- 448Share sekarang!
- Email15
- Facebook433
- Share
Seperti mana dunia tahu atau buat-buat tak tahu, sejak lebih 70 tahun lalu, konflik antara negara haram Israel dan Palestin tak pernah berakhir. Dari bermulanya dengan Deklarasi Balfour, pembentukan Israel pada 1948, Perang Arab – Israel 1948, Perang Enam Hari, Perang Yom Kippur, Kebangkitan Intifada, dan sampailah kepada Perjanjian Oslo antara PLO – Israel.
Bagaimanapun, nampaknya ia masih lagi tak bagi apa-apa kesan positif kepada Palestin. Negara terletaknya Masjidil Aqsa itu tetap dijarah, apabila kanak-kanak dibunuh, rumah mereka dirobohkan, penempatan baru Israel semakin bertambah dan peta Palestin semakin mengecil.
Di sebalik pelbagai penindasan yang berlaku, tak dapat kita nafikan ia menunjukkan kelemahan besar dunia Islam dalam melindungi saudara se-Islam mereka. Tetapi, di sebelah Israel pula, mereka dapat sokongan kuat dari kuasa dunia, termasuklah oleh para billionaire.
Tapi korang tahu tak siapa billionaire (zionaires) yang menyokong kuat Israel ni? Mungkin, kita boleh mula dengan…
1. Larry Ellison – derma berjuta dollar untuk ketenteraan Israel
Siapa yang tak kenal Ellison, dia sebenarnya pengasas syarikat software – Oracle Corporation yang jalankan pasaran di seluruh dunia. Dia juga dah tersenarai sebagai orang ke-5 terkaya di Amerika Syarikat (AS) dan ke-7 terkaya di dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak US$70.6 bilion.
Dia dan isterinya memang terkenal sebagai orang yang banyak bagi derma kepada Israel. Masa lawatannya ke Israel pada 2007, dia dah pergi ke selatan bandar Sderot, iaitu antara tempat bertempurnya pejuang Gaza dan pihak Israel. Dia masa tu terus derma US$500,000 kepada Israel untuk kukuhkan ketenteraan negara tu.
Pada tahun 2014 pula, Ellison bagi derma sebanyak US$9 juta kepada Friends of the Israel Defense Forces (FIDF), sebuah NGO ketenteraan Israel. Pada tahun 2017 pula, Larry sekali lagi menderma untuk ketenteraan Israel sebanyak US$16.6 juta dalam satu Majlis Gala FIDF.
“Untuk 2,000 tahun, kita adalah orang tanpa negara. Tapi kini, kita ada negara yang kita boleh dipanggil kita punya.
“Melalui zaman mencabar sejak Israel diasaskan, kita telah menyeru lelaki dan wanita berani dari IDF untuk mempertahankan negara kita. Dalam fikiran saya, tak ada penghormatan yang lebih besar daripada menyokong beberapa orang yang berani di dunia…” – Ucapan Larry Ellison, dipetik dari Times of Israel.
Tahun lepas, Majlis Gala FIDF juga diadakan dan berjaya mengumpulkan dana sejumlah $60 juta. Antara selebriti yang hadir adalah – Ashton Kutcher, Pharrell Williams, David Foster, Gerard Butler dan beberapa lagi.
2. Michael Bloomberg – sampai dapat hadiah US$1 juta kerana menyokong perjuangan Israel
Korang mesti pernah dengar media petik laporan Bloomberg kan? Ha, Bloomberg tu dia punyalah, dan syarikat tu dah ada kira-kira 20,000 orang pekerja di serata dunia. Selain dari jadi ahli perniagaan, Bloomberg juga seorang ahli politik dan pernah jadi Datuk Bandar New York.
Buat masa sekarang, dia berada di kedudukan ke-9 terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai – US$55.5 bilion. Dia memang terkenal sebagai pro-Israel dan pendokong kuat negara tu. Bila berlakunya – Operation Protective Edge pada 2014 iaitu perang antara Israel dan pejuang Gaza, Bloomberg terbang ke Israel walaupun sebenarnya penerbangan tu tak dibenarkan oleh U.S. Federal Aviation Administration (FAA).
Kedatangan Bloomberg tu sebagai sokongan moral terhadap Israel dan dia juga dah bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Israel, Shimon Peres. Baginya, tindakan FAA menghalang penerbangan ke Israel masa tu hanya membuatkan seolah-olah Hamas menang dalam konflik.
“Halangan penerbangan adalah kesilapan yang membawa kemenangan Hamas dan harus dimansuhkan segera.” – Katanya, dipetik dari The Jerusalem Post.
The New York Times melaporkan Bloomberg dah menderma berjuta dollar kepada Israel, untuk pembangunan institusi dan sebagainya. Sebagai contoh, Bloomberg menderma hampir US$45 juta kepada Israel untuk membangunkan Jerusalem dan Tel Aviv. Dia juga bidas gerakan antarabangsa yang seru untuk boikot Israel. Baginya, gerakan tu tak betul dan tak bertempat.
Disebabkan sokongannya yang kuat dan kedudukannya sebagai seorang Yahudi berjaya – Bloomberg dah dianugerahkan Genesis Prize, atau dikenali sebagai “Jewish Nobel” pada 2013. Dia juga menerima hadiah bernilai US$1 juta dari anugerah terbabit.
3. Sheldon Adelson – penderma terbesar Israel
Adelson adalah CEO dan pengerusi syarikat kasino – Las Vegas Sands. Sebagai orang ke-24 terkaya di dunia (US$35.1 bilion nilai kekayaan), dia juga terkenal sebagai penderma terbesar Israel. Pada tahun lepas sahaja, dia dah menderma sebanyak $70 juta kepada sebuah NGO – Birthright Israel.
Birthright Israel ni sebenarnya buat program yang bawa orang muda Yahudi (umur antara 18 – 32 tahun) dari serata dunia untuk melawat Israel secara percuma. Bloomberg pun sebenarnya ada derma untuk pertubuhan ni.
“Sebelum penubuhan Negara Israel, bapa saya memberitahu saya bahawa dia sentiasa berimpian tentang negara untuk orang Yahudi dan mahu pergi ke Tanah Israel, tetapi ketika tiba masa dan saya dapat membantu dia untuk datang ke sana dia berkata dia sudah terlalu tua dan terlalu lemah.
“Saya fikir ia adalah hak dari kelahiran semua Yahudi untuk pergi ke Israel dan saya tidak mahu mana-mana orang Yahudi muda di dunia mengatakan bahawa dia terlalu tua atau sakit untuk melawat Israel.” – Katanya, dipetik dari The Jerusalem Post.
Selain tu, billionaire berusia 85 tahun ni juga menderma sebanyak US$7 juta kepada FIDF pada 2017 dan US$25 juta kepada Memorial Holocaust Jerusalem, Yad Vasham pada tahun 2011. Dia turut membina pusat pengajian Yahudi di Israel.
Selain tu, Adelson juga menganjurkan satu sidang kemuncak menentang gerakan boikot Israel dan anti-Israel di kampus. Sidang tu berjaya mengumpul dana sebanyak kira-kira $20 juta. Apa yang lagi menarik, Adelson ni penyokong kuat Trump dan dah menderma $123 juta kepada Jawatankuasa Kempen dan Tindakan Politik Republikan pada 2018.
4. Michael Dell – anggap Israel pusat masa depan digital
Bila dengar nama dia je, mesti korang terfikir pasal komputer jenama Dell kan? Ya benar, Dell adalah pengasas yang sekarang ni bertugas sebagai – Pengerusi dan CEO Dell Technologies. Dibandingkan dengan Adelson, Dell berada di bawah satu anak tangga (ke-25) dalam senarai orang terkaya di dunia.
Dengan kekayaan mencecah US$32.3 bilion, Dell dah menderma US$1 bilion kepada yayasannya pada 2017. Dia juga dilaporkan menyalurkan wang lebih dari US$1.5 bilion dalam aktiviti kebajikan yang memfokuskan terhadap kemiskinan kanak-kanak.
Dalam masa sama, Dell terkenal sebagai seorang pro-Israel dan seperti yang lain, dan kerana tu dia menderma kepada pembangunan ketenteraan Israel. Pada tahun 2014, Dell dan isterinya dah menderma sebanyak US$1.8 juta kepada FIDF dalam usaha memberikan biasiswa pendidikan kepada tentera dan veteran.
Selain tu, Dell turut bekerjasama dengan syarikat teknologi Israel – EMC. Malah, Dell seorang yang cukup bangga dengan Israel, sampaikan dia kata – “Israel akan jadi pusat masa depan digital dunia”. Hal tu kerana, dia dapat nampak bakat di kalangan masyarakat Israel dalam pelbagai bagai, khususnya digital.
“Kualiti bakat Israel telah diketahui di seluruh dunia… Hari ini, saya melawat pejabat EMC dan Dell di Herzliya, Israel dan saya teruja untuk lihat perkembangan baru.” – Katanya, dipetik dari Ynet (2016).
5. Isaac Perlmutter – Pengerusi Marvel yang beri sokongan padu kepada penyelidikan Israel
Perlmutter adalah Pengerusi Marvel selepas mengambil alih firma tu pada 1998. Pada tahun 2009, dia menjual majoriti Marvel kepada Disney dengan nilai US$4 bilion. Bagaimanapun, sehingga ke hari ni dia masih kekal sebagai Pengerusi Marvel Entertainment.
Dengan kekayaan berjumlah US$5.2 bilion, Perlmutter yang juga seorang veteran Perang Arab-Israel (1967) sangat komited dalam usaha penyelidikan. Pada 2015, dia dah menderma sebanyak US$9 juta sebagai salah satu geran untuk membiayai penyelidikan kanser di NYU Langone Medical Center dan Technion-Israel Institute of Technology.
Melalui The Laura & Isaac Perlmutter Foundation, yayasan tu mempunyai aset lebih dari US$59 juta sehingga tahun 2017. Yayasan ni dah menderma dalam pelbagai usaha pendidikan, kesihatan dan budaya.
Antara penerimanya adalah – Lincoln Center Theater, The Jewish Federation of Palm Beach, American Foundation for Chinese Medicine, Bruce and Marsha Moskowitz Foundation dan New York University. ‘
Dalam usaha memperdayakan masyarakat Yahudi, Perlmutter turut menyumbang kepada American Friends of Hebrew University, Holocaust Education and Resource Center dan Jewish Agency for Israel. Sama seperti Adelson, Perlmutter adalah penyokong Trump.
Disebalik bantuan kepada Israel, dunia Islam masih berkonflik
Sebenarnya ramai lagi billionaire yang jadi penyokong dan pendokong kuat Israel. Dan itu boleh dikatakan sebagai kepercayaan dan tanda solidariti mereka kepada pembinaan negara Yahudi. Dan pada hari ini, Israel tetap menjadi kuasa besar di Timur Tengah, dengan mendapat sokongan kuasa dunia.
Malah, kekuatan ketenteraan Israel juga melebihi kebanyakan negara di Timur Tengah lain dengan menyaksikan bajet ketenteraan sahaja sebanyak US$18.5 bilion pada 2017. Itu tak termasuk lagi dengan bantuan ketenteraan dari AS yang bernilai berbilion dollar.
Sementara Israel berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan negara dan kemajuan teknologinya, kebanyakan negara Islam masih lagi berada dalam kancah konflik yang berpanjangan. Keadaan di Iraq, Syria, Yaman, Libya, dan Afghanistan yang setiap hari menghadapi krisis masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda keamanan.
Di sisi lain pula, media baru-baru ini melaporkan bahawa sekitar 16,700 jutawan akan menyalurkan kekayaan mereka kepada generasi akan datang di Timur Tengah, yang dianggarkan sebanyak US$572 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Walaupun ini menunjukkan kekayaan luar biasa di Timur Tengah, tetapi negara-negara kaya di rantau itu juga bertelagah. Krisis antara negara kaya minyak – Arab Saudi dan negara terkaya di dunia – Qatar masih lagi belum berakhir. Kadang-kadang ia juga membuatkan kita terfikir, sampai bila hal ni akan berterusan?
- 448Share sekarang!
- Email15
- Facebook433
- Share