Kenapa Sri Lanka muflis? | SOSCILI Jawab

Pada pertengahan Julai, ratusan penunjuk perasaan di Sri Lanka telah menyerbu kediaman rasmi presiden. Mereka menggunakan pelbagai kemudahan yang ada di dalam rumah tersebut termasuklah gym, kolam renang, dan berpiknik di laman. Bagi mereka, kemewahan yang dipamerkan ini adalah sangat ketara perbezaannya dengan apa yang sedang dilalui oleh rakyat Sri Lanka.

Rakyat mengerumuni kolam renang di kediaman presiden. Gambar dari Al Jazeera.

Negara tersebut sedang melalui krisis ekonomi yang paling teruk semenjak kemerdekaan. Dalam masa beberapa minggu sahaja, keadaan kehidupan rakyat berubah serta-merta, mereka tidak mampu lagi makan tiga kali sehari seperti dahulu. Sekolah terpaksa ditutup dan peperiksaan dibatalkan. Ramai yang beratur selama berhari-hari untuk mendapatkan minyak di stesen.

Dalam artikel ini, Soscili cuba huraikan satu-persatu tentang apa yang sedang berlaku di Sri Lanka setakat ini. Secara ringkas, ini adalah perkembang yang terbaru:

  • Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, melarikan diri ke Singapura setelah protes besar-besaran di negara itu. Dia kemudiannya meletakkan jawatan sebagai presiden.
  • Protes bermula di ibu kota Colombo pada bulan April dan telah tersebar di seluruh negara.
  • Rakyat kini bergelut dengan harga barang yang tinggi serta kehabisan barang-barang asas termasuklah petrol dan ubat-ubatan.
  • Bekas perdana menteri sebanyak enam kali, Ranil Wickremesinghe, dilantik sebagai pemangku presiden.

Apa yang sedang berlaku di Sri Lanka ketika ini?

rakyat-sri-lanka-beratur-beli-minyak
Rakyat di Colombo dilihat beratur panjang untuk mendapatkan minyak. Gambar dari Al Jazeera.
  • Harga makanan dan ubatan-ubatan meningkat beberapa kali ganda dalam masa beberapa minggu sahaja.
  • Sekolah ditutup dan peperiksaan dibatalkan kerana kerajaan tidak mampu untuk membiayai dakwat mahupun kertas.
  • Golongan kelas pertengahan Sri Lanka yang sebelum ini hidup selesa tiba-tiba terpaksa bergantung dengan bantuan makanan kerajaan.
  • Ribuan rakyat Sri Lanka terpaksa beratur buat berhari-hari untuk mendapatkan petrol. Terdapat beberapa insiden di mana rakyat jatuh rebah dan maut akibat menunggu terlalu lama di bawah panas terik.

Apa yang menyebabkan krisis ekonomi di Sri Lanka?

  • Hutang Sri Lanka mencapai tahap yang tidak terkawal. Pada 20 Mei, Sri Lanka gagal membayar hutang luar pada masa yang ditetapkan, kali pertama dalam sejarah negara itu.
  • Sri Lanka kehabisan simpanan mata wang asing untuk mengimport barang-barang asas buat rakyat termasuklah minyak masak, minyak petrol, makanan, dan ubat-ubatan.
  • Serangan pengganas yang diikuti oleh pandemik telah melumpuhkan industri pelancongan Sri Lanka yang dahulunya merupakan penyumbang besar kepada ekonomi.
  • Sri Lanka banyak menghabiskan duit dengan projek-projek mega yang dibiayai China, namun kebanyakannya tidak membuahkan hasil dan terbiar begitu sahaja.
  • Gotabaya menunaikan janji pilihanraya dengan membuat potongan cukai yang besar, secara langsung mengurangkan pendapatan negara sebanyak 25%.
  • Gotabaya mengharamkan penggunaan baja kimia dan mengarahkan para petani menggunakan 100% baja organik. Langkah ini telah menyebabkan hasil tuaian turun mendadak. Sri Lanka yang dahulunya mampu menampung keperluan beras mereka sendiri tiba-tiba terpaksa mengimport dari luar.
  • Manipulasi mata wang dan inflasi telah menaikkan harga barang secara mendadak.
  • Perang di Ukraine telah menyebabkan harga makanan naik di seluruh dunia, serta menghadkan lagi bekalan minyak ke Sri Lanka.

Siapakah keluarga Rajapaksa?

Keluarga Rajapaksa dikritik kerana mengamalkan nepotisme dalam pemerintahan mereka. Gambar dari DW.
  • Keluarga Rajapaksa telah memonopoli ruang politik Sri Lanka selama lebih kurang 20 tahun.
  • Mahinda Rajapaksa mula menjadi perdana menteri pada tahun 2004. Tahun 2005, dia menjadi presiden dan melantik adikknya, Gotabaya dilantik sebagai setiausaha pertahanan. Mereka melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap kumpulan pengganas LTTE yang juga dikenali sebagai Tamil Tigers. Reputasi mereka berkembang kerana dilihat sangat tegas melawan sebarang unsur pengganas yang boleh mengancam keharmonian Sri Lanka.
  • Setelah menang pilihanraya sekali lagi pada tahun 2010, Mahinda turut melantik adik-beradik lain dengan jawatan-jawatan utama dalam kerajaan.
  • Tahun 2015, keluarga Rajapaksa tewas pilihanraya akibat tuduhan nepotisme dan kronisme. Namun serangan pengganas Islamis membuatkan rakyat takut, dan kembali mengundi keluarga Rajapaksa.
  • Tahun 2019, Gotabaya Rajapaksa dilantik sebagai presiden, serta melantik Mahinda sebagai perdana menteri. Amalan nepotisme diteruskan.
  • Keluarga Rajapaksa banyak berkempen atas janji-janji populis yang kurang bijak, contohnya memotong cukai  di waktu Sri Lanka sangat memerlukan sumber pendapatan.
  • Protest daripada rakyat memaksa ahli keluarga Rajapaksa meletakkan jawatan pada April lalu termasuklah, dan Gotabaya baru-baru ini.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya?

  • International Monetary Fund (IMF) menawarkan bail-out kepada Sri Lanka. Namun langkah ini adalah sangat tidak popular di kalangan rakyat Sri Lanka, tambahan lagi Sri Lanka telah banyak kali mendapat bantuan daripada IMF.
  • Sri Lanka kini sedang berbincang dengan China berkenaan pelan penstrukturan semula hutang.
  • Sri Lanka juga sedang berbincang dengan Russia berkenaan diskaun buat harga minyak.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.