5 rakyat Malaysia yang hilang secara misteri. Macam mana pulak mereka berkait?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

UPDATE 4/4/2019: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyimpulkan bahawa polis cawangan khas Bukit Aman bertanggungjawab dengan kehilangan secara paksa ke atas Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh. Perdana Menteri, Tun Mahathir minta SUHAKAM mengemukakan bukti supaya pihak kerajaan boleh buat tindakan. Bekas Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan yang cawangan khas pernah terlibat dulu sebab memang tak ada arahan dikeluarkan untuk bertindak ke atas Koh dan Amri.

____________________________________________________________________________

Pada 16 April 2017, Peter Chong dijumpai dan disambut oleh ahli keluarganya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) . Selepas dikatakan hilang sebab diculik lebih kurang 10 hari sebelum tu, keterangannya diambil terus oleh pihak polis di KLIA dan dia diserahkan balik pada keluarganya.

Sehari selepas tu pulak, Ketua Polis Hat Yai, Col Kittichai Sankatavorn memberitahu polis Malaysia yang mereka takde terima sebarang laporan polis oleh Peter Chong pasal penculikan dia di sana. Dan kalau takde laporan polis yang sahih diterima, polis Hat Yai akan dakwa Peter atas laporan palsu tentang penculikannya disana.

Peter Chong ketika tiba di KLIA. Sumber dari Twitter IGP

Kalau korang terlepas cerita pasal ‘kehilangan’ Peter Chong ni daripada media massa baru-baru, jom SOSCILI cuba imbas kembali daripada awal. Bukan pasal Peter Chong je, tapi ada beberapa rakyat Malaysia lain yang turut terlibat.

‘Kehilangan’ 5 orang yang hampir sama sebabnya

Dua bulan lepas, seorang paderi yang berumur 62 tahun telah diculik pada siang hari semasa memandu di Jalan SS4B/10 Petaling Jaya dalam perjalanan ke rumah kawannya. Paderi tersebut, Raymond Koh Keng Joo diberhentikan di tepi jalan oleh beberapa buah SUV hitam di tengah-tengah lalulintas, dan terus ditarik masuk ke dalam SUV oleh beberapa orang lelaki yang memakai topeng. Sejak tu, Pastor Koh terus hilang tak dijumpai.

Kes inilah yang membuka mata orang ramai pasal kes kehilangan rakyat Malaysia lain secara misteri.

Dua minggu lepas tu, media mula menghidu kisah Amri Che Mat berumur 44 tahun yang diculik dengan cara yang hampir sama dengan Pastor Koh. Tapi Amri kena culik kat  Bukit Chabang, Perlis, kira-kira 500 meter dari rumahnya. Walaupun laporan polis yang dibuat oleh isteri dia tu ialah pada 24 Februari, sebenarnya Amri ni dah hilang akhir November tahun lepas lagi. Disebabkan takde bukti kukuh, polis hanya boleh anggap yang Amri Che Mat ni hilang dan bukannya diculik.

Beberapa minggu selepas tu, media melaporkan pulak pasal kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy yang dalam lingkungan umur 50-an. Tapi, ‘kehilangan’ (sebab takde bukti diculik) pasangan ni sebenarnya berlaku November lepas, tapi hanya dilaporkan pada bulan Mac oleh seorang ‘kawan’ yang tak dikenali lepas dia sedar yang pasangan Hilmy ni dah lama tak telefon dia.

Tapi yang peliknya ‘kawan misteri’ mereka tu juga tak tahu nombor plat kereta, alamat rumah, atau nombor telefon pasangan ni sebab dia kata dia dah padam semua butiran diorang ni daripada telefon dia.

Dan terakhir ialah kehilangan Peter Chong yang dikatakan agak pelik. Peter merupakan pembantu peribadi kepada MP PKR, Sivarasa. Beberapa hari sebelum diculik, Peter ada post dalam Facebook dia pasal ada orang tiba-tiba tegur masa nak sarapan dekat warung yang dia selalu pergi. ‘Orang misteri’ tu ada bagi amaran yang Peter mungkin akan ‘hilang’ juga, dan suruh dia berhati-hati. Beberapa hari lepas tu… dia pun hilang.

Peter Chong dalam status Facebooknya sebelum hilang. Sumber dari Facebook

Kes orang hilang kat Malaysia ni bukannya benda baru kat negara kita. Malah, secara puratanya sepanjang lima tahun lepas, lebih kurang tiga orang hilang setiap hari. Kes lima orang ni saling berkaitan dan media nampaknya sangat berminat untuk lebih fokus. Kita tengok kenapa…

Siapa sebenarnya 5 orang rakyat Malaysia ni?

Konspirasi illuminati?

Sejujurnya, mereka ni semua takde la popular pun. Tapi dalam masa yang sama, mereka juga bukan orang biasa-biasa. Setiap seorang dari mereka ni (kecuali Ruth Hilmy) adalah orang yang disegani dalam komuniti masing-masing, dan kebanyakan daripada mereka banyak melibatkan diri dalam kerja sosial.

Pastor Koh ialah pengasas NGO Harapan Komuniti yang bertujuan untuk membantu orang-orang yang kurang bernasib baik, tak kira siapa pun mereka. Mereka juga merupakan salah seorang rakan kongsi Majlis AIDS Malaysia, dan terlibat menolong pesakit HIV dan AIDS.

Tapi pada 2011, JAIS mendakwa mereka menyebarkan ajaran agama Kristian kepada orang Islam. Inilah permulaan kepada siri ancaman bunuh, tulisan blog-blog yang penuh dengan kebencian, dan peluru pun ada dihantar dalam peti surat paderi tersebut.

Bagi Amri Che Mat pulak, dia adalah pengasas bersama sebuah NGO Perlis Hope, yang juga bertujuan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Selain tu, dia juga ada main Forex dan pernah jadi sebahagian daripada pasukan ekspedisi Malaysia yang pergi ke gunung Everest pada 1997. Amri Che Mat didakwa menyebarkan Syiah yang diwartakan sesat oleh kerajaan Malaysia.

Isteri kepada Amri Che Mat telah membuat kenyataan kepada SUHAKAM apabila mengaitkan nama mufti Perlis, iaitu Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) yang turut ada ketika serbuan polis terhadap Amri dan NGO Perlis Hope pada 2015. Dr Maza telah membuat kenyataan balas terhadap dakwaan tersebut.

Pasal Pastor Joshua Hilmy dengan isteri dia pulak, tak banyak maklumat yang ada pasal kehilangan mereka dan juga kegiatan mereka. Tapi yang pasti, Pastor Joshua dulu merupakan orang Melayu Islam yang kemudiannya murtad dan menganut agama Kristian. Ada juga ura-ura lain yang mengatakan dia merupakan penulis buku “Uncircumcised Heart“, tulisan Hilmy Mohd Noor yang mahu dirahsiakan identitinya. Tapi ada juga sumber yang menafikan kalau mereka orang yang sama. Mungkin nama je yang hampir sama.

Kita tak boleh nak simpulkan perkara ni sekaligus walaupun berita pasal ketiga-tiga kes ni nampak macam ada perkaitannya (BBC pun buat liputan pasal ni). Antara sebab yang mungkin ada kaitan dengan kehilangan diorang ialah sebab mereka mencetuskan kemarahan sesetengah masyarakat Islam Malaysia. Tapi sampai sekarang takde bukti sahih untuk menyimpulkan yang mereka diculik oleh kumpulan yang sama, ataupun kalau betul mereka benar-benar diculik.

Peter Chong, mangsa yang paling baru ni takde pulak ciri-ciri yang sama dengan empat mangsa sebelumnya. Apa yang media jumpa adalah dia merupakan kawan baik kepada juruterbang MH370 dan juga penganjur bersama Muslim Model talent show. Satu-satunya kaitan yang lebih konkrit dengan mangsa lain adalah dia dia merupakan salah seorang yang meghadiri upacara candlelight vigil untuk Pastor Koh.

Orang awam tak berpuas hati dengan IGP pasal kes ni yang dikatakan diambil ringan

Isteri Pastor Koh, Susanna Liew dalam Candle Vigil, tanda solidariti untuk mangsa-mangsa yang hilang

Dah lah cara kehilangan orang-orang ni agak pelik, yang menambah lagi syak wasangka orang ramai pasal hal ni ialah reaksi polis bila jawab pasal kes kehilangan Pastor Koh. Dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Polis Negara telah dipetik berkata:

“Kepada pihak media, individu dan para NGO yang nak campurtangan dalam kes penculikan ni, tutup mulut anda. Anda hanya meletakkan nyawa pastor tu dalam bahaya kerana kami pernah berdepan dengan kes di mana penculik menyembunyikan mangsa selama beberapa bulan dan hanya bertindak apabila merasakan keadaan sudah selamat.

Saya menyeru orang ramai memberi laluan kepada polis meneruskan sisatan dan jangan meletakkan nyawa beliau dalam bahaya. Lebih baik anda semua diam,”– IGP Khalid Abu Bakardipetik oleh FMT.

Dalam bidang kewartawanan, apa yang IGP maksudkan dalam hal ni ialah media blackout. Maksudnya, media kena tarik diri daripada membuat liputan yang berlebihan terhadap isu ni. Mungkin nampak pelik, tapi liputan media secara meluas boleh menyebabkan duit tebusan yang diminta menjadi lebih tinggi, dan tindak balas penculik mungkin lebih agresif.

Dan inilah sebabnya kami di CILISOS/SOSCILI tunggu dulu sebelum terbitkan cerita ni. Bagaimanapun sekarang, liputan media dah boleh jadi tekanan politik untuk pihak berkuasa bertindak serta menggerakkan sokongan daripada orang ramai.

Sumber dari The Star

“Dalam kes tebusan, sekatan berita tersebut boleh diminta oleh pihak polis, kerajaan, keluarga mangsa atau organisasi berita.” – Kes Kewartawanan dari Kanada

Cumanya dalam kes Pastor Koh, penculik tak mintak apa-apa pun. Malah kes-kes lain pun takde bukti penculikan, jadi mereka bukanlah mangsa tebusan. Dalam sesetengah kes seperti kes penculikan oleh pengganas, media blackout sebenarnya boleh membantu pengganas yang mengaitkan yang lain turut diculik, jadi mereka bukannya mangsa tebusan.

Dalam kes penculikan contohnya yang dilakukan oleh pengganas, blackout media sebenarnya boleh membantu pengganas membuat propaganda mereka jauh lebih berkesan, sebab ada ‘shock value’. Contohnya macam kes penculikan wartawan oleh ISIS.

Selain tu juga, kekurangan maklumat baru pasal siasatan kes ni juga sebenarnya meresahkan orang awam. Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese mengatakan keadaan ini –di mana rakyat Malaysia boleh hilang macam tu je dan tak dijumpai selama berbulan-bulan – boleh membawa kepada tanggapan awam yang berlakunya ‘forced disappearance’ kat negara kita.

Forced disappearances  ataupun hilang secara paksa ni berlaku bila seseorang itu ditarik dari jalan atau rumah mereka oleh pegawai kerajaan (atau seseorang yang bertindak dengan keizinan kerajaan) yang kemudian menafikan, atau tak nak bagitahu kat mana mereka berada.

Mungkin bunyinya macam teori konspirasi, tapi forced disappearance ni dah selalu jadi kat negara lain. Sesetengah penjual buku di China hilang secara misteri lepas diorang terbitkan buku-buku berunsur hasutan, manakala aktivis dan pemimpin parti-parti pembangkang di Bangladesh hilang lepas Pilihan Raya Kebangsaan 2014 yang penuh kontroversi.

Pilihanraya Bangladesh 2014

Benda ni la yang jadi kebimbangan utama 46  NGO yang buat perhimpunan solidariti bersama keluarga-keluarga mangsa yang hilang. Dalam kenyataan media, diorang demand supaya penyiasatan kes tu diberi keutamaan, dan supaya pihak berkuasa selalu update orang awam pasal siasatan yang dilakukan.

Para NGO ni juga minta pihak berkuasa bagi jaminan pada orang ramai yang kerajaan bukan dalang dalam kes-kes ni semua. Timbalan Menteri Dalam Negeri waktu tu, Nur Jazlan Mohamed dah menafikan penglibatan kerajaan pasal kes ni, tapi orang ramai masih ragu-ragu.

Spekulasi orang ramai tentang kes dan kata-kata pihak kerajaan yang diorang ragui. Sumber dari Facebook FMT

Salah seorang kawan Pastor Hilmy di Facebook mencadangkan kalau Facebook mereka yang hilang ni diakses walaupun tanpa kebenaran.

“Pastor Hilmy pernah bagitahu saya yang dia pernah diugut untuk dibunuh dan dicederakan, selalunya melalui Facebook. Kalau polis boleh periksa Facebook dia, sesiapa yang pernah ugut paderi-paderi ni dengan kecederaan dan kematian, mungkin polis boleh mulakan penyiasatan dari situ”

Sebelum Peter Chong dijumpai, dia dikatakan telah melintasi sempadan Thailand seperti dilaporkan pihak polis. Yang peliknya, terdapat percanggahan daripada pelbagai media. The Sun Daily melaporkan bahawa gambar-gambar Peter menyeberangi sempadan itu diambil pada jam 6.30 petang, manakala NST melaporkannya jam 6.30 pagi.

“Walaupun saya gembira Ketua Polis Negara telah memaklumkan kepada kami bahawa Peter telah dijumpai, orang ramai inginkan lebih banyak bukti kukuh selain gambar. Ada jalan keluar lain ke yang dicatatkan oleh imigresen dan ada entri direkodkan oleh Imigresen Thai? Kalau tiada pengesahan, terlalu awal kalau kita nak buat pengesahan “- Thomas Fann, aktivis sosial dan Pengerusi ENGAGE.

Ketua Polis Negara menyatakan bahawa dalam tempoh lima tahun yang lalu, 8117 kes daripada 13,290 orang hilang kes telah diselesaikan. Walaupun itu satu angka yang banyak, tapi kena ingat yang ada 5,173 orang yang masih hilang sampai hari ini, atau kira-kira 40%.

Selain tu juga, orang awam ada persoalkan macam mana pihak berkuasa Thai boleh kenalpasti Peter Chong melalui gambar je pada hari yang sama dia dilaporkan hilang?

Reaksi orang awam bila polis keluarkan statement yang mengatakan Peter Chong dijumoai di Thailand

Kenyataan yang mengatakan Peter Chong berada di Thailand menimbulkan lagi banyak persoalan daripada jawapan. Bayangkan, macam mana pihak berkuasa sempadan di Thailand sangat cekap mengesan Peter daripada lebih 5000 orang yang hilang di Malaysia? Ini membawa kita kepada poin terakhir…

Penculikan oleh penjenayah perlu dibuktikan sebaiknya

Ketua Polis Negara waktu tu yang tak nak dedahkan segala butiran pasal kes ni pulak membuatkan orang awam makin ragu-ragu dengan kerajaan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak akan memberi apa-apa maklumat mengenai kes-kes penculikan.” – Ketua Polis Negara waktu tu, dalam satu temu bual dengan FMT.

Khalid Abu Bakar. Imej dari Says

Thomas Fann, seorang aktivis sosial dalam ucapannya,

“Kami berharap yang takkan ada lagi penculikan di Malaysia, dan ini juga bergantung kepada rakyat Malaysia. Kalau kita tak bersatu untuk bersuara pasal hal ni, benda ni akan jadi norma pulak di negara kita. Malaysia kemudiannya akan menjadi seperti salah satu daripada negara-negara gagal yang diperintah oleh rejim diktator atau di mana jenayah dan pelampau akan bertindak sesuka hati mereka” – Thomas Fann, aktivis sosial dan Pengerusi ENGAGE.

Kalau korang nak baca laporan penuh oleh SUAHAKAM pasal kehilangan Amri klik sini, dan untuk Pastor Koh boleh baca sini.