Atlet Malaysia ni gilir-gilir pakai baju yang sama sebelum pecah rekod Komanwel

Berita pasal pembubaran parlimen dan tarikh mengundi pada hari Rabu nampaknya dah pun menenggelamkan berita kejayaan atlet Malaysia di Sukan Komanwel Gold Coast 2018. Waktu artikel ni ditulis, Malaysia dah kutip 5 emas, 5 perak dan 13 gangsa. Mengikut sejarah, sukan Komanwel ni sebenarnya sangat rapat dengan rakyat Malaysia. Sebabnya negara kita pernah jadi tuan rumah tahun 1998 yang menjadikan Malaysia negara Asia pertama yang menganjurkan Komanwel.

Imej dari Lelong.

Edisi di Gold Coast ni pulak, Malaysia menghantar 178 orang atlet dengan acara balapan dan terjun menghantar atlet individu paling ramai, masing-masing 13 orang. Ini merupakan kontinjen terbesar Malaysia sepanjang menyertai temasya ni sejak edisi 1966 di Kingston. Pastinya, atlet yang akan jadi perhatian rakyat Malaysia adalah  Lee Chong Wei, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Azizulhasni Awang dan Nicol David. Tapi nampaknya, sebelum sempat nak tengok muka juara dunia ni sumbang emas, ada atlet Malaysia buat kejutan luar biasa dan dinamakan juga sebagai emas terkejut.

Dua emas pertama dari sukan angkat berat

“Saya hanya menyasarkan perak, tetapi akhirnya menang emas. Saya bersyukur.”- Muhd Aznil Bidin, petikan dari Berita Harian.

Dalam keadaan Aznil yang tak diletakkan sebagai harapan untuk emas, dia berjaya membuat kejutan dalam kategori 63 kg melalui acara keseluruhan iaitu jumlah angkatan acara snatch campur jumlah angkatan acara clean & jerk.

Acara snatch ni angkat besi terus atas kepala. Video dari Berita Nasional RTM.

Melalui acara snatch ni, dia berjaya buat angkatan seberat 126 kg. Dalam acara clean & jerk pulak, angkatan yang dilakukan adalah seberat 162 kg.

Clean & jerk. Angkat dan parking dulu besi tu kat bahu. Video dari Star TV.

Jumlah angkatan seberat 288 kg dah menyebabkan dia layak untuk menyarung pingat emas Komanwel. Walaupun, beza angkatan berat dengan naib juara hanya 3 kg. Lebih kurang dua kampit beras lah.

Pingat emas yang disumbangkan Aznil ni adalah pingat emas kedua negara selepas Azroy Hazal menjadi penyumbang pertama. Azroy dalam sukan angkat berat bagi ketegori 56 kg, berjaya mengangkat 117 kg acara snatch dan 144 kg acara clean & jerk yang menjadikan jumlah berat angkatan adalah 261 kg. Jumlah angkatan ni sudah cukup untuk menjadikan dia penyumbang pingat emas pertama negara serta pemegang rekod baru sukan Komanwel.

Azroy angkat pingat macam angkat sehelai tisu agaknya. Imej dari mStar.

Apa yang menjadi perhatian media apabila diperhatikan baju yang Azroy dan Aznil pakai sewaktu bertanding.

Aznil pakai baju Azroy lepas dia dah habis bertanding

Imej dari Mynewshub dan FMT.

Kedua-dua atlet ni bergilir-gilir pakai baju yang sama. Azroy yang dapat emas kategori 56kg pakai pada sesi pagi. Manakala, Aznil pulak pakai pada sesi petang untuk kategori 63kg yang jugak dapat pingat emas.

“Saya tengok baju tu ada dalam beg Azroy Hazal Wafie lepas dia menang, jadi saya pun ambil dan pakai. Kalau Azroy pakai boleh menang pingat emas masa pakai baju itu, apa salahnya kalau saya cuba nasib.”- Aznil, petikan dari The Malay Mail Online.

Biasa budak-budak couple ni je suka pakai baju sama. Imej NY Daily News.

Kalau kita lah kan, nak kongsi straw pun nak kena jentik-jentik dulu straw kawan tu sebelum minum. Diorang berdua ni siap boleh berkongsi baju yang berpeluh-peluh lagi. Apa yang menarik, baju yang diorang kongsi ni adalah baju pengurus mereka sendiri iaitu Amirul Hamizan.

