Pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA 2017, cuba teka sukan apa? (Bukan takraw!)

Tiket masuk untuk perasmian pembukaan sukan SEA pada malam ni (19 Ogos) semua dah sold out. Nampaknya ramai yang tak sabar-sabar nak pergi bersorak kat stadium malam ni. Tapi, korang jangan lupa, ada beberapa sukan yang dah mula dipertandingkan macam bola sepak, bola jaring dan beberapa sukan lain. Apa yang membanggakan,  Malaysia dah dapat banyak pingat emas walaupun pembukaan rasmi belum bermula.

Kalau korang nak tahu, pingat emas kedua dan ketiga negara adalah hasil kemenangan pasukan memanah lelaki dan perempuan Malaysia. Memanah ni biasalah kita dengarkan. Tapi apa yang mengejutkan kita bila pingat emas pertama negara datang dari sukan chinlone. Ya! chinlone. Kalau Cheng Long tu yang kalahkan Dato’ Lee Chong Wei masa Olimpik Rio. Changlun pulak kat Kedah. Ini chinlone.

“Skuad chinlone negara menyumbang emas pertama buat Malaysia menerusi disiplin linking selepas menewaskan Filipina dalam Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, sebentar tadi.” – Petikan dari Stadium Astro.

Sejuk hati mak mertua tengok. Imej dari Berita Harian.

Memang ramai bersorak gembira waktu dengar berita ni. Tapi kita tak tahu betapa rumitnya sukan Chinlone ni sebenarnya. Maknanya kalau menang emas tu memang powerlah. Jadi kali ni kami akan terangkan mengenai sukan yang sangat asing kat Malaysia ni tapi sangat popular di…

Orang Myanmar main sukan ni di festival-festival Buddha

Sukan Chinlone pertama kali muncul diperingkat antarabangsa pada sukan SEA 2013 kat Myanmar. Mestilah Myanmar yang mulakan sebab sukan ni merupakan salah satu budaya diorang. Dilaporkan yang sukan ni sudah mula wujud 1,500 tahun dulu dimana raja-raja Burma pun pernah main.

Chinlone main dengan kaki ayam sambil diperhatikan oleh sami Buddha. Imej dari Wikipedia.

Chinlone ni maksudnya bola rotan (caneball) dalam bahasa Burma (Bahasa rasmi Myanmar). Kalau dilihat dari luar, permainan ni nampak macam gabungan antara sukan dan tarian. Biasanya dimainkan oleh enam orang pemain yang mana diorang akan timbang dan pass bola rotan tu dalam bentuk bulatan (saiz bulatan tu biasanya 22 kaki).

Lukisan orang dulu-dulu main Chinlone. Imej dari Wikipedia.

Seorang pemain pula akan duduk di tengah-tengah untuk buat aksi solo dengan macam-macam gaya sambil dibantu oleh mereka yang berada diluar bulatan. Permainan tu akan terhenti kalau bola tu jatuh ke tanah. Pusingan baru pun dimulakan balik dengan tukar orang kat tengah tadi tu. Tapi bila masuk sukan SEA, tak ada pemain solo ditengah dah.

Bola Chinlone hand made ni. Imej dari Myanmar Matters.

Biasanya, sukan ni banyak dipersembahkan di festival-festival perayaan Buddha setiap tahun. Beribu-ribu pasukan akan buat persembahan sambil diiringi muzik-muzik tradisi Burma yang akan mempengaruhi gaya permainan diorang. Tapi dia bukan boleh suka hati je nak timbang bola . Sukan ni hanya ada enam jenis timbangan khas yang boleh digunakan iaitu (semua imej ni dari Asian Chinlone Federation):

1. Bahagian atas jari kaki

2. Bahagian dalam kaki

3. Peha

4. Tapak kaki

5. Tumit

6. Bahagian luar kaki

Fuh! Ini bukan biasa-biasanya punya gaya timbang bola ni. Macam manalah Myanmar boleh yakinkan negara kita Malaysia untuk terjebak main benda ni? Jom sambung baca ni.

Myanmar dikritik tapi tabah perkenalkan sukan tradisi diorang ni

Waktu Myanmar dianugerahkan jadi tuan rumah sukan SEA 2013, dilaporkan yang diorang begitu bersungguh-sungguh melobi untuk masukkan sukan chinlone ni. Alasannya sebab sukan ni “culturally specific”.  Maka banyak kritikan oleh negara luar hingga ada yang anggap Myanmar sedang buat percubaan untuk dapatkan pingat secara mudah dengan memasukkan permainan tradisi yang tidak dimainkan negara lain.

“Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina, Richie Garcia, mengambil pendekatan jauh dengan mengajak supaya memboikot sukan SEA kerana sukan-sukan bertaraf Olimpik telah digantikan dengan sukan tradisional Myanmar” – Petikan dari Myanmar Times.

Boikot dengan tarian.

Tapi, Myanmar terus berusaha. Waktu diorang dah diterima jadi tuan rumah, terus diorang keluarkan buku ‘bagaiman cara bermain’ sukan chinlone ni. Waktu permulaannya, dalam buku tu dikatakan ada peraturan dan syarat untuk 14 kategori permainan ni.

Persatuan chinlone diorang pergi merantau ke lapan buah negara untuk terangkan pasal sukan ni. Mereka berjaya menyakinkan empat buah negara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Kemboja. Diorang cuba target pemain-pemain sepak takraw sebab ada elemen yang lebih kurang sama antara sepak takraw dan chinlone. Akhirnya dapat respon positif dari beberapa Persatuan Sepak Takraw negara lain.

“Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia telah membantu kami untuk memujuk negara-negara Asia Tenggara untuk bertanding dalam acara ni” – Ye Aung (Setiausaha Agung Persatuan Chinlone Myanmar), petikan dari Myanmar Times.

Bersilang-silang kaki main benda ni. Imej dari The Borneo Post.

Diorang terima maklum balas dari negara lain yang menyebabkan buku ‘bagaimana cara bermain’ sukan chinlone ni ditukar semula peraturannya.

“Negara-negara ini telah memberi tahu kami kategori mana yang mereka boleh bertanding dan yang mana mereka rasa susah untuk dimainkan. Jadi, kami membuang beberapa kategori dari 14 menjadi 4 sahaja serta menulis semula peraturannya. ” -Ye Aung (Setiausaha Agung Persatuan Chinlone Myanmar), petikan dari Myanmar Times.

Cara ni telah menyebabkan banyak negara yang makin berani nak main chinlone. Jadi Malaysia pun terjebak. Waktu dimulakan di Sukan SEA Myanmar, negara diorang berjaya dapat 6 emas dari 8 acara (lelaki dan perempuan). Lagi dua emas menjadi milik Thailand. Jadi apa sebenarnya 4 kategori tu?

Chinlone dimainkan melalui empat kategori yang agak rumit untuk difahami

Sebelum tu, bagi keempat-empat kategori ni ada peraturan asas yang sama. Seperti yang diterangkan dalam Technical Handbook: Sepak Takraw & Chinlone, peraturan asasnya adalah:

  1. Setiap kategori, dalam perlawanan tu akan ada dua set. Di mana setiap set tu diberi 10 minit. Pasukan yang dapat skor paling tinggi dikira menang.
  2. Apabila bola tu berjaya ditimbang dan passing kepada semua pemain. Barulah pasukan tu dapat satu mata.
Pemain yang timbang bola kena timbang kat bulatan tengah. Kalau tak, tak dikira. Imej dari The Sukan.

Itu peraturan asas. Tapi kategori ni lah yang membezakan macam mana sebenarnya cara nak passing pada team mate sebelah. Persekutuan Chinlone Asia ada terangkan cara bermain satu kategori sahaja. Untuk kategori lain, kami ada tengok krew Astro Arena pergi interview pemain Chinlone negara, Kamal Aizat. Tapi, dia mengakui dia tak tahu nak terangkan macam mana. Jadi kami cari beberapa sumber untuk penerangan setiap kategori ni. Ianya secara lengkap diterangkan dalam Law Of The Game Chinlone (klik sumber pdf). Secara ringkasnya macam ni:

