
Bila sebut pasal subsidi, memang rakyat Malaysia bernasib baik sebab banyak barangan asas, dari minyak, elektrik sampailah makanan ditampung oleh kerajaan. Tujuannya jelas, nak kurangkan beban kos sara hidup harian kita.
Cuma yang jadi masalahnya, lepas beberapa dekad, kos subsidi yang kerajaan tanggung ni meningkat. Pada tahun 2022 sahaja, kerajaan tanggung lebih RM77.3 bilion untuk subsidi dan bantuan, menjadikan ia sebagai jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah negara kita.

Jadi disebabkan kos makin meningkat sepanjang tahun, kerajaan terpaksa ambil langkah yang agak kontroversi, buat penyasaran semula subsidi. Kalau sebelum ni subsidi diberikan secara ‘pukal’ tapi sekarang diorang taknak dah. Kerajaan nak tukar kepada subsidi bersasar yang mana hanya golongan yang betul-betul layak je yang dapat.
Tapi kan, korang tertanya-tanya tak? Kenapa tiba-tiba diorang nak tukar sistem yang dah sedia ada ni?
Tak sampai ke golongan sasaran, diseludup ke negara jiran
Subsidi pukal ni dah lama kerajaan buat, terutamanya untuk bahan api macam RON 92 (dah tak ada), RON 95 dan diesel sejak tahun 1983. Semua orang dapat harga minyak murah tak kira dari golongan B40 sampailah golongan T20. Pada awalnya memanglah bagus untuk ringankan kos hidup rakyat tapi lama-lama, kos dia mula meningkat.
Masalah utama subsidi ni bukan sebab kos tinggi je, tapi juga pasal keadilan. Tujuan utama subsidi adalah untuk bantu rakyat yang memerlukan. Tapi kalau orang yang terlebih mampu pun guna barang subsidi, tak adil la macam tu.

Tak cukup dengan tu, kerajaan juga berdepan dengan kebocoran dan ketirisan dimana warga asing atau industri yang tak layak menyalahgunakan diesel bersubsidi. Disebabkan harga yang murah juga, banyak sindiket seludup diesel bersubsidi ni ke negara jiran untuk keuntungan peribadi. Pada tahun 2024, kos subsidi diesel saja melonjak sepuluh kali ganda kepada RM14.3 bilion berbanding RM1.4 bilion pada 2019. Banyak tu.

Selain bahan api, ada juga barangan bersubsidi lain seperti gula dan minyak masak yang turut diseludup keluar ke negara jiran. Sebab tu lah kerajaan terpaksa fikir semula kalau nak terus bantu rakyat, caranya kena lebih tepat dan bersasar. Dari sinilah datangnya langkah penyasaran semula subsidi.
Taknak rugi dah, kerajaan mulakan penyasaran semula subsidi.
Sejak 2023, di bawah kerangka Ekonomi Madani, kerajaan mula melaksanakan langkah menyasar semula subsidi secara berperingkat. Tujuannya untuk pastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, sambil mengurangkan kebocoran dan pastikan kewangan negara lebih mampan untuk jangka panjang.

Antara langkah utama yang dah berjalan termasuk:
- Penyasaran subsidi diesel – Subsidi diesel diberikan kepada mereka yang layak dibawah BUDI MADANI antaranya adalah pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia (BUDI Individu) dan pekebun kecil bagi sektor agrikomoditi seperti sawit, getah, koko, lada,dan kenaf (BUDI Agri-Komoditi). Hasil daripada penyasaran ni dijangka akan jana penjimatan tahunan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion.
- Penyasaran subsidi elektrik – Tarif rendah masih dikekalkan untuk isi rumah kecil dan sederhana. Tetapi, pengguna besar seperti kilang, pusat beli-belah, atau pemilik kediaman mewah dikenakan kadar lebih tinggi berdasarkan penggunaan sebenar. Pendekatan ni adalah untuk pastikan pengguna yang layak je dapat subsidi dengan adil sekaligus dapat jimatkan perbelanjaan kerajaan.

Semua perubahan ini dilaksanakan berperingkat, bukan sekaligus. Tujuannya supaya rakyat ada masa untuk sesuaikan diri dengan kenaikan kos. Memang ada rungutan, terutama bila harga barang keperluan meningkat, tapi kerajaan kena buat juga supaya sistem subsidi lebih tersasar, adil, dan mampan untuk masa depan.
Jadi, mana pergi duit subsidi yang dijimatkan tu?
Bila subsidi pukal mula dikurangkan sikit demi sedikit, orang mula tanya mana perginya duit yang dijimatkan tu? Duit tu disimpan ke atau digunakan? Kalau digunakan untuk apa? Soalan ni wajar sebab selama ni orang nampak subsidi tu petrol, elektrik dan barang. Jadi bila kena tarik, orang nak tahu ke mana perginya duit tu.
Duit tu tak hilangpun. Cuma dialihkan ke tempat lain untuk kukuhkan kedudukan kewangan negara serta pastikan dana boleh diagih semula kepada sektor lain yang lebih memerlukan. Dengan penjimatan subsidi ni kerajaan:
1. Gunakan untuk kurangkan defisit fiskal
Defisit fiskal ni bermaksud perbelanjaan kerajaan lebih tinggi daripada pendapatan. Selama ni, kerajaan tampung benda ni dengan hutang, tapi bila subsidi pukal ni dikurangkan, beban hutang ni dapat dikurangkan dan kewangan negara jadi lebih stabil untuk jangka masa panjang.

Contohnya, dalam Belanjawan 2024, kerajaan sasarkan defisit fiskal turun ke 4.3% daripada KDNK berbanding 5% pada tahun sebelumnya. Penjimatan daripada penyasaran semula subsidi jadi antara cara utama untuk capai sasaran ni. Lagi kecil jurang defisit, lagi kuat keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
Selain tu, bila hutang negara terkawal, kerajaan ada lebih ruang untuk rancang pelaburan masa depan sama ada dalam bentuk projek pembangunan, pendidikan, atau kesihatan.
2. Tambah peruntukan bantuan tunai kepada rakyat
Bila subsidi pukal mula dikurangkan, sebahagian daripada duit yang dijimatkan tu memang dialihkan untuk top-up bantuan tunai. Contohnya, kerajaan tambah peruntukan untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Dalam Belanjawan 2025, peruntukan STR diumumkan naik kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion, untuk pastikan lebih banyak isi rumah B40 dan miskin tegar dapat dibantu.

Untuk SARA pula, penerima kategori miskin tegar dapat kredit tanpa tunai melalui MyKad, yang boleh digunakan beli barang asas macam beras, minyak masak, telur, sampailah keperluan dapur harian. Bermula 1 April tahun ni, program ni diperluaskan kepada lebih ramai penerima berbanding tahun sebelumnya.
Jadi, bila orang tanya mana duit subsidi tu pergi, salah satunya memang turun balik ke rakyat dalam bentuk bantuan tunai. Bezanya, sekarang bantuan tu lebih fokus pada golongan yang memang perlu, sambil masih ada inisiatif one-off supaya semua orang boleh rasa sama-sama.

3. Naik taraf dan bina infrastruktur awam
Selain kurangkan defisit dan top-up bantuan tunai, penjimatan subsidi juga digunakan untuk tampung kos pembangunan awam. Masih banyak lagi sekolah luar bandar kena dinaik taraf, hospital kerajaan perlukan mesin rawatan moden, dan projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih, serta pengangkutan awam masih perlukan dana besar.
Contohnya sebahagian penjimatan subsidi telah dialihkan kepada projek pembangunan termasuk pembinaan hospital baharu dan kemudahan pendidikan. Kesannya rakyat bukan saja dapat nikmati harga barang terkawal, tapi juga dapat akses fasiliti kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

Dengan adanya dana tambahan hasil penyasaran semula subsidi, kerajaan boleh teruskan projek-projek besar tanpa terlalu bergantung kepada hutang baharu. Jadi setiap ringgit yang dijimatkan daripada subsidi pukal tu sebenarnya berpusing balik semula kepada rakyat, cuma dalam bentuk kemudahan asas dan infrastruktur yang semua orang boleh guna.
Duit tu kembali kepada rakyat juga
Penjimatan subsidi bukan hilang macam tu je. Duit yang dijimatkan dialihkan untuk kurangkan defisit fiskal, menyalur bantuan tunai lebih tepat sasaran, dan membiayai pembangunan asas macam sekolah, hospital, dan infrastruktur. Langkah ni memastikan bantuan sampai kepada golongan yang betul-betul memerlukan tanpa bebankan kewangan negara.
Dengan adanya dana tambahan daripada penyasaran semula subsidi, projek pembangunan dapat diteruskan tanpa bergantung terlalu tinggi kepada hutang baharu. Setiap ringgit yang dijimatkan sekarang ni bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat, membolehkan kemudahan asas dipertingkatkan, dan ekonomi negara lebih stabil.

Cuma, kat sinilah timbul soalan: betul ke sistem bersasar ni berjalan lancar? Ada tak orang yang sepatutnya layak tapi tercicir? Bila subsidi berubah daripada “untuk semua” kepada lebih fokus, kita sebagai rakyat sanggup ke bersabar tunggu hasil jangka panjang? Adakah kita bersedia untuk menilai semula cara bantuan diagihkan supaya mereka yang paling memerlukan betul-betul dapat manfaat daripada setiap ringgit yang dijimatkan?