Semangat yang pernah dipercayai oleh orang Melayu dahulu.

Masyarakat Melayu dahulu mempercayai wujudnya semangat atau roh di tempat atau dalam benda tertentu. Konsep “semangat” dalam kepercayaan ini merangkumi segenap aspek kehidupan seperti alam sekeliling, haiwan dan juga mereka yang telah meninggal dunia

Semangat ini datang dalam pelbagai bentuk dan rupa menurut kepercayaan setempat. Misalnya, bagi masyarakat yang menanam padi, mereka mempercayai kewujudan semangat padi. Bagi kaum orang asli, mereka mempercayai kewujudan roh nenek moyang yang menjaga keselamatan kaum mereka.

Jadi untuk artikel ini, kita akan teroka beberapa jenis semangat yang pernah dipercayai oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

“Dekat pokok besar tu ada penunggu”

Pokok-pokok besar, hutan, kawasan tinggal, busut dan sebagainya sering dikatakan berpenunggu. Boleh dikatakan penunggu ni adalah satu semangat yang mendiami atau menjaga kawasan tersebut.

Pokok ara dikatakan menjadi tempat tinggal bagi penunggu.

Orang-orang dahulu sangat takutkan penunggu kerana dikatakan boleh mendapat musibah sekiranya membuat penunggu tempat tersebut marah. Perkara ini membawa kepada kewujudan pantang-larang dalam kehidupan seharian orang Melayu. Contohnya apabila ingin membuang air di dalam hutan, mereka akan berkata:

Tok, nek cucu tumpang kencing

Kepercayaan ini dapat dilihat dari sekecil-kecil perkara sehingga perkara besar seperti membuka kawasan hutan untuk pembangunan.

Pegawai British bernama Walter William Skeat pernah menyatakan dalam bukunya ‘Malay Magic’ bahawa dia pernah melihat orang Melayu melakukan pemujaan terhadap semangat sewaktu pembinaan jalan di sebuah daerah di Selangor.

Walter William Skeat. Imej dari Cassell’s universal portrait gallery

Menurut beliau, sekumpulan orang Melayu di sebuah hutan di Labu melakukan upacara dipercayai untuk menghalau semangat atau hantu yang berada di kawasan tersebut dengan membakar kemenyan di dalam sebuah dupa buluh. 

Selepas kedatangan Islam, konsep penunggu ini berkembang kepada kepercayaan pada keramat. Sesetengah golongan akan menziarahi kubur orang-orang alim atau wali-wali untuk memohon doa atau hajat. Upacara yang dilakukan mempunyai campuran unsur-unsur Islam dan bukan Islam.

Kisah semangat laut dalam Ulek Mayang

Sebagai sebuah bangsa maritim, kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat dekat dengan laut dan pengaruh kepercayaan terhadap semangat laut ini dapat dilihat dalam seni kebudayaan Melayu, seperti Ulek Mayang.

Walaupun terdapat banyak versi, salah satunya menyatakan bahawa ia berasal dari upacara rawatan kuno dilakukan bomoh ke atas seorang nelayan yang tidak sedarkan diri kerana dipukau oleh seorang puteri laut yang jatuh cinta pada nelayan itu.

Tarian Ulek Mayang. Imej dari The Malaya Post

Puteri itu telah menyeru lima lagi saudaranya untuk melawan bomoh itu sehingga muncul puteri sulung. Puteri sulung itu menghentikan pertarungan itu dengan berkata:

“Ku tahu asal-usulmu, Yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat”.

Terhutang budi dengan puteri tersebut, bomoh dan nelayan itu telah melakukan sembahan berupa nasi berwarna. Upacara tersebut kekal diamalkan sebagai terima kasih kepada semangat-semangat laut sehingga kedatangan islam.

Lirik lagu Ulek Mayang dikatakan berhantu dan berasal dari mantera untuk upacara penyembahan terhadap semangat laut ini.

Petikan lirik Ulek Mayang versi moden

Dikatakan lirik lagu ulek mayang ini telah diubah dari lirik asal yang memuja semangat laut tersebut.

Selain semangat laut dalam bentuk puteri-puteri dalam Ulek Mayang, semangat laut juga terdapat di sumber air tawar seperti sungai dan tasik.

Skeat juga pernah menyatakan mengenai semangat perempuan yang menunggu di muara sungai untuk mencuri ikan dari jerat ikan.

Manakala Orang Laut di Singapura mempercayai kewujudan semangat laut pada sebuah batu bernama Batu Kepala Todak. Mereka mengikat panji-panji pada batu tersebut sebagai tanda penghormatan pada semangat itu. 

Orang laut. Imej dari untoldhistoriesofmalaya

Orang Laut percaya jika semangat itu tidak dihormati, mereka akan ditimpa musibah apabila keluar masuk muara Sungai Singapura.

“Jikalau tiada kami hormati akan dia, apabila kami keluar masuk Selat ini kelak nescaya dibinasakannya akan kami sekalian”

Kebanyakan semangat laut digambarkan sebagai sesuatu yang jahat. Oleh itu upacara pemujaan semangat laut akan dilakukan oleh seorang pawang dengan tujuan untuk menenangkan semangat laut sebelum nelayan turun ke laut. Jika semangat laut terganggu, nelayan akan kurang hasil tangkapan dan juga akan ditimpa kecelakaan. 

Pernah dengar pasal semangat padi?

Mungkin kedengaran agak asing bagi masyarakat Melayu pada hari ini, namun masyarakat pesawah Melayu dahulu pernah mempercayai kewujudan semangat padi.

Imej dari thoughtsonfilms.com

Dikatakan bahawa semangat padi ini muncul dalam pelbagai rupa seperti perempuan, serangga, burung ataupun pusingan angin. Semangat padi ini memiliki perangai seperti manusia dan mereka mudah tersinggung, terganggu atau terperanjat sekiranya diganggu atau tidak dihormati. 

Oleh itu, pelbagai  upacara seperti ‘menuai padi sulung’ dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan semangat padi tersinggung dengan perbuatan manusia menuai padi. Pawang akan menuai tangkai padi terpilih dan membacakan mantera seperti berikut:

Ni, bapa (ibu atau emak), mari nak beritahu, dua (tiga atau esok) hari lagi bapa nak datang ambil bawa balik ke rumah, jangan terkejut tergempar apa-apa.”

Padi ini kemudian akan dibawa ke rumah tuan sawah dalam keadaan berpayung dan disimpan dalam bekas khas. Selepas tiga hari, barulah padi dapat dituai oleh pemilik sawah. 

Selain upacara, terdapat juga pantang-larang yang perlu diikuti untuk menjaga semangat padi daripada tersinggung contohnya mayat tidak boleh dibawa melalui kawasan sawah kerana semangat padi akan terkejut. Perbuatan keji juga tidak boleh dilakukan di kawasan sawah kerana semangat padi akan pergi dari kawasan tersebut.

Padi tidak boleh dituai dengan kasar. Imej dari infopublik

Pesawah juga mempunyai pantang dalam menggunakan sabit untuk menuai padi. Mereka percaya semangat padi perlu dilayan dengan lemah lembut dan tidak menyakitkan mereka.

Membuat bising juga dilarang di kawasan sawah terutamanya apabila upacara dijalankan. Ini kerana semangat padi dipercayai takut dengan bunyi bising. 

Pelanggaran terhadap pantang ini akan membuatkan hasil padi berkurang atau tidak menjadi langsung. Jika semangat padi melarikan diri, padi dipercayai akan menjadi lemah dan terdedah kepada serangan penyakit.

Upacara “pemulihan tanah dan tempat dilalui” perlu dilakukan untuk memulihkan semangat padi jika mayat terpaksa dibawa melalui kawasan sawah. Untuk memulihkan semangat padi yang melarikan diri akibat perbuatan keji, upacara “bersemah” perlu dilakukan untuk memanggil kembali semangat padi tersebut. 

Contoh ancak, Imej dari Iluminasi

Upacara ini melibatkan penyediaan ancak iaitu persembahan makanan atau benda lain seperti patung atau darah untuk menjamu semangat. Pawang padi kemudian akan membaca mantera untuk memanggil kembali semangat padi yang lari dari sawah tersebut. 

Konsep kenan dan pantang larang orang dahulu yang berkaitan haiwan.

Masyarakat Melayu dahulu juga mempercayai wujudnya semangat haiwan. Namun konsep semangat haiwan ini dikaitkan dengan badi haiwan atau juga sifat haiwan itu yang seperti manusia.

Badi boleh dikatakan sebagai semangat jahat yang boleh mendatangkan kecelakaan. Malah sekiranya tidak dibuang, mereka yang terkena badi boleh menjadi gila atau meninggal dunia.

Haiwan-haiwan hutan seperti rusa dan ayam hutan dikatakan memiliki badi yang kuat. Jika seorang telah menangkap rusa, dia perlu membaca mantera untuk membuang badi haiwan tersebut.

Sebelum membaca mantera itu, rusa yang ditangkap perlu ditutup dengan kain hitam (Jika tiada boleh gunakan dahan pokok) dan sapu (bangkai itu) dari kepala sampai je punggung rusa itu.

Perkara yang sama juga perlu dilakukan jika seseorang itu menangkap ayam hutan cuma ayam hutan memiliki mantera dan cara yang berbeza.

Ayam hutan dikatakan memiliki badi yang kuat diantara haiwan hutan. Imej dari Ilhamku

Selain badi, orang Melayu juga mempercayai konsep “kenan”. Kenan adalah satu kecacatan sejak lahir atau tingkah laku seseorang yang mengikut haiwan tertentu dipercayai orang Melayu dahulu akibat badi haiwan.

Dari konsep ini, wujudnya banyak pantang-larang terutamanya kepada wanita mengandung kerana kenan ini akan terkena pada anak yang akan dilahirkan nanti. 

Contoh pantang yang perlu diikuti oleh mereka adalah seperti orang yang mengandung, tidak boleh memotong muncung ikan kononnya kelak anak mereka akan sumbing.

Terdapat juga kenan-kenan lain yang melibatkan binatang seperti kenan ular dan kenan katak.

Kenan katak juga dikenali sebagai sindrom prune belly. Imej dari stormanesthesia

Mereka yang terkena kenan ular, tidak boleh makan tumbuhan menjalar kerana kulit mereka akan muncul sisik seperti ular. Kenan katak pula  digambarkan apabila bayi memiliki kecacatan anggota fizikal seperti katak.

Bagi kenan yang melibatkan tingkah laku pula, terdapat contoh seperti kenan biawak. Bayi yang terkena kenan ini perlu direndam di dalam air kerana sentiasa menangis setiap malam.

Masih ada pantang-larang yang dipercayai hingga kini

Konsep semangat yang melibatkan pemujaan pada masa kini kebanyakannya telah ditinggalkan apabila orang Melayu mendalami ajaran Islam yang sebenar. Upacara pemujaan semangat laut dan juga kepercayaan pada semangat padi tidak lagi diamalkan dan telah dilupakan sepenuhnya.

Tetapi, masih ada lagi yang mempercayai dengan konsep badi dan kenan. Terdapat pantang-larang yang masih lagi diamalkan terutamanya pada ibu mengandung untuk memastikan bahawa tiada sebarang masalah pada anak yang akan dilahirkan nanti.

Walaupun semangat dan roh telah dilupakan oleh masyarakat kita, agak menarik jika difikirkan bahawa suatu ketika dahulu semangat dan roh ini merupakan sebahagian yang besar dalam kehidupan orang Melayu dahulu sehingga nak kencing pun kena minta izin pada penunggu.