- 1.4KShare sekarang!
- Email82
- Facebook1.3K
- Share
Pelacuran seringkali dikaitkan sebagai profesion paling tua di dunia. Antara pelacuran terawal yang pernah wujud dalam tamadun manusia ini adalah ‘pelacuran suci’. Ia dilakukan atas nama agama seperti yang wujud dalam tamadun Sumeria.
Walaupun masyarakat menganggap pelacuran sebagai satu pekerjaan yang merendahkan nilai manusia, malah pelacur diletakkan sebagai hamba, namun ada juga beberapa negara yang menjadikan pelacuran ini sebagai satu pekerjaan yang sah di sisi undang-undang negara masing-masing. Antaranya ialah Bangladesh.
Ye! Bangladesh adalah salah satu dari 15 negara yang benarkan aktiviti pelacuran di negara masing-masing. Oleh itu, kali ni SOSCILI akan mendedahkan kisah disebalik rumah pelacuran tertua di Bangladesh.
Dianggarkan 29 ribu gadis bawah umur dieksploitasi jadi pelacur di Bangladesh
Tidak seperti kebanyakan negara majoriti Muslim yang melarang pelacuran dan seks secara terbuka, Bangladesh merupakan negara Muslim yang meletakkan pelacuran sebagai satu pekerjaan yang sah di sisi undang-undang sejak tahun 2000. Pelacuran oleh wanita dibenarkan di Bangladesh tetapi tidak pelacuran oleh lelaki walaupun ada beberapa NGO yang kata pelacuran lelaki adalah sesuatu yang biasa di bandar-bandar besar negara itu. Walau bagaimanapun, pekerjaan ini dipandang rendah oleh majoriti masyarakat Bangladesh sendiri.
Walaupun umur minimum yang dibenarkan untuk pekerja seks di Bangladesh ialah 18 tahun, tapi ramai gadis bawah umur yang dijadikan pekerja seks dengan memberikan umur palsu kepada pihak berkuasa. Malah pihak berkuasa juga seolah-olah tak ambil kisah pun tentang umur gadis-gadis tersebut. UN Children Fund (UNICEF) tempatan menganggarkan pada 2004 terdapat 10 ribu pekerja seks bawah umur yang dieksploitasi di Bangladesh (malah ada juga menganggarkan yang ia boleh jadi setinggi 29 ribu).
Di Bangladesh, ada 2 jenis pelacuran:
- Pelacuran apung (floating prostitution) – di mana pekerja seks/pelacur ini berhubung dengan pelanggan dan menetapkan tempat yang sesuai untuk bertemu. Diorang lebih bebas untuk bekerja.
- Pelacuran berasaskan rumah pelacuran dan hotel. – Mempunyai hierarki atau struktur sosial tersendiri.
Kandapara, rumah pelacuran tertua di Bangladesh.
Kandapara yang terletak di daerah Tangail, Bangladesh merupakan rumah pelacuran kedua terbesar di negara itu selepas rumah pelacuran Daulatdia. Kandapara merupakan antara 14 buah rumah pelacuran (brothel-villages) yang didaftarkan sah di Bangladesh. Di Kandapara, ada lebih daripada 100 buah bangunan dengan 800 buah bilik kecil. Di situlah ditempatkan kira-kira 900 orang pekerja seks diorang. Rumah pelacuran ini dibina pada zaman penjajahan British di Bangladesh dan ia dah berusia lebih 200 tahun!
Dalam kawasan Kandapara ni, boleh dilihat suasana yang berbeza apabila wanita-wanitanya merokok, menari dan bercakap dengan nada suara yang kuat. Kadang-kadang ada yang bergaduh sebab lelaki. Kalau kat luar, situasi macam ni dah dianggap sebagai kelakuan yang tak senonoh.
Kat Kandapara juga, wanita-wanita tak menutup kepala diorang dengan selendang melainkan kalau diorang keluar dari rumah pelacuran tersebut untuk membeli-belah. Bila waktu lapang, diorang akan bergurau senda sesama sendiri dan dengan pelanggan-pelanggan diorang. Menurut Sandra Hoyn, photojournalist yang tulis cerita di Kandapara ni, pekerja-pekerja seks kat sini selalu ketawa dan bergurau senda untuk lupakan kesedihan diorang. Ada juga pelanggan-pelanggan kat sini yang bercinta dengan wanita-wanita di Kandapara ni.
Di Bangladesh, lelaki tak dibenarkan berpegangan tangan dengan teman wanita masing-masing di tempat awam dan tak boleh lakukan hubungan seks sebelum kahwin. Jadi, diorang pergi ke Kandapara dan rumah-rumah pelacuran lain yang bebas daripada semua peraturan tersebut. Menurut Hoyn lagi, ramai juga lelaki yang singgah di Kandapara untuk minum teh dengan wanita-wanita yang duduk kat sana. Ramai juga pelanggan yang ambil alkohol bila kat Kandapara walaupun ia dilarang oleh Islam.
Struktur sosial berbeza dengan struktur sosial masyarakat luar.
Di Kandapara, undang-undang dan peraturan di kawasan itu adalah berbeza dengan undang-undang di luar. Wanita kat rumah-rumah pelacuran ini boleh berada dalam keadaan paling bawah dan juga paling atas berdasarkan hierarki. Itu adalah undang-undang yang diamalkan sejak dulu lagi. Undang-undang ni terpakai di rumah-rumah pelacuran yang lain juga di sekitar Bangladesh.
Para pekerja seks di rumah-rumah pelacuran termasuk Kandapara ni berbeza sikit dengan pekerja seks di hotel ataupun secara individu. Di rumah-rumah pelacuran di Bangladesh, ada 4 jenis pekerja seks yang dapat dikesan:
- Tuan tanah (bariwali)
- Penyewa (bharatia)
- Madam (sardarni)
- Bonded girl (chukri)
Tuan tanah merupakan seorang wanita yang memiliki premis-premis rumah pelacuran tersebut. Manakala pekerja-pekerja seks bebas (independent) bekerja dan tinggal di premis tersebut sebagai penyewa. Sardarni pula ialah majikan atau pengurus untuk rumah-rumah pelacuran tersebut. Sardarni ada kuasa ‘memiliki’ chukri yang masih muda dan mentah untuk kerja dengan diorang. Sardarni akan sediakan makan dan tempat tinggal. Tapi, hasil dan upah yang chukri dapat daripada pelanggan semuanya perlu diberi kepada sardarni. Kebiasaannya, chukri ni akan bekerja untuk sardarni sehingga 4-5 tahun.
Hierarki atau struktur sosial kat rumah pelacuran sebegini wujud apabila ada beberapa pekerja seks yang mampu untuk mempengaruhi pihak-pihak berkuasa dan menggunakan kuasa diorang untuk naik ke hierarki lebih tinggi.
Kenapa chukri kena duduk bawah sardarni bertahun-tahun?
Chukri atau bonded girl adalah status paling bawah sekali. Diorang ni terdiri daripada gadis-gadis berusia sekitar 12-14 tahun. Diorang datang dari keluarga miskin dan selalunya jadi mangsa pemerdagangan manusia. Chukri ini dimiliki oleh sardarni.
Chukri harus bekerja untuk sardarni kerana diorang dikatakan ada hutang dengan sardarni. Chukri tak dibenarkan memegang wang hasil kerja diorang dan dilarang keluar dari kawasan pelacuran tersebut.
Bila diorang dah habis bayar semua hutang, chukri ni boleh bebas daripada sardarni dan boleh juga keluar dari rumah pelacuran tersebut untuk mulakan hidup sendiri. Tapi, diorang ni akan dipandang hina oleh masyarakat luar. Akhirnya, ada sebahagian yang ambil keputusan untuk teruskan hidup dan bekerja di rumah pelacuran tersebut untuk tanggung keluarga.
Kebanyakan chukri tinggal kat Kandapara lebih daripada lima tahun kerana diorang tak tahu sama ada hutang diorang ni dah langsai ke belum dan diorang pun tak tahu hak-hak diorang memandangkan diorang ni kebanyakannya buta huruf.
Kadang-kadang, ada juga yang ditinggalkan oleh sardarni atas alasan dah tua dan tak bernilai lagi. Diorang bebas untuk keluar dari Kandapara, tapi seperti yang diberitahu tadi, sebabkan perasaan takut dan disisihkan oleh masyarakat, diorang terus tinggal saja kat Kandapara.
Kanak-kanak seawal 10 tahun dah jadi pekerja seks.
Tapi, ada juga yang dah jadi pekerja seks seawal umur 10 tahun lagi. Contohnya, Hashi (17 tahun) diseludup ke Kandapara sejak umur dia 10 tahun. Hashi beritahu yang pertama kali dia terima pelanggan, masa tu dia tak tahu apa yang sedang berlaku. Apa yang dia tahu, pelanggan tu rogol dia berkali-kali sampai dia berdarah banyak dan menangis. Masa tu dia tak tahu pun apa itu seks.
Lepas daripada tu, Hashi terus-menerus layan pelanggan-pelanggan dia. Dia tak dapat agak berapa orang tapi kata Hashi, dia harus layan kira-kira 20-25 orang pelanggan dalam sehari. Hashi beritahu lagi, bila dia bangun pagi je, mesti ada empat lima orang pelanggan dah tunggu dia depan pintu.
Walaupun ada sebahagian gadis ini yang lahir dalam keluarga yang miskin dan mangsa permedagangan manusia, ramai juga gadis yang memang dilahirkan kat Kandapara. Contohnya, Shefali (11 tahun), lahir di Kandapara kerana mak dia juga seorang pekerja seks kat situ. Pada umur semuda itu, Shefali juga dah terjebak menjadi pekerja seks juga dan kena layan 20-25 orang pelanggan dalam sehari.
Seperti chukri yang lain, Shefali tak tahu berapa upah yang dia dapat sehari sebab semua duit tu diambil oleh sardarni. Sebagai pertukaran, Shefali akan diberi makan tiga kali sehari dan kadang-kadang diberi hadiah.
Contoh lain adalah Asma (14 tahun) yang juga lahir kat. Dia terpaksa berhenti sekolah sebab kena hina dengan budak-budak sekolah yang lain hanya kerana mak dia jadi pekerja seks. Akhirnya, dia sendiri pun terlibat sebagai pekerja seks waktu dia 14 tahun. Sebelum ni, kerja Asma adalah menari depan para pelanggan.
Sebenarnya ibu-ibu yang ada anak lahir kat rumah pelacuran ni seboleh-bolehnya akan jauhkan anak-anak diorang untuk terlibat juga jadi pekerja seks. Tapi kadang-kadang bila ibu diorang dah tua dan tak mampu cari pelanggan yang banyak untuk tanggung kehidupan, anak-anak ni terpaksa ambil alih kerja ibu diorang. Selain tu, disebabkan kemiskinan, penghinaan dan stigma daripada orang sekitar menyebabkan diorang teruskan je pekerjaan yang diorang dah tahu, iaitu jadi pekerja seks.
Diorang telan pil yang digunakan untuk binatang ternakan.
Di Kandapara dan rumah-rumah pelacuran Bangladesh yang lain, adalah sesuatu kemestian untuk pekerja-pekerja seks kat situ untuk ambil sejenis pil steroid yang dinamakan Oradexon. Oradexon ni diambil untuk tambah selera makan diorang, sekali gus akan menjadikan badan diorang berisi. Oradexon ni sebenarnya digunakan untuk rawat keradangan dan alergik. Oradexon juga digunakan secara meluas oleh penternak-penternak di Bangladesh untuk diberikan kepada haiwan ternakan seperti lembu untuk tambah isi daging
Persaingan kat rumah pelacuran adalah sengit. Pelanggan-pelanggan di sini lebih berminat dengan wanita yang nampak sihat dan berisi. Kalau diorang kurus, diorang tak dapat pelanggan. Seperti mana salah seorang pekerja seks beritahu yang dia kena ambil Oradexon sebab dia perlukan pelanggan setiap hari untuk bayar bil dan hutang. Kalau dalam sehari tu dia tak dapat cari pelanggan, maknanya esok harinya dia tak ada duit nak makan.
Walaupun diorang tahu Oradexon tu berisiko tinggi kalau diambil terus-menerus dalam jangka masa panjang, diorang dah tak ada pilihan lain. Sebab secara puratanya, wanita-wanita kat sini hanya boleh dapat sekitar 1000 taka (RM 55.76) untuk setiap hari.
Oradexon sangat mudah didapati kat Kandapara. Ia dijual tanpa mendapatkan apa-apa preskripsi daripada pakar dengan harga 15 taka (RM 0.85 sen) untuk satu jalur daripada sepapan pil. Ia dijual di warung-warung teh dan kedai jual rokok di Kandapara. Menurut laporan, 90 peratus pekerja seks kat Kandapara dan 14 buah rumah pelacuran sah yang ada di Bangladesh ambil Oradexon ni.
Memandangkan 18 tahun adalah umur yang sah untuk menjadi pekerja seks di Bangladesh, kebanyakan diorang dah ambil Oradexon ni sejak muda lagi, sekitar 12-14 tahun (chukri). Selain untuk naikkan berat badan, Oradexon ni jugak boleh buat diorang nampak lebih berusia daripada umur sebenar. Apabila raut wajah nampak berusia, sardarni yang bertanggungjawab menguruskan chukri-chukri bawah umur ni akan terselamat daripada buruan polis.
Kesan pengambilan Oradexon
Menurut Lutfun Nahar daripada Action Aid Bangladesh, apabila dah mula ambil Oradexon, berat badan wanita-wanita tersebut memang akan naik mendadak. Tapi, diorang boleh juga dapat penyakit lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah kulit dan pening kepala. Ia juga boleh membuatkan seseorang jadi ketagih.
Dr. Bashirul Islam yang merupakan ketua kesihatan di Faridpur (salah satu rumah pelacuran di Bangladesh), beritahu yang Oradexon ni boleh sebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. Seterusnya menyebabkan kematian.
Pada tahun 2010, Action Aid Bangladesh ada jalankan kempen kesedaran tentang bahaya dadah ni kat pekerja-pekerja seks, tapi diorang memang dapat tentangan hebat daripada rumah-rumah pelacuran tu sendiri. Malah, pihak-pihak berkuasa pun bersekongkol dalam hal ni.
Pelanggan terdiri daripada pelbagai latar belakang
Para pelanggan yang datang kat Kandapara terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pekerjaan. Diorang ni ada daripada polis, ahli politik, pekerja kilang, budak-budak remaja dan petani. Sebahagian daripada diorang ni datang ke Kandapara semata-mata untuk seks. Tapi ada juga yang datang untuk mencari cinta dan teman berbual.
Ramai wanita kat Kandapara ni ada ‘teman lelaki’ masing-masing atau dalam erti kata yang lain lelaki-lelaki tu merupakan pelanggan tetap diorang. Menurut Sandra Hoyn (photojournalist yang buat cerita tentang Kandapara), ada sorang yang sanggup tolak lamaran sorang pelanggan tetapnya sebab takut lelaki tu tak benarkan dia simpan duit sendiri. Jadi, dia teruskan kerja dia sebagai pekerja seks di situ.
Pernah dirobohkan pada 2014
Pada 12 Julai 2014 lalu, rumah pelacuran Kandapara dah dirobohkan atas arahan pihak berkuasa. Hampir seribu orang pekerja seks kat Kandapara tu hanya diberi notis sehari sebelum kawasan tempat tinggal diorang tu kena roboh. Sebelum ni, penduduk kat sana pernah diugut untuk dibakar saja rumah pelacuran tu oleh ketua Asamajik Karjakalap Pratirodh Committee (AKPC), sebuah jawatankuasa tempatan di Bangladesh jika diorang semua tak keluar dari situ dalam masa sehari.
Awal Julai 2014 sebelum ni juga, geng-geng AKPC ni dah buat perarakan kat jalan-jalan di Tangail mendesak supaya rumah pelacuran Kandapara tu dirobohkan. Imam masjid Tangail sendiri yang mengetuai perarakan tu. Diorang pun ada hantar memorandum kat Ketua Daerah Tangail, Shahidur Rahman Khan Mukti berkenaan dengan desakan tu.
Menurut beberapa sumber, beberapa hari waktu nak dekat Raya Aidilfitri, diorang nampak ada beberapa orang lelaki edar risalah kat penduduk tempatan untuk cari sokongan supaya pekerja-pekerja seks kat Kandapara tu diusir.
Akhi Begum, Presiden Nari Mukti Sanga (sebuah persatuan aktivis wanita di Bangladesh) memberitahu yang rumah pelacuran tu nak dirobohkan atas kepentingan peribadi, bukanlah disebabkan mana-mana gerakan. Apa yang membimbangkan Akhi, perobohan Kandapara ni akan bagi impak negatif kat masyarakat dan nilai-nilai keluarga sebab pekerja-pekerja seks ni akan bergerak ke seluruh pekan.
Tapi, menurut ketua AKPC pula, diorang tak ugut pun pekerja-pekerja seks ni. Penduduk-penduduk situ yang dengan sukarela nak keluar dari rumah pelacuran tu.
Beberapa pakar perundangan dan aktivis menyatakan yang pengusiran secara paksa di Kandapara adalah cubaan secara terang lagi bersuluh yang pihak berkuasa kat situ nak ambil tanah diorang dengan alasan pelacuran kat negara tu adalah tabu dalam kalangan masyarakat. Sebelum ni pun, rumah pelacuran Kandapara ni dah ada dua kali cubaan untuk dirobohkan iaitu pada 2006 dan 2010. Cuma, pada 2014 ni, cubaan diorang nampak berjaya.
Salah sorang pekerja seks kat situ beritahu yang pada hari menyedihkan tu berlaku pada bulan Ramadan yang panas. Bekalan elektrik kat kawasan tu semua diputuskan dan diorang diberi masa dua jam je untuk keluar dari kawasan Kandapara tu. Waktu tu, memang ada berlaku kekecohan sebab pekerja-pekerja seks masa tu kelam-kabut selamatkan keluarga dan barang-barang berharga masing-masing sebelum kena halau.
Kira-kira 927 pekerja seks yang dah berdaftar dan beberapa orang pekerja seks bermusim kat situ berserta keluarga diorang terpaksa keluar dari Kandapara. Parvin Shanti Akhter (37 tahun) beritahu, lepas dia dihalau dari Kandapara, dia dan keluarga hidup macam anjing. Nak makan pun tak mampu. Kadang-kadang nak cari sorang pelanggan dalam seminggu pun susah.
Dia kata lagi, ada empat orang pekerja seks dah kena bunuh lepas diorang berjumpa pelanggan yang telefon diorang. Jadi, Parvin sangat takut setiap kali dia berjumpa dengan pelanggan. Orang-orang luar Kandapara pernah ugut untuk bakar diorang hidup-hidup kalau berani-berani tunjuk muka kat kawasan pekan.
Kembali semula ke Kandapara…
Pada 5 September 2014, hampir 300 orang pekerja seks kembali ke Kandapara untuk tuntut balik tempat tinggal diorang, tapi apa yang menyedihkan tempat tinggal diorang dah habis musnah. Walaupun pekerja-pekerja seks ni pergi jumpa dengan pihak berkuasa berkenaan, tapi tak ada apa-apa tindakan diambil. Malah, pihak polis menahan 50 orang daripada diorang tu dan dihantar ke rumah perlindungan NGO.
Pada 24 Disember 2014 pula, AKPC yang pernah ugut para pekerja seks di Kandapara untuk keluar dari kawasan tu, buat hartal sepanjang hari supaya pihak daerah Tangail hentikan pembinaan semula rumah pelacuran Kandapara. Selepas kena halau beberapa bulan lepas, pekerja-pekerja seks ni mula kembali dan bina balik rumah diorang setelah dapat sokongan pihak mahkamah pada 9 Disember 2014.
Perarakan yang dilakukan oleh geng-geng AKPC ni bermula kat tengah-tengah masjid Tangail tapi polis sempat halang diorang kat pagar utama masjid. Disebabkan kena halang dengan pihak polis, ketua-ketua AKPC ni buat mesyuarat pula kat pagar utama masjid tu. Diorang sepakat nak buat hartal pada hari Rabu berikutnya dari jam 6 pagi sampai 6 petang.
Tapi presiden Nari Mukti Sangha yang mewakili rumah pelacuran Kandapara, Aklima Begum Akhi beritahu yang diorang tak takut pun dengan apa-apa ugutan.
Rumah-rumah para pekerja seks di Kandapara akhirnya dibina dengan bantuan beberapa NGO tempatan kat situ. Penyokong-penyokong rumah pelacuran tu percaya yang memberi perkhidmatan seks tu juga adalah satu pekerjaan. Malah, sebahagian pekerja seks di situ juga berdemonstrasi untuk menuntut hak diorang sebagai pekerja di Bangladesh.
Pada akhir 2014, Bangladesh National Women Lawyers Association berjaya meyakinkan Mahkamah Tinggi bahawa mengusir pekerja-pekerja seks dari Kandapara adalah satu perkara yang salah di sisi undang-undang.
Kini, Kandapara dipisahkan dengan dunia luar oleh dinding setinggi dua meter. Di dalamnya terdapat banyak lorong dan laluan kecil. Kat situ ada bermacam-macam kedai teh dan kedai-kedai keperluan yang lain untuk para penduduk.
HIV dan pekerja seks Bangladesh
Apabila bercerita tentang pekerja seks, memang tak boleh lari untuk kaitkan diorang dengan HIV. Di Bangladesh, penyebaran HIV adalah rendah iaitu kurang daripada 0.1 peratus dalam kalangan rakyat berumur 15-49 tahun (tahun 1990-2012). Laporan daripada Action Aid pula menyatakan bilangan pekerja seks di negara itu berjumlah di antara 60 ribu dan 100 ribu orang.
Walaupun penyebaran HIV di Bangladesh adalah rendah, tetapi negara itu merupakan salah sebuah daripada empat buah negara di Asia dan Pasifik di mana penyebaran HIV meningkat lebih daripada 25 peratus sejak 10 tahun lalu sampailah tahun 2012.
Dengan kemunculan HIV di Bangladesh, secara tak langsung sebenarnya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kewujudan pekerja-pekerja seks ni di Bangladesh. Walaupun penyebaran HIV ni rendah kat sana, perhatian lebih tetap diberikan terutama kepada golongan yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pekerja-pekerja seks. Antaranya mendidik diorang tentang perkhidmatan seks yang berisiko dan mempromosikan penggunaan kondom.
Pada 1997, beberapa NGO termasuk CARE Bangladesh, dah mula melatih beberapa orang pekerja seks sebagai peer educators untuk pencegahan HIV. CARE Bangladesh ni juga menganjurkan beberapa bengkel dan bawa sekali pekerja-pekerja seks dari pelbagai negara lain untuk belajar tentang isu-isu hak asasi manusia.
Atas sebab termotivasi dengan usaha-usaha NGO ni, pekerja-pekerja seks Bangladesh tubuhkan Durjoy Nari Shongo. Durjoy Nari Shongo ni adalah satu paltform kepada pekerja-pekerja seks, pelanggan dan sesiapa yang terlibat dalam perniagaan seks ni untuk dapatkan kaunseling atau networking.
Di Kandapara pula, memandangkan rumah pelacuran tu dulu pernah dirobohkan, secara tak langsung ia dah menyukarkan NGO-NGO yang terlibat memberi kondom kepada pekerja-pekerja seks kat situ. Apa yang membuatkan pihak NGO ni risau adalah para pekerja seks ni sangat berisiko tinggi untuk menyebarkan kuman HIV kat masyarakat luar. Jadi bila pekerja-pekerja seks ni dah duduk berserakan kat luar, memang sangat mustahil nak kenal pasti diorang balik.
Diorang pun ada hati dan perasaan jugak
Menurut Sandra Hoyn (photojournalist), kebanyakan pekerja seks ni memang banyak simpan cerita sedih sepanjang hidup kat sana. Tapi sekurang-kurangnya diorang tunjukkan pada orang lain yang diorang ni kuat. Hoyn sangat kagum dengan pekerja-pekerja seks ni yang boleh teruskan hidup dan tak menyerah kalah dengan hidup.
Walaupun ada yang jadi mangsa pemerdagangan manusia atau ditipu sehingga terpaksa bekerja kat Kandapara ni, diorang tetap menikmati kehidupan dengan cara yang tersendiri. Diorang masih ada impian dan cita-cita sama macam orang lain. Kebanyakan wanita kat situ memang simpan hasrat untuk kumpul wang yang cukup kat Kandapara ni dan bina rumah sendiri kat luar bila dah tua. Diorang dah tak mahu bergantung pada lelaki lagi. Diorang nak cari duit jugak untuk besarkan dan bagi pendidikan yang cukup kat anak-anak diorang.
Pendek kata, diorang nak anak-anak diorang nanti jalani hidup yang jauh lebih baik daripada diorang. Jika korang nak tengok lebih banyak gambar yang diambil oleh Sandra Hoyn, bolehlah ke page beliau kat link ni. Amaran: gambar-gambar yang diletakkan mungkin agak mengganggu bagi sesetengah orang.
Boleh juga baca temuramah Sandra Hoyn kat sini tentang pengalaman dia kat Kandapara.
- 1.4KShare sekarang!
- Email82
- Facebook1.3K
- Share