- 321Share sekarang!
- Email9
- Facebook312
- Share
Dalam artikel SOSCILI yang lepas, kami ada terangkan pasal krisis Qatar-Arab Saudi dan apa yang berlaku di sebaliknya. Dalam artikel tersebut, ada disebutkan yang konflik ni sebenarnya bukan melibatkan dua negara je, tapi banyak lagi negara-negara lain kena pilih dorang nak berpihak kepada siapa.
Antara negara-negara yang menyokong Arab Saudi adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malah Al-Jazeera baru-baru ini melaporkan yang penggodam telah membocorkan emel duta UAE, Yousef Al-Otaiba kepada Amerika. Menurut Al-Jazeera lagi, emel ni menunjukkan yang dia memang kamceng dengan kumpulan pemikir sebuah neokonservatif Israel.
Dan perkara-perkara yang dorang jumpa dalam emel ni penuh kontroversi jugak la, dan salah satunya dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dana negara kita 1MDB! Tapi kerajaan Malaysia takde bagi apa-apa reaksi lagi ketika artikel ni ditulis.
Ok sebelum kita tengok apa kandungan emel tersebut, jom kita kenal dulu duta UAE ke Amerika ni, Yousef Al-Otaiba.
Latar belakang Duta UAE di Amerika: Al-Otaiba dan keluarga
Yousef Al Otaiba merupakan duta besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Washington sejak Mac 2008. Seorang yang bijak, dia juga dikatakan mempunyai pemahaman yang tinggi tentang Amerika. Cara dia menterjemahkan dasar Amerika dan menyampaikannya kepada pemimpin Arab yang lain membuatkan dia dipilih menjadi duta UAE ke negara kuasa besar dunia itu.
“Beliau lebih daripada sekadar membantu menjelaskan kedudukan A.S. bukan sahaja kepada UAE, tetapi kepada orang lain di rantau ini”- Richard Mintz, wakil Al-Otaiba yang berpangkalan di Washington
Kalau korang nak tahu, keluarga Yousef juga bukan calang-calang keluarga orang sebab agak berpengaruh dan ada perniagaan sendiri di UAE. Ayah dia, Mana Al-Otaiba merupakan menteri minyak pertama UAE. Ayah dia juga adalah seorang diplomat Arab kerana pengalaman ekonominya yang tinggi dan dasar diplomatik. Bapak borek, anak rintik. Sama-sama bijak.
Ayah Yousef ada sekurang-kurangnya 12 orang anak daripada 4 orang isteri termasuklah ibu Yousef yang berasal dari Mesir, dan Yousef sendiri merupakan satu-satunya anak daripada ibunya.
Berbalik kepada e-mel Duta UAE tadi, ia menyimpan pelbagai jenis rahsia yang melibatkan banyak pihak. Dalam e-mel tu juga menampakkan keperibadian dia yang sebenar bila dia kutuk Trump dan berbincang pasal pangkalan Amerika di Qatar. Disebabkan dia adalah Duta UAE ke Washington, pendedahan ni secara tak langsung boleh merosakkan bukan saja reputasi dia, tapi hubungan diplomasi antara UAE, Amerika dan negara-negara Teluk yang lain.
Antara kandungan kontroversi yang lain adalah…
1. Ada pakatan dengan Israel untuk sekat peluang perniagaan Iran
Penggodam yang membocorkan emel Yousef ni dikenali sebagai “GlobalLeaks“. Dalam e-mel tu menunjukkan dia ada hubungan rapat dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, iaitu Foundation for Defense of Democracies (FDD) sejak 2014 lagi. Masa dihubungi oleh The Daily Beast, jurucakap kedutaan tu, Lamiyae Jbari mengesahkan yang alamat Hotmail dalam e-mel tersebut memang milik Al Otaiba.
Dipetik daripada Al Jazeera dalam perbualan emelnya, FDD dan UAE ada plan untuk menjatuhkan Qatar sebagai kuasa serantau dan global, termasuk pakatan sulit dengan wartawan untuk menerbitkan artikel yang menuduh Qatar dan Kuwait menyokong keganasan. E-mel tersebut juga menunjukkan hubungan antara negara-negara Teluk, seperti negara Arab Saudi, UAE dan Israel semakin kuat.
Tapi, kes ni bukanlah sesuatu yang pelik pun sebab masa krisis Arab-Qatar, walaupun negara-negara Arab takde hubungan diplomatik dengan Israel, mereka masih rapat dengan Israel. Ini kerana dorang ada matlamat yang sama iaitu:
- Tak nak Iran berkuasa
- UAE dan Israel ni rasa ‘dikalahkan’ masa Amerika dan negara-negara lain mencapai perjanjian nuklear dengan Iran pada tahun 2015.
Pada bulan Mac lepas, Mark Dubowitz menghantar senarai syarikat-syarikat Barat yang beroperasi di UAE dan Arab Saudi melalui e-mel kepada Yousef. Syarikat yang tersenarai tu dikatakan ada niat untuk membuat perniagaan kat Iran, jadi diorang bincang pula cara untuk menekan syarikat-syarikat tersebut supaya tak meneruskan niat mereka.
2. Duta UAE dikatakan mempergunakan Trump untuk kepentingan peribadi
Berdasarkan satu petikan daripada Huffingtonpost, Yousef Al Otaiba dikatakan seorang yang sangat dihormati di Washington. Bagaimanapun, Amerika mungkin kena fikir dua tiga kali untuk letakkan kepercayaan dekat Yousef Al-Otaiba.
Menurut GlobalLeaks, UAE melalui dutanya, Yousef Al Otaiba dah membelanjakan berjuta-juta dolar untuk merosakkan reputasi Amerika. Yousef Al Otaiba dikatakan hanya mempergunakan Trump dalam krisis Arab-Qatar ni, dan antaranya untuk menyingkirkan Al Jazeera dan menundukkan Qatar, dan mungkin juga permasalahan lain dalam Negara Teluk.
GlobalLeaks nampaknya cuba untuk menunjukkan siapa sebenarnya Yousef Al Otaiba- seorang Duta UAE yang memanipulasi dasar Amerika-Teluk Parsi.
3. Mengutuk Trump dalam e-melnya pada malam pilihanraya Amerika Syarikat
Yousef Al-Otaiba juga nampaknya terang-terangan dalam e-melnya mengutuk Trump dalam perbincangannya dengan penasihat utama Obama pada malam pilihanraya.
“Tak kelakar langsung. Macam mana benda ni boleh jadi? Kat planet mana la Trump ni boleh jadi presiden” – e-mel antara Yousef dan bekas penasihat utama Obama di Timur Tengah, Rob Malley.
Malah masa reporter AS hantar tweet whistleblower (pendedah maklumat tentang salah laku kerajaan) dari Saudi yang mengutuk Putera Mahkota UAE, dia cuma balas,
“7 minit yang saya ambil masa baca semua ni, sama macam 7 minit tengok Trump. Membazir masa saya je”- Yousef Al-Otaiba kepada Judith Miller.
Sebenarnya, bukan benda pelik pun hal kutuk-mengutuk ni. Cumanya bila orang tu tahu kita kutuk dia, jadi facepalm sikit ah.
Setakat ni kitorang jumpa sumber berita yang ada screenshot e-mel tu daripada Al Jazeera je. Kalau korang ada sumber berita lain boleh la share ye.
4. Dalam diam-diam, Duta UAE nak keluarkan pangkalan tentera Amerika dari Qatar
Melalui e-mel bertarikh 28 April, Duta UEA secara jelas dah berbincang untuk memindahkan pangkalan Amerika dari Qatar, kira-kira sebulan lebih sebelum krisis Arab-Qatar terjadi. Yousef juga dikatakan memberikan pandangan dia pasal hal pangkalan AS di Qatar kepada John Hannah, kaunselor senior untuk FDD dan bekas pembantu kepada Naib Presiden Dick Cheney.
Sebab dia nak alihkan pangkalan tu, tak diberitahu pulak la. Tapi berdasarkan apa yang kami jumpa, The Washington Post melaporkan yang sebenarnya pangkalan udara Amerika kat sana adalah pertahanan terbaik terhadap serangan Trump. Pangkalan Udara Al Udeid juga adalah ‘rumah’ untuk pesawat tentera Amerika selama lebih dari 15 tahun. Besar tak besarnya tempat tu, ia menempatkan 10, 000 tentera Amerika yang berkhidmat.
“Kita tak nak cuba alihkan pangkalan tu? Tak adil la kalau nak tunding jari pada syarikat Emirat dalam hal ni” – Yousef Al-Otaiba dalam e-melnya
Berdasarkan salah satu e-mel Yousef Al-Otaiba tu la, ada laporan mengenai macam mana krisis yang berlaku antara Arab dan Qatar ni sebenarnya dimulakan di Amerika.
5. Duta UAE menyumbang $250,000 kepada wartawan untuk saman stesen Al Jazeera
Salah satu tuntunan Arab Saudi sewaktu krisis mereka dengan Qatar adalah supaya Al-Jazeera diditutup. Selain daripada Huffington Post, Al Jazeera antara yang mula-mula melaporkan pasal e-mel Yousef yang dibocorkan.
Yousef Al Otaiba nampaknya dah lama tak suka dengan Al Jazeera. Beberapa hari lepas, laporan daripada New York Times mengatakan yang Duta UAE tersebut mengambil kesempatan dengan memberikan sedikit ‘sumbangan’ kepada sebanyak $250,000 untuk membantu membayar tindakan undang-undang yang dikenakan oleh seorang wartawan terhadap Al Jazeera pada tahun 2015.
Mohamed Fahmy pernah menjadi wartawan Al Jazeera di Kaherah, dia kemudiannya dipenjarakan oleh kerajaan Mesir bersama sembilan rakan lain. Diorang dituduh menyebarkan “berita palsu” semasa liputan mereka apabila pihak tentera berjaya menumbangkan presiden Mohamed Morsi pada tahun 2013.
Pada Mei 2015, dia mula memfailkan tuntutannya di mahkamah dan mula berhubung dengan Duta UAE tersebut melalui e-mel pada tahun yang sama, berbincang tentang Qatar, dan juga meminta dana.
“Saya sedang mencari pinjaman peribadi dengan perjanjian bertulis untuk membayar balik beserta faedah atau margin keuntungan,” kata Fahmy dalam e-mel yang sama.
Duta UAE tersebut kemudiannya dikatakan menghantar e-mel kepada ahli perniagaan Mesir, Tawfik Diab untuk menguruskan pemindahan sebanyak $250,000 ke akaun di bawah nama Fahmy di Royal Bank of Canada di Montreal.
Tapi Fahmy menafikan hal tersebut dan hubungannya dengan Duta UAE. Malah dia yang dulunya menyokong Al Jazeera dulu bertukar haluan dan lantang menyuarakan sokongan dia terhadap sekatan atas Qatar dan memuji Arab Saudi.
6. Al-Otaiba juga terima sejumlah dana 1MDB?
Baru je beberapa minggu lepas, model Australia, Miranda Kerr yang terpalit dengan isu 1MDB memulangkan barang kemas yang Jho Low bagi kat dia bernilai lebih kurang $ 8.1 juta kepada Department of Justice (DoJ) Amerika Syarikat. Korang boleh baca isu tu lebih lagi kat sini untuk tahu lebih lanjut pasal aset-aset yang lain.
Beberapa hari lepas tu, Wall Street Journal (WSJ) keluarkan lagi nama-nama yang terlibat dalam isu 1MDB, dan salah seorangnya merupakan Duta UAE, iaitu Yousef Al-Otaiba. Macam mana pulak Al-Otaiba boleh terpalit dalam isu ni?
Menurut WSJ, syarikat-syarikat yang ada hubungkait dengan Yousef telah terima sebanyak US$66 million daripada syarikat luar pesisir yang masih disiasat Amerika dan Singapura. Ia dikatakan melibatkan dana yang disalahgunakan dari 1MDB, malah tujuan pemindahan duit tersebut juga tak disebut.
Tidak ada pendedahan awam mengenai tujuan pemindahan itu, dan Encik Otaiba enggan mengulas mengenainya – WSJ
Salah satu bukti yang mengaitkan Duta UAE tersebut adalah e-mel yang dibocorkan, menunjukkan bukti pertemuan dia dengan Shaher Awartani, iaitu rakan kongsi perniagaannya yang berpusat di Abu Dhabi dan Jho Low, ahli kewangan Malaysia yang merupakan antara watak utama konspirasi dan penipuan 1MDB.
Pada Mei 2015, Jho Low mengarahkan Otaiba dan Awartani untuk menutup akaun diorang di BSI Bank, sebuah bank Swiss swasta yang juga terlibat dalam siasatan. Menurut laporan badan anti rasuah setakat tahun ni, jumlah kerugian 1MDB dianggarkan mencecah RM39 billion.
Duta UAE ni bukanlah orang pertama yang pernah digodam
Kalau nak diikutkan, Duta UAE ni bukan orang pertama yang pernah digodam e-melnya. Malah, Hillary Clinton pernah menerima nasib yang sama masa pilihanraya umum Amerika Syarikat antara dia dan Donald Trump pada tahun lepas. Penggodam tu kemudiannya post intipati e-mel Hillary dekat website whistleblower terkenal, Wikileaks.
Lebih mengejutkan, Malaysia juga disebut dalam kandungan e-mel tersebut. Bukan satu, tapi 95 kandungan e-mel yang melibatkan nama Malaysia dalam hal TPPA, Malaysiakini, penahanan Maria Chin, Bersih, dan juga “program Malaysia” yang masih lagi menjadi misteri. Korang boleh baca lebih lanjut lagi pasal hal tu dekat sini.
Kes-kes macam ni memang dah jadi mainan politik di mana pelbagai cara akan dibuat untuk menjatuhkan pihak lawan demi kuasa atau nama. Contohnya masa pilihanraya Amerika tahun lepas Rusia dikaitkan dengan kemenangan Trump. Malah pemimpin parti-parti pembangkang di Bangladesh hilang lepas Pilihan Raya Kebangsaan 2014, dan Malaysia pula dengan insiden ‘blackout’ masa pengiraan undi pada PRU13.
Jadi mungkin kita tak terkejut sangat bila terdengar pasal hubungan negara-negara Arab dengan Israel, atau… ‘derma’ daripada Arab Saudi ke Malaysia?
- 321Share sekarang!
- Email9
- Facebook312
- Share