaitu:
- Ramai janda-janda kematian suami yang baik budi pekerti
Salah satu versi cerita yang didapati adalah nama Janda Baik tu muncul disebabkan pada satu masa dulu, ada ramai wanita yang bergelar janda disebabkan kematian suami yang terkorban kerana perang saudara yang berlaku di Selangor. Tak macam pandangan serong orang terhadap title tu, janda-janda yang wujud kat sana bukan saja cantik, tapi terdiri daripada orang baik-baik kerana selalu membantu orang yang dalam kesusahan. - Janda Tok Batin yang balik ke pangkuan suaminya
Sebelum Janda Baik, nama kawasan tersebut adalah Kampung Tiga Haji kerana pengasas-pengasas tempat tersebut adalah tiga lelaki yang bernama Haji. Pada tahun 1932, Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam membuat kunjungan ke kampung tu disebabkan kawasan tu semakin ramai penduduk.Tapi, baginda dikatakan tak berkenan pun dengan nama kampung tersebut.Masa baginda bersembang dengan penduduk kampung, ada antara diorang yang menceritakan tentang Orang Asli yang turut tinggal di situ, dan terkeluarlah kisah pertengkaran antara Tok Batin Orang Asli dan isterinya, Siah yang menyebabkan perceraian dan Siah berpindah ke tempat lain.Tapi disebabkan diorang saling mencintai antara satu sama lain, tak sampai sebulan berjauhan, Siah pulang semula ke rumah Batin Wok, dan kepulangannya diterima dengan baik. Bukan tu je, sawah padi yang diorang usahakan pun nampaknya semakin subur, membuatkan diorang bahagia. Orang Asli kat sana menggelarkan tempat tu sebagai Janda Balik, tapi baginda yang juga tertarik dengan cerita tu bagi nama Janda Baik, dan kekal sampai sekarang.
- Kisah wanita baik hati
Pada tahun 1918, ada perang saudara yang berlaku di Selangor, dan ramai rakyat Pahang yang turun berperang, cedera dan balik ke Pahang. Dalam perjalanan pulang ke Temerloh, diorang melalui satu kawasan hutan dikelilingi bukit bukau, iaitu Pulau Santap.Kat sana, diorang bertemu seorang janda yang menawarkan khidmat untuk merawat mereka yang tercedera serta membenarkan mereka berlindung sementara di rumahnya. Bila diorang sembuh dan balik ke Temerloh, diorang menceritakan kebaikan janda tu dan sejak tu la lokasi tu dikenali sebagai Janda Baik.
Nama sesebuah tempat mencerminkan 1001 cerita disebaliknya
Kalau nak diikutkan, banyak lagi tempat lain dengan nama-nama pelik yang korang boleh jumpa di seluruh dunia. Jadi, kalau korang melancong ke seluruh dunia, boleh la korang cuba fahami nama tempat tu.
Dari situ korang boleh tahu macam mana tempat tu dapat nama, sejarah di sebalik nama tu, dan apa yang korang boleh pelajari. Mana tahu, kalau benda tu ada hubungkait dengan sejarah dunia, macam peradaban Mesir zaman purba, atau kisah misteri, alam ghaib dan hubungkait dalam kitab lama?
Mungkin sesetengah benda tu bunyi macam tak logik untuk relate dengan dunia sekarang, contohnya macam naga di Tasik Chini, ataupun raksasa di Tasik Lochness. Tapi dah nama pun mitos, kan?
- 857Share sekarang!
- Email42
- Facebook815
- Share