  1. Non-repetition primary (Event 1): Acara ni, setiap pemain kena timbang bola dengan gaya yang berbeza. Maksudnya, setiap pemain kena guna 6 cara timbangan khas yang berbeza untuk passing atau tak boleh ulang cara yang sama. Contoh kalau kawan sebelah passing guna peha, kawan yang sebelah pulak kena passing guna tumit. Cukup 6 orang buat gaya berbeza dalam bulatan. Maka dapatlah satu point. (Video dari Asian Chinlone Federation)
  2. Same stroke (Event 2): Acara ni, setiap pemain kena passing guna cara timbangan yang sama. Bila keenam-enam pemain dah guna cara yang sama, maka dapat satu mata. (Perhatikan video team Malaysia same stroke)
  3. Linking (Event 3): Untuk acara ni, setiap pemain kena timbang guna keenam-enam cara timbangan khas tu. Lepas dah timbang guna 6 cara tu, baru boleh passing pada orang sebelah. Orang sebelah tu akan timbang jugak dengan guna 6 cara timbangan. Setiap orang yang dapat selesaikan 6 cara timbangan ni akan dapat satu mata. Acara ni lah yang Malaysia menang. Power kan? (Perhatikan video team Malaysia Linking)
  4. Non-repetition secondary (Event 4): Kalau Event 1-3 hanya guna 6 timbangan khas tadi. Tapi untuk event 4 cara nak dapat matanya sama dengan Event 1. Cuma cara timbang lain. Dia ada 6 jenis jugak tapi lain. 6 cara timbang tu adalah:
  • Jumping Cross Instep

  • Jumping Cross Inside

  • Jumping Cross Knee

  • Behind Sole

  • Behind Heel

  • Behind Outside

 

 

 

 

 

Begitulah rumitnya sukan ni. Tapi Malaysia ada pencapaian yang sangat baik.

Pencapaian Malaysia dalam sukan Chinlone

Waktu Malaysia pertama kali sertai sukan ni di Myanmar, kita berjaya dapat enam gangsa. Waktu Sukan SEA 2015 di Singapura pulak, Malaysia dapat satu perak dan satu gangsa.

Malaysia nampak serius untuk merasa emas dalam sukan ni. Buktinya Malaysia bawa tenaga pakar dari Myanmar untuk latih pasukan Chinlone negara.

“Skuad chinlone membawa masuk tenaga pakar, antaranya bekas jurulatih Myanmar, Khamo Win, serta dua tonggak, Myo Zaw Oo dan Win Naing, yang menjadi wira menggapai emas di Myanmar pada 2013 dan Singapura 2015. – Petikan dari Stadium Astro.

Menari ke tu? Imej dari The Malay Mail Online.

Waktu ni Malaysia memang sasar nak dapatkan emas dalam acara Linking sebab pasukan ni ada menang satu kejohanan waktu berlatih kat Myanmar dulu.

Pada Sukan SEA 2017, hanya tuan rumah sahaja boleh hantar pasukan dalam keempat-empat kategori Chinlone. Pasukan luar hanya boleh hantar pasukan dalam dua kategori sahaja. Untuk acara Linking, Myanmar tak hantar pasukan. Jadi ni peluang baik untuk Malaysia menang.

Akhirnya terbukti, bila Malaysia dapat kalahkan Filipina dipentas akhir Chinlone Linking. Malaysia juga berjaya raih dua pingat gangsa dalam same stroke dan non-repitition secondary.

Menghayati budaya orang lain melalui sukan

Sebelum-sebelum ni, tuan rumah sukan SEA selalu dikatakan mengambil jalan singkat untuk senang dapat pingat  apabila memperkenalkan sukan tradisional diorang. Contohnya waktu Vietnam jadi tuan rumah, diorang masukkan sukan renang sirip dan sepak bulu ayam. Indonesia waktu jadi tuan rumah masukkan acara panjat tembok, vovinam, paragliding, kenpo dan bridge. Bayangkan panjat tembok masuk sukan SEA?

Paragliding pun nak masuk sukan SEA?

Tapi ianya nampak berbeza dengan cara chinone diperkenalkan sebab atlet Malaysia boleh terima. Myanmar juga terbukti bukan nak kejar sangat emas, tapi nak share culture diorang melalui sukan ni.

“Chinlone adalah sukan tradisional kami dan tujuan utama kami bukanlah untuk mendapatkan pingat emas. Kami akan berkongsi pengalaman dengan pasukan lain untuk mempromosikan sukan ni. Jika mereka dapat pingat emas, mereka akan menunjukkan minat yang lebih untuk sukan ni serta populariti sukan ni akan bertambah di Asia Tenggara.” – Petikan dari Myanmar Times.

Lepas ni, jomlah kita terus sokong team chinlone ni. Jangan lupa untuk turun stadium atau mana-mana venue sukan lain untuk sokong team Malaysia. #KitaJuara.

Respect! Imej dari Astro Awani.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT