Boria berasal daripada peristiwa Syiah? 4 asal-usul budaya seni Malaysia yang menarik!

Setiap negara mempunyai identiti tersendiri berdasarkan peninggalan sejarah dan budaya dari zaman nenek moyang kita lagi. Malaysia sendiri memang tak kurang uniknya disebabkan kita ada bangsa dan etnik yang pelbagai sejak zaman sebelum merdeka, menjadikan seni budaya Malaysia semakin berkembang.

Kalau nak diikutkan, banyak seni budaya yang ada kat Malaysia ni yang bukan je datang dari setiap negeri dan bangsa dari negara ni, tapi juga gabungan bangsa Melayu dan Cina atau Baba Nyonya yang boleh menghasilkan Dondang Sayang. Tak kurang juga gabungan  dua negara iaitu Malaysia dan Portugis, kesan jajahan mereka pada tahun 1511, yang menghasilkan Tarian Portugis di Melaka.

Berdasarkan penemuan yang Soscili jumpa, asal-usul budaya seni kita yang asli ada cerita tersendiri. Jom kita tengok balik antara beberapa asal-usul budaya yang kitorang rasa antara yang paling menarik!

1. Boria, persembahan yang diadaptasi daripada peristiwa Karbala?

Haaa, sama kan semua?

Masa korang kecik-kecik dulu atau pun masa raya la biasanya kan, mesti mak bapak korang pakaikan baju sama untuk adik-beradik baju, ye tak? Pastu kalau pergi rumah sedara-mara ke, kawan diorang ke, mesti kena tegur,

“Amboi sama je semua? Boriaaaaaa”- kata mak bapak sedara atau kawan kawan.

Jadi, kalau korang tak pernah tengok persembahan Boria pun, korang mesti dah tahu yang penari Boria ni pakai baju seragam ala-ala Arab atau Parsi. Macam mana pulak dengan persembahan diorang ni? Boria ni sejenis teater yang memang popular kat negeri utara, Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, persembahan boria ni ada dua segmen iaitu sketsa dan juga nyanyian. Dalam kumpulan tu pulak mesti ada sorang tukang karut yang akan pegang tongkat atau baton masa menyanyi, dan diiringi penyanyi latar kat belakang tukang karang tu tadi yang dipanggil Sailor. Biasanya Sailor ni ada lebih kurang enam orang je, dan diorang akan ulang rangkap pertama yang tukang karang tadi tu nyanyi.

Kalau tengok pada persembahan Boria ni nampak biasa je la macam tarian budaya. Tapi korang tahu ke asal-usul Boria ni dari mana? Berdasarkan buku yang kitorang jumpa kat perpustakaan, Boria ni dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19.

Persembahan boria ni ada dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Timur Tengah, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein, yang dikatakan dibunuh oleh Yazid bin Muawiyah. Ia juga kononnya ialah upacara perkabungan yang diadakan khusus setiap 10 Muharram, Pada mulanya diorang ikut amalan Syiah, dengan menunjukkan kesedihan melampau disebabkan kematian Saidina Hussien dengan menyeksa diri sendiri. Korang boleh baca lebih lanjut kat sini.

Ekstreme sangat Syiah ni, salah satu sebab Syiah tak patut wujud. Imej dari serukhalifah.blogspot

Walaupun persembahan Boria ni adalah salah satu persembahan yang pada asalnya memperingati upacara tersebut, tapi ia dah berubah ikut perkembangan semasa. Kalau nak dibandingkan dengan ritual asalnya, Boria yang moden sekarang ni lebih kepada satu bentuk teater yang membincangkan isu-isu semasa negara kita yang ada mesej tersendiri berbanding syair dan pujangga sedih Arab dulu.

2. Dikir Barat- huk aloh, sek kito jange pecoh!

Imej dari malaysia.travel

Rasanya semua orang pun tahu pasal Dikir Barat dan asalnya dari negeri Pantai Timur iaitu Kelantan. Tapi berdasarkan buku yang kitorang jumpa ni lagi, dikir barat diperkenalkan di Kelantan oleh orang Siam (Thailand). Dikir sendiri berasal dari ‘zikir’, dan Barat pula disebabkan Negara Siam tadi yang berada di sebelah Barat negeri Kelantan, yang bermaksud “dikir orang Siam”

Ada juga sumber sejarah, dikir barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil tarian Patung Inai – tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940.  Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama dikir barat.

Tarian Patung Inai tu pulak asalnya ialah tarian tradisional yang dipersembahkan masa majis perkahwinan. Muzik dikir barat ni dipengaruhi ritma rebab atau rebana Sunda. Aktiviti ni memang jadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungan Melayu pada zaman dulu.

Dikir Barat menggunakan loghat Kelantan, dan berunsur pantun. Keunikan dikir barat ni sendiri adalah dari segi irama lagu dan gaya persembahan yang banyak bertepuk tampar sambil menyanyi. Dalam sesebuah pertunjukan, ada beberapa tingkat keahlian. Setiap kumpulan pulak mesti ada Tukang Karut, seorang Juara, awak-awak atau ahli dikir barat dan juga pemain muzik. 

Masa Dikir Barat, Tukang Karut kena pandai berpantun dan bersyair secara spontan sesuai dengan tema yang dibawa. Nak jadi Tukang Karut pun kena ada pengalaman dan idea yang baik supaya tak hambar, dan masa yang sama pandai melagukan pelbagai irama.Tok Jogho (Juara)  akan menyanyikan lagu

Tok Jogha (Juara) iaitu ketua kumpulan akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain. Lepas tu, awak-awak pula biasanya akan menyanyikan korus pada dikir.  Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama tu tadi. Alat muzik pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

3. Wayang kulit, kesenian tertua di rantau Asia

Wayang kulit Purwo dari Johor. Imej dari klpac

Antara kesenian budaya tertua di Malaysia dan juga Asia ialah  wayang kulit. Wayang kulit ni pula ada beberapa versi iaitu wayang kulit Melayu, wayang kulit Kelantan, wayang kulit purwo dan juga wayang kulit gedek.

Secara jujurnya, penulis sendiri tak pernah tengok mana-mana wayang kulit secara live. Satu-satunya wayang kulit yang kitorang pernah tengok pun ialah daripada iklan Ubat Batuk Cap Ibu dan Anak ni. Memang legend!

Dari mana pulak asal-usul wayang kulit ni? Daripada sumber yang kami jumpa di portalsejarah.com pulak, wayang tu sendiri dikatakan berasal dari sebuah kalimat yang berbunyi “Ma Hyang”, yang bermaksud “berjalan menuju yang maha tinggi”. Boleh jadi sama ada ianya ialah roh, Tuhan, ataupun Dewa.

Tapi dalam masa yang sama, ada juga yang kata wayang berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud bayangan. Mungkin disebabkan tu juga la kenapa wayang kulit mendapat nama, iaitu dengan cara seorang dalang akan menggerakkan patung yang menghasilkan bayang, sekaligus menjadi narrator untuk cerita. 

Sama juga dengan seni budaya yang lain, wayang kulit ni juga pada zaman dulu digunakan untuk memuja semangat. Upacara pemujaan dilakukan oleh dalang ni tadi supaya semangat dan roh akan menjadikan persembahan wayang kulit nampak lebih ‘hidup’ dan mempengaruhi dalang tu tadi.

Wayang kulit ni saja ialah satu benda yang sangat menarik bukan saja persembahannya, tapi bahan pembuatan watak-watak tadi. Kalau nak tahu, patung wayang kulit ni tadi menggunakan kulit lembu atau kambing yang dikeringkan, dan bukannya kertas biasa. Kulit lembu dan kambing yang digunakan perlulah dibersihkan terlebih dahulu dan direndam dalam air campuran lada, garam, lengkuas dan serai selama beberapa hari (macam nak masak la pulak!), sebelum dijemur dengan menggunakan pacing pada penjurunya.

Kulit tu mestilah kering dan tak berbau, bulu-bulu yang ada pada kulit yang dah kering tu juga dikikis secara bersih menggunakan kepingan kaca untuk kemasan lebih halus. Lepas tu, kertas yang siap dilukis dengan wajah untuk wayang kulit ditekap atas kulit yang dah dibersihkan, mengikut kreativiti dalang, orang yang bertanggungjawab dalam penghasilan patung wayang kulit ni.

Sajian juga perlu disediakan, terdiri daripada 25 jenis bahan, antaranya ialah secupak beras, sebiji kelapa yang dah dikupas, buah keras, sebutir telur ayam, lada merah, bawang putih, bawang merah, minyak kelapa, sepasang ayam yang masih hidup, gula merah, sirih pinang, ayam panggang, pisang raja dan juga nasi!

Tapi sekarang diorang dah tak puja dah semangat dan roh-roh tu tadi disebabkan bertentangan dengan akidah Islam.

4. Ulik Mayang, pemujaan 7 puteri bunian

Imej dari emaze.com

Ulik Mayang pula berasal dari Terengganu, dan antara budaya seni yang sangat popular disebabkan kisah mistiknya. Mana taknya, tak lama dulu pada tahun 2013, ada kes histeria berkaitan Ulik Mayang yang direkodkan di Port Dickson.

Masa tu, gempar juga la bila 15 peserta program daripada Pertandingan Kesenian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 dirasuk. Para peserta yang diserang histeria masa tengah buat persembahan tu pulak salah satu kontinjen yang membawa persembahan Ulek Mayang, manakala sebelum tu ada satu lagi kontinjen mempersembahkan tarian Kuda Kepang.

Pertandingan tu pulak diadakan di tepi pantai Batu 1, Port Dickson. Kalau nak tahu, Ulik Mayang ni ialah Puteri Bunian yang berasal dari laut. Salah seorang peserta persembahan Ulek Mayang yang pernah dirasuk, Nazar Mohd Amin dalam temu ramah oleh Sinar Harian berkata:

“Saya perasan seperti ada penari latar kanak-kanak yang memakai baju berwarna warni serta ada seorang gadis seakan-akan tuan puteri turut berada di dalam kumpulan kami membuat persembahan. Saya mula menyedari ada sesuatu yang ganjil berlaku dan segera beristighfar dan berzikir kemudiannya pengsan. Sebaik tersedar saya rasa badan sangat lemah,” – seorang mangsa, dipetik oleh Sinar Harian.

Asal-usul Ulik Mayang ni ada banyak versi, tapi versi yang popular ialah pasal 7 orang puteri bunian, macam lagu Ulik Mayang kalau korang pernah dengar. Lirik penuh lagu tu ada 7 puteri, tapi dengar-dengar sekarang diorang tak sebut semua sebab takut yang dipuja tu muncul.

Mengikut catatan sejarah daripada buku yang kitorang jumpa, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera.

Versi yang lain pula kata masa zaman dulu, nelayan beramai-ramai pergi laut, lepas tu kapal diorang dipukul ribut. Diorang dihanyutkan ke pantai, dan terselamat. Tapi dalam ramai-ramai nelayan tu, ada sorang yang tak sedarkan diri sebab dipukau Semangat Laut.

Dikatakan Puteri Bunian tertarik dengan nelayan tu, dan bawa dia ke alam ghaib dan ditolong oleh adik-beradik puteri buniannya. Bomoh cuba untuk panggil semangat nelayan tersebut, tapi ada enam puteri bunian bertarung lawan dengan bomoh. Masa saat-saat genting tu, puteri ketujuh, iaitu puteri paling sulung memerintahkan adik-adik dia berhenti dan pulangkan balik semangat nelayan tu.

“Aku Tahu Asal Usulmu”
“Yang Laut Pulang Ke Laut, dan Yang Darat Pulang Ke Darat ”
– Puteri Tujuh

Lepas selesai pertarungan tu, bomoh tu pun persembahkan nasi kuning/pulut kuning sebagai tanda terima kasih.

Selain tu juga, nelayan zaman tu tak boleh pakai apa-apa yang berwarna hijau kalau pergi ke laut sebab hijau adalah warna diraja Roh Laut. Kalau nak pergi memancing atau menjala di laut pun, nelayan mestilah minta kebenaran dekat roh atau semangat laut tu.

Ulik Mayang yang ada pada hari ini dah mengalami perubahan juga sikit bila unsur khurafat macam pemujaan tu dah takde atau dikurangkan, dan dipersembahkan hanyalah untuk majlis keramaian je. Kitorang nak ingatkan korang yang benda ni ialah seni budaya kita, dan bukan sesuatu yang kita boleh anggap lagi besar daripada kuasa Tuhan.

Tradisi melambangkan budaya bangsa sesebuah negara

Rata-rata seni budaya kita pada zaman dulu memang banyak unsur-unsur khurafat dan pemujaan. Tapi, sekarang ni dah kurang atau hampir langsung tak diamalkan oleh bangsa kita sebab kesedaran kita tentang akidah yang boleh terpesong.

Antara NGO yang masih giat memperjuangkan seni budaya negara kita ialah PUSAKA oleh Eddin Khoo, yang memartabatkan seni dan budaya Malaysia. PUSAKA yang berfungsi untuk menyokong kesinambungan dan daya maju seni persembahan tradisional di Malaysia, memulihkan semula warisan hidup dan menyebarkannya kepada generasi akan datang.

Selain tu juga, peredaran zaman yang semakin moden sekarang ni juga menjadi salah satu sebab kurangnya permintaan persembahan tradisional ni disebabkan ada je hiburan baru yang wujud. Tapi, tu bukan alasan untuk kita lupakan seni budaya kita sebab budaya melambangkan identiti bangsa sesebuah negara. Kalau bukan kita yang pelihara warisan budaya dan bangsa, siapa lagi?

(Artikel ini juga merujuk kepada buku “Koleksi Bacaan Seni Budaya: Wayang Kulit & Dondang Sayang” serta “Koleksi Bacaan Seni Budaya: Boria & Dikir Barat” terbitan Penerbit Femina.)