Macam mana pekerja awam biasa ini membuka penempatan baru di Kuala Lumpur

Kalau berbicara tentang pembangunan arhalaysia, orang ramai sering kaitkan dengan Tun Abdul Razak yang mendapat nickname Bapa Pembangunan Malaysia dan sepanjang pemerintahan Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman, mereka telah bertukus-lumus memastikan Malaysia bukan je maju malah mampu menyaingi negara-negara lain di peringkat dunia masa awal-awal merdeka dulu.

Tapi kali ni SOSCILI nak ceritakan pasal seorang rakyat marhaen yang tak kurang menyumbang kepada negara. Jadi sempena sambutan hari pekerja, kami telah interview seorang bekas pekerja awam, Encik Othman bin Kanun, yang merupakan seorang bekas Pegawai Petempatan di negeri Selangor pada tahun 60-an dan 70-an (dan juga atuk kepada penulis).

Old School but cool! Othman di zaman mudanya.

Sebelum tu, izinkan kami jelaskan apa tu Pegawai Petempatan. Secara am-nya, kerja seorang pegawai petempatan ni adalah untuk mengambil tahu tentang penggunaan, jual-beli, dan juga melaporkan sebarang pencerobohan tanah yang berlaku. Kebiasaannya setiap negeri di Malaysia ada pegawai petempatan dia sendiri dan mereka bertanggungjawab untuk setiap kawasan yang ditetapkan.

Berkemungkinan besar korang tak pernah dengar pun nama Othman ni tapi yang pasti, korang kenal hasil kerjanya…

1. Membuka jalan ke pusat pelancongan terkemuka Malaysia, Genting Highlands

Pada awal tahun 60-an, kerajaan persekutuan telah bercadang untuk membina sebuah tiang telefon berfrekuensi tinggi di Genting. Plan memang dah cantik tapi masalahnya takde jalan untuk naik ke atas tanah tinggi tu, yang ada pun jalan dua hala dari Kuala Lumpur ke Pahang tapi bukannya ke puncak.

Jadi untuk menjalankan projek yang bernilai RM10 juta ni, Tunku Abdul Rahman telah memberi arahan kepada Menteri Besar Selangor time tu iaitu Dato’ Seri Harun Idris. Tugas ini kemudiannya jatuh kepada Othman. Sebagai seorang pegawai petempatan, Othman memang kenal dengan kontraktor-kontraktor tempatan dan time tu ada sorang je yang dia rasa sesuai untuk projek tersebut, iaitu Tan Sri Lim Goh Tong.

Othman (berbaju melayu putih) bersama Datuk Harun Idris.

*Pembetulan, berikut adalah gambar Othman bersama Datuk Manaf

Persahabatan antara Othman dan Goh Tong sebenarnya dah lama terjadi sebelum projek buat jalan ni. Berdasarkan interview kami dengan Othman, kisah mereka bermula apabila kuari di Cheras milik Goh Tong telah mendapat komplen dari orang awam. Sebagai salah satu tanggungjawab dia, Othman telah dikerahkan untuk selesaikan isu tu.

Beberapa tahun kemudian, Othman telah bertemu semula dengan Goh Tong tapi kali ni bukan atas alasan aduan orang awam tapi satu projek besar oleh kerajaan perseketuan.

“Saya jumpa Lim Goh Tong kata, ‘Tauke, you mau buat jalan untuk kerajaan tak? Kat Pahang’. Since at that time, dia seorang je boleh buat atuk pun recommend dia kepada my boss” – Othman, interview dengan SOSCILI.

Tapi apa yang tak diketahui oleh Othman adalah Goh Tong ada plan nak buat pusat peranginan dan juga pusat perjudian kat Genting lepas projek buat jalan tu. Jadi pada tahun 1971, pusat peranginan Genting telah dibuka secara rasmi dan time tu Goh Tong telah berjumpa dengan Othman sekali lagi untuk menawarkan share sebagai tanda penghargaan.

“Goh Tong cakap kat saya ‘Othman you kasi I satu ribu, I boleh jadikan dia 10 ribu’. Atuk tanya kepada ustad and my colleague, dorang kata tu duit judi, haram. So saya pun politely tolak” – Othman

Gambar dari deenga.com

So daripada nak buat jalan telah berubah menjadi sebuah projek pusat peranginan terkemuka tanah air dan ni semua sebab persahabatan hasil daripada aduan orang awam.

2. Membuka sebuah kampung baru di Cheras

Buat jalan tu satu hal, tapi wujudkan sebuah perkampungan baru? Kepada yang tinggal kat Kuala Lumpur, mesti korang pernah lalu atau tersempak dengan Kampung Semerah Padi di Cheras. Sebelum tahun 1965, kampung tu merupakan sebuah kawasan setinggan yang takde nama di mana penduduk kat situ duduk di bawah Temporary Occupation License (TOL).

Lokasi Kampung Semerah Padi di Google maps. Tekan sini untuk lihat.

Dengan TOL, penghuni dibenarkan untuk tinggal di sesuatu kawasan untuk tempoh yang tertentu. Lepas tempoh habis, mereka boleh buat rayuan untuk sambung balik, pihak tapi kerajaan mempunyai hak untuk kasi kat orang lain. Penghuni tersebut takde hak terhadap tanah tersebut sebab bukan milik mereka.

Masalah dengan Kampung Semerah Padi ni pula, tempat ni dulu takde nama jadi sebab nak dapat surat atau nak hantar kad jemput kahwin tu susah, Othman telah meminta penduduk-penduduk kampung tersebut berbincang dan kasi nama kat kawasan tersebut. Akhirnya telah dipersetujui bahawa Kampung Semerah Padi dipilih.

“Dulu senang je, lepas berbincang atuk minta dorang pacakkan papan tanda dengan nama Kampung Semerah Padi pastu Atuk selesaikan yang lain (pendaftaran)” – Othman

Agak menarik kenapa nama ‘semerah padi’ di pilih sebab ia sebenarnya merupakan nama satu upacara yang dilakukan sebelum menuai padi dan ada kemungkinan nama ni dipilih sempena filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang diinspirasikan oleh upacara tersebut.

Gambar dari P-Ramlee.com

3. Kasi tanah kepada Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia

Time tu merupakan lewat 1960-an dan para atlit Malaysia sedang sibuk membuat persediaan untuk Sukan SEA dan salah satu sukan baru yang diperkenalkan adalah menembak di mana mereka diwakili oleh NSAM (Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia) tapi masalahnya di sini adalah lokasi berlatih.

“Ah tembak jela kat mana-mana, bukannya ada tempat untuk berlatih pun” – Arnold Susahnakeja, Giphy.com

“Dulu dorang (NSAM) pergi kat depot shooting range kerajaan punya untuk SEAP, masa tu dorang panggil Sukan SEA tu SEAP, tapi NSAM nak tempat dorang sendiri” – Othman

Menyedari bahawa mereka perlu tempat sendiri untuk berlatih pengerusi NSAM, Tan Sri S.M Yong, telah berbincang dengan kelabnya dan mengambil keputusan untuk membina sebuah kelab menembak swasta tapi disebabkan tanah banyak sedang digunakan untuk pembangunan negara Tan Sri S.M Yong telah menghubungi Othman.

Selepas perbincangan dan pemeriksaan kawasan, Othman telah recommend NSAM bahawa Subang merupakan tempat yang terbaik. Akhirnya pada tahun 1965, lapang sasar swasta pertama Malaysia telah dibuka dan telah menjadi ibu pejabat NSAM sampailah ke harini.

“Lepas tempat tu buka dorang ada nak tolong atuk bagi lesen menembak tapi atuk tak ambil sebab tak minat haha” – Othman

4. Memilih lokasi baru untuk Istana Jalan Duta

Pada tahun 1970-an,  kerajaan persekutuan sedang mencari lokasi baru untuk istana Yang di-Pertuan Agong. Othman menceritkan bahawa cadangan untuk memindahkan istana negara dari Kuala Lumpur ke kawasan baru sebenarnya dah lama diutarakan.

“Istana lama yang kat Kuala Lumpur tu sebenarnya Chan Wing punya. Lepas tu Tunku beli dan renovate jadikan sebagai istana. Jadi time 1970-an, lebih kurang lah, kerajaan ada sembang nak pilih tempat baru” – Othman

Gambar dari wikipedia.com

Sebaik jecadangan diusulkan, Othman telah dipertanggungjawabkan untuk memilih kawasan yang terbaik untuk membina istana Agong yang baru. Lepas pemeriksaan, Othman telah melaporkan bahawa kawasan di Jalan Duta tersebut merupakan tempat yang terbaik. Setelah mendapat persetujuan, tanah tersebut langsung yang kena gazette jadi tanah milik kerajaan tu tak dibenarkan untuk dijual beli.

Pembangunan kemudiannya bermula tiga dekad kemudian pada tahun 2007 yang telah memakan masa empat tahun untuk siap. Sekarang ni istana di Jalan Duta tersebut digunakan sebagai pejabat untuk Agong, tempat adat istiadat raja (contohnya macam upacara naik takhta Agong), dan tempat meeting Majlis Raja-Raja.

Hargailah hero-hero negara di kalangan kita

Othman pada tahun 2001.

Hari ini Othman yang berumur 93 tahun tinggal bersama isterinya di Petaling Jaya. Mempunyai hidup yang sederhana, kami sedar yang tak semua tulang belakang pembangunan tanah air disanjung tinggi tapi ni tak bermaksud mereka dilupakan.

So lepas ni kalau korang nampak akak atau abang yang naik KTM ulang alik kerja tiap-tiap haritu, mungkin salah sorang daripadanya terlibat dengan projek pembangunan negara. Yela kan, dah kalau semua sibuk nak jadi pelakon dan penyanyi siapa pula nak jaga masa depan negara? Malah semua negara yang membangun bukan saje disebabkan pemimpin yang bagus tapi apabila rakyat bersatu padu untuk naikkanya.

Bak kata penulis termahsyur dunia, Helen Keller :

“Alone we can do so little, together we can do so much.

Bersendirian kita boleh buat sikit, bersama kita boleh capai macam-macam” – Helen Keller, penulis

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance