Muslim pertama yang jadi Datuk Bandar London ini pernah dianggap murtad

Beberapa minggu ni, kita semua rasa makin takut dengan situasi kat luar negara sebab banyak betul kes serangan pengganas. Baru-baru ni pun ada orang baling bom Molotov kat satu restoran di Paris, Perancis waktu pelanggan tengah makan. Habis restoran dan pelanggan sekali terbakar. Bila dengar ni, makin hilang selera nak jadi backpackers terutamanya ke negara-negara Eropah.

Apa yang merisaukan kita adalah situasi yang berada di United Kingdom (UK) baru-baru ni sebab di sana ramai orang Malaysia. Kalau korang nak tahu, komuniti orang Malaysia di UK ni dah dianggarkan seramai 59 000 orang. Jadinya, kejadian macam serangan bom masa konsert Ariana Grande di Manchester memang mendapat perhatian orang kita. Setakat ni tak ada orang Malaysia terlibat, cumanya ada tiga orang pelajar kita di soal siasat untuk kes tu.

Ariana Grande dalam dakapan kekasihnya lepas letupan. Imej dari Aceshowbiz.

Beberapa hari lepas tu pula, sekali lagi di UK digegarkan serangan pengganas di jambatan London yang membunuh beberapa orang tempatan dan pelancong. Apa yang menyedihkan, banyak saksi bagitahu tiga orang yang buat serangan tu ada jerit ‘This is for Allah’. Walaupun macam tu, netizen di UK langsung tidak menghentam Islam, malah diorang back up orang-orang Islam sampai jadi trending di Twitter.

Selain tweet dari netizen, ada satu lagi tweet yang mendapat liputan seluruh dunia. Tak lain dan tak bukan adalah tweet dari Presiden US, Donald Trump yang beri respon pasal kejadian tu. Tapi semua orang tak puas hati sebab dia hentam Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Cari gaduh ni. Imej dari BBC.

Bila sebut pasal Sadiq Khan ni, nama dia memang terkenal sampai ke Malaysia satu masa dulu. Sebabnya, dia adalah orang Islam pertama yang jadi Datuk Bandar London di UK. Jadi, kami di SOSCILI kali ni akan berkongsi cerita siapa sebenarnya Sadiq Khan ni sampai boleh jadi pemimpin kat negara yang majoritinya Kristian.

Seorang peguamcara yang lantang menentang kerajaan dan pihak polis

Sadiq Aman Khan ni sebenarnya adalah anak kepada dua orang imigran dari Pakistan yang telah berpindah ke London. Bapanya adalah seorang pemandu bas dan ibunya pula seorang tukang jahit.  Dia diahirkan pada tahun 1970 sebagai anak ke 5 daripada 8 adik-beradik.

Pada peringkat awal pembelajarannya, Sains dan Matematik adalah bidang yang diambil. Seterusnya, dia bercita-cita nak jadi seorang doktor gigi. Tapi cita-citanya bertukar kepada peguam setelah ada seorang guru tegur sikap dia yang suka sangat membantah dan ditambah pula dengan pengaruh drama LA Law yang ditontonnya.

Mana satu si Sadiq Khan? Hint: Tengah. Imej dari BBC.

Memang terbukti sifat suka membantahnya sangat berguna bila jadi peguam. Pada tahun 1994, dia telah bekerja di sebuah firma guaman bernama Christian Fisher bila dah habis belajar. Waktu jadi peguamcara (solicitor) ni, nama dia sangat naik sebab mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi yang sangat kontroversi.

Kes yang dikendalikan dia kebanyakkanya telah melawan pihak Polis Metropolitan UK  yang dikatakan melakukan diskriminasi bangsa (racial discrimination). Contohnya macam kes…

Kes Kenneth Hsu: Dalam kes ni, Sadiq Khan berjaya mendapatkan pampasan bernilai 220 000 Pound daripada pihak polis kerana kesilapan mereka. Kenneth Hsu telah dibelasah dan digari pada tengkok oleh polis. Ini kerana dia tidak mahu memberi polis masuk untuk menggeledah rumahnya atas alasan polis tiada waran. Selain tu, barang-barang di dalam rumahnya juga telah dicuri.  Setelah tiga tahun setengah berlalu, barulah Kenneth Hsu mendapat keadilannya atas kes tersebut.

Sadiq Khan dan Louis Farrakhan ketika di interview. Imej dari Daily Mail.

Kes-kes yang dia bantu mangsa melawan Metropolitan Police telah menyebabkan dia dianggap sebagai anti-polis. Selain tu, dia juga pernah mengendalikan kes di mana dia menentang kerajaan UK sendiri. Contohnya kes…

Kes Farrakhan: Sadiq Khan telah mewakili aktivis politik US, Louis Farrakhan (Ketua American National of Islam) untuk kes ni. Dalam kes ni Farrakhan telah dituduh mengutuk orang kulit putih sebagai ‘evil’ dan menggelarkan Yahudi sebagai ‘bloodsucker’ dalam satu rancangan tv. Jadi, UK banned dia daripada masuk ke negara itu. Tapi Sadiq Khan akhirnya berjaya buatkan kerajaan UK tarik balik sekatan tu.

Sadiq Khan menjadi seorang stand-up comedian

Setelah mengendalikan banyak kes yang kontroversi, dia telah berhenti daripada menjadi peguam pada tahun 2004 kerana mahu melibatkan diri dalam politik sepenuhnya sebagai ahli Labour Party. Tahun depannya, dia telah terpilih menjadi Ahli Parlimen di kawasan Tooting, London.

Dia telah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Tooting selama dua penggal iaitu dari tahun 2005-2010 dan 2010-2016. Waktu jadi ahli parlimen ni pun nama dia naik juga. Waktu tu, kerajaan diterajui Labour Party di mana Perdana Menterinya adalah Tony Blair. Walaupun waktu tu PM adalah orang parti dia (Labour Party), tapi dia tetap melawan.

Dua-dua pemimpin ni menceroboh Iraq. Imej dari elac-commitees

Dia adalah antara ahli parlimen yang melawan dengan jayanya beberapa keputusan Tony Blair seperti:

  1. Penahanan 90 hari tanpa dakwa bagi mereka yang dianggap ada kesalahan pengganas
  2. Pencerobohan terhadap Iraq

Dia juga adalah orang yang telah menanda tangani surat terbuka dari orang Islam kepada Tony Blair yang disiarkan di surat khabar The Guardian. Surat itu telah mengutuk Dasar Luar Negara UK yang terlibat dengan pecerobohan terhadap Iraq.

Apa yang menariknya, sepanjang dia terlibat dalam politik, dia juga ada satu rutin yang sangat ganjil pada masa tu. Dia dilaporkan sering melakukan persembahan stand-up comedy lebih kurang macam aksi Harith Iskandar tu. Dia akan buat lawak depan orang ramai selama 10 minit untuk kutip dana bagi Labour Party.

Agak-agak lawak ke si Sadiq Khan ni? Imej dari chortle

Antara stand-up comedy yang paling hangat sekali adalah ketika dia mengkritik Jeremy Hunt . Jeremy Hunt adalah seorang Setiausaha Kesihatan Negara yang telah banyak menimbulkan rasa tidak puas hati para doktor kerana kes gaji dan waktu kerja bagi doktor.

https://www.facebook.com/TimeOutLondon/videos/10153841929952405/

Selepas jadi Datuk Bandar, dia tak lagi buat persembahan stand-up comedy ni.

Orang Islam pertama yang menjadi Datuk Bandar London

Setelah dua penggal menjadi Ahli Parlimen, pada tahun 2016, Sadiq Khan telah mewakili Labour Party untuk bertanding jawatan Datuk Bandar London. Kalau korang nak tahu, di UK pilihanrayanya lain dari Malaysia. Di sana, diorang ada dua jenis pilihan raya umum:

  1. Pilihanraya Umum untuk Parlimen seluruh UK: Piliharaya 5 tahun sekali ni melibatkan 650 kerusi seluruh UK (England, Wales, Scotland dan Ireland Utara). Parti yang dapat kerusi parlimen paling banyak dia akan jadi kerajaan UK.
  2. Pilihanraya untuk wakil Parlimen Eropah bagi UK: Pilihan raya ni diorang akan pilih calon untuk mewakili negara masing-masing ke Dewan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) di Brussel, Belgium. Jadi untuk pilihan raya ni ada 73 kerusi dipertandingkan. Kalau menang semua tak jadi kerajaan UK pun.
Mana UK? Imej dari Brilliant Maps.

Seperti yang kita tahu, bawah UK ada empat negara iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Jadi setiap negara pun ada plihan raya tempatan masing-masing. Untuk England, diorang ada empat jenis pilihanraya tempatan:

  1. Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di England: Pilihan raya ni adalah rakyat memilih ahli majlis bagi daerah masing-masing.
  2. Pemilihan Datuk Bandar: Dari gabungan daerah-daerah, diorang kena pilih pula Datuk Bandar mengikut kawasan. Contohnya, 33 kawasan daerah yang ada dalam kawasan London, kena pilih seorang Datuk Bandar.
  3. Pemilihan London Assembly: Pilihan raya ni hanya melibatkan diorang yang tinggal dalam kawasan London sahaja (33 daerah). Diorang kena mengundi untuk dapatkan  25 ahli London Assembly yang mana tugas diorang ni untuk meneliti segala keputusan Datuk Bandar London.
  4. Pemilihan Pesuruhjaya Polis dan Jenayah: Setiap parti akan hantar calon Pesuruhjaya Polis dan Jenayah diorang bagi 40 kawasan seluruh England. Jadi, rakyat kena undi.
Sadiq berdebat dengan Zac (lawan dia). Ketinggian memang lain. Imej dari Evening Standard.

Sekarang ni kat England ada 17 Pilihan Raya Datuk Bandar dan salah satunya adalah Pilihan Raya bagi Datuk Bandar London. Pada 5 Mei 2016, telah berlangsung pilihan raya buat kali kelima untuk pilih Datuk Bandar London yang mana disertai Sadiq Khan mewakili Labour Party.

Setelah tamat mengundi, Sadiq Khan diumumkan sebagai pemenang setelah mendapat undian sebanyak 57% mengalahkan lawan dia yang lain. Kemenangan dia ni menjadikannya orang Islam pertama yang menjadi Datuk Bandar dalam sejarah UK.

Acara pertama yang disertai adalah memperingati Holocaust

Waktu jadi Datuk Bandar, upacara pertama disertai Sadiq Khan adalah Majlis Memperingati Holocaust. Acara ni dianjurkan oleh Komuniti Yahudi London yang juga dihadiri oleh 150 orang mangsa yang terselamat ketika Holocaust terjadi.

Pada 24 Jun 2016, dunia dikejutkan dengan keputusan di mana rakyat UK memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau popular sebagai Brexit. Sebelum rakyat turun untuk mengundi, ahli politik seluruh UK berkempen. Waktu ni Perdana Menteri UK adalah David Cameron yang merupakan ahli Conservative Party di mana dia menyokong supaya UK terus duduk dalam EU.  Apa yang mengejutkan, Sadiq Khan yang merupakan ahli Labour Party turut berkempen untuk David Cameron yang menyebabkan dia mendapat kritikan dari pimpinan Labour Party.

Sadiq Khan (Labour Party) dan David Cameron (Conservative Party) tak sokong Brexit. Imej dari The Independent.

Lepas rakyat memilih Brexit, David Cameron telah mengumumkan perletakkan jawatannya pada Oktober 2016 yang kemudiannya digantikan oleh Theresa May. Bagi Sadiq Khan pula, walaupun UK sudah keluar dari EU, dia tetap menyatakan warga EU yang tinggal di London masih dialu-alukan dan boleh terus menyumbang kepada UK. Dia telah menjalankan kempen ‘London is Open’ untuk membuktikan bahawa kota itu terbuka untuk sesiapa sahaja.

Selain kempen-kempen berkaitan London, dia juga tidak lupa untuk mempromosi Islam. Pada bulan ramadhan 2016, dia telah mengadakan program untuk menyatukan semua orang London waktu tu. Tujuannya untuk menghilangkan perasaan syak wasangka masyarakat terhadap Islam. Dia telah mengetuai acara berbuka puasa di rumah-rumah ibadah, gereja dan masjid di sekitar kota. Kemudiannya, sambutan Hari Raya Aidil Fitri diadakan di Trafalgar Square, London.

Sadiq Khan tweet pasal Festival Eid tu. Imej dari Daily Mail

Dia juga dituduh menggadaikan agama

Sadiq Khan walaupun adalah muslim, sepanjang dalam dunia politk, keputusan yang diambilnya untuk beberapa kes contoh macam menyokong ‘gay marriage’ di parlimen mendapat kritikan hebat. Hinggakan dia diugut untuk dibunuh dan Imam Masjid Bradford, UK menfatwakan yang dia murtad yang mana perlu bertaubat.

Sadiq Khan di himpunan LGBT. Imej dari PinkNews.

Walaupun macam tu, semua ni adalah kerana politik, sebab yang mengundi diorang kebanyakan bukan muslim. Kalau kita di nusantara ni rasa yang diorang ni sudah menggadai agama. Tapi perkara ni dah pun dijawab oleh tokoh ilmuwan Muslim di Eropah iaitu Prof Tariq Ramadan (cucu Hasan Al-Banna pengasas Ikhwanul Muslimin).

Lebih daripada dua puluh tahun saya menegaskan dan menyatakan kritikan tajam kepada beberapa kumpulan Islam bahawa homoseksual itu adalah di larang dalam Islam, tetapi kita mesti mengelak dari mengutuk dan menolak individu tersebut. Ia adalah agak mustahil untuk tidak bersetuju dengan tingkah laku seseorang (secara terbuka atau tertutup), tapi kita perlu menghormati seseorang itu sebagai individu. – Islam and Homosexuality tulisan Tariq Ramadan.

Dia juga yang menulis buku To Be European Muslim dengan tujuan untuk mencipta masyarakat Muslim Eropah yang “merdeka”, yang bukan sahaja tertumpu kepada tradisi yang dibawa negara-negara Islam, tetapi mempertimbangkan realiti Barat-Eropah.

Diorang masih muslim. Gif dari Giphy.com

Hari ni juga, nampaknya ahli parlimen Islam semakin bertambah di negara Eropah seperti UK. Setakat ni, dah 13 orang muslim yang pernah menjadi ahli parlimen di sana dan lapan daripadanya adalah wanita. Ini membuktikan yang orang Islam di Eropah semakin mendapat tempat jika tidak terlibat dengan kontroversi.

Jauh daripada kontroversi, Muslim di Eropah melakukannya dengan baik sekali, dan masa depan mereka adalah cerah.- Petikan tulisan Tariq Ramadan di The Guardian.

Seorang yang berani melawan Perdana Menterinya sendiri

Suasana harmoni yang cuba di bawa oleh Sadiq Khan tetap dicabar dengan beberapa siri serangan di kota London. Jika dulu 2007 ada kes letupan bom di dalam train kat kota London, waktu dia jadi Datuk Bandar pula ada kes serangan di kawasan Jambatan London.

Dalam kejadian ni, 7 orang telah terbunuh dan 48 lagi tercedera. Hasil siasatan membuktikan bahawa 3 orang telah menaiki van sepanjang Jambatan London yang kemudiannya merempuh orang yang sedang berjalan di sekitarnya. Selepas tu, diorang telah keluar dari van dan berlari sambil menyerang sesiapa sahaja termasuk di dalam restoran dan bar. Akhirnya, polis berjaya menembak mati ketiga-tiga pengganas tersebut.

Mangsa yang dilanggar dibantu orang sekitar lepas dilanggar. Imej dari The Sun.

Sepanjang siasatan berjalan, berlaku perang di media sosial apabila Donald Trump mengecam Sadiq Khan. Dalam kes ni Sadiq Khan mendapat sokongan ramai termasuk Perdana Menteri UK, Theresa May.

“Saya rasa Sadiq Khan sedang melakukan kerja yang bagus dan adalah mnejadi kesalahan untuk mengatakan sebaliknya” – Theresa May petikan dari Independent.

Belum sempat habis lagi kehangatan kes ni, orang London sekali lagi diuji. Kali ni berlaku kebakaran di sebuah bangunan beberapa tingkat yang dikenali sebagai Grenfell Tower. Ramai yang terkorban. Sadiq sekali lagi menjalankan tanggungjawabnya dengan tegas. Walaupun Theresa May support dia hari tu, tapi, kali ni Sadiq Khan tekan dia balik atas kes ni.

Setelah beberapa hari kes ni berlalu, pihak kerajaan yang diketuai Theresa May masih belum memberi jawapan dan bantuan yang sebaiknya. Masih ada lagi mangsa terselamat yang tinggal di pusat pemindahan. Rakyat sekitar mula merasa marah dan turun melakukan demonstrasi untuk tekan kerajaan. Dalam masa yang sama, Sadiq Khan turut bersama tekan kerajaan dengan menghantar surat terbuka kepada Theresa May.

Sebahagian surat terbuka kepada Theresa May. Imej dari FB Sadiq Khan

Nampaklah yang Sadiq Khan ni tidak mudah berpihak kepada mana-mana ahli politik. Sebab bagi dia, siapa yang bagi kebaikan kepada orang London, dia akan sokong.

Berjaya buktikan bahawa Muslim itu bukan pengganas kepada Eropah

Ketegasan Sadiq Khan juga nampaknya tidaklah hanya untuk rakyat London sahaja. Dia juga turut menentang polisi-polisi negara kuasa besar contohnya Muslim Travel Ban yang diperkenalkan Donald Trump. Sadiq Khan antara pemimpin yang memberi reaksi kepada polisi ini dengan mengeluarkan kenyataan tegas di media. Katanya,

” Larangan Presiden Trump ke atas pelarian dan imigran dari negara tertentu adalah memalukan dan zalim” Petikan dari The Independent

Dia juga turut memperingatkan Perdana Menteri UK, Theresa May untuk menentang polisi Trump ni. Kenyataan ni telah di balas oleh Trump dengan mengatakan ianya ‘bodoh’ dan ‘biadap’. Kiranya reaksi Sadiq Khan ni memang mendapat perhatian dunia.

Apa yang menarik, walaupun sekarang di Barat masih lagi kuat doktrin bahawa Muslim adalah terrorist dicampur pulak denga perasaan Islamophobia. Dengan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin Islam di Eropah sana macam Sadiq Khan, telah berjaya memberi kepercayaan kepada orang Barat bahawa Muslim bukanlah terorrist. Seperti kenyataannya mengenai serangan pengganas ketikan Ramadhan,

“Untuk membunuh orang tidak berdosa, khususnya di bulan Ramadhan, adalah penolakan dari nilai sebenar agama saya” Petikan dari Evening Standard

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT