Betul ke Aman Palestin seleweng dana awam? Kitorang siasat…

Beberapa bulan lepas, Aman Palestin, suatu badan amal yang dikenali ramai kat Malaysia diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkaitan dengan beberapa dakwaan termasuk:

  • Menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai berjumlah RM70 juta
  • Menggunakan duit dermaan untuk membeli jongkong emas, hartanah dan aset-aset lain
  • Kos operasi dan penyelenggaran diorang lebih daripada RM400,000 sebulan

Mesti ada antara korang yang terkejut bila dengar berita ni, lagi-lagi yang pernah derma kat Aman Palestin. Tapi korang tau tak, masalah kewangan Aman Palestin ni dah lama berlaku?

Tapi sebelum kita masuk bahagian research kita…

 

Siapa Aman Palestin?

Cam kita cakap tadi, Aman Palestin ni badan amal, dan diorang ditubuhkan oleh Abdullah Zaik Abdul Rahman pada tahun 2004 sebagai ‘inisiatif bagi membantu dan menyalurkan sumbangan serta kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin‘.

Imej dari mStar.

Selaras dengan tujuan penubuhan diorang, Aman Palestin memang dah menyumbangkan banyak bantuan kepada rakyat Palestin.

Sebagai contoh, diorang berjaya kutip RM777,000 sempena majlis buka puasa pada tahun 2009, dan duit tu didermakan kepada keluarga papa dan anak-anak yatim kat Gaza dan Lebanon. Lepas tu, diorang berjaya derma tiga buah ambulans dan dua buah jentolak untuk kerja-kerja pembinaan semula bangunan kat Gaza.

Imej dari Aman Palestin.

Tu cuma dua contoh sumbangan yang Aman Palestin pernah hantar ke Palestin sejak 2004, dan untuk korang betul-betul paham betapa powernya Aman Palestin ni, diorang berjaya mengumpul RM114 juta duit dermaan pada tahun 2021.

Jadi, betul la diorang ni buat kerja amal untuk rakyat Palestin. Tapi macam kita cakap tadi, isu dengan diorang mula timbul apabila suatu dakwaan dibuat bahawa…

 

Aman Palestin mengambil 30 PERATUS dari duit dermaan sebagai kos penyelenggaraan

Sama ada kau syarikat ke, organisasi amal ke, kucing aku ke, korang akan kena ada duit untuk berfungsi. Peralatan, kelengkapan, pengiklanan, pekerja – nak ada semua ni, memang la kena bayar. Inilah sebabnya NGO-NGO biasa ambik sebahagian daripada duit dermaan (kebanyakannya 2% hingga 20%) sebagai kos penyelenggaraan.

Tapi menurut laporan The Star, SPRM telah mendapati bahawa kos penyelenggaran Aman Palestin melebihi RM400,000 setiap bulan. Korang mungkin terfikir, “Eh, jumlah tu takde la besar sangat,”, tapi kalau korang check laporan audit Aman Palestin tahun 2021…

…diorang ambik 30 peratus daripada duit dermaan RM114 juta yang kita sebut tadi sebagai kos penyelenggaraan tahun tu! Yang tak reti matematik (30% x RM114,000,000), jumlah tu dekat RM34 JUTA beb Kalau laporan audit ni boleh dipercayai, kos penyelenggaraan Aman Palestin lebih menghampiri RM2,830,000 sebulan.

Ni semua tak salah dari segi undang-undang pun, cuma kitorang pon tertanya la:

  1. Kenapa angka laporan audit ni beza gila dengan jumlah RM400,000 yang dilapor oleh SPRM?
  2. Kebanyakan NGO dari kajian kami ambik 2% hingga 20% je, jadi kenapa peratus yang Aman Palestin ambik tinggi sangat?

Yang nombor 2 tu rasa extra pelik sebab beberapa tahun dulu, Aman Palestin ambik maksimum 20% je. Dan walaupun kita mungkin boleh husnuzon diorang terpaksa ambik lebih tahun ni sebab inflasi, tapi ada masalah lain yang masih wujud iaitu…

 

Aman Palestin tak telus dengan hal kewangan mereka

Satu benda yang mungkin ramai tak tau pasal Aman Palestin adalah… diorang sebenarnya didaftar bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai badan amal.

Benda ni biasa je sebab NGO amal memang boleh ditubuhkan melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Perdana Menteri, ATAU juga SSM. Ada banyak badan amal lain selain daripada Aman Palestin yang didaftarkan di bawah SSM, contohnya Yayasan Selangor, Yayasan Palan, dan Yayasan Akalbudi 😬.

Masalahnya timbul apabila NGO amal yang wajib failkan laporan audit dengan SSM gagal berbuat demikian, seperti dalam kes Aman Palestin. Setahu kami, ni dah berlaku sekurang-kurangnya dua kali.

Imej dari Berita Harian.

2021

Masa ni, netizen mula perasan bahawa Aman Palestin telah gagal kemukakan laporan audit diorang dari tahun 2016 hingga 2019, sampai CEO Aman Palestin terpaksa keluar untuk bagi penjelasan. Menurut dia, Aman Palestin tak pernah gagal kemukakan laporan audit kepada Aman Palestin sejak tahun 2007, kecuali pada tahun 2016 dan 2017, sebab masa tu diorang tengah cuba tukar juruaudit dan diorang dah bagitau SSM pasal hal ni.

Imej dari FB Aliff Ahmad.

2022

Pada tahun ni pulak, pengguna Facebook, Aliff Ahmad berkongsi satu pos menyatakan laporan audit Aman Palestin yang keluarkan last berkaitan dengan tahun 2019, maksudnya diorang tak buat atau tak kemukan laporan untuk tahun 2020 dan 2021. Dan bila kami semak kat laman web SSM minggu lepas, Aman Palestin masih belum kemukakan laporan audit untuk tahun 2022.

Satu lagi isu Aman Palestin tentang laporan audit ni – diorang tak letak kat laman web diorang sendiri untuk orang ramai check. Diorang tak macam badan-badan amal yang lain kat Malaysia, contohnya MyCare. MyCare ni ada jugak program-program dermaan untuk membantu Palestin, tapi korang boleh jumpa laporan-laporan audit dekat laman web diorang, tak macam Aman Palestin.

Imej dari MyCare.

Selain MyCare, Islamic Relief juga mengemukakan laporan tahunan mengenai jumlah duit dermaan yang diorang dapat dan camne diorang gunakan duit tu, misalnya untuk pengiklanan, benda-benda ofis, kos laman web dan lain-lain lagi.

Jadi, kenapa susah sangat untuk Aman Palestin kemukakan laporan-laporan diorang secara terbuka, ek?

 

Ada yang dakwa Aman Palestin guna dana awam untuk bayar orang-orang dia

Imej dari X Aliff Ahmad.

Ingat tak nama ni: Abdullah Zaik Abdul Rahman? Macam kita cakap tadi, dia pengasas Aman Palestin dan juga pengerusi eksekutifnya sekarang. Beliau juga merupakan presiden pertama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – sebuah NGO ultrakonservatif yang ditubuhkan untuk ‘mempertahankan Islam sebagai Identiti Malaysia’. Tapi bukan beliau sahaja yang ada kaitan dengan ISMA dalam Aman Palestin; salah seorang pengarah Aman Palestin, Zaini Awang, juga merupakan pemimpin ISMA, dan penasihatnya, Zainur Rashid, sebelum ini adalah naib presiden ISMA.

Tapi apa pulak kaitan benda ni dengan dakwaan terhadap Aman Palestin sekarang? Kaitannya, Aman Palestin, dengan hubungannya kepada ISMA melalui pengurusan peringkat atasnya, didakwa membayar syarikat yang berkaitan dengan ISMA untuk perkhidmatan diorang.

The Star melaporkan bahawa seorang sumber bagitau diorang bahawa Aman Palestin guna sebahagian daripada duit dermaan untuk pelbagai perkara, termasuk emas dan hartanah, serta sebuah agensi media. Aliff Ahmad, netizen yang kita sebut tadi, mengesyaki bahawa agensi media ni adalah satu antara dua syarikat media yang ada kaitan dengan ISMA, iaitu Kerengga Merah Sdn. Bhd and Media ISMA Sdn. Bhd. Ini sebab Norzila Bt Baharin, salah seorang pengarah kedua-dua syarikat ni, merupakan naib presiden ISMA Wanita sebelum ni.

Kita takdelah bukti kukuh untuk dakwaan ni, ni hanya syak wasangka seorang netizen, tapi kalau benar, kita memang takkan terkejut sangat.

Dan sebab SPRM tak luahkan apa-apa lagi…

 

Kami dah cuba contact dua kakitangan Aman Palestin untuk penjelasan, tapi…

…diorang tak jawab mana-mana soalan kami, mungkin sebab busy sangat nak cuba hulurkan bantuan sambil Israel laknatullah tengah mengebom Palestin sampai dah ada lebih 24,000 kematian setakat ni.

Yang kitorang tahu, pertubuhan amal seharusnya telus dalam hal kewangan diorang – berapa dermaan yang diorang kutip, apa yang diorang buat dengan dermaan itu, dan sebagainya, sebab NGO-NGO ni dapat dermaan banyak gila setiap tahun. Korang rasa tak best kan kalau duit dermaan yang sepatutnya digunakan untuk membantu orang-orang yang memerlukan, sebaliknya masuk poket CEO-CEO badan amal ni?