Pemberian warganegara kepada PATI adalah mudah? Bagaimana pula dengan anak-anak mereka

Musim awal tahun ni biasanya penuh dengan cerita gembira apabila anak-anak dapat masuk sekolah untuk kali pertama. Tapi tak semua dapat rasa nikmat tu, sebab percaya atau tidak masih ada lagi kanak-kanak yang tak dibenarkan untuk berdaftar atau pergi ke sekolah.

Contoh paling dekat adalah Tan Yao Chun yang berumur 7 tahun. Awal tahun haritu dia tak dibenarkan untuk mendaftar ke sekolah sebab takde surat beranak, malah dia hanya mampu duduk kat depan pagar sekolah bertemankan nenek dia je, apa terjadi kat dia? Yang tu kami akan cerita lebih mendalam kemudian.

Tan Yao Chun (tengah). Gambar dari nst.com.my

Dan ni bukan terjadi kat dia sorang je tau, lebih kurang 290 437 kanak-kanak yang berumur 18 tahun terima nasib yang sama macam Tan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi. Jadi kat dalam artikel ni kami akan periksa macam mana kes-kes ni boleh terjadi.

Macam mana pulak budak-budak ni takde surat beranak?

Ada beberapa sebab macam mana seorang kanak-kanak tu takde surat beranak. Kes ni berbeza-beza berpandukan warganegara ibubapa masing-masing.

Bagi warganegara Malaysia, ada yang tak berdaftar disebabkan keturunan

Kalau untuk orang Malaysia benda ni selalu terjadi kat Orang Laut di mana mereka telah mendapat layanan second class (atau langsung tak dilayan oleh kerajaan), jadi kebanyakkan dari mereka tidak dibenarkan ke sekolah sebab kat atas kertas, mereka bukan rakyat Malaysia.

Klik sini untuk baca artikel kami tentang Orang Laut.

Ada setengah orang bangsa India pun takde IC atau surat beranak juga. Kebiasannya benda ni terjadi kat golongan orang miskin terutama sekali kalau ahli keluarga tersebut takde yang sambung belajar atau mendapat pekerjaan professional. Dan ini bukan benda baru tau, ada setengah bangsa India tu dah berpuluh tahun duduk kat Malaysiasejak zaman penjajah lagi tapi masih takde surat beranak atau IC.

Dan bila kanak-kanak yang takde warganegara ni membesar, mereka sering menjalani kehidupan yang sukar. Kerja tak pernah tetap, takde duit pencen dan tak boleh buat pinjaman bank untuk beli rumah dan kereta. Perlu diingatkan, dorang ni betul-betul warga Malaysia tau…

Gambar dari the star.

Tapi macam mana pulak dengan bayi yang lahir kat Malaysia, oleh pekerja asing? Celik mata je terus ada kat Malaysia kot, takkan tak boleh bagi surat beranak?

Bagi warga negara asing, apa terjadi pada bayi yang lahir kat Malaysia?

Ok sebenarnya, untuk semua imigran yang nak masuk Malaysia mereka kena kena ambil ujian kesihatan dan ujian kehamilan dulu. Dan salah satu terma dan syaratnya, mereka hendaklah berada dalam keadaan tidak mengandung.

Walaupun begitu, ada juga pekerja asing yang mengandung sewaktu bekerja kat Malaysia dan bersalin kat sini. Kalau majikan baik hati, dia boleh biarkan mereka terus berkhidmat dan beri masa kepada pekerja untuk mendaftarkan bayi kat kedutaan.

Tapi ada majikan yang akan hantar balik pekerja dan bayi ke negara asal. Sebab tu la ada pekerja asing yang tak pergi daftar anak mereka di kedutaan sebab takut kantoi dan kena hantar balik.

 

Antara kanak-kanak tanpa izin yang ditangkap bersama oleh ibu bapanya dalam operasi dari pihak berkuasa. Gambar dari The Star.

 

Tapi… apa pentingnya sangat untuk mendaftarkan anak di kedutaan? Dah nama pun lahir kat Malaysia, hospital tak boleh terus dapat surat beranak kat sini jugak ke?

Sebenarnya warganegara telah ditetapkan sebaik saja anak dilahirkan

Undang-undang jus soli (otomatik jadi warganegara kalau lahir kat negara tu) hanya boleh diguna pakai kalau anak kecil tu lahir kat Malaysia dengan salah seorang dari ibu bapa tu adalah warga Malaysia; atau pun selepas kelahiran anak tu, dia belum register lagi dengan mana-mana negara.

Dan part ni yang ramai orang tak tau, iaitu bila anak keluar kat dunia ni, dorang kena daftar warganegara yang mana satu. Pendaftaran ini merupakan tanggungjawab ibu bapa sendiri, kata Menteri Dalam Negeri. Jadi buat warga asing, mereka kenalah pergi ke kedutaan masing-masing dan mendaftar.

Selain dari tu Kementerian Dalam Negeri juga ada kata kerajaan Malaysia tak nak tanggung kalau seseorang tu malas untuk mendaftarkan anaknya.

Jangan kecewakan anak anda. Imej dari memeful.com

Ada je majikan atau orang Malaysia yang baik hati nak ambil bayi pekerja asing ni sebagai anak angkat, secara tak langsung memberikan status ‘halal’ kat budak tu. Tapi sijil anak angkat tak sehebat surat beranak atau IC sebab ia hanya memberikan hak penjagaan dan bukannya kewarganegaraan.

Tanpa surat beranak, dorang masih tak boleh pergi sekolah atau terima bantuan asas seperti kesihatan. Berbeza dengan negara-negara lain, ada yang kasi keperluan asas seperti pendidikan walaupun takde kewarganegaraan manakala Singapura pula memberi hak warganegara sepenuh kat mana-mana anak angkat yang sah.

Jadi kalau nak dibandingkan dengan negara lain, polisi kita agak tertutup juga dalam isu ni. Sebab sebuah artikel dari Malaysia Today mengatakan bahawa kita ni masih kuat menghukum bangsa lain apetah lagi yang ‘baru’ jadi warganegara. So selagi tak settle masalah tu, kita tak boleh nak sesuka hati ambil orang luar jadi warganegara.

Tapi apa je masalah kalau takde surat beranak atau kewarganegaraan? (selain dari kena tangkap dengan polis)

Kanak-kanak bukan je boleh jadi penjenayah malah mangsa jenayah

Salah satu benda bukan warganegara tak dapat di Malaysia adalah kemudahan kesihatan seperti klinik/hospital, malah sekolah pun tak boleh masuk. Bila dah tak ke sekolah, budak-budak ni sering berpaling arah kepada meminta sedekah, malah ada yang lagi teruk…

Kanak-kanak tanpa warganegara minta sedekah. Gambar dari The Star.

Menurut sebuah laporan dari Al-Jazeera, budak-budak ni membesar samada jadi pencuri atau pun penagih dadah (salah satunya dengan menghidu gam). Tapi selain tu, UNICEF ada kata yang budak-budak terbiar ni sering menjadi mangsa dera dan gangguan seksual orang sekeliling.

Yang sedihnya kalau nak report polis pun tak boleh sebab confirm kanak-kanak tersebut akan dihantar pulang atau dicampak ke pusat tahanan. Jadi mereka akan berdiam atau melarikan diri dari rumah.

Jadi salah satu cara untuk melawan gejala ni adalah dengan memberikan mereka pendidikan yang mencukupi, kalau tak pun kasi pendidikan asas pun dah kira okay. Tapi persoalannya disini, tak kisahlah rakyat Malaysia atau pun tidak, bukan ke hak belajar tu hak individu?

Menurut Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), pendidikan merupakan salah satu hak asasi manusia dimana ia ditabalkan kepada semua orang dan dimana-mana. So kalau nak diikutkan, semua kanak-kanak kat Malaysia ni tanpa mengira warganegara sekurang-kurangnya mendapat pendidikan pada peringkat asas macam sekolah rendah atau sekolah menengah.

Gambar dari roketkini.com

Disebabkan kesian dengan kesukaran kanak-kanak terbiar ni, ada beberapa NGO telah menampilkan diri untuk membantu.

Pembinaan pusat khas untuk kanak-kanak ni bagi memastikan keselamatan mereka

Walaupun kerajaan telah menegaskan bahawa mereka takkan ambil tanggungjawab kelalaian ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak, ni tak bermaksud semua rakyat Malaysia abaikan mereka. Macam kat Pulau Mabul, Sabah, ada beberapa insan bertanggungjawab telah membina pusat pendidikan khas untuk kanak-kanak terbiar ni.

Salah satu inisiatif tempatan untuk mengajar kanak-kanak terbiar. Gambar dari NST.

Kebiasaannya pusat pendidikan macam ni akan diajar oleh sukarelawan yang tak dibayar atau dibayar dengan upah sikit. Malah ada juga pengunjung sanggup mengambil masa untuk mengajar kanak-kanak terbiar ni. Para pelajar pula merangkumi penduduk tempatan yang takde surat beranak atau IC.  Tapi ni tak bermaksud masalah dah selesai.

Kadang-kadang pusat pendidikan ni akan diserbu oleh pihak berkuasa sebab nak tangkap budak-budak ni dan dalam setengah kes, kalau tak kena tangkap pun mereka tak nak kembali ke pusat pendidikan sebab takut kena serbu balik. Kebiasaannya, cikgu kat pusat pendidikan akan cuba bawa keluar budak-budak yang kena tangkap. Ada yang lepas, ada yang tak. Yang tak lepas tu pula akan dihantar ke pusat tahanan.

Salah satu tempat dimana kanak-kanak tanpa warganegara akan dicampak kalau kena tangkap. Gambar dari refworld.org

Untuk kanak-kanak warga asing pula, dorang pun ada pusat pendidikan mereka sendiri dan ada setengah tu siap ada asrama lagi. Tapi ini tak bermaksud mereka sudah selamat, memandangkan kerajaan tak kasi pusat pendidikan tu upgrade jadi sekolah mahu pun asrama yang berdaftar, kanak-kanak tersebut masih boleh ditangkap oleh pihak berkuasa.

So kalau dah tak boleh nak pergi sekolah nak kena buat apa? Ingat tak Tan Yao Chun, budak yang kami cerita kat atas tadi? Masa kisah Tan tersebar kat berita utama tempatan, pihak kerajaan Kedah telah membuat keputusan untuk membantu dia dan juga kanak-kanak tanpa warganegara lain di negeri tersebut untuk pergi ke sekolah.

Tapi kerajaan Kedah kasi syarat, iaitu ibu bapa budak tu kena daftarkan anak mereka sebelum ujian besar seperti UPSR. Setakat apa yang kami tau hanya kerajaan negeri Kedah je yang buat macam tu, negeri lain takde lagi.

Saya setuju! Imej dari memeful.com

Manakala kat Kota Kinabalu pula, majlis perbandaran akan membina satu tempat khas untuk kanak-kanak terbiar ni. Jadi semua sukarelawan dah ada tempat yang lebih sempurna untuk mengajar so boleh kata ada happy ending juga lah sebenarnya. Yang penting si ibu bapa kena daftar kan anak. Itu je.

Tapi bila bercakap pasal kewarganegaraan kan, ada dua perkara yang melayang kat dalam kepala kami iaitu, Projek IC dan juga PRU 13…

Pemberian warganegara kepada PATI lebih mudah?

Waktu pemerintahan Dr M dan juga waktu Pilihanraya Umum ke-13 hari tu, kecoh cerita pasal kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Apa yang membuatkan orang ramai marah adalah bila ada pemberian IC secara mudah kepada warga asing.

Gambar dari thenational.ae

Sewaktu PRU 13, macam-macam cerita disampaikan oleh agensi-agensi berita tempatan. Samada betul atau pun tidak, tu kami tak boleh nak kata. Ramai mendakwa yang ada PATI dibawa masuk beramai-ramai untuk mengundi sebuah parti tertentu.

Dalam kes Tun Mahathir pulak, dia memberi penerangan bahawa IC yang diberi dulu adalah untuk orang Sabah yang dah lama duduk Malaysia tapi tak pernah berdaftar. Ada setengah orang kata ini juga merupakan taktik untuk meraih undi.

So kalau betul, kenapa tak kasi kat kanak-kanak juga? Malah pemberian surat beranak atau IC boleh masukkan kanak-kanak terbiar ni ke sekolah dan secara tak sengaja menghalang mereka dari aktiviti haram seperti mendadah dan merompak.

Gambar dari mynewshub.cc

Penjagaan betul mungkin boleh menguntungkan negara dari merugikan

Sekarang ni samada kanak-kanak tersebut ada surat beranak atau pun tidak, yang penting adalah mendidik dan memberi keselamatan kepada mereka. Menurut laporan dari artikel CILISOS (bff kami), pusat tahanan untuk warga asing telah buat satu tempat khas untuk kanak-kanak (bersama mak) tapi ia sebenarnya boleh tahan teruk juga la, sebab yang boleh dapat bilik khas tu pun adalah untuk kanak-kanak bawah 5 tahun.

Salah satu contoh pusat tahanan untuk kanak-kanak bawah 5 tahun. Mainan pun takde. Gambardari refworld.org

Apa yang menyedihkan adalah bagi yang berumur 5 tahun ke atas, berkemungkinan mereka akan dicampak masuk ke pusat tahanan awam yang menurut laporan Amnesty International bahawa tempat tu sering sesak dengan orang.

So untuk elakkan benda-benda macam ni berlaku, kerajaan pusat mungkin boleh ikut tindakan kerajaan negeri Kedah dengan memberikan sekolah kepada kanak-kanak tersebut dan bagi pengecualian kepada mak budak tersebut. Atau pun kasi status halal yang lebih menyeluruh kepada sistem anak angkat seperti di Singapura.

Untuk yang betul-betul warga Malaysia pula, rajin kan diri pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara kat Putrajaya. Kat situ, korang boleh pergi ke counter dan tanya macam nak mengesahkan diri bahawa korang adalah rakyat Malaysia. Kalau nak buat kajian sikit macam jenis borang atau dokumen apa yang kena bawa, korang boleh tekan kat sini.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance