11 Rancangan realiti TV yang pernah menjadi kegilaan kita

Hari ini kami akan bawakan korang 8 11 rancangan realiti televisyen yang pernah membuatkan emosi kita tak stabil semasa bersiaran. Korang mesti ingatkan babak-babak nangis semasa sesi penyingkiran, aksi ujibakat yang buat kita semua ketawa dan paling penting debaran yang memuncak apabila juara dah nak diumumkan. Dah mula rasa rindu? Hari ini kami akan bawakan korang 8 rancangan realiti TV yang akan buat korang tambah rindu!

Antara rancangan realiti TV yang pernah muncul. Foto dari Blog Shahrul Izwan

Kalau korang perasan, kebanyakan rancangan realiti TV ni biasanya ditayangkan pada waktu malam. Mereka tahulah waktu-waktu malam ni, biasanya keluarga akan berkumpul dan menonton beramai-ramai. Alaa, takkan korang tak ingat, time rancangan ni tengah bersiaran, korang siap gaduh lagi semasa ahli keluarga siapa yang akan tersingkir.

Hahhh. Mesti dah ingatkan? Apabila ada adegan lawak, habis satu rumah riuh dibuatnya. Contohnya, adegan dalam video di bawah ni.

(Editor update: Daripada komen-komen kat FB, SOSCILI tambah tiga lagi rancangan iaitu Famili Ceria, Who Wants to Be a Millionaire, dan Roda Impian. Komen-komen lain termasuklah Jutaria, One in a Million, Explorace, Sehati Berdansa, Perdana Ria dan macam-macam lagilah. Terbuktilah korang ni mengembala TV je kerjanya.)

1. Rancangan mencari bakat Sinaran Pasport Kegemilangan

Kami yakin mesti ada dalam kalangan korang yang tertanya-tanya, Sinaran Passport Kegemilangan ni apa benda erk? Kalau korang google pun, tak banyak yang korang boleh jumpa. Rancangan realiti ni diwujudkan untuk mencungkil bakat-bakat seni yang ada pada rakyat Malaysia. Kali pertama disiarkan pada tahun 1994, dan disiarkan sebanyak sepuluh musim sehingga tahun 2002. Hahh, sebab itulah korang tak tahu, admin pun masa tu masih nak belajar berjalan.

Korang jangan terkejut jika ada muka-muka yang fimiliar dan masih bertahan dalam industri seni sehingga hari ini. Contohnya Shamsul Ghau Ghau dan Mazlan dari kumpulan Senario. Pada edisi pertama rancangan ini disiarkan, Shamsul Ghau Ghau telah menjadi juara, dan Mazlan (Lan pet pet) telah merangkul naib juara. Korang kena tahu, kumpulan lawak Senario yang jadi kumpulan lawak legend negara kita, tertubuh daripada bekas-bekas peserta rancangan ini.

Eh, Saiful Apek mana? Ahli kumpulan Senario yang pertama. Foto dari Wikiwand

Rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan ini agak unik, mereka tak tetap pada satu-satu konsep persembahan, mereka akan tukar-tukar konsep. Sebagai contoh, masa musim pertama mereka lebih tumpukan persembahan komedi, tapi pada musim ketiga dan empat lebih kepada nyanyian. Kami rasa macam tu lagi baik, tak adalah dari musim 1 sehingga musim 27 asyik dengar orang nyanyi atau melawak jer. Pada tahun 2007, rancangan ni hampir muncul semula, tapi tak diteruskan.

Harap peminat Sinaran Pasport Kegemilangan tak bersedih. Foto dari Tenor

2. Gang Starz rancangan nyanyian vokal berkumpulan

Geng Starz adalah program realiti TV untuk mencari kumpulan vokal terbaik di Asia Tenggara. Walaupun kami rasa program ni boleh tahan gempak, ia cuma bertahan selama 2 musim. Pada musim pertama (2007) program ini ditayangkan ia melibat kumpulan-kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Pada musim kedua, mereka tambah Filipina dan Thailand.

Pemenang rancangan ini akan menerima kontrak rakaman dan wang sebanyak 100 ribu US dollar! Terus kaya beb!

Dengan suara pun kau boleh jadi kaya! Foto dari Giphy

Rancangan yang dihoskan oleh Faizal Tahir dan Anne ini menelan belanja sehingga RM7 juta, cuba korang bayang, 7 juta weh. Bukan 700 ratus ribu. Untuk pengetahuan korang, keputusan penyingkiran sesebuah kumpulan berdasarkan 50% datang daripada SMS peminat dan 50% lagi datang dari juri. Okaylah, sekurang-kurang yang menang tu tak adalah menang sebab SMS semata-mata. Korang pernah cuba undi SMS? Korang undi sebab bakat atau lawa?

Kami masih ingat betapa epiknya apabila kumpulan Mendua yang menjadi naib juara pada musim pertama jemput hos (Faizal Tahir) untuk berduet pada pentas final. Tak pernah dibuat orangkan? Pada musim pertama, rancangan ini telah dimenangi oleh The Lima (Indonesia) manakala musim kedua One Nation Emcees merangkul juara.

Kedua-dua kumpulan ini menerbitkan single mereka selepas menjadi juara. Tapi ramai peminat yang tertanya-tanya ke manakah kumpulan ini telah menghilang?

One Nation Emcees, juara Gangstarz musim kedua. Ke mana mereka menghilang? Foto dari Kosmo

3. Rancangan mencari bakat bola sepak (MyTeam)

Kalau ada pembaca sos cili yang minat bola sampai tahap time tengah mandi pun teringat pasal bola, kami yakin korang mesti ingat rancangan ni. Kalau korang ingat rancangan MyTeam yang disiarkan oleh TV3 ni, korang mesti tak boleh lupa coach mereka, iaitu Shebby Singh. Siapa tak kenal dengan lagenda negara Shebby Singh yang selalu memberikan komen-komen pedas tentang bola sepak negara.

Bagi mereka yang tak berapa minat dengan bola sepak, bolehlah berhenti garu kepala sebab tak tahu apa benda Myteam ni. Pasukan bola sepak Myteam ini adalah idea Khairy Jamaluddin dan seorang DJ yang bernama Jason Lo. Mereka nak kumpul pemain bola sepak dari seluruh negara.

Ada tiga syarat utama yang seseorang pemain tu kena penuhi sebelum nak masuk Myteam. Pertama, tak jadikan bola sepak sebagai kerjaya utama, kedua 17 tahun ke atas, dan kena lari 100 meter dalam masa 12 saat. Korang boleh lari 100 meter dalam masa 12 saat?

Mereka kumpul bakat-bakat baru melalui sesi ujibakat di seluruh negara. Kemudian para finalis akan dikumpulkan dan hampir setiap minggu akan ada pemain yang disingkirkan sehinggalah tinggal 23 orang pemain. Kalau korang nak tahu, Myteam berhasrat nak kalahkan pasukan bola sepak Malaysia.

Pada musim pertama, Myteam lawan pasukan Malaysia bawah 20 tahun, mereka kalah 2-1. Kemudian pada musim kedua, mereka lawan pasukan bola sepak Indonesia pula, kalah 2-0.

Pasukan MyTeam siap bina pasukan bola sepak professional lepas rancangan realiti ni. Malangnya, mereka menarik diri dari liga Malaysia pada tahun 2008. Foto dari Wikipedia

4. Malaysian Idol

Wuu, comel sungguh Jaclyn Victor masa muda-muda dulu. Kini..gemilang itu semakinku genggam! Ni yang buat kami rasa nak nyanyi ni. Video di atas merupakan sesi ujibakat Jaclyn Victor untuk rancangan Malaysian Idol, dan beliau menjadi juara untuk musim pertama. Rancangan ni sebijik macam rancangan American Idol, tapi we got our own Idol bebeh. Malaysian Idol. Rancangan realiti TV ini disiarkan selama 2 musim.

Bila korang ada kawan yang nyanyi tak sedap nak pergi ujibakat nyanyian, tapi korang tak nak lemahkan confident dia. Foto dari Pinterest

Pengambilan dan penyingkiran peserta daripada pusingan ujibakat dan saringan akan ditentukan oleh tiga orang juri professional. Ketiga-tiga juri tersebut adalah Paul Moss, Roslan Aziz dan Fauziah Latiff. Kemudian, apabila tiba ke minggu persembahan (peserta finalis), keputusan penyingkiran terletak di tangan penonton.

Para pemenang akan menerima kontrak dari syarikat rakaman. So, para peserta yang dah jadi juara, dah sah-sah akan jadi artis. Cuma antara artis laku dan tak laku je.

It’s really killing the judges softly! HAHA

Mesti ramai tertanya-tanya, kalau Jacyln Victor adalah pemenang pertama, siapa pula pemenang musim kedua? Mawi ke? Pemenang musim kedua adalah Daniel Lee Chee Hun. Malangnya, beliau sudah agak tenggelam dalam industri seni tanah akhir. Beliau mengakui kesilapan “demand” telah membunuh kariernya.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Dulu ketika popular saya seperti lupa diri dan demand.”- Petikan Akhbar Harian Metro.

5. Jangan Lupa Lirik

Bagi generasi baru, mesti korang merangkak-rangkak nak ingat rancangan realiti tv kat ataskan? Okay tak apa, kami bawakan korang satu rancangan realiti TV yang baru. Jangan Lupa Lirik, mesti korang ingatkan? Kalau korang tak ingat juga, maksudnya korang muda betul ni. Tengah nak SPM ya dik?

Kalau rancangan Malaysian Idol adalah adaptasi daripada rancangan American Idol, Jangan Lupa Lirik pula adalah adaptasi daripada rancangan Don’t Forget The Lyrics. Yalah, we need our own “Malaysia” show kan, jadi kita importlah pelbagai rancangan realiti dari negara lain. Peserta dalam rancangan ini akan diminta mengisi tempat kosong dengan lirik lagu yang mereka nyanyikan.

Jangan lupa lirik yaa kak. Foto dari WN

Rancangan yang bersiaran selama tiga musim ini menawarkan hadiah terbesar sebanyak RM1 Juta, tapi sepanjang program ini bersiaran, belum ada yang berjaya mendapatkan wang sebanyak itu. Pada Musim pertama, rekod terbanyak yang dikutip peserta adalah RM25 000 dan untuk musim kedua dan ketiga sebanyak RM100 000.

Makin banyak perkataan yang korang teka betul, makin banyaklah hadiah korang dapat. Foto dari Wikipedia

Peserta akan bermula dengan tahap yang paling mudah, kena teka satu atau dua perkataan dalam lirik. Kemudian semakin tinggi tahap yang peserta lalui, makin banyaklah lirik yang mereka kena teka. Jika ada peserta yang memang dah blurr tentang lirik mereka, rancangan ini akan beri mereka talian nyawa.

  • Pelampung – Peserta akan bawa 2 orang (musim pertama). Pada musim kedua dan ketiga seorang sahaja. Seorang lagi akan diberikan.
  • 2 Tapak – Peserta akan diberi pilihan untuk membuka dua tapak untuk melihat jawapan yang betul.
  • Pilihan Jawapan – Macam time kita exam, ada jawapan objektif. Pilih 1 daripada 3 pilihan jawapan.

Cuba korang tengok video Zizan Razak masa dia muda-muda dulu ni.

6. Akademi Fantasia

Mesti ada dalam kalangan korang yang tertanya-tanyakan, kenapa kami senaraikan Akademi Fantasia? Sedangkan rancangan realiti ini masih ada sehingga hari ini. Korang bawa bertenang, kami akan beri kenangan Akademi Fantasi (AF) sampai season 9 je. Takkan korang dah lupa, dulu-dulu ada orang kata AF9 tu yang last, tup-tup ada yang kesepuluh!

Lagu team AF ni memang legend, kalau dengar rasa nak nyanyi je. AF juga beruntung kerana pernah memiliki pengacara seperti Aznil Hj Nawawi. Kalau dia dah mula main emosi penonton, memang pasti ada yang menangis. Siap ada bagasi lagi taw! Betul-betul kena usir pulang tu time penyingkiran.

Rancangan AF ni kita adaptasi dari rancangan La Academia dari Mexico. Korang perlu tahu, Malaysia merupakan negara pertama yang ada rancangan macam ni di Asia Tenggara. Lepas rating program ni tinggi, barulah negara-negara lain di rantau ni buat show macam ni. “Malaysiakan contoh teladan.”

Mawi merupakan antara pelajar AF yang paling banyak mendapat undian SMS. Foto dari Youtube

Rancangan yang mula disiarkan pada Jun 2003 ini bermula dengan sesi ujibakat, konsert prelude dan seterusnya para finalis yang akan menjadi pelajar AF diumumkan. Setiap minggu mereka akan melakukan persembahan, dan penyingkiran akan berlaku. Para finalis ini akan dipanggil pelajar dan akan tinggal bersama. Alaaa, macam budak-budak sekolah duduk hostel, bezanya hostel pelajar AF ni gempak.

Seorang lagi pelajar akan meninggalkan kita pada malam ini. Jeng je jeng.. Foto dari Youtube

Antara kontrovesi yang selalu timbul ketika program ini bersiaran adalah sistem undian yang hanya akan memberi kelebihan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai ramai peminat. Adakalanya, pelajar-pelajar yang berbakat tersingkir.

Tapi Akademi Fantasia telah membuktikan mereka berjaya mengeluarkan alumni yang power-power. Antaranya Mawi, Stacy, Hafiz, Akim, Hazama dan Aizat. Nama-nama ini sering menempah nama dalam acara yang berprestij tinggi, contohnya Anugerah Juara Lagu.

Terima kasih atas anugerah ini, saya bekas pelajar AF taw. Foto dari Giphy

7. Rancangan Raja Lawak

Cuba korang bayangkan kalau rancangan raja lawak ni tak ada. Korang rasa dapat tak korang senaraikan 5 pelawak baru yang ada dalam insdustri seni? Kami tak rasa korang dapat senaraikan. Rancangan Raja Lawak nilah yang cungkil bakat artis seperti Zizan, Johan, Sepahtu, Tauke dan banyak lagi pelawak.

Logo pertandingan Raja Lawak Astro. Fot dari Blog akudansesuatuz

Rancangan ini mula disiarkan pada awal tahun 2007 dan bertahan selama 7 musim. Pada musim pertama rancangan ini dihoskan oleh Sharifah Shahirah, dan pada musim kedua hingga ketujuh dihoskan oleh Zizan dan Johan (Jozan). Sepanjang raja lawak disiarkan, pelbagai kombinasi juri dan otai telah diperkenalkan.

Rancangan ini disiarkan dengan harapan dapat menggilap bakat pelawak-pelawak baru. Ye lahkan, negara kita ni kekurangan pelawak yang berkualiti. Kalau buat lawak, asyik-asyik kutuk saiz badan, fizikal orang atau menjerit-jerit.

Seperti rancangan-rancangan realiti TV yang lain, Raja Lawak pun guna sistem undian SMS. Peserta yang mendapat undian terendah, akan disingkirkan. Kami lihat kebanyakan pelawak dari Raja Lawak 1-3 yang paling mendapat tempat dalam kalangan peminat di Malaysia. Cuba korang senaraikan juara raja lawak 4 hingga 7, korang ingat tak? So, korang setuju tak dengan kami?

Lawaknya.. stop. stop! Foto dari Smosh

8. Misi mencari jodoh didalam program Mencari Cinta

Kalau korang ni memang jenis forever alone, kami ada rancangan yang memang sesuai untuk orang-orang macam anda. Nama program tu Mencari Cinta, secara konsepnya akan ada 10 orang lelaki nak pikat sorang perempuan. Keluarga perempuan tu akan jadi juri untuk lelaki yang ingin mendapatkan cinta perempuan, mereka akan judge personaliti dan karakter. Errr, korang nak tak?

Rancangan yang dinanti-nanti oleh kelompok forever alone. Foto dari Gfycat

Sama seperti rancangan-rancangan realiti TV yang lain, Rancangan Mencari Cinta akan menyingkirkan para peserta yang memiliki markah yang paling rendah setiap minggu. Satu per satu jejaka akan disingkirkan sehinggalah tinggal seorang. Mereka harap daripada program ini lelaki yang menang akan berkahwin dengan gadis yang direbut, korang rasa taktik ni menjadi tak?

