Sabah bakal berdepan ribut Podul, tapi korang pernah dengar pasal Taufan Durian?

UPDATE 28/8/2019: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Ribut Tapioka Podul akan melanda perairan Sabah. Ribut ni datang dari Filipina dan kelajuannya boleh mencapai sehingga 65 km sejam. Tapi, macam mana agaknya boleh dapat nama Podul ni?


Malah kalau diperhatikan, nama-nama setiap ribut taufan ni agak unik jugaklah. Contohnya ada yang guna nama buah, rokok, makanan segera dan ada jugak yang ambil nama bersempena cuti umum.

So kali ni, SOSCILI cuba senaraikan beberapa fakta mengenai ribut taufan yang menarik:

1. Nama ribut taufan diberi sempena nama ahli politik yang dibenci?

Sebenarnya amalan memberi nama kepada ribut taufan ini telah dimulakan oleh Clement Wragge, seorang ahli meteorologi dari Australia pada lewat 1890-an. Beliau memberi nama setiap ribut taufan mengikut nama ahli politik  yang dia benci. Boleh tengok dekat sini.

Clement Wrangge. Imej dari wikimedia.

Sebelum pelaksanaan sistem pengenalan nama ribut taufan, U.S National Hurricane Center menggunakan Joint Army/Navy Phonetic Alphabet dari tahun 1947 sehingga tahun 1953. Nama ribut taufan juga diambil berdasarkan nama lokasi ribut taufan itu berlaku. Contohnya ribut taufan yang melanda kawasan Galveston, Texas pada tahun 1900.

Selain itu, pernah juga nama orang alim dalam agama Kristian digunakan dalam pemberian ribut taufan. Contohnya di Puerto Rico, masyarakat dekat sana menggunakan nama Santa Ana dan San Felipe.

Secara ringkasnya, nama lebih mudah diingati berbanding nombor. Benda ni lagi senang nak sebut dan ingat terutamanya bila disebarkan dalam media. Dengan harapan orang ramai dapat bagi lebih perhatian lebih bersiap sedia. Contohnya membantu kapal dan stesen pemantauan untuk bertukar maklumat dengan cekap dan mudah.

Imej dari Imgur.

Selepas itu, Pertubuhan Meteorologi Dunia pula bertanggungjawab dalam memperkenalkan nama-nama ribut taufan mengikut susunan abjad. Setiap nama bermula huruf A (Taufan Able), huruf  B (Taufan Baker) dan seterusnya.

Nama setiap ribut taufan boleh diulangi selepas 6 tahun. Proses nak bagi nama setiap ribut taufan ni bukan boleh sesuka je nak letak. Ada huruf tertentu yang tak boleh diletakkan.

Sebagai contoh, hanya 21 huruf dalam abjad Inggeris sahaja yang dibenarkan. Sekiranya berlaku lebih daripada 21 ribut taufan pada satu masa, ahli meteorologi akan menggunakan abjad Greek untuk setiap tambahan ribut taufan.

 

Imej dari Giphy

2. Sejak tahun 70-an, nama lelaki mula digunakan secara bergilir-gilir

Kalau korang perasan, bila berlaku ribut taufan, banyak nama perempuan digunapakai. Kenapa agaknya? Kalau ikut kajian pulak, didapati nama perempuan paling banyak digunakan untuk ribut taufan yang ganas seperti Taufan Katrina, Sandy, Wilma dan Irma.

Pada tahun 1953,  U.S. National Hurricane Center mula menyeragamkan sistem pemberian nama taufan menggunakan nama perempuan. Ini mengambil kira tradisi yang diamalkan oleh tentera laut iaitu memberi nama kapal laut mengikut nama perempuan. Dalam banyak-banyak nama yang dipilih, nama tu mungkin ada nilai dalam kehidupan kapten tu sendiri. Contoh, nak letak nama isteri, teman wanita atau nama emak sendiri pun boleh.

Nama ribut taufan untuk tahun 2017. Imej dari Dsx.weather.com

Masa permulaan sistem ini diperkenalkan, kumpulan aktivis wanita di AS menyuarakan rasa kurang senang dengan penggunaan nama orang perempuan dalam sistem berkenaan.

Yelah, asyik nama perempuan je, mestilah bengang kan? Mana nama lelaki? Menjelang penghujung 1970-an, barulah nama orang lelaki turut dimasukkan secara bergilir-gilir dalam senarai tersebut. Lepas ni takde lah nak gaduh-gaduh pasal berebut nama nak letak.

Nama ribut taufan yang menyebabkan kematian atau kerosakan harta benda yang tinggi akan dihapuskan serta-merta. Ada jugak negara yang sering dilanda ribut taufan meminta supaya nama tersebut dibuang dari senarai untuk mengelakkan kekeliruan pada nama ribut yang akan datang.

Jadi lepas ni takde lah lagi nama-nama seperti Katrina, Sandy serta Wilma digunakan. Sebab tahap kemusnahan yang mereka tinggalkan bukan sikit bilangannya dan untuk menghormati mangsa-mangsa yang trauma dengan kejadian taufan tu.

Imej dari Funnyjunk.com

3. Malaysia pun turut menyumbang dalam pemberian nama ribut taufan

Nak bagi nama setiap ribut taufan ni tak boleh sesuka hati tau. Sebab ada nama yang terlalu ganas sampai menakutkan orang. Jadi sebelum sesuatu nama diambil untuk dijadikan sebagai nama rasmi, pemilihan nama tersebut diselaraskan oleh jawatankuasa peringkat antarabangsa iaitu Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia.

Ade tak name awek korang dalam ni? Imej dari Photoshoppedpics

Manakala untuk kawasan Pasifik pula, ada satu jawatankuasa khas di bawah PBB bagi menamakan taufan-taufan ni. Senarai setiap nama disusun ikut urutan abjad negara dalam jawatankuasa tersebut.

Malaysia turut tersenarai dalam jawatankuasa berkenaan yang terdiri dari 14 buah negara. Tugas setiap negara anggota ini ialah menyumbang 10 nama, bermakna 141 buah nama setiap pusingan. Antara yang paling unik ialah ada nama yang dihantar tu melambangkan identiti negara Asia tu sendiri.

Proses pemilihan nama macam ni agaknya. Imej dari Memegenerator

Perlu diingatkan, nama ribut taufan yang dicadangkan tu mesti mewakili nama buah, tumbuhan, haiwan, individu dan sebagainya.

Kalau korang nak tahu, semasa kejadian ribut taufan yang melanda Filipina dan Vietnam pada bulan Mei 2005, Malaysia ada jugak mencadangkan pelbagai nama seperti Jelawat, Sepat, Rusa dan Mawar. Tapi akhirnya nama Mawar yang terpilih.

Menurut bekas pelajar pengkhususan geografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Khairiyah Hasbullah, kebiasaannya nama taufan itu diberi oleh negara yang terjejas akibat bencana alam berkenaan. Katanya Filipina dan Jepun banyak memberi nama yang mempunyai unsur-unsur atau melambangkan identiti mereka kepada taufan-taufan yang melanda.

“Itu mungkin kerana Filipina dan Jepun banyak menyaksikan taufan di kawasan mereka. Dalam tempoh setahun, tidak kurang tiga taufan atau ribut tropika yang melanda kedua-dua negara itu berikutan lokasi mereka yang tidak terlindung kepada arah perjalanan angin kencang,” -Khairiyah Hasbullah,  Utusan Online.

Imej dari Theviralnewsnetwork.com

Contoh lain pulak, nama Taufan Durian yang pernah melanda Filipina dan Vietnam. Adakah nama durian tu dicadangkan oleh Malaysia disebabkan ia merupakan “Raja Buah”? Sebenarnya nama Durian dicadangkan oleh Thailand kerana buah durian merupakan buah yang sangat popular di rantau Asia Tenggara.

4. Apa perbezaan ribut taufan dengan siklon tropika dan bagaimana ia terbentuk?

Ribut merujuk kepada tiupan angin yang mencapai kelajuan putaran lebih daripada 39 batu per jam. Manakala taufan pula adalah ribut tropika dengan angin kencang melebihi 120 km/j.

Siklon tropika pula merujuk kepada ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer yang terbentuk di perairan tropika. Siklon tropika biasanya mempunyai bentuk seperti mata di tengah-tengah pusaran yang dikelilingi sedikit awan. Ia terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaanya 26° C atau lebih.

Proses pembentukan kejadian ribut. Imej dari Eschooltoday.

Fenomena taufan ini mempunyai nama yang berlainan mengikut tempat. Contohnya ribut tropika dikenali sebagai hurikan (hurricane) di kawasan Utara Atlantik dan kawasan Timur Lautan Pasifik.  Manakala siklon tropika atau taufan (typhoon) dinamakan di Asia Tenggara, Chubaso di Filipina dan Willy Willies di Australia.

Hurikan biasanya bergerak ke utara dan barat melintasi Laut Carribean dan Teluk Mexico. Hurikan biasanya berputar ikut arah lawan jam tapi di  kawasan hemisfera selatan, ribut berputar mengikut arah jam.

Nama taufan berbeza mengikut tempat. Imej dari Weatherbug.

Bila musim ribut taufan ni bermula? Untuk kawasan Atlantik ia bermula pada bulan Jun sehinggalah penghujung bulan November. Masa puncak untuk ribut taufan ni terjadi selalunya pada pertengahan bulan Ogos sehingga hujung bulan Oktober.

Bagi kawasan Pasifik pulak, musim ribut taufan selalunya lebih panjang, ia bermula pada 15 Mei sehinggalah tamat pada 30 November. Jadi sebelum korang nak travel ke negara-negara yang sering dilanda ribut taufan ni, pastikan korang buat semakan pasal keadaan cuaca kat tempat tu. Bukan apa, takut nanti korang terkandas pulak kat sana, dah tak dapat nak balik beraya kat Malaysia.

5. Ribut terlalu banyak dan macam mana nak kenal pasti setiap ribut ni?

Setiap kali berlakunya ribut taufan, pakar meteorologi akan mengukur kekuatan sesebuah taufan. Ini penting untuk tujuan kajian serta memahami kesan magnitud daripada taufan tersebut.

Jenis-jenis ribut taufan pulak terbahagi kepada 5 kategori. Untuk dikenali sebagai taufan, siklon tropika mestilah mempunyai kelajuan maksimun 74 MPH. Kalau setakat angin sepoi-sepoi bahasa, jangan haraplah nak dipanggil taufan.

Bacaan tertinggi iaitu Kategori 5 mengandungi kilat serta angin yang berterusan sehingga menyebabkan kemusnahan yang lebih besar kepada semua tempat.

Kemusnahan berbeza mengikut kategori taufan. Imej dari Islandpacket.

Taufan Irma yang telah melanda Florida pada tahun 2017  diletakkan dalam Kategori 5. Kiranya taufan ni memang kuat dan dahsyat lah. Punyalah lah power kekuatan taufan ini sampaikan Presiden Amerika Syarikat sendiri tak perasan kewujudan kategori tersebut. Antara contoh ribut taufan yang popular dalam kategori 5 ni ialah taufan Wilma, Rita, Haiyan serta Meranti.

Imej Taufan Irma diambil dari satelit. Imej dari 365dm.

Adakah ribut taufan memberi kesan kepada Malaysia?

Kejadian ribut taufan memang tak pernah berlaku di Malaysia sebab Malaysia tak termasuk dalam laluan terus taufan. Tapi semasa perjalanan ribut taufan dari Filipina menuju ke Laut China, negara kita ada menerima tempias dalam bentuk angin kencang dan hujan ribut yang kerap melanda Sabah. Kadang-kadang ribut taufan yang terdapat di sekitar pantai Vietnam ada memberi kesan yang sama kepada negeri-negeri di barat laut Semenanjung Malaysia.

Sebagai umat Islam, kita perlu percaya bahawa pergerakan angin merupakan sebahagian dari tanda kebesaran Allah. Ada angin yang bertiup menyamankan dan ada jugak angin yang menimbulkan kesusahan kepada manusia. Apa yang terjadi sedemikian adalah daripada qada dan qadar Allah.

Boleh baca doa ni kalau berlaku angin kuat. Imej dari 2.bp.blogspot.

About Alif Kadhim 3 Articles
Peminat Liverpool FC