“Dah lama atlet minta dengan saya baju yang saya pakai masa di Manchester itu tapi saya simpan. Berbeza dengan kali ini, saya bagi Azroy pinjam dan saya sendiri pun tidak tahu yang Aznil pun akan pakai baju itu.”- Amirul Hamizan, petikan dari The Malay Mail Online.

Kiranya, atlet berebut nak pakai baju ni sebab ada satu nilai nostalgia pada baju ni. Kalau diikutkan, Amirul cakap yang dia pernah pakai baju ni masa kat Manchester dan ada cerita inspirasi yang berlaku hingga dia digelar sebagai ‘orang besi Malaysia’.

Baju yang menjadi saksi kejayaan Amirul menyapu tiga pingat emas di Manchester

Baju ni lah yang direbutkan tu. Imej dari Getty Image.

Gelaran ‘Orang Besi Negara’ dah diberikan sebab Amirul buat kejutan apabila menang tiga pingat emas bagi kategori 56 kg dalam acara snatch, clean & jerk dan keseluruhan. Bukan setakat tu je, dia juga memegang dua rekod Komanwel bagi acara snatch dengan angkatan 145 kg serta clean & jerk dengan angkatan 115 kg. Di Komanwel Manchester 2002 ni juga, dia menjadi penyebab lagu Negaraku dimainkan pertama kali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Manchester.

Sebagai manusia, hidup ni ada turun naik bagaikan roda kalau zaman dulu, zaman sekarang bagaikan tayar. Dia akhirnya dah terpalit dengan satu isu yang agak menyusahkan pada tahun 2005.

“Saya sudah bersama angkat berat selama 10 tahun. Sukan ini sudah jadi macam darah daging saya sendiri. Takkanlah saya sengaja nak sia-siakan penat lelah dan pengorbanan saya selama ini (dengan mengambil dadah).”- Amirul Hamizan, petikan dari Utusan.

Roda macam ni yang semua orang nak. Sumber dari Giphy.

Dua ujian air kencing dah dilakukan terhadap dia oleh Institut Sukan Negara. Apa yang menyedihkan, keputusan ujian menunjukkan yang dia positif dadah. Mengikut Agensi Anti Doping Dunia (WADA), atlet yang positif dadah secara automatik akan digantung dua tahun. Majlis Sukan Negara (MSN) juga dah mengambil langkah menghentikan segala elaun latihan dan kemudahan kepada dia termasuk menyertai latihan skuad kebangsaan.

Selepas habis penggantungan, Amirul taklah menghilang atau pun bersara. Dia bertanding dalam macam-macam persaingan hingga layak ke Olimpik Beijing 2008 serta menduduki tempat ke-8 pada pusingan akhir. Ini hanyalah permulaan kebangkitan semula Amirul.

Pada Komanwel 2010 di New Delhi, atlet Malaysia mencipta sejarah pencapaian terbaik sepanjang temasya itu dengan membawa pulang 12 pingat emas. Waktu itu, dia turut membawa satu pingat emas acara keseluruhan (snatch+clean & jerk) dengan angkatan 257 kg. Sekaligus, memecah rekod kejohanan. Pencapaian cemerlang dia dalam sukan angkat berat ni dah menjadikannya penerima tiga kali anugerah Olahragawan Negeri Pahang.

Amirul angkat piala macam angkat sehelai kertas A4 je lah kot. Imej dari Kosmo.

Sumbang pingat emas masa jadi atlet, lahirkan juara dunia waktu jadi pengurus

Mengikut sejarah hidup Amirul, peristiwa positif dadah dan dua tahun digantung bertanding hampir menyebabkan dia hilang arah dan ingin berhenti menjadi atlet. Tapi, sokongan ahli keluarga dan kawan-kawan untuk bersihkan nama memang berbaloi buat dia bila mampu sumbang pingat emas lagi untuk negara. Selepas bersara dari menjadi atlet, dia masih menyumbang sesuatu untuk negara dengan menjadi Pengurus Skuad Angkat Berat Negara.

Kehebatannya menjadi pengurus memang terbukti apabila kedua-duanya jadi juara, Azroy dan Aznil dah bagi kredit kepada Amirul atas kejayaan masing-masing. Macam Aznil, dia mengakui yang dia tak boleh jadi juara kalau nak ikut ranking. Tapi, strategi yang diterapkan Amirul dah bantu dia dapatkan pingat emas.

