[UPDATE] CEO Proton baru adalah orang China?

[BAGI PEMBACA BARU, BOLEH SKIP UPDATE TERUS KE BAWAH]

UPDATE 24/5/2107: Geely cuma beli 49.9% peratus saham Proton.
UPDATE 9/9/2017: Ada ura-ura mengatakan yang CEO baru Proton adalah warga China. Namun Proton masih belum mengesahkan hal ini.


Kalau cakap pasal kereta nasional, nama Proton mesti yang pertama melintas kat kepala. Syarikat ini ditubuhkan pada 7 Mei 1983 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lebih membanggakan, ia adalah syarikat kereta pertama yang wujud di kawasan Asia Tenggara.

Waktu tu, rakyat Malaysia rasa bangga sangat sebab kita ada sebuah syarikat kereta yang beridentitikan Malaysia, mak bapak asal sembang pasal Proton je mesti kembang habis.

Tapi baru-baru ini tersebar pulak cerita bahawa Proton bakal dijual kepada sebuah syarikat asing. Apa yang membingungkan netizen sekarang adalah kenapa syarikat China jugak yang dipilih? Jadi kali ni SOSCILI nak cerita sikit sebanyak pasal siapa dia syarikat China ni dan kenapa Proton nak dijual pulak.

Sebenarnya dari dulu lagi saham Proton cuba dijual

Imej dari saifultorres.blogspot

Sebenarnya, Proton dah banyak kali bincang untuk jual sebahagian daripada saham diorang kepada syarikat asing, tapi selalu terbatal macam tu je. Mungkin sebab perjanjian yang dibincangkan macam tak berapa nak adil untuk Proton. Pada Jan 2007, General Motor menunjukkan minat nak beli saham Proton termasuklah syarikat Lotus. Tak beberapa lama kemudian, Volkswagen pun rancang nak beli jugak. Penasihat Proton masa tu Tun Mahathir jugak bersetuju demi survival Proton yang sekejab sakit sekejap sihat.

Tapi macam biasa, kusangkakan hujan sampai ke petang, rupanya lepas subuh dah hujan. Proton terus membatalkan perbincangan diorang untuk “joint Venture” di antara Volkswagen dengan General Motor sebab takda kata sepakat terutama pasal isu sapa nak kawal kemudahan pembuatan kereta.

“GM telah melakukan perbincangan awal dengan Khazanah Nasional, pemilik majoriti dalam saham Proton. Hasilnya tidak ada kata sepakat terutama isu mengawal kepentingan kemudahan pembuatan kereta” – Dipetik dari Financial Times

Pada tahun 2016, sebuah syarikat Perancis, France’s PSA ada rancang nak beli saham Proton. Korang mungkin tak pernah dengar nama syarikat ni tapi kalau sebut kereta Peugeot dan Citroen mesti korang tahu kan. Sebelum tu, Proton dah hantar 20 proposal kepada 20 buah syarikat pembuat kereta. Akhirnya Proton senarai pendek 5 buah syarikat je yang bakal dipilih menjelang akhir tahun 2016.

Untuk pengetahuan korang lagi, kandungan proposal tersebut bukan sekadar nak jual saham Proton sahaja, tapi DRB-Hicom juga berkemungkinan nak jual saham Lotus sekali. Mungkin kerana pembelian Lotus masih tidak memberi kesan positif kat Proton.

Gambar dari Memeful.com

Dalam satu report berasingan yang dikeluarkan CIMB Equities Research, diorang dah senaraikan 5 syarikat yang terpilih tersebut iaitu France’s Groupe PSA dan Renault SA, Germany’s Volkswagen, America’s General Motors, Japan’s Suzuki dan termasuklah China’s Geely.

“Tidak kisah sama ada pembeli berpotensi dari Eropah, Jepun atau China, kesemua mereka menunjukkan minat yang mendalam (terhadap Proton), mereka juga syarikat gergasi. Mereka mempunyai rangkaian yang luas dan mempunyai kaedah mereka sendiri” – Datuk Seri Syed Faisal Albar, CEO DRB Hicom. Dipetik dari Paultan.org

Syarikat dari China, Geely sebelum ni pernah beli Volvo sekali

Gambar dari Memeful.com

Walaupun ada 5 buah syarikat yang disenarai pendek, Geely yang paling mendapat perhatian media tempatan. Semua ini berpunca daripada media China yang terus memainkan isu ini. Khabar angin Geely bakal memiliki Proton bertambah hangat bila saham diorang melonjak naik sepanjang awal tahun ini. Korang boleh tengok sendiri graf saham Geely dibawah ni. Teringat pulak subjek statistik zaman sekolah menengah, akhirnya berguna jugak.

Lonjakkan Saham Geely. Graf dari 4-traders.com

“Spekulasi pembelian Geely ke atas Proton turut diyakinkan pelabur China apabila harga saham Geely di bursa saham China naik sembilan peratus ketika dibuka pada hari pertama selepas cuti panjang Tahun Baharu Cina, minggu lalu.” – Dipetik dari Ismaweb.com

Menurut sejarah pasaran saham Geely, mereka telah membeli Volvo pada tahun 2010 dengan harga USD 1.8 billion, saham diorang turut naik mendadak biarpun pada waktu tu masih belum disahkan. Apabila pembelian berjaya dibuat, saham mereka terus naik memuncak. Dari sejarah inilah ramai pelabur berani melabur didalam saham Geely selepas tersebar khabar angin bakal memiliki Proton.

Graf pasaran saham Geely meningkat sewaktu membeli Volvo. Gambar dari scmp.com

Selepas 6 tahun Geely memiliki Volvo, kilang diorang telah bertambah kepada 3 buah dan menambah 200 orang wakil pemasaran baru. Geely juga bagi dana tambahan sebanyak USD 11 billion untuk diorang buat kereta baru yang lebih cantik, anggun dan bergaya sehingga terlahirlah kereta Volvo XC 90.

Lepas akhir tahun 2016, Volvo terus buat rekod baru penjualan kereta diorang dengan penjualan lebih setengah juta (503, 127 buah) iaitu rekod baru semenjak 89 tahun dahulu. Jadi tak hairanlah kenapa meriah sangat isu Geely nak beli Proton ni padahal ada 4 lagi syarikat lain dalam senarai.

Adakah ini bermakna Proton akan dimiliki oleh orang luar?

Gambar dari Memeful.com

Buat masa ni, Proton masih tak bagitau apa-apa syarat penjualan saham mereka kepada orang awam tapi menurut media tidak rasmi seperti Mahathir The Legend, diorang amat risau jika Proton menjual 51% kepentingan mereka. Sebabnya keputusan tu akan bagi DRB-Hicom hilang majoriti saham sekaligus hilang kuasa veto pengurusan. Dalam ayat mudah, lepas ini apa sahaja keputusan syarikat mestilah melibatkan kesemua pemilik saham tersebut.

Perkara ini juga dibangkitkan pengerusi PEKEMA iaitu Zainuddin Abdul Rahman yang risau Proton berisiko hilang identiti Nasionalisme apabila dimiliki oleh syarikat asing. Proton sepatutnya lebih awal bertindak sebelum mereka jatuh kerana apabila Proton jatuh, syarikat lain boleh menentukan harga mereka sendiri.

“Tapi kita hilanglah kita punya maruah. Kereta nasional itu identiti kita…kalau (Geely) pegang 51% (saham), sekiranya mereka membeli satu-satu syarikat lain mereka akan mengawal syarikat yang dibeli,” Dipetik daripada Berita Daily

Tapi ada juga yang bersetuju dengan penjualan tersebut, saham yang bakal dijual bukanlah keseluruhan syarikat tapi hanya kilang Proton Tanjung Malim sahaja. Ini berikutan kilang tersebut mampu mengeluarkan kereta sebanyak 500, 000 buah kereta sehingga maksimum sejuta kereta setahun.

Malangnya pengeluaran kereta Proton pada tahun 2014 hanyalah sebanyak 115, 783 buah manakala tahun 2015 hanya 102,175 buah sahaja yang dikeluarkan. Jadi biarpun saiz kilang tersebut sangat besar, tapi pengeluaran kereta masih terlalu rendah. Mungkin kerana inilah penjualan saham Proton dipersetujui sesetengah orang awam.

Selain itu, ada jugak yang risau dengan risiko pekerja Proton yang mungkin dibuang kerja, Aduh! Dah la ramai kena buang kerja sepanjang ekonomi teruk ni, bertambah teruk lagi la kalau pekerja Proton pulak yang dibuang. Menurut ahli ekonomi Dr Jorah Ramlan, kalau rakan kongsi Proton tu mempunyai pasaran eksport Asia, pekerja Proton mungkin selamat sebab lebih mudah pakai pekerja dalam negara daripada panggil orang luar. Tapi…

“(Namun) jika rakan kongsi asing itu memutuskan bahawa lebih mudah jika kilang itu ditempatkan di negara asal mereka, atau mengasingkan perniagaan; mengekalkan kilang berkenaan di sini dan mempunyai satu lagi kemudahan sama di negara mereka…ini pasti menjejaskan kadar pekerjaan kita,” Dr Jorah Ramlan – dipetik dari MalaysiaKini

Dari sumber lain pula, Proton kena ubah strategi diorang kalau nak terus bertahan dalam industri pembuatan kereta. Salah satu cara yang mungkin dilaksanakan ialah buang pekerja yang “tak berguna” dan cari bakat baru. 

Kat mana bantuan kerajaan?

Imej dari The Malay Mail Online.

Untuk menyelamatkan Proton, kerajaan telah berjanji untuk bagi pinjaman sebanyak RM1.5 billion yang diberikan melalui Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS).

“sebahagian besar daripada pinjaman itu bagi membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor komponen” – dipetik dari Astro Awani

Tapi untuk dapatkan pinjaman ni lah yang Proton kena yakinkan kerajaan dengan mencari rakan kongsi yang baru. Selain tu, satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan untuk melihat kembali pelan strategik Proton. Jawatankuasa ni diketuai oleh CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) iaitu Idris Jala, dan juga enam lagi orang yang power gila dan memang banyak pengalaman.

“Pada 16 Ogos lalu, Proton telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Kewangan untuk menyatakan keputusannya berhubung baki dana kewangan sokongan daripada kerajaan berjumlah RM250 juta akan diperoleh menerusi RCCPS yang dijual pada harga RM1 sesaham kepada Govco Holdings Bhd, yang 99.99% dimiliki oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan)” dipetik dari paultan.org

Kerajaan beranggapan bahawa inilah jalan terbaik untuk Proton terus bertahan di dalam industri automotif ini, tapi kerajaan janji tak nak kacau apa sahaja keputusan yang bakal Proton buat nanti sebab diorang dah takde hak dan pegangan lagi. Diorang jugak faham bahawa Proton mempunyai 60 ribu orang pekerja keseluruhan, bayangkan kalau Proton tutup berkemungkinan 60 ribu keluarga akan menghadapi masalah kewangan.

Proton banyak mengalami keuntungan dan kerugian yang tak menentu

Gambar dari memeful.com

Kalau korang bandingkan sendiri sejarah Geely dan Proton ni sebenarnya tak jauh beza pun tapi tah pasepa Proton susah sangat nak maju macam syarikat lain. Jika Geely membeli Volvo dan menggunakan sepenuhnya teknologi Volvo, Proton juga tak kurang hebatnya sebab ada teknologi Lotus dan banyak joint venture dengan syarikat lain seperti Mitsubishi, Honda, Citroen dan Peugeot.

Antara masalah yang membuatkan Proton tak mampu bersaing adalah berpunca daripada dasar negara yang tidak memberi kelebihan kepada Proton. Kebanyakkan pengguna di Malaysia lebih sukakan kereta jenama asing yang lebih terkenal. Di Amerika Syarikat, ada perlindungan untuk pertanian seperti kacang soya, Di Korea dan Jepun pula mempunyai perlindungan untuk industri dalam negara tetapi di Malaysia pasaran lebih terbuka biarpun dilindungi di bawah Dasar Automotif Nasional.

“Sebaliknya, kita masih kecil (Proton) dan perlukan perlindungan bagi industri tempatan bukan hanya dibuat di Malaysia tetapi di seluruh dunia” Tun Mahathir – Dipetik dari keratan akhbar Utusan Malaysia.

Selain itu, Proton juga mengalami keuntungan dan kerugian yang tidak konsisten. Pada tahun 2007, Proton mengalami kerugian sebanyak RM 619.9 juta. Penjualan kereta Proton pula jatuh sebanyak 40 peratus daripada 183,824 unit kepada 110,358 unit tahun semasa yang disebabkan kerana persekitaran pasaran persaingan yang tinggi.

Masuk tahun 2008, Proton mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 144 juta, tapi selepas bulan Mac 2009, Proton umum diorang rugi sebelum cukai sebanyak RM 338 juta pula. Puncanya ialah kelembapan ekonomi serta peningkatan kos komponen dan bahan mentah ekoran kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi, terutamanya Yen Jepun dan Dolar AS.

Gambar dari memeful.com

Tahun 2013 pula, pekerja Proton pernah menghadapi krisis dalaman, diorang pernah mengadakan mogok seramai 800 orang di Kilang Tanjung Malim sebab isu gaji, faedah pekerja dan rundingan antara orang eksekutif dan pekerja.

Tapi kerugian paling teruk adalah pada tahun 2016, bila proton mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM 991.9 juta:

“Kerugian ini sebahagian besarnya adalah kerana prestasi teruk dicatatkan oleh kumpulan Proton dengan jualan kenderaan yang rendah dalam suasana persaingan yang sangat sengit, ketidakstabilan pada kadar tukaran wang asing dan sentimen pengguna yang lemah.” – Dipetik dari paultan.org

Harapan kita sebagai rakyat Malaysia

gambar dari memeful.com

Sebagai rakyat marhaen, tentulah kita mengharapkan segala yang terbaik untuk negara kita. Penjajahan zaman sekarang bukanlah dengan mata pedang je tetapi kuasa ekonomi juga boleh menjatuhkan sesebuah negara. Buat apa kita menang bersorak tapi kampung tergadai betul tak?

“Proton mungkin tidak untung sekarang tetapi ia sangat untung sebelum ini. Memang diakui sebelum ini ia diberi perlindungan. Namun, selepas perlindungan ini dihentikan ia masih mencatat keuntungan…

Semua negara pasti mempertahankan industri automotif mereka sendiri. Walaupun tidak melalui duti import yang tinggi, tetapi mereka guna cara lain untuk cegah kereta import dari bersaing dengan kereta buatan tempatan.” – Tun Dr Mahathir, dipetik dari chedet.cc

Walau apapun, kita kena positif dalam hal ni dan kitorang yakin yang DRB-Hicom pasti mampu selesaikan masalah ni. Bos besar diorang Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berpengalaman luas sebelum masuk geng Proton. Semoga dengan kerjasama daripada kepakaran luar, nasib Proton akan dapat diubah.