Boleh ke Jabatan Agama pecah masuk rumah hanya ikut khabar angin?

Beberapa minggu yang lepas, beberapa ahli jabatan agama dilaporkan telah membuat serbuan di mana dorang telah menyerbu masuk ke dalam sebuah bilik hotel bajet. Pasangan dalam bilik tu menjelaskan bahawa dorang merupakan suami isteri yang sah tapi tak diendahkan oleh pegawai jabatan agama tersebut.

Apa yang lebih teruk apabila si isteri yang waktu tu tengah pakai pakaian dalam rumah dipaksa bersiap di hadapan pegawai tersebut.

“Walaupun si suami beberapa kali memaklumkan kepada pegawai serbuan yang mereka suami isteri sah dan menunjukkan gambar sijil nikah melalui telefon bimbit, pegawai terbabit enggan menerima penjelasan diberikan.

“Sebaliknya, pegawai lelaki mengarahkan si isteri memakai pakaian lengkap di depan suaminya dan pegawai lelaki. Seorang daripada pegawai lelaki masih terus menangkap gambar dan merakam video pasangan itu walaupun dimaklumkan status sah perkahwinan mereka,” – Yusfarizal Yusoff, peguam kepada pasangan yang tersebut, dipetik oleh Free Malaysia Today.

Pasangan ini bertindak menyaman jabatan agama tersebut dengan tuduhan penangkapan dan penahanan secara salah dan pencerobohan diri serta privasi.

Boleh tekan sini untuk baca pasal kes saman khalwat. Gambar dari Free Malaysia Today.

Persoalannya kat sini, apa had kuasa sesebuah Jabatan Agama kat negara ni? Memang boleh pecah masuk bilik terus je ke tanpa periksa? Kalau dorang main ceroboh tanpa bukti kukuh, adakah dorang akan dihukum?

Tapi sebelum kita pergi lebih mendalam, kita kena kenal dulu sedikit sebanyak tentang badan-badang agama yang berbeza kat Malaysia. Kita ada JAKIM, JAWI, JAIS, MAIS, dan apa lagi entah, apa beza badan-badan ni semua?

Apa beza JAWI, JAIS, JAIP dengan badan-badan agama yang lain?

Badan-badan agama kita boleh dipecahkan kepada:

  1. Mahkamah Syariah
  2. Jabatan Agama Islam Negeri (JAWI, JAIS, JAIP, dsb)
  3. Majlis Agama Islam Negeri (MAIWP, MAIS, MAIP dsb)
  4. JAKIM
  5. Jabatan Mufti

Untuk artikel ni, kita akan fokus pada badan yang bertanggungjawab buat operasi, iaitu Jabatan Agama Islam (JAWI, JAIS, JAIP, dsb).

Pejabat JAIS di Seksyen 9, Shah Alam. Gambar dari Mellie Official.

Kita mulakan dengan Majlis Agama Islam Negeri sebab mereka berkait rapat dengan Jabatan Agama. Secara amnya, tanggungjawab utama Majlis Agama Negeri adalah untuk mentadbir dan menggariskan panduan kesalahan jenayah Syariah, pengurusan dakwah, pengurusan baitul mal (tabung Islam), pungutan dan pembahagian zakat, dan macam-macam lagi. Senang cerita Majlis Agama ni macam kerja ofis jela.

Jabatan Agama Islam Negeri pulak bertanggungjawab untuk perlaksanaan undang-undang; memastikan segala garis panduan atau arahan daripada Majlis Agama Negeri masing-masing dilaksanakan. Senang cerita, Jabatan Agama ni buat kerja-kerja turun padang seperti serbuan, program dakwah, kursus kahwin, dan lain-lain lagi.

Gambar dari giphy.com

Setiap negeri di Malaysia ada jabatan agama mereka sendiri dan setiap negeri ada garis panduan yang berbeza. Secara dasarnya, undang-undang Syariah adalah sama tapi apa yang membezakan adalah detail kecil. Malah fatwa pun berbeza-beza ikut negeri.

Macam kami cerita kat atas, pasangan yang kena serbu tadi nak saman Jabatan Agama. Dan sebenarnya dalam tempoh terdekat bukan dorang je yang pernah kena, tapi ada beberapa lagi kes-kes yang turut viral kat social media, termasuklah…

Ada ‘pasangan’ yang kena serbu waktu dorang takde kat rumah pun!

Haa skodeng apa tu dik? Gambar dari azmieyusoff.blogspot.my

Tahun lepas, pegawai JAIS telah memecah masuk ke rumah Faye Kushairi kerana mengesyaki kononnya dia berkhalwat dengan suami orang, sampai pecah jeriji pintu. Tapi bila masuk rumah, cuma ada mak bapak dan adik mangsa. Nak tambah awkward, Faye Kushairi takde pun kat rumah sebab baru lepas gaduh dengan adik!

Dalam kejadian lain, sekumpulan perempuan diserbu oleh JAIS kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki (yang sebenarnya adalah pemandu dorang waktu nak pindah rumah). Apa yang agak creepy adalah bila dorang dapat tau yang JAIS dah lama mengintip:

“Saya bertanya berapa lama kamu telah memantau kami dan pengawai JAIS tersebut berkata sudah lama tetapi apabila saya bertanyakan semula ketika di balai polis, mereka hanya kata lima minit sahaja sebelum membuat tangkapan”

Tapi mungkin antara kes yang paling teruk adalah bila seorang anggota polis yang mati bila jatuh bangunan sebab nak lari daripada JAIS. Dalam hal ni dorang memang didapati berkhalwat, tapi yang sedihnya sampai membawa maut. Dan selain daripada kes ini memang ada kes serbuan lain yang melibatkan kematian dan kecederaan.

Gambar sekadar hiasan. Dari piztool.wordpress.com

Bila dah berapa kali keluar berita pasal kes penyalahgunaan kuasa ni, kami tertanya-tanya jugak, apa prosedurnya untuk buat sebuan? Memang boleh mengintip dan pecah masuk rumah siapa-siapa je ke?

Sebenarnya memang ada garis panduan mengikut Enakmen Syariah negeri

Untuk mendapatkan pengesahan, kami interview seorang pensyarah dari fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli.

Dr Hazmi kata bidang kuasa pegawai Jabatan Agama ni boleh dirujuk kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mengikut negeri masing-masing. (Google enakmen negeri masing-masing untuk ketahui hak korang)

Buku enakmen tatacara jenayah syariah untuk negeri Selangor. Gambar dari drshafie.blogspot.com

Contohnya kat Selangor, sebarang penangkapan boleh dibuat tanpa waran kalau ada aduan yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai. Tapi turut dinyatakan yang penangkapan tanpa waran mestilah tak melanggar undang-undang bertulis yang lain.

Kami tak jumpa sebarang pengertian khas yang menerangkan apa yang dimaksudkan dengan ‘aduan yang munasabah’. atau ‘maklumat yang boleh dipercayai’. Tanpa definisi yang jelas, memang susah Jabatan Agama sendiri nak terangkan kenapa mereka bertindak, seperti apa yang berlaku kepada Faye Kusyairi tadi.

Untuk mengambil gambar atau rakaman pula, kami tak jumpa apa-apa mengenainya dalam enakmen negeri Selangor, tapi Dr Hazmi ada kata yang memang kebiasaanya ahli Jabatan Agama untuk ambil gambar sebagai bukti.

Tapi macam mana pula untuk kes pecah masuk dalam rumah? Berdasarkan enakmen negeri Selangor, seksyen 13, Jabatan Agama mempunyai hak pecah masuk ke sesebuah kawasan untuk membuat penangkapan. Tapi tak dinyatakan pulak samada ia kena pakai waran ataupun tak, apa yang jelas adalah Jabatan Agama boleh masuk walaupun penghuni melarangnya.

Mati la nak kalau JAIS serbu macam ni, terkejut orang yang tengah buat maksiat. Gambar dari Giphy.com

Kalau untuk pengintipan,  Dr Maza kata ia sebenarnya bertentangan dengan agama:

“Mereka ini telah menyebabkan mungkar yang lebih besar iaitu kematian kerana ingin mencegah kemungkaran kecil iaitu ‘khalwat’ dan menggunakan kaedah pencegahan yang dilarang oleh agama iaitu mengintip.” – Dr Maza, komen beliau tentang kes kematian seorang anggota polis akibat diserbu jabatan agama.

Jadi sepatutnya pengintipan perlu dielakkan, hanya bertindak mengikut aduan atau bukti yang sahih je. Kenyataan Dr Maza ni disokong oleh seorang ahli peguam/aktivis, Art Harun, terutama sekali bila time JAIS mengeluarkan app ‘intip dan lapor’. Katanya, tindakan ni boleh menyebabkan orang lagi suka untuk mengintip dan berkemungkinan bercanggah dengan Perlembangan dan agama Islam.

“Jabatan agama sepatutnya menumpukan kepada perkara lebih penting dan memanfaatkan masyarakat Islam seperti pendidikan. Aplikasi itu hanya beri alasan kepada orang untuk mengintai” – Art Harun, Free Malaysia Today

Tapi sekurang-kurangnya dengan Enakmen Tatacara Syariah ni, ada jugaklah garis panduan yang perlu diikut. Mungkin kadang-kadang tu kesilapan memang terjadi. Jadi bila kesilapan ini berlaku sehingga mengaibkan orang yang tak bersalah, apa yang boleh dibuat?

Tindakan terhadap pegawai Jabatan Agama yang menyalahguna kuasa

Gambar dari Utusan.

Kalau kes rasuah tu tentulah jatuh kepada bidang kuasa SPRM, tapi kalau yang serbu masuk tanpa sebab yang sah macam mana pulak? Dorang ada mahkamah sendiri ke macam askar?

Dr Hazmi kata kalau kes-kes seperti mengintip orang, ia taklah jatuh sebagai kesalahan jenayah tapi lebih kepada kesalahan tort iaitu salah laku pencerobohan. Kesalahan ni terbahagi kepada tiga – serangan, hentaman, penahanan salah. Serangan ni pula tak semestinya membawa kepada kecederaan fizikal seseorang tapi kesan membawa kepada kecederaan emosi.

Bila nak lari dari jabatan agama tapi tersilap langkah. Gambar dari giphy.com

Dr Hazmi berkata kalau pegawai Jabatan Agama tu buat kesalahan dia boleh dibawa masuk ke mahkamah sivil:

“Pihak yang rasa privasi mereka dilanggar oleh Jabatan Agama perlu menyaman mereka di mahkamah sivil kerana kesalahan mengintai atau serbuan tanpa kebenaran adalah kesalahan sivil/tort dan bukannya kesalahan jenayah yang ditadbir di bawah Kanun Keseksaan” – Dr Hazmi, interview dengan SOSCILI

Mengikut kertas kerja yang kami jumpa pula, kesalahan tort ni luas dan bergantung kepada situasi. Ada yang kasi pelepasan kepada pihak berkuasa, ada yang tidak. Tapi kalau terbukti bersalah, dorang kena bayar ganti rugi kepada mangsa dengan jumlah yang akan ditentukan mahkamah; termasuklah kes kematian yang disebabkan kesalahan tort.

Gambar dari dululainsekaranglain.com

Menurut Kanun (sebuah firma guaman) pula, sesetengah kes kesalahan tort ni boleh jatuh kepada kesalahan jenayah seperti memfitnah. Pesalah boleh kena saman di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah jenayah) dan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

Berbeza dengan kes jenayah, mangsa kesalahan tort ni sendiri yang akan bawa ke mahkamah untuk menuntut bela. So kalau korang pernah jadi mangsa dan tak buat apa-apa, maka tiada sebarang tindakan lah yang boleh diambil.

Bila ada kecuaian sewaktu bertugas, siapa yang perlu bertanggungjawab?

Apa yang buat kami bimbang adalah bila kami tak jumpa sebarang definisi yang lebih jelas pasal ‘aduan yang munasabah’, nak lagi bila kita tak tau macam mana JAIS menilai dan menyiasat aduan yang dibuat. Tambah mengecewakan bila baca pasal kes-kes yang terjadi, pihak macam JAIS macam tak nak mengaku atau meminta maaf bila ada kecuaian yang berlaku.

Eh silap serbu da… Imej dari memeful.com

Sebagai pegawai kerajaan yang juga berkhidmat untuk orang awam, badan seperti JAIS sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap operasi yang dilancarkan. Tindakan perlu diambil terhadap pegawai yang tak berhati-hati sampai boleh menyebabkan aib terhadap orang yang tak bersalah, atau sampai menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Benda ni sangat penting supaya tak memburukkan nama badan agama di negara kita.

“Kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing.” – Dr Maza, 2010

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance