- 2.8KShare sekarang!
- Email136
- Facebook2.7K
- Share
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
(Klik sini untuk perkongsian kisah 13 Mei 1969, bahagian pertama.)
Tarikh 13 Mei bukanlah satu tarikh yang boleh kita lupakan. Ini kerana, 51 tahun yang lalu satu peristiwa hitam dalam hubungan kaum pernah berlaku di negara ini. Itulah peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang menyaksikan kota Kuala Lumpur bermandi darah.
Peristiwa ini menyebabkan hampir 200 nyawa terkorban disebabkan rusuhan sesama rakyat. Bagi mereka yang lahir selepas peristiwa 13 Mei, mungkin kita tak akan dapat faham kenapa peristiwa berdarah ini boleh terjadi. Apa yang kita tahu hanya melalui buku, laporan dan cerita yang sampai ke telinga kita.
Jadi macam mana teruknya keadaan pada 13 Mei 1969? Kami dari SOSCILI pergi menemubual beberapa orang yang mengalami sendiri peristiwa ini, dan ini cerita mereka…
1. Fauziah Samad (berumur 13 tahun pada 1969)
Pada ketika tu, rumah kami terletak di belakang Chong Hwa High School, Jalan Gombak, kira-kira 20 minit dari Chow Kit. Kawasan tu, boleh kata 99% dihuni oleh orang Cina, cuma ada dua rumah orang Melayu (termasuk rumah kami) dan satu rumah India Muslim. Lainnya semua rumah Cina. Kami kat situ hidup dalam keadaan harmoni.
Pada 10 Mei 1969, saya dan mak pergi ke rumah jiran kami (seorang wanita Cina). Mak kata seharian mak tak nampak dia. Kami pun masuk ke dalam rumah dan mak panggil dia beberapa kali, tapi dia tak bangun-bangun. Mak pun pegang kakinya dan cuba gerak-gerakkan dia, tapi tak bagi tindak balas. Jadinya, mak panggil jiran-jiran dan bila diorang periksa, SAH wanita tu dah meninggal!
Malam tu, bapak tolong jiran-jiran pasang lampu dan khemah di rumah si mati. Tapi keadaan mula berubah pada petang 13 Mei 1969, kami dengar ada kecoh-kecoh kat luar rumah. Bapa pun jenguk dan tanya apa masalah?
“Gaduh…gaduh..” kata seorang jiran Cina kami sambil berlari join kawan-kawannya yang lain. Bapak panggil adik saya dengar apa mereka bualkan. Adik saya sekolah Cina jadi dia faham apa diorang kata.
“Orang Melayu dengan Cina gaduh, kat Setapak dan Kampung Baru!” kata adik. Setapak hanya 10 minit je dari rumah kami!
Bila dengar perkara tu, muka bapak mula pucat dan mak pula mula menangis. Lutut mak terus lembik dan tiba-tiba mak demam. Mungkin sebab terkejut yang amat sangat. Di luar rumah pula, kami nampak orang Cina tengah potong batang paip besi dan asah (digesel-gesel di atas jalan tar) jadikan bucunya tajam. Masa bapak intai, seorang jiran Cina mintak bapak masuk rumah, tutup pintu dan tingkap. Bahaya katanya.
Malam tu kami tak dapat tidur. Bapak pula beritahu pada jiran-jiran yang mak sakit. Tak sampai 1 jam, salah seorang jiran datang bawa ubat yang dibelinya dari kedai. Kemudian datang lagi jiran bagi seguni kentang. Sebenarnya, ada satu lori bawa kentang yang on the way nak pergi ke Pahang, tersekat di kawasan kami sebab perintah berkurung. Jadinya, semua kentang tu diagihkan pada penduduk termasuklah kami.
Bila siang, kami nampak keluarga Melayu yang satu lagi tu pindah dari kawasan kami. Tapi bapak tak ikut. Kemudian satu trak polis datang untuk bawa kami pergi dari situ. Bapak tetap tak nak ikut. Bila TV dan radio buat pengumuman nak orang derma darah. Bapak pergi jadi penderma darah, dan masa bapak pergi, baru kami tahu cerita sebenar di Kuala Lumpur. Bermandian darah! Cerita lain saya tak tahu sebab muda sangat masa tu.
Cuma saya tak dapat lupa jiran-jiran Cina di kawasan perumahan kecil di belakang Chong Hwa High School sampai ke hari ini. Kalau tidak kerana jiran-jiran yang baik hati dan bermuafakat, pasti kami sekeluarga tidak wujud hari ini.
Bagaimana anda melihat keharmonian kaum pada hari ini?
Selepas 13 Mei, kami masih tinggal di situ. Tapi sekarang kawasan tu dah dibangunkan jadi kondo. Hari ini saya juga tinggal di kawasan yang bercampur, kiri, kanan, depan dan belakang orang Cina. Ada juga India di depan rumah. Kami saling bertegur sapa dan baik-baik sahaja. Kalau kami balik kampung, jiran sebelah tolong bagi kucing makan dan kalau India depan itu bercuti, kami pula tolong letakkan makanan untuk anjing dia. Saya cuma rindukan sangat hubungan bersama jiran tetangga di Gombak dulu. Kemesraan yang tak boleh dibeli.
“Sebenarnya, masih ada rasa saling sayang menyayang antara pelbagai kaum di Malaysia. Tetapi yang jahat dan sebarkan fitnah di media sosial yang menyebabkan keadaan menjadi buruk.”
[Kisah ini juga diceritakan oleh Puan Fauziah di blog beliau. Klik sini untuk baca]
2. Pak Amjal (berumur 33 tahun pada 1969)
Terjadinya 13 Mei ni lepas pilihanraya 1969. Di Selangor ni Perikatan kalah dan masa tu Menteri Besarnya, Datuk Harun Idris. Parti yang menang ni pulak dah berarak. Mereka pun teriak, “Harun mesti turun, Harun mesti turun! Kita sudah menang!” Pakcik ada sedara di Petaling Jaya, jadi sedara pakcik ni kata pada pakcik. “Esok kita pulak yang berarak”. Tapi syaratnya kena bawa parang!
Jadinya pakcik pun asahlah parang. Bila tengah asah parang tu polis pulak nampak, jadi polis tanya kenapa asah parang ni? Pakcik jawab esok nak berarak, dia pun tanya lagi, kalau nak berarak kenapa sampai nak bawa parang? Pakcik pun jawab, “Datuk Harun yang suruh”. Jadi esoknya, pakcik pun pergi ke Kuala Lumpur. Tapi bak kata orang, tuhan nak panjangkan umur pakcik. Bila sampai di Jalan Campbell, pakcik jumpa dengan polis yang nampak pakcik asah parang tu.
Din! dia panggil pakcik. Kau nak pergi mana ni? Kat sana tu dah bunuh membunuh dah! kata polis tu pada pakcik.
Pakcik pun terkejut dan balik la ke rumah. Bila balik tu, curfew dah diisytiharkan. Apa yang pakcik tahu dekat Kampung Kerinchi ni, bila ada orang lalu diorang akan bagi salam. Siapa yang tak jawab, habis dibunuh. Bagi salam ni nak bezakan orang Melayu atau bukan.
Hanya lepas beberapa hari peristiwa 13 Mei ni, barulah dengar cerita-cerita dan sebab menyebab kenapa peristiwa ni jadi. Yang cerita pasal parang terbang tu, pakcik dengar lepas beberapa hari peristiwa 13 Mei. Ceritanya, orang Cina Kuntao (seni bela diri) ni tak kurang hebatnya, ada yang boleh loncat tinggi macam terbang, macam cerita kungfu tu. Jadinya, datanglah orang Melayu yang berilmu ni, dia pun terbangkan parang tu.
Lepas tu, pakcik ada juga pergi ke pasar tani. Sampai sana, dendam tu masih ada lagi. Sampaikan ada seorang Cina ni bagi tahu pada pakcik, “Kamu orang Melayu, kalau takde askar dan polis, Melayu habis tau!”. Bersemangat betul dia. Tapi lepas tu, kerajaan tubuhkan Muhibah, nak rapatkan balik masyarakat ni. Sekarang ni keadaan dah baik dah, mana yang masih simpan dalam hati tu kita tak tahu lah.
Bagaimana anda melihat keharmonian kaum pada hari ini?
Kita kena pandang pada kerajaan juga, sebabnya jurang perbezaan pendapatan dan ekonomi orang Melayu ni masih lagi boleh ditolong. Tetapi salah pada kerajaan jugalah, kerana diorang sendiri ni yang halang orang Melayu maju. Jadinya orang Melayu mesti sedar, tapi nampaknya orang Melayu tak sedar lagi.
“Tapi sekarang ni, tak akan jadi lagi 13 Mei. Sebab sekarang ni masyarakat dah lain. Yang buat masalah ni orang atas jugak, orang politik.”
3. Guru silat Jalan Ipoh (berumur 25 tahun pada 1969)
Perkara ni bermula sehari sebelum 13 Mei 1969. Parti pembangkang dah menang jadi diorang ni pun berarak dan masuk Kampung Baru. Sambil tu, diorang cabar orang Kampung Baru, siapa berani keluar! Sampai Datuk Harun pun diorang suruh keluar.
Pada petang 13 Mei, orang Melayu dah bersiap di rumah Datuk Harun di Kampung Baru. Jadinya saya dan adik saya dah dibawa oleh pakcik ke sana. Saya masa tu hanya bawa sebilah pisau pendek je. Bila masuk je kawasan rumah Datuk Harun, saya nampak orang dah macam nak pergi perang dah.
“Saya nampak ada orang yang minum air dalam tempayan. Katanya kalau minum air tu, nanti tak jadi takut dan sebagainya. Saya pun mula fikir, ni memang nak berlawan ke?”
Lepas diorang dah minum air tu. Diorang jadi terlampau bersemangat dan dah tak boleh nak control diri. Jadinya, dilepaskan satu group dari rumah Datuk Harun. Dari situ bermulanya pembunuhan. Lalu je mana-mana orang Cina, habis dibunuh. Lepas tu, diorang pergi ke Chow Kit, habis semua rumah di situ dibakar. Orang Melayu pulak terperangkap dalam panggung wayang. Ramai orang Melayu mati kat situ.
Tapi kalau nak cerita macam mana hebatnya ilmu orang Melayu masa tu, diorang boleh ambik pasir, baling kat dinding dan pasir tu jadi api! Mana diorang dapat ilmu itu saya tak tahu. Dekat Sentul, lain pulak ceritanya. Orang Melayu dah terkepung dalam masjid. Jadinya, FRU datang dan kepung kawasan tu. Bila dah dikepung FRU, mereka yang berada dalam masjid tu buat zikir apa semua. Akhirnya, mereka ni boleh keluar dari masjid dan serang balik orang Cina. Yang peliknya FRU tak nampak bila mereka ni keluar.
2 hari selepas hari 13 Mei, penyewa rumah saya nak tengok isterinya dekat Kampung Pandan. Jadi kami pun pergi, tapi bila kami sampai Batu 2, polis tahan dan polis tanya yang kami ni nak ke mana. Saya kata nak ke Kampung Pandan. Polis tu kata, “kamu ni nak mati ke apa!” Jadinya, kami balik. Sebabnya masa tu keadaan masih lagi tak stabil, ramai yang masih berdendam.
Lepas seminggu lebih, keadaan makin tenang. Saya sendiri kerja dengan orang Cina. Tapi syukur sebab takde pulak saya dan orang Cina tu nak berdendam pasal peristiwa ini. Cuma lepas tu, sikit-sikit la kita dengar kes ‘pukul curi’ antara orang Melayu dan Cina. Apa yang saya ingat, keadaan nak jadi normal tu tak lama, seminggu dah okey.
Bagaimana anda melihat keharmonian kaum pada hari ini?
Hubungan kaum sebelum dan selepas 13 Mei ni sama je bagi saya. Perpaduan kaum tu boleh kata nampak okey la. Cuma mungkin perasaan dan niat tu yang dipendamkan. Terus terang saya kata, saya masih lagi tak dapat terima dan percaya pada mereka.
4. Dr S. Sundaram (berumur 45 tahun pada 1969)
(Untuk maklumat, Dr Sundaram telah meninggal dunia dan kisah ini diceritakan oleh anaknya, Dr Shanti.)
Saya tak pasti jika ia berlaku pada hari 13 Mei. Mungkin ia terjadi beberapa hari selepas peristiwa 13 Mei. Klinik bapa saya berada di Lebuh Ampang dan pada hari itu dia balik dari klinik kira-kira pada jam 7pm. Untuk balik ke rumah, bapa saya kena lalu di kawasan Kampung Baru. Bila lalu di kawasan itu, bapa saya dah ditahan oleh beberapa orang situ. Sebab dia bukan Melayu.
Bapa saya keluar dari kereta dan cuba bercakap dengan mereka. Tapi keadaan dah mula jadi kecoh. Walaupun begitu, dia bernasib baik bila ada beberapa orang yang pernah jadi pesakit bapa saya nampak kekecohan itu. Mereka datang dan mintak orang kat situ supaya jangan apa-apakan bapa saya. Mereka jugak escort bapa saya keluar dari kawasan Kampung Baru dan escortnya ke kawasan berdekatan rumah kami.
Bagaimana anda melihat keharmonian kaum pada hari ini?
Sebagai seorang doktor, saya ada pesakit dari pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India. Saya fikir sekarang lebih banyak polarisasi berbanding dahulu. Tapi saya rasa masyarakat sekarang juga cuba untuk keluar dari perkara itu. Mereka juga cuba mengembalikan kembali perpaduan yang kita pernah ada dulu.
“Apabila saya naik train pada beberapa minggu lepas, saya ditawarkan tempat duduk oleh 2 orang remaja Melayu. Oleh itu, saya fikir kita perlu berkerja lebih kuat lagi dalam merapatkan hubungan masyarakat ini.”
5. Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (berumur 32 tahun pada 1969)
(Sejarawan negara, Prof Dr Khoo Kay Kim telah meninggal dunia pada 28 Mei 2019 dan temubual ini dibuat pada tahun 2017)
13 Mei bukan kali pertama dan tak begitu serius sebenarnya jika nak dibandingkan dengan apa yang berlaku pada penghujung 1945. Selalunya orang kata ini pergaduhan antara orang Melayu dan orang Cina. Tapi sebenarnya pada 1945, pergaduhan itu adalah antara orang Banjar dan Cina. Perkara ini jadi kerana masa tu pihak Komunis sangat kejam. Tapi mereka tak tahu, bukan semua orang Cina itu adalah komunis. Disebabkan rasa dendam, bila mereka nampak orang Cina saja, mereka serang.
“Saya ketika itu tinggal di Teluk Anson (Teluk Intan sekarang). Di luar kawasan Teluk Anson seperti Sungai Manik, di situ ramai orang Banjar. Jadi di situ timbul masalah. Tapi di bandar, orang Melayu dan Cina tidak bergaduh, yang bergaduh ini hanya di Sungai Manik.”
Masa ketika berlakunya 13 Mei, saya tinggal di Seksyen 16, rumah universiti dan belum keluar lagi dari situ. Sebenarnya saya bernasib baik, sebabnya ramai yang bimbang kerana adanya Kampung Kerinchi dekat sini. Jadinya, ramai yang takut nak duduk di kawasan Bukit Pantai dan kebetulannya universiti masa tu ada bagi pinjaman pada pensyarah untuk beli tanah dan bina rumah.
Jadinya saya tertarik dengan kawasan Bukit Pantai. Orang kata pada saya, jangan beli tanah dekat sana, sebab kat sana orang Melayu dan orang Cina selalu bergaduh. Saya tak hiraukan dan saya pun beli tanah, murah pula harganya. Saya pun buat rumah dan tinggal 30 tahun di situ. Tak pernah ada masalah. Sejujurnya masa 13 Mei, saya tak ada apa-apa masalah. Cuma sedih sajalah, kerana ini kali kedua dalam hidup saya masalah macam ini timbul.
Bagaimana anda melihat keharmonian kaum pada hari ini?
Bagi saya hubungan kaum tu sama sajalah dari dulu sampai sekarang. Kita boleh tengok ahli politik bila nak dekat pilihan raya akan mula bergaduh. Sebenarnya, saya sangat sedih kerana saya sendiri sudah lalui banyak pengalaman. Saya selalu mengingatkan pada pihak kerajaan supaya kita didik masyarakat dari usia muda supaya mereka faham dan dapat bergaul sesama sendiri.
“Tapi nampaknya takde usaha, kerajaan juga kata sejarah ni tak penting. Kalau sejarah tak penting, macam mana orang nak faham latar belakang perlembagaan?”
13 Mei bukanlah kisah berdarah semata-mata
Kalau korang nak tau, negara jiran kita Singapura ada Hari Keharmonian Kaum, di mana tarikh tersebut dipilih bersempena dengan rusuhan kaum di negara itu pada 21 Julai 1964. Di Malaysia sendiri, ada cadangan untuk menjadikan tarikh 13 Mei sebagai Hari Muhibbah Negara, tapi ditolak oleh kerajaan.
Tujuan kami menyiarkan temuramah ini bukanlah nak mengungkit kembali luka lama. Cuma bila kita sebut pasal 13 Mei, mungkin dalam kepala kita terbayang rakyat Malaysia membunuh satu-sama lain dengan penuh amarah. Hakikatnya, ia juga dipenuhi dengan kekeliruan, panik, dan juga cerita di mana rakyat Malaysia melindungi jiran masing-masing tanpa mengira kaum.
Seperti mana yang dikatakan oleh Prof Khoo Kay Kim, isu-isu seperti ini tidak akan timbul jika kita faham dengan keadaan masyarakat:
“Kita punya masalah sebenarnya adalah sehingga sekarang kita tak kenal antara satu sama lain. Hanya melalui sistem pendidikan, kita boleh menyatukan masyarakat. Kalau ada berbagai jenis sekolah pun, sukatan pelajaran mesti sama. Latihan guru juga mesti satu saja.
Jika dulu, dari Pulau Pinang sampai Johor Bharu ada maktab perguruan. Sekarang mana ada lagi. Untuk membina sebuah negara, terlebih dahulu membina sekolah.” – Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Sejarawan negara.
(Korang boleh baca pasal bahagian pertama cerita peribadi 13 Mei, di sini.)
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)
- 2.8KShare sekarang!
- Email136
- Facebook2.7K
- Share