“Saya sangat gembira dan tidak menjangka keputusan ini. Terima kasih kepada jurulatih dan pengurus.”- Aznil, petikan dari Stadium Astro.

Imej dari Berita Harian.

Berbeza dengan Azroy yang memang dari awal lagi dijangka akan sumbang emas. Tapi, waktu bertanding dia ada sikit kecederaan. Nasihat dari Amirul dah banyak membantunya untuk capai apa yang patut dalam temasya kali ni.

“Saya ada cakap kepadanya (pengurus, Amirul Hamizan Ibrahim) untuk memecahkan rekod clean and jerk tetapi saya memikirkan lutut saya ada cedera. Dia cakap, tak apa, dalam Sukan Komanwel kali ini, pecahkan dua rekod dahulu.”- Azroy, petikan dari Stadium Astro.

Akhirnya, dia berjaya memecahkan dua rekod (snatch & keseluruhan) serta menyumbang satu emas. Begitulah jasa Amirul kepada Azroy dan Aznil yang menjadi juara Komanwel. Baju yang mereka pakai tu kiranya penting jugak untuk bagi aura. Benda macam ni ada juga dilakukan oleh atlet antarabangsa macam…

Atlet tenis dunia pakai baju dan stokin yang sama sepanjang kejohanan untuk jadi juara

Dalam sukan tenis, kejuaraan Wimbledon semestinya acara paling berprestij yang menjadi perhatian dunia. Kadang-kadang tu yang pernah pegang raket tenis pun sanggup tengok. Acara tahunan yang berlangsung tiap tahun dari 1877 hingga 2017 ni dah ada banyak juara. Nama-nama yang biasa kita dengar termasuklah Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic. Tapi, ada satu legenda yang ramai tak boleh kalahkan macam kat bawah ni.

Nasib baik dia bersara awal. Imej dari The Guardian.

Bjorn Borg dah berjaya menyapu semua kejuaraan setiap edisi sebanyak lima kali berturut-turut dari tahun 1976 sampailah 1980. Selain latihan, nampaknya dia ada satu kepercayaan pelik untuk menjadi juara bertahan. Setiap kali kejuaraan Wimbledon, dia akan menyimpan janggut. Apa yang menarik, dia akan pakai baju berjenama Fila yang sama sepanjang kejohanan. Inilah salah satu cara dia mengekalkan kejuaraan berturut-turutnya.

Baju ni dah jadi baju ikonik tenis. Imej dari Time.

Kita beralih pulak ke atlet wanita. Siapa tak kenal dengan Serena Williams. Seorang wanita yang mempunyai pukulan tenis yang mengggerunkan serta terbukti tahan lasak sebab pernah beraksi walaupun tengah hamil lebih kurang 2 bulan. Dalam bab pakaian ni jugak dia percaya dengan aura-aura tuah ni sebab dia akan pakai sepasang stokin yang sama sepanjang sesuatu kejohanan tu berlangsung.

Imej dari The Guardian.

Memilih untuk pakai pakaian yang ada aura juara ni sebenarnya antara benda yang dilakukan atlet dunia. Macam tu jugaklah yang dilakukan atlet kita melalui Azroy dan Aznil.

Sumber motivasi akan memisahkan dua atlet yang sama hebat

Apa yang pasti, susuk tubuh Amirul Hamizan itu sendirilah yang dah memberi inspirasi kepada Azroy dan Aznil. Dia juga dah jadi idola kepada mereka berdua dan kita pun tahu yang Amirul memang layak dijadikan contoh dengan susah payah yang dihadapinya sebelum ni.

Mengikut ilmu psikologi, seseorang tu memang memerlukan sumber motivasi untuk terus melakukan sesuatu sehabis baik. Kalau seseorang tu ada dalam satu persaingan yang disertai oleh orang-orang yang sama hebat dengannya, hanya motivasi yang akan memisahkan mereka. Siapa yang ada motivasi lebih, dia akan jadi juara. Itulah yang berlaku pada Aznil apabila menjadi juara dengan perbezaan angkatan seberat 3 kg. Jadi, carilah sumber motivasi korang sekarang!

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT