Kemunculan watak Sultan Brunei dalam siri animasi Netflix?

Siapa sini pernah tengok siri animasi dewasa? Alaaa…macam cerita Family Guy, The Simpsons, Rick & Morty, dan American Dad tu. Semua siri kartun ini mempunyai lawak-lawak yang lucah, rasisme, jenaka gelap (contohnya membuat jenaka sindiran terhadap seseorang yang berpengaruh) dan ekstremisme. Sebab itulah ia diklasifikasikan sebagai kartun dewasa kerana isi kandungannya yang tak sesuai untuk remaja bawah 18 tahun.

Kalau nak tengok contoh, korang boleh tengok video kompilasi Family Guy yang mempunyai jenaka gelap rasisme:

Baru-baru ini, Netflix ada menerbitkan satu siri animasi dewasa berjudul Inside Job pada 22 Oktober yang lalu. Ia sebenarnya mengisahkan…

Sebuah organisasi yang mempunyai banyak rahsia kerajaan

cover siri animasi Inside Job. Imej dari Cartoon Brew.

Awal ni marilah kami terangkan dulu siapa yang hasilkan siri animasi ini, yela, tak kenal maka tak cinta. Kita mesti kena mukadimah dulu kalau nak kenal seseorang, takkan main bedal terus ajak kahwin en.

Baiklah, Inside Job dihasilkan oleh seorang penulis cerita iaitu Shion Takeuchi. Siapa sebenarnya dia ni? Kalau nak tahu dia ni la yang tulis storyboard untuk siri animasi Gravity Falls (2016) (dulu ada dekat Disney XD channel), The Regular Show (2010-2011) dan We Bare Bears (2016) (dekat Cartoon Network). Ada banyak lagi storyboard untuk siri animasi yang dia tulis, seperti:

  1. When the Time Is Ripe (2010).
  2. Sweetpea (2012).
  3. Long Live The Royals (2015).
  4. Lost in Oz (2016-2017).
  5. Disenchantment (2018-2019).
Shion Takeuchi. Imej dari Deadline.

Inside Job ini mengisahkan tentang seorang ahli teknologi genius bernama Reagan Ridley yang bekerja di sebuah organisasi gelap kerajaan bernama Cognito Inc. Dia juga menggantikan tempat ayahnya, Rand Ridley yang telah melakukan kesalahan iaitu mabuk dan cuba untuk meletupkan matahari.

Dalam Cognito Inc. ini, terdapat banyak teori konspirasi yang ditunjukkan antaranya, menteri yang merupakan manusia reptilia, ahli rahsia gelap, makhluk mutan dan pemujaan setan.

Dalam satu episod, ada memaparkan…

Watak Sultan Brunei berjumpa dengan Presiden Robot Amerika

Brett dan Reagen. Imej dari Polygon.

Episod pertama berjudul “Unpresidented“, Reagen menggantikan tempat ayahnya dan bekerja keras supaya dapat naik pangkat. Dia telah mencipta satu robot yang rupanya sama seperti Presiden Amerika bernama ‘ROBOTUS’. Sebab dia mencipta robot itu kerana presiden tersebut dikatakan dungu dan senang dimanipulasi.

Jadi, ROBOTUS diciptakan supaya presiden lebih nampak bijak dan mereka boleh mengawalnya. Ia bakal dilancarkan semasa perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin dari seluruh negara.

Reagan juga mempunyai pasukan dalam kerjanya. Imej dari Age Rating JuJu.

Walaupun dia dapat naik pangkat, tetapi dia mempunyai masalah kemahiran komunikasi antara pekerja. Jadi, CEO Cognito Inc., JR, telah mengupah seorang co-lead bernama Brett Hand. Tapi satu jela masalahnya dengan Brett ni, dia ni sebenarnya tak layak langsung untuk bekerja di organisasi itu.

Namun, semua orang di situ menyukai Brett kerana kemahiran komunikasinya yang hebat. Disebabkan itu, Reagen telah melakukan pemerhatian selama satu malam untuk mengenal pasti latar belakang dan profil Brett untuk buktikan yang dia ni tak layak kerja di situ.

Bapanya selalu membongkarkan rahsia kerajaan kepada orang ramai. Imej dari Collider.

Nasib tak menyebelahi Reagen apabila semua orang kecewa dengan sikap cemburunya dan JR tidak membenarkan dia melancarkan ROBOTUS dan menyuruhnya untuk berehat.

Daripada sinilah Brett mula cemas kerana dia tak tahu apa pun pasal robot. Akan tetapi, dia pun bantai jela janji robot tu berfungsi dengan baik. Semasa ROBOTUS memasuki sebuah dewan, robot tu berjumpa dengan seorang pemimpin iaitu Sultan Brunei (Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Wadeen) dan bertanyakan khabar.

PENAFIAN: Minta maaf kerana kami tidak boleh menunjukkan gambar watak Sultan Brunei itu atas sebab kandungan privasi. Kalau korang nak tengok, boleh pergi ke Netflix dan menontonnya.

Sebenarnya, masih tidak dapat disahkan lagi apa mesej yang ingin disampaikan dalam babak perjumpaan tersebut, tetapi mungkin ada mesej sindiran disebaliknya atau sekadar tiada maskud.

Rentetan daripada itu…

Adakah kita perlu percaya dengan apa yang berlaku dalam siri animasi?

Ada sesiapa yang pernah tengok cerita ni? Imej dari IMDb.

Isu ini sering berlaku dalam siri animasi The Simpsons, di mana semua taksub dengan ramalan yang dipaparkan dalam setiap episod. Contohnya:

  1. Donald Trump menjadi Presiden Amerika (musim 11, episod 11).
  2. Jam pintar dicipta (musim 6, episod 19).
  3. Skandal daging kuda di Amerika (musim 5, episod 19).
  4. Disney memiliki Fox (musim 10, episod 5)
  5. Penyakit Ebola (musim 9, episod 3).

Kalau nak tahu macam mana The Simpsons ni selalu je ada ramalan atau teori konspirasi kerana barisan belakang takbir untuk animasi ini terdiri dari golongan cendekiawan. Jadi, mereka ni la yang selalu menjadikan setiap episod dalam The Simpsons sesuatu yang pecah otak.

Barisan penulis The Simpsons. Imej dari Academic Dictionaries and Encyclopedias.

Walau bagaimanapun, korang pun janganlah taksud sangat kerana sikit sahaja ramalan yang betul dalam The Simpsons ni dan ada banyak yang tak berlaku pun. Dalam peratusan kita boleh kira dalam 10% daripada 100%.

Contohnya, dalam musim 6 episod 19, jam Big Ben di London ditukarkan kepada jam digital pada tahun 2010. Tapi tengoklah sekarang masih pakai jam jarum.

Kalau nak tahu, pencipta animasi ini berkata mereka menggunakan teori ‘Rubber Band Reality‘. Ia bermaksud sebuah realiti yang digembar-gemburkan secara melampau daripada apa yang sebenarnya berlaku. Konklusinya, tak perlu taksub sangat dengan teori konspirasi ini, cukuplah anggap ia terjadi secara tak sengaja.

Boleh tengok video di bawah: