“Lopeh coghai semuo ghoto jadi milik dio”. Betul ke kahwin gadis N. Sembilan harta kena sapu?

Kalau borak je mengenai perkahwinan zaman sekarang, nampaknya semakin banyak pendapat dan nasihat yang dikongsikan dekat sosial media sebagai panduan kepada golongan muda yang bakal memasuki alam baru itu. Ada yang bagi pendapat macam mana nak jadi suri  rumah tangga yang baik dan tak kurang juga yang beri nasihat supaya wanita sekarang lebih melakukan persediaan dan tidak mengharapkan pasangan mereka sahaja.

Macam ni agaknya suri rumah yang berjaya. Imej dari giphy.

Sudah pastinya tidak ada yang salah atau betul kerana semua itu berdasarkan pendapat masing-masing. Namun, baru-baru ni jadi perbualan hangat pula di Twitter apabila wanita disarankan untuk mencari pasangan yang mampu melayani serta memanjakan mereka seperti yang dilakukan oleh bapa mereka. Tentu sekali pendapat tu mendatangkan reaksi ramai pihak yang merasakan adalah tidak rasional untuk permintaan itu dipenuhi lagi-lagi buat pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. 

Kehendak ini jelas sekali menambahkan beban persepsi terhadap wanita yang hanya mahukan lelaki yang stabil sahaja. Sudahlah wanita Negeri Sembilan seringkali dikaitkan dengan pemilikan harta, kalau semua wanita dinasihatkan untuk cari lelaki yang berkemampuan sahaja, agaknya jadi apa ya nanti. Bak kata W.A.R.I.S dalam lagunya Gadis Jolobu, ughang luar salah tafsir koba gadih kito bahayo, lopeh coghai  semuo ghoto jadi milik dio. Tapi betul ke?

Wanita Nogori di Pesta Persukuan Adat Perpatih 2014. Sumber dari Berita Harian

Kesalahan dalam penyampaian naratif, sehingga membuatkan masyarakat menerima gambaran tidak tepat

Walaupun akar asalnya dari Nusantara seperti Adat Temenggung, namun Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning serta Alor Gajah ni mempunyai asas yang berbeza. Adat ini disusun oleh Datuk Perpatih nan Sebatang dengan menggunakan garis keturunan unilateral matrilineal iaitu menarik susur galur dari nasab ibu. Maksudnya waris bagi keturunan diwarisi oleh nenek, kepada emak, kepada anak perempuan dan generasi wanita seterusnya dalam keluarga tersebut.

Melalui susur galur ini isu pewarisan harta menjadi salah faham ramai pihak. Memang benar sekiranya seorang lelaki menikahi wanita Negeri Sembilan, dia perlu masuk ke dalam suku isterinya dan menetap di rumah milik keluarga isteri. Tapi dari segi harta, tidaklah menjadi milik isteri sepenuhnya. Setiap harta dalam adat ini dibahagikan kepada harta pusaka, harta pembawaan, harta dapatan dan harga sepencarian.

Bukan, bukan cuba dengar dulu. Imej dari giphy.

Harta pusaka ini adalah harta yang berbentuk kolektif, maknanya ia adalah milik suku sepenuhnya. Walaupun harta itu diwariskan menerusi nasab sebelah ibu, namun harta tersebut bukanlah menjadi hak milik waris. Cukup hanya dibenarkan pakai dan guna sahaja harta tersebut. – Dipetik dari buku Pengantar Undang-Undang Adat Di Malaysia oleh Dr. Abdullah Sidik

Antara harta pusaka yang boleh digunakan ini termasuklah tanah-tanah kampung, sawah, dusun buah-buahan dan rumah pusaka yang diwariskan dari ibunya yang terletak di atas tanah pusaka. Harta ini dikenali sebagai harta pusaka benar. Wanita yang mewarisi harta ini masih lagi bertanggungjawab ke atas saudara lelakinya seperti membantu perbelanjaan penyelengaraan kematian dan membantu mengisi adat nikah kahwin. Jadi tiada istilah makan sendiri walaupun dengan adanya harta tersebut.

Suasana di rumah pusaka yang digambarkan semula. Sumber dari JKKN

Harta pusaka benar ni juga tidak dibenarkan untuk dijual kepada sesiapa melainkan kalau keadaan mendesak. Itu pun perlu dijual kepada ahli seperut dahulu sebelum dipelawa kepada ahli suku lain. Ahli seperut ni pula merujuk kepada individu dari keturunan yang sama. Nak jual pula bukan semudah itu, ia mestilah dibincang dulu di antara ketua-ketua adat yang ada.

Selain itu, wujud juga istilah harta pusaka sendiri. Pewarisan harta ini biasanya diturunkan oleh ibu bapa sendiri kepada anak-anak mereka tanpa mengira lelaki ataupun perempuan. Harta yang dibahagikan ini berbentuk pakaian atau barang-barang kemasan yang dijadikan milik mereka sepenuhnya.

Walaupun Adat Perpatih melebihkan wanita, lelaki masih boleh dapat harta jika berlaku kematian isteri

Macam yang dikatakan sebelum ini, pemilikan harta dalam Adat Perpatih mempunyai pembahagiannya. Selain harta pusaka terdapat beberapa istilah lain yang digunakan iaitu harta pembawa. Harta pembawa adalah harta milik si suami yang dimiliki oleh lelaki sebelum berkahwin. Sungguhpun harta itu dibawa ke rumah isteri setelah ikatan perkahwinan terjalin, namun sekiranya berlaku perceraian harta tersebut akan menjadi milik si suami semula. Jadi tak ada lah istilah, lopeh coghai semuo ghoto jadi milik dio!

Bagi harta yang dimiliki oleh si isteri sebelum berkahwin pula, harta ini dikenali sebagai harta dapatan. Jadi sekiranya berlaku kematian terhadap isterinya, maka harta itu akan terus berpindah kepada keturunan perempuan si mati itu. Tapi bagi harta yang diusahakan oleh pasangan bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan mereka, harta itu dikenali pula sebagai harta sepencarian. Sudah nama pun harta sepencarian, maka sekiranya berlaku perceraian, harta ini akan dibahagikan sama adil kepada kedua-dua pasangan tersebut.

Gambaran rumah dalam Adat Perpatih. Sumber dari Adat Perpatih Patuh Syariah di Malaysia

Oleh kerana Hukum Adat Negeri Sembilan ni sangatlah dititikberatkan, jadi pembahagian harta dalam adat ini turut dijelaskan dalam perbilangan mereka.

Pembawa kembali,

Dapatan tinggal,

Carian bahagi,

Mati laki tinggal ke bini,

Mati bini tinggal ke laki.

Tak payah nak risau kalau dijodohkan dengan gadih nogori

Jodoh ni semuakan kuasa Tuhan, jadi janganlah pula bila ditakdirkan dengan orang dari negeri tertentu mulalah panas punggung tak senang duduk. Harta ni dijadikan isu bila orang tak faham konteks sebenarnya. Pemilikan harta yang dilihat melebihkan wanita ini sebenarnya bertujuan untuk memelihara wanita sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti perceraian. Lelaki boleh merantau dan mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup, tapi bagi wanita pula rumah pusakalah yang menjadi tempatnya berteduh sekiranya diabaikan.

Menurut syarak juga, tanah adat yang dijadikan harta pusaka itu bersifat kolektif kerana ia adalah milik bersama suku tersebut. Jadi tak boleh la nak dianggap sebagai harta yang perlu dibahagikan mengikut sistem Faraidh. 

Jadi lepas ni kalau ada berlaku kekeliruan dalam budaya Melayu, adalah baik sekiranya dikaji dahulu sebelum memberi pendapat. Tak ada lah jadi mangsa pandangan serong pula apabila satu isu tu disebarkan…

Tak pasti jangan kongsi. Okay? Imej dari Giphy

 

[Artikel ini telah merujuk buku Kesusasteraan dan Undang-Undang (terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) & buku Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia (tulisan Dr. Abdullah Sidik)]