Juara Program Mencari Cinta, Danial Iskandar. Yang guna baju ungu tulah gadis yang direbut oleh sembilan jejaka, namanya Elly Zakaria. Foto dari Utusan

Kalau korang fikir mereka berdua ni happy ending ke pelamin, korang silap! Mereka mengakui tidak saling tak mencintai, sekadar teman gituuu. Tak lebih, tak kurang. Kata Elly Zakaria gadis yang direbut 9 jejaka itu;

“Saya sendiri sebenarnya berasa tertekan bila ramai yang bertanya tentang perkahwinan kami sedangkan hubungan saya dengan Danial yang dipupuk dari program itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Saya percaya, ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan.” Petikan Akhbar Utusan

Kalau korang dah siap-siapkan diri nak sertai program ni, batalkan niat korang. Program ini hanya disiarkan selama satu musim. Akibat menimbulkan kontrovesi, program ini terpaksa dihentikan. Jadi bagi yang forever alone tu, mari kita nyanyi lagu kat bawah ni sama-sama.

9. Famili Ceria

Kalau kami kata Chef Wan pernah hoskan rancangan realiti TV, korang rasa rancangan tu pasal apa? Mesti korang fikir beliau hoskan rancangan masak-masak macam Master Chefkan? Jika itu jawapan korang, korang dah silap. Chef Wan pernah menghoskan satu rancangan realiti TV yang bertajuk Famili Ceria yang bersiaran di NTV7. Kalau korang nak tahu, cuba tengok video dekat bawa ni.

https://www.youtube.com/watch?v=NiVk9fIrpbw&t=385s

Format rancangan ni mudah, akan ada dua kumpulan yang dipanggil famili, terdiri daripada 4 orang akan berentap untuk menjawab soalan. Seperti yang korang tengok dekat video di atas, setiap kali jawapan diberikan oleh satu-satu kumpulan, hos akan kata “apa kata kita survey”.

Jawapan yang betul akan dipaparkan pada skrin besar. Hadiah dia pun bukan alang-alang, pemenang musim pertama adalah keluarga Kelvin. Mereka membawa pulang wang tunai RM17,000 dan alatan elektrik bernilai lebih dari RM60,000.

Korang perlu tahu juga, semasa Chef Wan jadi pengacara rancangan ni, beliau dikritik hebat kerana dikatakan tak sesuai jadi hos rancangan ni. Tapi seperti biasa, Chef Wan tenang dalam menerima kritikan, dan mengambil ia sebagai kritikan positif. Antara episode yang tak boleh dilupakan adalah episod raya famili ceria yang mengundang ramai artis.

Chef Wan, seorang artis Malaysia yang berbakat. Bukan setakat pandai masak taw, hoskan rancangan tv pun boleh! Jadi juri Maharaja Lawak pun boleh! Foto dari MalaysianDigest

10. Who Want to Be a Millionare Malaysia

Macam kami katakan awal-awal tadi, kita banyak adaptasi rancangan realiti TV dari luar negara. Rancangan Who Want to be A Millonare ni kita adaptasi daripada United Kingdom. Kalau korang dah biasa menonton TV ketika rancangan ni bersiaran sekitar tahun 2000-2003, mesti akan ingat rancangan ni. Rancangan ini dihoskan oleh Jalaluddin Hassan untuk versi Melayu dan Victor Gu untuk versi Cina.

Kalau korang menang rancangan ni, mandi duitlah korang. Foto dari Giphy

Peraturan rancangan ini agak mudah difahami. Permainan ini bermula dengan pusingan paling pantas dan tangkas (Fastest Finger First). Pada pusingan ini, peserta akan diminta untuk menyusun 4 jawapan yang diberikan mengikut susunan yang betul. Bagi peserta yang dapat menjawab soalan dengan pantas dan betul, merekalah yang akan layak ke “gelanggang jutawan”. Gelanggang jutawan ni, peserta akan one on one dengan hos, untuk jawab soalan.

15 soalan untuk meraih 1 juta. Setiap soalan mempunyai nilai tersendiri, semakin menghampiri 1 juta, soalan semakin susah. Untuk Malaysia, kita menggunakan Ringgit Malaysia (RM). Foto dari econpage

Hadiah ni tak bersifat kumulatif, sebagai contoh, soalan dua bernilai RM 200 bukan RM 300 (RM100+RM200). Apabila peserta menjawab soalan dengan betul, mereka akan diberikan pilihan untuk berhenti dan menerima wang tunai yang mereka menangi atau meneruskan dengan risiko kehilangan wang.

Tahap selamat dalam rancangan ini adalah pada soalan 10 dan soalan 5. Maksudnya, apabila soalan 5 dan 10 telah dijawab maka hadiah soalan itu telah berada dalam genggaman walaupun tersalah jawapan pada peringkat seterusnya.

Stephenson berkata, beliau tidak sanggup berjudi nasib kerana akan kehilangan RM468,000 sekiranya jawapannya salah. Walaupun kecewa namun saya gembira kerana telah memenangi wang tunai RM500,000. Saya mengambil masa berfikir selama lebih lima belas minit sebelum mengambil keputusan menarik diri. Petikan Akhbar Utasan Malaysia

Seperti kebanyakan game show yang lain, rancangan ini ada 4 talian hayat. Mereka boleh minta dwipilihan jawapan (satu jawapan betul dan satu lagi salah), bertanya kepada penonton, menelefon rakan atau menukar soalan. Kalau korang tak idea nak jawab, talian hayat yang mana korang nak guna?

11. Roda Impian

Roda Impian merupakan antara game show yang paling popular di Malaysia, kalau orang sebut “saya putarrrr Halim”, pasti kita semua akan teringat dengan game show yang pernah menemani kita satu ketika dahulu. Rancangan ini diadaptasi daripada rancangan Wheel of Fortune yang popular di seluruh dunia. Terdapat tiga pengacara yang pernah mengendalikan rancangan ini iaitu Halim Othman (1996-2002), allahyarham Hani Mohsin (2002-2006) dan Kieran (2009).

Hahh. Korang dapat jawab tak? Foto dari Wn.com

Pada tahun 2000, dilaporkan seramai 23,000 orang ingin menyertai rancangan ini. Rancangan ini akan mengumpulkan tiga orang peserta yang akan cuba meneka perkataan pada paparan di hadapan. Sebelum meneka, hos akan memutarkan “roda impian”, jika mereka menjawab dengan betul, mereka akan memenangi hadiah berdasarkan nilai yang diperoleh dari roda impian.

Mesti korang ingatkan, dalam roda impian tu, ada “muflis”. Peserta yang muflis akan kehilangan semua markah yang terkumpul. Bagi peserta yang menerima markah tertinggi, mereka layak ke pusingan bonus untuk mendapatkan hadiah yang lebih lumayan.

Kita perlukan rancangan realiti TV yang lebih bermanfaat

Kalau korang perasan, kebanyakan rancangan realiti TV yang ada dekat negara kita ni asyik-asyik berbentuk nyanyian. Kalau satu, dua rancangan TV tak apa, ini dah banyak sangat. Kami pun tak pasti dah berapa ramai penyanyi yang dihasilkan daripada rancangan realiti TV ni. Korang tak rasakah kita patut mengadakan rancangan realiti TV yang boleh membantu selesaikan masalah-masalah negara yang ada?

Pertandingan nyanyi je banyak. Foto dari Giphy

Cubalah kita ada rancangan macam The Apprentice Asia tu, tapi fokus untuk menyelesaikan masalah negara seperti kemiskinan dan pengangguran. Kami rasa program macam tu pun power, rakyat Malaysiakan banyak yang ada idea-idea bernas. Idea-idea ni bolehlah dikumpulkan dan dilaksanakan nanti.

Dulu-dulu ada juga rancangan macam The Contender Asia, bolehlah kita lihat aksi seni dan budaya mempertahankan diri Muay Thai. Kami terfikir mesti seronok kalau kita ada rancangan macam ni, tapi versi silat. Bolehlah orang di luar Malaysia belajar budaya-budaya kita, lagipun ada je ahli silat di luar alam Melayu. Bolehlah mereka join sekali.

Rancangan The Silat, Siapa bakal menjadi juara? Hantarkan SMS anda. Eh, kalau silat, mesti gaduhkan, takkan nak SMS. Foto dari Silatopencircle

Kami nak tanya korang, kalau korang diberi peluang untuk cipa satu rancangan realtiti TV, rancangan apa korang nak buat? Jangan lupa beritahu kami, manalah tahu idea korang tiba-tiba jadi realiti.

About Rahman Imuda 10 Articles
Chill. Tapi jangan terlalu.