- 185Share sekarang!
- Email1
- Facebook184
- Share
Mesti korang pernah dengar nama Henry Gurney ni kan, sebab ada nama satu sekolah di Malaysia yang dinamakan sebagai Henry Gurney dan ia terkenal sebagai sekolah untuk budak yang telah melakukan kesalahan juvana (yang buat jenayah sebelum usia 18 tahun). Mungkin sebab tu je kot orang tahu nama Henry Gurney ni.
Tapi adakah korang tahu Henry Gurney ni merupakan salah seorang nama besar di Malaya satu ketika dulu? Dia merupakan orang yang menjadi nadi utama dalam memerangi komunis pada masa itu. Jadi, kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal Henry Gurney ni, teruskan membaca artikel ni.
Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu yang baharu
Sir Henry Gurney atau nama sebenarnya Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney dilahirkan pada 27 Jun 1898. Dia merupakan graduan daripada University College, Oxford yang merupakan College tertua di England. Nak dijadikan cerita, dia adalah orang kuat ‘penjajah British’ sebab banyak melibatkan diri dalam Pekhidmatan Tanah Jajahan di Kenya (1921) dan Jamaica (1935). Sir Henry Gurney juga memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Tanah Jajahan bagi Gold Coast antara tahun 1944 hingga 1946.
Settle bab tu semua, dia mula menjawat jawatan yang tinggi apabila dilantik menjadi Ketua Setiausaha British semasa berada di Palestin pada umur 50 tahun. Pada 6 Oktober 1948, Sir Henry Gurney telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu yang kedua menggantikan Sir Edward Gent yang terkorban dalam nahas udara. Pelantikan Sir Henry Gurney ni adalah disebabkan pengalaman pentadbiran di tanah-tanah jajahan British dan juga mendapat kepercayaan pihak kolonial yang dia dapat menangani masalah komunis ketika itu.
Selepas dia dilantik tu, ada yang suka dan ada juga yang tak suka. Macam biasalah, yang tak suka tu semuanya orang-orang dari Parti Komunis Malaya sebab dorang masa tu tentang gila-gila orang British ni. Lagi-lagi masa tu pendekatan Sir Henry Gurney sangat-sangat memberi kesusahan kepada pihak komunis.
Dalam erti kata lain, lagi ramai tak suka dia ni daripada suka sehingga ada yang merasakan kewujudan Sir Henry Gurney di Tanah Melayu bakal menggugat lagi kedudukan mereka. Mana taknya, walaupun British dah lama ada di Malaya, mereka merasakan yang mereka juga boleh dikalahkan sama seperti Jepun dan sekaligus memerdekakan Tanah Melayu daripada jajahan mereka.
Dasar dan cara membanteras komunis semasa Darurat Malaya
Di ketika Sir Henry Gurney memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi British, dia telah memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai langkah dalam melemahkan pergerakan komunis. Sekaligus, perkara itu dikatakan telah berjaya mengurangkan kekuatan komunis daripada 15 ribu orang kepada 5 ribu orang sahaja pada sekitar tahun 1951.
Antara langkah yang telah diambil untuk membanteras kegiatan dan pergerakan komunis adalah dengan mewujudkan sistem pendaftaran penduduk. Dalam erti kata lain, memberi Identification Card (IC) kepada penduduk Tanah Melayu supaya dapat membezakan komunis dan juga rakyat biasa.
Dia juga mengarahkan pihak British untuk mencapai kerjasama dengan negara Thailand bagi mengawal kawasan sempadan dan menjalankan langkah penahanan penduduk (yang mungkin bersekongkol dengan komunis) mengikut undang-undang. Parti politik orang Cina, Malayan Chinese Association (MCA) juga dibentuk bagi mengelakkan orang-orang Cina menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dan tak membantu komunis melaksanakan agenda mereka.
Sir Henry Gurney memperkenalkan tawaran penyerahan diri kepada komunis, dalam masa yang sama dia juga melancarkan Kempen Bulan Rakyat Melawan Penjahat sebagai salah satu langkah untuk mengajak penduduk Tanah Melayu bersama-sama membantu kerajaan dalam membanteras komunis. Penempatan semula penduduk-penduduk Cina ke suatu kawasan khas untuk mereka juga dilakukan, ini supaya British dapat memancing kepercayaan orang Cina terhadap kerajaan dan menghalang mereka dari berhubung dengan komunis.
Ada lagi yang dilakukan oleh Henry Gurney ni, dia mengambil langkah untuk membersihkan semak belukar di tepi jalan yang berkemungkinan besar dijadikan sebagai tempat utnuk serangan hendap (gerila). Dia juga mewujudkan hukuman kolektif (kepada kampung yang bersekongkol dengan komunis), meningkatkan kuasa ketenteraan (100 ribu anggota polis, 10 batalion tentera) dan melancarkan operasi ketenteraan (Operasi mencari dan membunuh komunis) serta memperkenalkan manpower regulations (menambah kekuatan pertahanan bagi menghadapi ancaman komunis).
Kronologi pembunuhan yang dirancang komunis di Bukit Fraser
Pada 6 Oktober 1951, Sir Henry Gurney telah dibunuh oleh pihak komunis di Kuala Kubu Bharu semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser bersama dengan isterinya. Kisah tragik itu terjadi selepas pengganas gerila komunis sudah bersedia di sekeliling jalan dan kawasan hutan yang bakal dilalui oleh sasaran mereka ketika itu.
Sir Henry Gurney yang pada masa itu sedang menaiki kereta Rolls Royce (kenderaan rasmi Pesuruhjaya Tinggi British) yang diiringi anggota polis pada kira-kira jam 1:30 petang ketika itu diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis yang dikatakan sudah tiga hari berada di situ. Bersama-samanya ketika menaiki kereta itu adalah Lady Isabel (isterinya) dan D.J Staples (Setiausaha Sulit) yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser pada jam 10:45 pagi.
Apabila konvoi Sir Henry Gurney tiba di selekoh di sebatang jalan yang menghubungkan Kuala Kubu Bharu dan Pahang yang dipanggil ‘The Gap‘, mereka telah diserang hendap dengan dihujani peluru yang ditembak menggunakan Bren Machine Gun (senjata ciptaan British). Dikatakan juga motif untuk membunuh Sir Henry Gurney adalah disebabkan pengumuman Rancangan Briggs (untuk memutuskan bekalan komunis) olehnya yang menyebabkan komunis menjadikan kepala Sir Henry Gurney sebagai sasaran utama.
Yang menariknya, serangan hendap itu hanya membunuh Sir Henry Gurney (sahaja) dan mereka yang bersama-sama dalam konvoi itu terselamat dan hanya cedera termasuklah isteri dan Setiausaha Sulit Henry Gurney walaupun kereta mereka dihentam dengan agak teruk. Dikatakan bahawa Sir Henry Gurney pada masa itu keluar daripada kereta Rolls Royce yang dinaiki ketika itu dan secara serta-merta dia menjadi sasaran mudah kepada pengganas komunis. Persoalannya kenapa dia keluar dari kereta tu kan.
Sebenarnya, ada banyak versi bagi kisah ni. Pengkaji sejarah tempatan, Abdul Rahim Noor Mohammad menyatakan terdapat sekurangnya tiga kemungkinan kenapa Sir Henry Gurney keluar daripada keretanya itu.
“Ada tiga versi mengenai kenapa Gurney keluar dari keretanya itu. Pertama kerana dia ingin keluar mencari perlindungan dan kedua memberi arahan kepada anggota polis pengiring membalas serangan. Ketiga kerana dia tahu keretanya tidak boleh bertahan hujan peluru pihak komunis dan kerana ingin menyelamatkan isterinya dia rela keluar kereta. Maknanya mungkin Gurney keluar menyerahkan nyawanya kepada komunis. Dia tahu jika dia tidak keluar, semua orang dalam kereta itu akan terkorban,” Pengkaji sejarah tempatan, Abdul Rahim Noor Mohammad, petikan dari Berita Harian
Jadi mana satu yang betul tu, hanya saksi yang berada di situ sahaja yang tahu. Tapi kalau betul dia keluar kereta tu sebab nak selamatkan isteri dia, dia juga berhasil menyelamatkan semua nyawa di situ dengan memberi nyawa dia. Kira boleh dikira sebagai hero juga la Sir Henry Gurney ni.
Walaupun Sir Henry Gurney ni orang yang menjajah negara kita, kita tetap kena ingat bahawa dia adalah orang yang giat melawan komunis semasa dia berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Keganasan komunis yang menggunakan naratif untuk melawan penjajah tu sebenarnya bagus, tapi kalau dah sampai mengambil nyawa orang tempatan, itu bukan perjuangan dan hanyalah keganasan.
- 185Share sekarang!
- Email1
- Facebook184
- Share