Peristiwa perdebatan sengit ulama tentang isu anjing di Istana Kelantan lebih 80 tahun lalu

*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 9 Julai 2017 dan telah diolah mengikut perkembangan semasa. 

Sejak kebelakangan ni banyak berita tentang anjing muncul dan diperdengarkan. Salah satunya tentang pelakon terkenal, Umie Aida yang memiliki seekor anjing penjaga rumah sejak setahun lalu. Dikhabarkan anjing itu pada asalnya sekadar anjing jalanan, sebelum mula menganggapnya sebagai tuan selepas selalu diberi makan.

Dalam perkembangan lain, ada juga berita dua kejadian menembak anjing yang tular di media sosial. Lebih menyedihkan, bukan saja anjing dewasa, malah 5 ekor anak anjing juga ditembak. Kalau kita masih ingat, sekitar tiga tahun lalu viral sebuah video memaparkan seorang wanita Melayu/Islam bersama dengan anjing peliharaannya. Maka banyaklah reaksi dari netizen-netizen, sama ada yang sokong, serta ada yang marah dan tuduh macam-macam.

Nurhanizah bersama anjingnya Bubu. Imej dari Petstertv (Youtube Channel).

Tak lama lepas tu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Ketua Pengarahnya keluarkan kenyataan supaya orang yang ada dalam video tu bertaubat. Sebabnya, apa yang dibuat Nurhanizah bertentangan dengan pegangan Mazhab Syafie.

“Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.” –Tan Sri Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM.

Walaupun begitu, kalau korang nak tahu lebih 80 tahun yang lalu, polemik tentang anjing pernah menjadi perdebatan di Tanah Melayu. Ia sehingga membuatkan berlangsungnya…

Perdebatan antara ulama tentang anjing yang dihadiri para pembesar dan Sultan Kelantan

Isu ini bermula selepas Raja Kelantan, Tengku Ibrahim (sebelum menjadi Sultan Kelantan) telah memanggil seorang ulama negeri itu, Hj Nik Abdullah Hj Wan Musa yang baru sahaja kembali Kelantan selepas menuntut ilmu di Mekah. Beliau kemudiannya dimaklumkan yang baginda nak memelihara anjing dan kerana itulah baginda memanggil beliau untuk bertanya tentang hukum.

Nik Abdullah pun menjawab yang anjing boleh dibela sekiranya untuk menjaga keselamatan keluarga. Katanya lagi, kalau ikut pada Mazhab Syafie, jika terkena jilatan anjing maka kena disertu dan jika mengikut Mazhab Maliki maka tak perlu disertu.

“Oleh kerana adanya pandangan yang kontroversi diantara kedua-dua ulama mujtahid mutlak ini (mazhab), maka kata beliau orang ramai boleh memilih pandangan yang mana satu di antara kedua itu untuk diamalkan.” – Dipetik dari jurnal Perbahasan Tentang Jilatan Anjing: Suatu Perhatian.

Empat mazhab dalam Ahli Sunnanh Wal Jamaah. Imej dari Wikipedia.

Ini kerana bagi Nik Abdullah, semua mazhab yang empat boleh diamalkan oleh orang ramai walaupun dengan cara taflik (campur aduk) antara satu sama lain. Namun, perkara ni seterusnya sampai ke telinga ulama-ulama tradisional seperti Hj Ibrahim Hj Yussof (Mufti Kelantan masa tu), Hj Abdullah Tahir (ulama terkenal Kota Bharu) dan Hj Ahmad Mahir (Ulama Kelantan), maka berlakulah penentangan daripada mereka. Ini kerana, mereka ni berpegang kuat dengan Mazhab Syafie.

Ia kemudiannya menjadi perbualan hangat masyarakat Kota Bharu, terutamanya dari kalangan para penyokong dua golongan ulama tadi. Tapi tak lama lepas tu, Nik Abdullah meninggal dunia secara mengejut dengan meninggal isu yang tak terjawab. Penentangan terhadap pandangan Nik Abdullah bagaimanapun masih lagi berterusan.

Disebabkan perkara tu, bapanya, Hj Wan Musa (yang juga bekas Mufti Kelantan) bangkit mempertahankan pendapat anaknya. Kehangatan isu ni akhirnya sampai ke pengetahuan Sultan Kelantan, Sultan Ismail. Baginda seterusnya mengumpulkan ulama-ulama yang bertelagah ni ke istana. Tapi usaha berdamai tu tak menjadi, malah menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua pihak.

Hj Wan Musa Bin Wan Abdul Samad Tuan Tabal juga adalah bekas Mufti Kelantan. Imej dari geni.com

Pada tahun 1937, Tengku Ibrahim pula adakan satu majlis perbahasan mengenai hal tersebut di Istana Sri Cemerlang. Apa yang lebih menarik, perbahasan kali ni dihadiri oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang menyokong Hj Wan Musa. Mereka adalah Hj Abas Taha (Kadi Besar Singapura) dan Dr Burhanuddin al-Helmy (Setiausaha Majlis Ulama Singapura masa tu). Selain tu, Sultan Kelantan, Raja Kelantan, kerabat diraja dan golongan pembesar pun datang sekali.

Dalam perdebatan itu, keadaan agak sengit juga sebab dicatatkan berlakunya kecam mengecam di antara ulama yang bertentangan pendapat itu. Apa yang menariknya, dikhabarkan orang ramai yang menyaksikan debat itu pula yang tenang dan tenteram. Mungkin hal itu berlaku disebabkan majlis itu dihadiri oleh para pembesar dan Sultan Kelantan sendiri.

“Selepas berakhirnya perbahasan itu, Sultan Ismail selaku hakim tidak dapat menentukan pendapat di pihak manakah di sisinya mesti diikuti oleh masyarakat umum. Oleh yang demikian, beliau berserah sahaja kepada orang ramai sama ada hendak mengamalkan pendapat Hj Wan Musa ataupun pendapat ulama-ulama konservatif tadi.” – Dipetik dari jurnal Perbahasan Tentang Jilatan Anjing: Suatu Perhatian.

Gambar ni diambil bersempena dengan perbicaraan tentang masalah anjing. Duduk dari kanan: Hj Wan Musa, Yang Mulia Raja Kelantan (Tengku Ibrahim), Hj Abbas Taha & Hj Mohd Sadiqi Hj Wan Musa. Yang berdiri dari kanan: Yang Mulia Tengku Chik, Dr Burhanuddin al-Helmy, YB Datuk Seri Diraja Kelantan & Nik Mahmud. Imej dari ABIM.

Walaupun begitu, kajian mendapati para penyokong pendapat Nik Abdullah taklah mengamalkan pendapatnya itu. Mereka masih lagi mengamalkan amalan sertu anggota badan kalau terkena jilatan anjing atau sebagainya. Tapi peristiwa yang berlaku ni jelas menunjukkan polemik masyarakat Melayu dengan isu anjing dah pun wujud sejak berpuluh tahun lalu. Malah ia dibincangkan secara umum dan membabitkan pihak istana secara langsung.

Bagaimanapun, cerita-cerita pasal anjing juga dikisahkan di dalam al-Quran dan hadis. Seperti…

Anjing jadi perumpaan buruk untuk ulama penjilat dunia

Itulah apa yang diperumpamakan oleh al-Quran terhadap ulama-ulama yang menjadi penunggang agama untuk kepentingan peribadi. Hal itu ada disebut di dalam Surah al-Araf ayat 175 dan 176.

Imej dari Politicalgags Facebook.

Selain tu, ada ayat yang menceritakan kisah anjing yang mengiringi para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka dalam berjuang menghadapi pemerintah zalim di zaman itu. Maksud ayat itu adalah:

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka..” – Surah al-Kahfi, ayat 18.

Gambaran lukisan mengenai Ashabul Kahfi atau ada juga mengenalinya sebagai The Seven Sleepers. Imej dari Wikiislam.

Ada juga kisah tentang seorang pelacur dengan anjing:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.” – Riwayat al-Bukhari.

Itu adalah antara kisah-kisah tentang anjing yang dinukilkan dalam al-Quran dan hadis. Tapi, apa yang menjadi perbahasan adalah persoalan sama ada anjing itu najis atau tidak dan apakah hukum membelanya. Itulah yang telah diperbincangkan oleh ulama-ulama mazhab yang empat.

Ada mazhab yang meletakkan anjing sebagai bukan najis

Jika kita melihat kepada Mazhab Syafie, mazhab ini meletakkan anjing sebagai najis dan kita dilarang menyentuhnya tanpa sebab. Ini kerana, antara hadis yang disandarkan dalam perkara ni adalah:

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah.” – Riwayat al-Bukhari.

Kenajisan anjing dalam hal ni dikategorikan sebagai najis yang berat sebab ada cara nak menyucikannya dengan proses tertentu. Selain dari air liur anjing, Mazhab Syafie dan Hanbali juga menghukumkan bulu anjing sebagai najis. Tapi kalau kita sentuh bulu anjing tu masa kering, kita tak wajib sertu dan cukup sekadar basuh dengan air mutlak.

Sekarang ni dah ada sabun tanah yang difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan,Terengganu dan Kedah yang ianya boleh digunakan untuk samak. Imej dari sabuntaharah.com

Walaupun begitu, terdapat juga perbezaan pandangan ulama mazhab tentang jumlah berapa kali basuhan tersebut. Ini kerana, mengikut Mazhab Hanafi, sertu hanya perlu tiga kali basuh berbeza dengan Mazhab Syafie 7 kali basuh (termasuk air tanah). Alasannya adalah…

“…adapun pendapat Imam Hanafi hanya tiga kali sahaja (basuhan). Walaupun yang meriwayatkan hadis ini Abu Hurairah (hadis tentang jilatan anjing), tapi (kerana) Abu Hurairah sendiri memfatwakan tiga kali. Dia lihat maksud hadis itu Nabi suruh dengan makna wajib atau sunat. Penilaian yang dibuat oleh Abu Hurairah ini adalah basuh tiga kali sahaja.

________

Jadi Imam Hanafi ambil fatwa Abu Hurairah di dalam kaedah Mazhab Hanafi; pengajaran itu diambil daripada fatwa perawi hadis. (Sebabnya) perawi hadis ini lebih faham tentang hadis yang dia bawa.”- Maulana Fakhrurrazi, Musyrif Pusat Pendidikan Darul Quran Wal Hadith Kuala Kangsar.

Dalam pendapat yang lain seperti dalam Mazhab Maliki, ia berpendapat anjing sama ada digunakan untuk tujuan berburu, mengawal ternakan atau apa-apa pun adalah suci. Jika dijilat atau sebagainya, cukup untuk kita membasuhnya sebanyak sekali dan kalau kita nak basuh bekas yang dijilat dengan tujuh kali basuh ia sekadar perkara sunat.

Seorang lelaki bersama dengan helang dan anjing baka Salukinya. Imej dari dwonline.ae

Ini kerana, bagi Imam Malik, hadis berkaitan jilatan anjing dan sebagainya tu dah dimansuhkan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 4.

“… Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu.

__________

Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.” – Surah al-Maidah, ayat 4.

Seperti yang kita tahu, binatang pemburuan yang selalu digunakan adalah anjing, makanya jika anjing tadi membawa binatang buruannya, maka ia halal dimakan.

“…dalam bab anjing buruan, Quran kata jika binatang (hasil buruan) itu dibawa kepada tuannya, ia boleh dimakan. Pertamanya, binatang itu tidak perlu disembelih kalau ia telah mati. Keduanya, Quran tidak menceritakan ia kena samak tujuh kali. Sebab itu Imam Malik kata tak perlu samak sebab Quran tak suruh samak.

__________

Ayat yang dibacakan tadi dalam Surah al-Maidah (ayat 4) adalah antara surah yang terakhir diturunkan oleh Allah. Diturunkan di Madinah, sebahagian ulama berkata ia diturunkan lebih kurang sembilan hari sebelum Rasulullah SAW wafat. ‘Adapun hadis-hadis yang lama itu telah dimansuhkan oleh ayat tadi’, ini kata Imam Malik.” – Maulana Fakhrurrazi.

Malaikat tak masuk rumah yang ada anjing

Selain itu, kita juga mungkin pernah dengar hadis bahawa:

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, ‘Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” – Riwayat al-Bukhari.

Satu lagi hadis daripada Abu Talha, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar yang berupa dari makhluk bernyawa.” –Riwayat al-Bukhari.

Bagaimanapun, ulama dalam hal ini juga berselisih pendapat, sama ada semua malaikat tak akan masuk rumah yang ada anjing atau hanya malaikat tertentu sahaja. Sebahagian ulama berpendapat semua malaikat tak masuk, manakala sebahagian yang lain pula kata – hanya Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat je yang tak masuk.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah bersabda…

“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Berdasarkan hadis ini, Imam Nawawi (ulama Mazhab Syafie) mengatakan membela anjing tanpa sebab adalah haram kerana ia mengurangkan pahala. Namun, Ibn Abd al-Bar mengatakan yang ia tak haram tetapi hanya makruh. Ini kerana, hadis tu tak menyebut mengenai dosa tapi hanya menyebut mengenai kurangnya pahala.

“Anjing ini tak sesuai dengan sifat orang Islam yang tinggi (akhlaknya) dalam melayan tetamu. Ada anjing ni orang datang rumah dia menyalak. Pahala kuranglah, sebab kita ni kena layan tetamu. Mungkin anjing itu nak jaga rumah, tapi ia dah buatkan orang tak berani datang. Sedangkan kita ni kena mengalu-alukan kedatangan tetamu.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis.

Menurut Dr Asri lagi, kalau anjing itu kita bela untuk keselamatan rumah kita dan diri, ia dibenarkan dalam Islam. Bagaimanapun, jika ia hanya sekadar suka-suka tanpa tujuan yang jelas ia dilarang berdasarkan hadis di atas.

Dalam keadaan tertentu, mematikan anjing dibolehkan dengan syarat

Walaupun kita dilarang membunuh anjing, apatah lagi menzaliminya, dalam keadaan tertentu kita ada juga dibenarkan untuk membunuh anjing. Antaranya sekiranya kita berdepan dengan penyakit anjing gila.

Penyakit anjing gila atau rabbies adalah penyakit berjangkit yang memusnahkan sel saraf kat bahagian tertentu otak dan selalunya mengakibatkan koma ataupun kematian. Virus rabies ni terdapat dalam air liur haiwan (selalunya anjing) dan boleh berjangkit melalui gigitan ataupun jilatan haiwan tersebut jika menembusi kulit, contohnya luka.

Imej dari World Health Organization.

Oleh hal tu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan dah keluarkan garis panduan hukum berkaitan isu ni. Antaranya adalah Islam tidak melarang umatnya dari membunuh anjing ganas. Hal ini tersebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, sejenis helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hal ini, Imam al-Syirazi berkata, kalau sesuatu jenis binatang tu membawa mudarat dan tak ada manfaat, seperti; tikus, kala jengking, ular, pepijat, kutu dan gagak, hukum membunuhnya adalah sunat kerana mengelakkan darurat daripada terkena diri sendiri dan orang lain.

“Hendaklah dibunuh anjing yang menghidapi penyakit rabies serta diurus mengikut Standard of Operation (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM. Ini kerana penyakit ini bersifat mudarat berskala besar yang mengancam kesihatan manusia dan alam… Ini bertepatan dengan kaedah: Mudarat itu tidak boleh diwujudkan dan tidak boleh dikenakan pada orang lain.” – Dr. Zulkifli Mohd al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.

Dua orang beradik meninggal dunia akibat dari penyakit ini. Klik imej untuk berita lebih lanjut.

Masyarakat Melayu masih lagi berpegang teguh dengan Mazhab Syafie

Menurut kajian, orang Melayu adalah masyarakat yang masih lagi kuat berpegang dengan hukum anjing sebagai najis mughallazah (najis berat). Walaupun mereka tahu yang mazhab-mazhab lain membolehkan anjing disentuh. Tapi nampaknya, masyarakat Melayu masih lagi tak mahu menukar pandangan dalam isu ni sebab mereka dah berpuas hati dengan pandangan Mazhab Syafie.

“Bagaimanapun, tidak pernah kedengaran orang Melayu suka menyeksa atau membunuh anjing dengan sewenang-wenangnya. Mereka juga tidak memandang sebagai kesalahan kepada orang bukan Islam yang hidup bersama mereka untuk memegang anjing dan memeliharanya. Hanya yang mereka lakukan ialah tidak mendekati anjing kerana bimbang tersentuh dengannya.” – Dipetik dari jurnal tulisan Muammar Ghaddafi Hanafiah & Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff.

Pemilik Pusat Perlindungan Haiwan Pak Mi, Halijah Idris atau lebih dikenali sebagai Mak Intan bersama dengan anjing-anjingnya. Imej dari mStar.

Kerana itu jugalah, pihak JAKIM tak setuju dengan tindakan mana-mana pihak yang memegang/memelihara anjing tanpa sebab yang jelas. Ini kerana, ia dilihat sebagai bercanggah dengan Mazhab Syafie dan uruf (adat) masyarakat di Malaysia. Malah, kalau dilihat dari sejarah negeri-negeri Melayu,Mazhab Syafie dah ditetapkan sebagai mazhab rasmi dalam amalan fatwa dan mahkamah.

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah pegangan masyarakat Melayu masih lagi kuat kepada Mazhab Syafie. Walaupun ada perkara-perkara tertentu yang kita ikut mazhab lain seperti zakat, jual beli dan sebagainya.

Pendapat yang diberikan oleh Mufti Perlis, Dr Maza dalam isu ini. Klik imej untuk berita lebih lanjut.

Oleh itu, masyarakat Islam dan Melayu di Malaysia seharusnya tidak terlalu cepat melatah dalam hal-hal sensitif sebegini. Tunjukkanlah kepada masyarakat lain bahawa Islam itu sangat luas pandangannya dan kita sebagai umatnya bertanggungjawab memperlihatkan Islam itu sebagai agama yang sesuai untuk setiap zaman dan bangsa.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.