Harga minyak punya pasal, rakyat baling tahi kat kerajaan!?

Bagi yang taktau, Venezuela merupakan sebuah negara Amerika Latin dan antara stereotype negara-negara latin ni adalah makanan jagung mereka, kehidupan purba Mayan atau Aztec, dan juga tumbuhan kokain. Tapi tidak bagi Venezuela malah mereka pernah digelar sebagai antara negara Amerika Latin yang paling pesat membangun.

Seorang rakyat Venezuela memegang benderanya. Gambar dari todayvenezuela.com

Tapi tu dulu lah, sekarang ni mereka di ambang kejatuhan tamadun kedudukan ekonomi mereka yang kian merudum dari ketidakstabilan politik di negara itu. Jadi macam mana sebuah negara yang suatu ketika dahulu pesat membangun ni boleh jatuh?

Kerajaan terlalu bergantung kepada minyak sebagai sumber ekonomi utama negara

Pada tahun 1999, mantan Presiden Venezuela berjaya memberi rakyat Venezuela kehidupan yang selesa dan telah menjanjikan masa depan yang cerah. Ini adalah kerana kerajaan Venezuela berjaya membangungkan ekonomi mereka dengan positif melalui penjualan minyak yang banyak. Malah kerajaan Venezuela juga berjaya meningkatkan pencapaian akademik, mengurangkan kadar kemiskinan, dan membina kemudahan awam yang banyak.

Bekas Presiden Venezuela, Hugo Chavez. Gambar dari cadenagramonte.cu

Tapi semua tu berubah bila harga minyak menjunam pada tahun 2015. Harga minyak tu pula turun bukannya macam Cinderella turun tangga tau – penuh dengan gaya dan berhati-hati, TIDAK. Tapi jatuh macam nangka busuk ke tanah. Menurut pakar, faktor tersebut merupakan sebab utama Venezuela mengalami masalah ekonomi yang teruk dan hasilnya adalah kadar inflasi yang teruk melampau.

Kepada yang taktau, inflasi merupakan satu situasi di mana nilai wang tersebut berkurangan. Contoh:-

Contoh inflasi dari segi gambar rajah. Nilai seringgit tu makin lama makin tak laku.

Berdasarkan laporan Al-Jazeera, nak beli barang rumah punyalah panjang sampaikan ada orang jual kopi kepada orang yang sedang beratur. Dan bila dapat masuk ke kedai, bukannya semua barang boleh beli. Malah menurut laporan dari New York Times pula, dorang ni kadang-kadang cuma boleh beli dua botol minyak masak je sebab harga barang mahal sangat atau barang kena catu.

“Kehidupan di sini telah menjadi kritikal, hidup dah tak selamat, dan makanan dan ubat-ubatan tak pernah cukup kat sini. Kualiti hidup telah berkurangan manakala sistem kehakiman pula tak boleh dipercayai. Mustahil nak hidup macam ni…” – Marianna Reyes, dipetik dari Al-Jazeera.

Memandangkan harga minyak merupakan punca utama ekonomi Venezuela jatuh, kami pun melihat semula macam mana benda ni boleh jadi…

Pada Ogos 2016 saja, harga minyak adalah sekitar USD49 setong, tapi sebelum tu harga minyak sebenarnya sekitar USD102 setong.  Disebabkan kejatuhan harga minyak ni, pendapatan Venezuela jatuh merudum sehingga lebih 50 peratus dan masalah ni digandakan lagi dengan pengurangan keluaran minyak dalam negara.

Syarikat petroleum negara itu, Petróleos de Venezuela (PDVSA) juga hadapi masalah kewangan sehingga tak dapat jalankan operasi penghasilan minyak. Hutang PDVSA telah meningkat daripada USD3 bilion kepada USD43 bilion!

Pelantar minyak laut. Gambar dari npr.org

Jadinya, masalah sekarang adalah PDVSA dah takde duit dan tengah bersusah payah nak bayar hutang. Sedangkan pada masa yang sama, diorang perlukan dana yang tinggi untuk pelaburan petroleum daripada terus jatuh. Oleh itu, keutamaan kerajaan Venezuela sekarang adalah nak bayar hutang, walaupun keadaan ekonomi semakin memburuk.

Kerajaan telah mengambil tindakan agresif untuk melawan masalah ekonomi negara

“Pening kepala nak layan masalah ekonomi ni” – Presiden Venezuela Nicolas Maduro, gambar dari CNN Indonesia.

Masa inflasi tu terjadi, kerajaan Venezuela ada try nak tampung masalah tu. Antaranya adalah mengenakan undang-undang ketat seperti pengawalan harga barang, tingkatkan jumlah barang yang disubsidikan dan menaikkan gaji asas pekerja awam sebanyak 50% (dengan harapan ia dapat membantu rakyat membeli barang keperluan yang semakin hari semakin mahal).

Tak cukup dengan tu, kerajaan Venezuela juga telah mengambil langkah drastik dengan mengawal harga bolivar (bolivar adalah mata wang Venezuela) dengan mengawal harga pertukaran. Macam mana ia dikawal? Secara dasarnya mata wang sesebuah negara ditentukan dengan demand oleh negara lain (dan beberapa faktor lain), contohnya kalau Ringgit Malaysia mendapat demand yang tinggi di Asia maka tinggilah nilai mata wang kita dan ni boleh terjadi apabila Ringgit Malaysia di niagakan melalui pertukaran mata wang asing.

Dari Giphy.com

Sesetengah negara pula seperti Venezuela telah mengambil keputusan untuk tidak meniagakan mata wang mereka (hasil dari krisis ekonomi) dan menyebabkan nilai mata wang bolivar jatuh di mata dunia. Ni membolehkan kerajaan Venezuela mampu mengawal nilai mata wang mereka secara domestik.

Teknik ni bagus untuk untuk membangunkan ekonomi sesebuah negara dan bila dah stabil mereka boleh berniaga semula mata wang mereka di peringkat antarabangsa cuma trick-nya disini negara tersebut perlu ada duit simpanan mata wang asing yang banyak bagi memastikan mereka mampu mengawal sektor demand and supply di negara mereka sendiri.

Rakyat tak terima alasan kerajaan dan membawa isu tersebut kepada jalanan

Menurut pakar lagi, silap kerajaan Venezuela adalah mereka tak simpan duit yang dorang dapat dari jualan minyak dan hasil tersebut digunakan untuk subsidi rakyat. Ibarat “mencurah minyak ke api”, kerajaan Venezuela juga lebih gemar import barang dari buat sendiri. So senang cerita, mereka tak rolling balik duit minyak tu.

Muka korang buat bila berbelanja lebih dari bajet. Gambar dari giphy.com

“Hasil pulangan yang bernilai berbillion dollar tu telah digunakan untuk subsidi program sosial dan juga makanan, dan apabila harga minyak dunia jatuh program subsidi-subsidi tersebut menjadi tidak stabil” –  Al Jazeera

Kenyataan tersebut telah disangkal oleh Menteri Ekonomi Venezuela, dia berkata duit untung hasil jualan minyak sebenarnya telah digunakan untuk pembangunan rakyat dan tidak diberi sewenang-wenangnya. Menurutnya lagi, antara projek kerajaan yang berjaya hasil dari penjualan minyak adalah pembinaan rumah yang banyak, malah sebanyak 1.6 juta rumah telah dibina dalam masa empat tahun dan di jual pada harga yang murah tapi pada masa yang sama dapat pulangkan modal dan mengaut keuntungan.

Tapi rakyat Venezuela tak terima alasan kerajaan, dan hasilnya adalah protes rakyat pada akhir 2014 sebagai tanda tak puas hati terhadap cara kerajaan menangani masalah ekonomi.

Masa mula-mula tu takde apa sangat, setakat kerosakan harta awam dan gangguan trafik je. Tapi keadaan mula menjadi teruk pada tahun 2016 apabila rakyat sekali lagi turun padang untuk menunjukkan kemarahan terhadap keputusan pilihanraya dimana mereka telah tuduh kerajaan  memanipulasikan undian.

Dah macam perang zaman dulu je ni. Gambar dari bbc.com

“Disebabkan kerajaan telah menggunakan tentera untuk menghalang kami dari menjalankan demonstrasi jalanan merupakan satu masalah yang besar ia sendiri” – Henrique Caprilles, parti pembangkang Venezuela

Kumpulan protes sanggup kumpul tahi anak sendiri untuk baling kat polis

Rakyat Venezuela yang tidak berpuas hati terdiri dari pelbagai golongan masyarakat, dari yang paling kaya sampailah yang miskin telah turun ke jalanan untuk melawan kerajaan. Menurut laporan The Guardian, kumpulan protes tersebut menambah satu lagi senjata baru iaitu tahi.

SUNGGUH! Berdasarkan tersebut protes jalanan sekarang ni telah menggunakan tahi manusia dan tahi binatang untuk baling kat pihak polis dan tentera yang menghalang mereka dari berdemonstrasi. Senjata tersebut diberi gelaran ‘poopootov’ yang diambil dari nama ‘molotov’ iaitu sebuah botol air kaca yang diubah suai menjadi bom api.

Korang tengok kat cermin lori polis tu, macam tahi kan? Gambar dari AFP Photos.

“Budak-budak bukan saja guna batu sebagai senjata, tahi pun ada. Salah seorang pesakit saya siap kumpul tahi anak dia untuk digunakan kepada pihak berkuasa” – Dentist yang tak mahu dikenali, dipetik dari The Guardian

Mungkin ada yang tertanya, kalau rakyat dah sanggup baling tahi kat polis tak kan pihak pentadbir kerajaan tak faham bahasa? Menurut laporan telesurtv.net, golongan protes yang turun padang merupakan ahli parti politik dan bukannya rakyat Venezuela yang neutral. So dari sudut pandangan kerajaan Venezuela, ini hanyalah pertempuran parti politik dan bukannya perjuangan rakyat majoriti.

Rakyat tidak bersetuju dengan kepimpinan Presiden baru walaupun telah dilantik oleh wira negara

Terdapat spekulasi mengatakan bahawa kerajaan tersebut telah berpaling arah kepada dadah untuk menampung masalah ekonomi negara sampaikan Amerika Syarikat telah chop Timbalan Presiden Venezuela sebagai ketua narcos atau tokan besar dadah.

Gambar dari rancangan HBO, Narcos.

Tapi tu hanyalah spekulasi saje malah berdasarkan penerangan oleh Menteri Ekonomi Venezuela, kerajaan sedang menjalankan alternatif lain untuk menanggung kerugian sektor minyak seperti pembangunan agroindustri (pengeluaran makanan), pharmaceutical (ubat-ubatan), dan sektor perindustrian. Pembangunan industri-indsutri baru tersebut dilancarkan sebagai ‘senjata’ untuk melawan krisis ekonomi.

Sayangnya langkah-langkah tersebut belum mendatangkan hasil dan ni menyebabkan bilangan besar rakyat Venezuela lagi mahu tukar kerajaan. Berkonsepkan refomasi, ia tidaklah semudah seperti yang disangkakan sebab…

Bekas Presiden Venezuela, Hugo Chavez,  sangat disayangi oleh rakyatnya. Ini adalah kerana Chavez telah mengamalkan pentadbiran berhaluan kiri di mana dia telah berbelanja besar kepada rakyat dari hasil lumayan harga minyak yang tinggi time tu.

“Lebih 80% penduduk Caracas (ibu kota Venezuela) tinggal di kawasan kampung. Chavez telah membina banyak kemudahan di situ dan orang sana masih menyokong dia” – Eric Campbell, dipetik dari ABC News Australia

Sokongan yang kuat sebegitu tak boleh nampak kat Presiden Venzuela yang sekarang ni. Walaupun Chavez sendiri telah memilih pengganti dia, ramai rakyat Venezuela tak minat Presiden yang baru ni.

Mungkin ada yang tertanya-tanya “Kalau teruk sangat kenapa Chavez tak jadi Presiden balik?” Boleh je kalau Chavez hidup lagi. Tapi sayangnya dia telah meninggal dunia pada tahun 2013 akibat kanser.

Antara peminat setia Hugo Chavez yang menunjukkan kesetian walaupun dah mati. Gambar dari abc.net.au

Walaupun Venezuela mengamalkan pentadbiran sosialism, ni tak bermakna takde parti lain kat negara tu. Malah parti pembangkang sekarang ni telah menggunakan isu-isu yang sedang mengular kat negara tu sebagai senjata untuk menolak kerajaan Venezuela yang sedia ada ni.

Manakala menurut parti pemerintah kerajaan Venezuela pula, masalah ekonomi di Venezuela sebenarnya masih boleh dibendung tapi telah di bawa ke luar konteks semata-mata untuk kepentingan ideologi parti sendiri.

Mata dunia sekarang memandang ke arah Venezuela

Gambar dari pinkpangea.com

Bermotifkan politik atau tidak, keadaan di Venezeula ni ternyata semakin lama semakin teruk. Ia perlu diselesaikan dengan cermat dan secepat mungkin kata PBB. Tanggal 1 Ogos 2017, Venezuela baru saje melaksanakan pilihanraya di mana Presiden Venezuela telah menang sekali lagi dan sekaligus membolehkan partinya menguasai Dewan Rakyat negara itu sekarang.

PBB yang telah lama perhatikan krisis ekonomi Venezuela berkata bahawa kerajaan Venezuela perlu berhati-hati dalam menangani isu ni supaya ia tidak berubah menjadi lebih teruk (Perang Saudara) dan pada masa yang sama menyeru kepada pihak protes untuk bawa bertenang dan menjalankan demonstrasi secara aman dan teratur.

Dengan tahap kemiskinan mencapai 82%, kualiti hidup yang berkurangan secara mendadak, dan mempunyai antara kadar jenayah tertinggi di dunia. Venezuela dikatakan tempat yang paling berbahaya di dunia (tidak termasuk negara yang dilanda peperangan seperti Syria). Nak salahkan pihak pentadbiran pun tak boleh juga sebab dorang berbelanja kepada rakyat, cuma silap percaturan je. Semoga negara kita ditolak bencana seperti ini.

 

 

 

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance