- 1.1KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.1K
- Share
Kebanyakan kanak-kanak dibesarkan dengan kisah-kisah dongeng fairytale. Sampaikan bilik tidur dan peralatan sekolah pun kalau boleh nak berkonsepkan fairytale jugak. Cerita fairytale ni ditulis oleh Brothers Grimm yang kemudiannya diadaptasi oleh Disney.
Korang perasan tak kebanyakan fairytale yang terkenal adalah kisah-kisah puteri terutamanya Cinderella, Sleeping Beauty, Snow White, The Little Mermaid, dan Beauty and The Beast. Kisah puteri Disney sangat digemari oleh kanak-kanak dan orang dewasa sehingga seringkali menjadi tema harijadi, perkahwinan, dan juga tema drama Melayu.
Tapi korang tahu tak kat Nusantara ni pun ada jugak kisah-kisah puteri yang mempersona. Malah kisah-kisah ini pun kalau diadaptasi dengan kreatif, pasti dapat sambutan dan pada masa yang sama dapat memberi pendedahan tentang hikayat Nusantara agar tidak terus pupus ditelan zaman. Antara kisah-kisahnya ialah…
1. Puteri Lindungan Bulan: Puteri berdarah putih yang tersorok daripada cahaya bulan
Pada zaman dulu, Sultan Kedah iaitu Sultan Sulaiman Shah ada dua orang anak perempuan yang cantik bernama Puteri Zaleha dan Puteri Mariam. Mereka berdua memang amat rupawan tapi Puteri Zaleha ini memang special sebab dia berdarah putih. Kalau dah istimewa, memang jadi rebutan lah kan.
Sultan Iskandar Mahkota Alam di Acheh pun entah macam mana boleh dapat mimpi jumpa dua orang perempuan jelita yang keluar dari kelopak bunga melur besar. Jadi bila bangun pagi tu, dia terus jumpa Tukang Nujum Istana untuk cari siapa perempuan jelita yang dalam mimpi tu dan rupa-rupanya mereka adalah Puteri Zaleha dan Puteri Mariam.
Bila Sultan Iskandar dapat tahu yang Puteri Zaleha ada darah putih, dia terus jadi obses. Dia pun takde nak tunggu lama-lama, terus pergi ke Kedah masuk meminang dan Sultan Sulaiman Shah (Sultan Kedah) pun terima pinangan tersebut.
Tapi kalau korang nak tahu, sebenarnya Sultan Sulaiman bukan kahwinkan Sultan Iskandar dengan puterinya yang berdarah putih tu. Sebaliknya dia telah kahwinkan dengan Puteri Mariam yang berdarah merah.
Mula-mula semuanya baik, berjalan lancar sehingga satu hari Puteri Mariam tersepit kacip pinang dan keluar darah merah, bukan darah putih. So dah kantoi kat situ.
Sultan Iskandar pun bengang dan berasa sakit hati sehingga dia terus isytihar perang dengan Kedah. Oleh kerana pada waktu tu Kedah ni merupakan negeri kecil, bala tentera pun tak ramai dan dia pun tahu yang dia akan kalah bila berlawan dengan Acheh, jadi Sultan Kedah pun sorok Puteri Zaleha siap-siap dalam kubu bawah tanah dan doa agar puteri kesayangan dia selamat.
Memang Kedah kalah teruk dan negeri itu hancur binasa tetapi Puteri Zaleha masih tidak ditemui. Puteri Zaleha tidak ditemui kerana walaupun malam bulan terang benderang, tapi cahaya bulan langsung tak terpancar kat kubu persembunyian Puteri Zaleha tu.
Jadi tiada sesiapa pun yang nampak kubu tersebut. Maka dari situlah datangnya nama Puteri Lindungan Bulan. Khabarnya Puteri Zaleha akhirnya mangkat kerana kelaparan dan jasadnya dimakamkan di puncak bukit Kota Seputih.
2. Puteri Hang Li Po: Anak Maharaja China yang menjadi isteri Sultan Melaka
Sewaktu zaman kegemilangan Melaka, Sultan Mansur Shah telah menghantar Tun Perpatih Putih ke China untuk menjalinkan hubungan diplomatik. Tun Perpatih Putih telah menghadap Maharaja Yong Le dari Dinasti Ming dan telah berjaya menarik minat Maharaja Yong Le terhadap kemasyhuran kesultanan Melaka.
Entah apa yang Tun Perpatih goreng sampai Maharaja Yong Le hadiahkan puterinya untuk dijadikan isteri Sultan Mahmud Shah. Bukan senang nak ambil hati Maharaja China.
Puteri yang dihadiahkan oleh Maharaja Yong Le adalah Puteri Li Po. Kalau dah nama puteri, confirmlah cantik. Puteri Li Po pun berangkat ke Melaka dengan 500 orang pengiring perempuan dan 4 orang pengawal peribadi. Fuh, sekampung juga dia bawa.
Sampai di Melaka, rombongan Puteri Li Po disambut baik dan Sultan Mansur Shah pun dengan berbesar hati mengambil Puteri Li Po sebagai isteri. Sebagai tanda kebesaran, Sultan Mansur Shah pun kemudiannya memberikan gelaran ‘Hang’ kepada isterinya. Nama Tuan Puteri pun bertukar kepada Puteri Hang Li Po.
Kalau Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan, para pengiring Tuan Puteri pulak berkahwin dengan para pegawai Sultan. Malah Sultan Melaka jugak telah menghadiahkan Bukit Sam Po kepada isterinya itu sebagai mas kahwin. Manakala pengiring beliau pula dihadiahkan penempatan di Bukit Cina.
Hasil daripada perkongsian hidup itu, mereka berdua pun dikurniakan seorang putera yang bernama Paduka Mimat dan hidup bahagia. Namun semuanya berubah apabila Putera Samura yang telah lama mengidamkan kekayaan Melaka cuba untuk merebut Puteri Hang Li Po daripada Sultan.
Maka tragedi pun bermula dimana Putera Samura telah menyerang Melaka dengan bala tenteranya. Setelah masuk ke istana, dia cuba melarikan Puteri dengan kekerasan. Pada ketika itulah juga Sultan tiba dan mereka pun berlawan.
Dalam perlawanan itu Putera Samura jatuh ditikam Sultan. Sultan fikir musuhnya itu sudah terkorban. Tetapi, Putera Samura tiba-tiba bangun dan hendak menikam Sultan. Puteri Hang Li Po yang nampak Putera Samura bangkit pun segera melindungi suaminya lalu tertikam di dada. Maka mangkatlah Puteri Hang Li Po demi melindungi suami tercinta.
Akhirnya, Putera Samura dibunuh oleh Sultan. Walau bagaimanapun, Puteri Hang Li Po sudah terkorban demi menyelamatkan Sultan yang dicintainya. Kalau korang nak tahu, kisah Puteri Hang Li Po juga ada disebutkan dalam sebuah drama Korea yang bertajuk Saimdang.
3. Tun Teja: Dari Melaka ke negeri Pahang, Sultan Melaka datang meminang
Kisah Tun Teja ini ada dua versi, iaitu versi Sejarah Melayu dan versi Hikyat Hang Tuah. Tapi yang akan kitaorang kongsikan ni adalah versi Sejarah Melayu.
Tun Teja Ratna Benggala adalah anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang yang cantik jelita. Apabila khabar tentang kecantikannya sampai ke telinga Sultan Mahmud Shah di Melaka,maka Sultan pun segera mengantar rombongan meminang ke Pahang. Tetapi Sultan Mahmud Shah terlambat dan pinangannya ditolak sebab waktu itu Tun Teja telah bertunang dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghaffur Shah. Lalu Sultan Mahmud Shah pun pulang ke Melaka dengan hati yang kecewa.
Nak dijadikan cerita, satu hari tu Sultan Mahmud Shah suruh Hang Nadim ke India untuk membeli 40 gulung kain (nak buat baju raya agaknya). Tapi kain semua musnah bila kapal yang Hang Nadim naik telah karam dipukul ribut waktu on the way balik Melaka.
Takut punya pasal, Hang Nadim pun fikir lah cara nak buat Sultan gembira dan pada masa yang sama alih perhatian Sultan daripada 40 kain yang dah tenggelam dalam laut itu. Fikir punya fikir, Hang Nadim pun dapat idea perkara yang boleh buat Sultan gembira pada waktu itu cuma Tun Teja.
Hang Nadim pun gigih berlayar ke Pahang untuk jumpa Tun Teja dan memujuknya supaya kahwin dengan Sultan Mahmud. Puaslah Hang Nadim sembang kencang pasal kegagahan dan ketampanan Sultan Mahmud dengan bantuan seorang perempuan tua. Akhirnya Tun Teja pun cair dan setuju untuk ikut Hang Nadim ke Melaka. Tuhan sahaja yang tahu betapa leganya Hang Nadim pada waktu itu.
Lalu Tun Teja pun dibawa menghadap Sultan Mahmud Shah dan ternyata, Sultan sangat gembira sampai terlupa akan 40 gulung kain dari India. Mereka pun berkahwin dan dikurniakan seorang puteri yang bernama Tengku Amra Dewi.
4. Puteri Santubong: Akibat berebut seorang putera, puteri dua beradik ni disumpah oleh Raja Dewa
Kisah puteri ini juga ada beberapa versi, dan yang ini adalah versi paling famous..
Raja Dewa Kayangan ni nak sangat tengok bumi. Lalu dia pun ambil mangkuk saktinya dan menilik keadaan kat bumi. Dia tengok permukaan bumi ni sangat cantik dengan keadaan yang bergunung ganang serta penuh dengan tumbuh-tumbuhan. Bumi yang dia lihat tu adalah Sarawak dan digelar sebagai Bumi Kenyalang.
Namun dalam keindahan tersebut, dia nampak ada dua buah kampung ni sering bergaduh iaitu Kampung Pantai Biru dan Kampung Pasir Kuning. Oleh kerana dia berasa kasihan dan ingin menyelesaikan pertelingkahan dua buah kampung itu, dia pun turunkan dua orang puterinya untuk mendamaikan keadaan. Puteri Santubong diturunkan untuk menjaga Kampung Pantai Biru dan Puteri Sejinjang menjaga Kampung Pasir Kuning.
Lepas puteri-puteri itu diturunkan, keadaan dua buah kampung itu aman damai, tidak lagi pergaduhan sehingga muncul seorang putera rupawan yang bernama Putera Serapi. Saat Putera Serapi dapat melawat kedua buah kampung itu, kedua-dua orang puteri pun berhiaslah dengan cantik berseri sehingga Putera Serapi langsung jatuh cinta kepada keduanya.
Ada satu hari, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang pun bertemu di suatu tempat untuk bertanya khabar. Mereka pun bersembang dan kemudian mendapati bahawa mereka telah menyintai putera yang sama. Perasaan kasih sayang sesama adik beradik langsung hilang dan digantikan dengan perasaan benci dan cemburu. Mereka pun bergaduh sehingga kedua-dua mereka tersungkur.
Saat itu, kilat sambung-menyambung dan Raja Dewa telah menyumpah Puteri Santubong menjadi sebuah gunung dan Puteri Sejinjang menjadi Pulau Kera. Putera Serapi yang kecewa terus menghilangkan diri di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Serapi.
5. Puteri Saadong: Anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang berkorban mengikut Raja Siam
Puteri Saadong atau gelarannya Puteri Vijaya Mala merupakan anak angkat Che Siti Wan Kembang, Raja Perempuan Kelantan. Malah pada usia 15 tahun, Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan sepupunya, Raja Abdullah dan mereka menetap di negeri Jelasin.
Walaupun Puteri Saadong telah berkahwin, itu tidak menghalang hajat Raja Narai, Raja Siam yang sudah menyukai Puteri Saadong sejak sekian lama untuk menghantar rombongan meminang. Apabila pinangannya ditolak (duh! Orang itu dah kahwin kot), Raja Narai mengamuk lalu menyerang negeri Jelasin. Waktu itu terjadilah pertumbahan darah yang amat dasyat dan hancur musnah negeri kesayangan Puteri Saadong.
Sebab terlalu sayangkan negerinya, Puteri Saadong meminta Raja Abdullah untuk menyerahkan dia kepada Raja Narai. Cuma dengan cara ini, peperangan akan terhenti, dan tiada lagi orang yang akan mati. Dengan berat hati, Raja Abdullah pun serahkan isterinya kepada Raja Narai. Maka berangkatlah Puteri Saadong dengan hati yang hancur dan berlinangan air mata.
Bila sampai di istana Siam, tiba-tiba Raja Narai jatuh sakit. Terdapat kudis-kudis kecil di atas dadanya yang amat pedih dan berbisa. Pawang Istana yang merawat Raja Narai berpendapat bahawa penyakit ini berpunca daripada Puteri Saadong.
Namum Puteri Saadong menidakkan kenyataan itu. Kata Puteri Saadong, mana mungkin dia berdendam dengan Raja Narai kerana dia ke sana dengan kehendaknya sendiri bagi menyelamatkan negerinya yang tercinta. Tetapi hatinya telah hancur remuk kerana terpaksa meninggalkan suami dan perasaannya sudah terkubur mati.
“Patik yang hadir pada tuanku hanyalah sekujud jasad tidak berperasaan lagi” – ujar Puteri Saadong kepada Raja Narai.
Maka menangislah Raja Narai kerana menahan kesakitan dan kesedihan. Raja Narai pun berjanji akan menghantar Puteri Saadong pulang setelah dia menjaga dan merawatnya sehingga sembuh.
Selepas beberapa tahun, penyakit Raja Narai pun sembuh dan Puteri Saadong dihantar pulang ke Kelantan. Namun kegembiraan tu bertukar menjadi amarah apabila dia mendapati bahawa Raja Abdullah telah berkahwin dengn orang lain hingga menyebabkan kawasan pemerintahannya terabai dan kucar-kacir.
Sebab kecewa dan marah yang amat, dia telah membunuh Raja Abdullah dengan menikam suaminya di bahagian rusuknya menggunakan penyucuk sanggul lalu membawa diri ke Bukit Marak.
Jangan dibiar lapuk ditelan zaman
Andai buat satu kuiz tentang karya hikayat Nusantara, pasti kebanyakkan orang muda akan gagal dengan jayanya. Ini sebab kurang pendedahan dan minat terhadap cerita rakyat Nusantara sendiri. Sampai baru-baru ini, ada satu syarikat dituduh rasis sebab gunakan watak Puteri Dayang Senandung dalam iklan mereka.
Tak dinafikan, kami pun menyampah juga dengan pemikiran tipikal kulit putih lebih cantik daripada kulit hitam, tapi nak tuduh syarikat itu rasis adalah tidak wajar sebab mereka cuma menghidupkan watak Puteri Dayang Senandung, tiada sebarang sentimen perkauman pun. Cuma bila orang sekarang ramai tak kenal Puteri Dayang Senandung, timbullah isu perkauman yang sebenanya tak wujud pun dalam iklan itu.
Sebab itu kita perlu ambi tahu tentang hikayat dan cerita rakyat kita sendiri. Boleh baca buku Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai dan sebagainya. Ataupun korang boleh Google pasal cerita hikayat nusantara. Dari situ boleh tahu serba sedikit.
Pihak media pun memainkan peranan penting dengan menyiarkan program atau menghasilkan karya menarik berdasarkan hikayat Nusantara. Alasan cerita hikayat Nusantara dah tidak relevan dengan masyarakat masa kini adalah tidak munasabah. Kalau karya Romeo and Juliet yang ditulis pada tahun 1590-an masih relevan hingga kini, kenapa tidak karya hikayat Nusantara?
Tak salah pun nak minat terhadap budaya luar. Tak ada yang menghalang malah digalakkan supaya kita boleh mengenali dan memahami budaya lain. Tapi janganlah ketepikan budaya kita sendiri. Kebudayaan adalah sebahagian daripada diri kita. Budaya kita adalah identiti kita. Sebab itu kita perlu kenali dan hargai budaya kita. Kalau bukan kita, siapa lagi?
- 1.1KShare sekarang!
- Email25
- Facebook1.1K
- Share